SESUNGGUHNYA fenomena lemah iman adalah suatu fenomena yang sudah merebak dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.
Terdapat banyak orang yang mengadu akan kekerasan hatinya, yang diucapkan berkali-kali melalui ungkapan-ungkapan, contohnya:
Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, aku tidak pernah mendapat kenikmatan dalam beribadah, aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, aku tidak terpengaruh (terkesan) oleh bacaan Al-Quran, mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?…..
Sesungguhnya penyakit lemah iman mempunyai tanda-tandanya, antaranya:
1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa
Di kalangan orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan.
Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu akan menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu. Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini:
كلُّ أمَّتي مُعافًى إلَّا المُجاهِرينَ ، وإنَّ منَ المُجاهرةِ أن يعمَلَ الرَّجلُ باللَّيلِ عملًا ، ثُمَّ يصبِحَ وقد سترَه اللَّهُ ، فيقولَ: يا فلانُ ، عمِلتُ البارحةَ كذا وَكذا ، وقد باتَ يسترُه ربُّهُ ، ويصبِحُ يَكشِفُ سترَ اللَّهِ عنهُ
Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Wahai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rabb-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya. (Riwayat al-Bukhari)[1]
2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati
Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apapun. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
ثُمَّ قَسَتۡ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَٱلۡحِجَارَةِ أَوۡ أَشَدُّ قَسۡوَةٗۚ
Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. ( Surah Al-Baqarah: 74)
Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya atas longgokan-longgokan batu.
3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah
Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Quran, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan. Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadits:
لا يَستَجيبُ دُعاءً مِن قلبٍ غافِلٍ لاهٍ
Tidak akan diterima doa daripada hati yang lalai dan main-main. (Riwayat at-Termizi)[2]
4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah
Orang yang lemah iman, kalaupun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah Subhanahuwata’alatelah menyifati orang munafik dalam firman-Nya:
ۡ وَإِذَا قَامُوٓاْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُواْ كُسَالَىٰ
Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas. (Surah An-Nisa’: 142)
Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Juga tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan jihad dan menangguh-nangguh ikut solat berjama’ah.
Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solat wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah. Gambaran ini bertentangan dengan orang yang disifati Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya:
إِنَّهُمۡ كَانُواْ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَيَدۡعُونَنَا رَغَبٗا وَرَهَبٗاۖ وَكَانُواْ لَنَا خَٰشِعِينَ
Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan mengharap dan cemas. Dan, mereka adalah orang yang khusyu’ kepada Kami. (Surah Al-Anbiya’: 90)
Bermacam-macam lagi tanda-tanda lemah iman seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solat malam, solat dhuha, solat-solat nafilah dan melengah-lengahkan datang ke masjid. Hati sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.
5. Dada terasa sesak dan terbelenggu
Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya.
Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah menyifati iman sebagai berikut:
Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.[3]
6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
Hati yang lemah iman tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah dan pengisahan kiamat yang terdapat dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf Al-Qur’an, isi kandungannya tidak diperhatikan.
7. Lalai daripada mengingati Allah Subhanahuwata’ala sewaktu berzikir dan berdoa
Berzikir menjadi amalan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdoa, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah Subhanahuwata’ala telah menyifati orang munafik dalam firman-Nya:
وَلَا يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلٗا
Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (Surah An-Nisa’: 142)
8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam
Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk berdakwah menyebarkan Islam dan menolong menegakkan din Islam. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam. Seorang pemuda, Ibnu Amr Radiallahu’anhu, terus bergerak melakukan da’wah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam.
Majoriti orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan da’wah meskipun sudah sekian lama menjadi muslim.
Rujukan:
Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.
[1] Sahih Al-Bukhari, no.hadits : 6069
[2] Sunan Tirmizi, no.hadits : 3479
[3]Silsilah Al-Ahadits As-Sahihah, Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Banni, hadits no. 554
Fenomena Lemah Iman: Namanya manusia adakalanya imannya kuat, kemudian lemah. Nah gimana caranya supaya keimanan kita itu stabil?