Fiqh Harakah

Faktor-Faktor Yang Menggendalakan Gerakan Organisasi (Faktor 1): Faktor Dalaman

FAKTOR 1: FAKTOR DALAMAN

Terdapat beberapa faktor yang merupakan penyakit merbahaya yang boleh mengendalakan gerakan organisasi dalam usaha pencapaian objektifnya:

Faktor Dalaman

1. Tidak memberi kepercayaan yang penuh terhadap kepimpinan yang mana implikasinya akan membawa kepada perpecahan dan memberi kesempatan kepada musuh untuk mengeruhkan lagi suasana. Kerana itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berpesan dalam sabdanya yang bermaksud:

Sesiapa yang patuh kepada kepimpinan (amir) maka sesungguhnya ia telah mentaatiku dan sesiapa yang menderhakai kepimpinan maka sesungguhnya ia telah menderhakaiku. [1]

2. Wujudnya jurang kefahaman yang sangat jauh di kalangan ahli atau anggota.

3. Penglibatan anggota kerana wujudnya individu tertentu dalam organisasi bukan semata-mata kerana Islam. Oleh itu mereka akan meninggalkan organisasi dengan ketiadaan individu tersebut yang mana hal ini tidak sewajarnya berlaku dalam gerakan atau jama’ah Islam.[2]

4. Anggota menghabiskan tenaga dan masa pada perkara yang tidak berfaedah. Hal ini diingatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ٢  وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ ٣

Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyu’ dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan diri daripada pekara (perkataan dan perbuatan) yang sia-sia.

(Surah al-Mu’minun : 1-3)

5. Bertindak secara individu tanpa mematuhi siasah, penyusunan (tanzim) dan program organisasi kerana berbangga dengan pandangan sendiri yang sangat terhad dan terbatas kemampuannya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ ٤٦

Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.

(Surah al-Anfal : 46)

Bertindak secara bersendirian ini berlaku mungkin kerana terlalu bersemangat, menurut perasaan, mementingkan diri sendiri atau menganggap siasah dan hikmah yang dipegang oleh organisasi adalah sebagai pengecut dan lemah iman.[3]

6. Meletakkan individu yang belum matang, jelas dan sempurna kefahaman dan kesedaran sahsiahnya ke dalam siasah organisasi. Ruh dakwah belum benar-benar menyerapi kehidupannya. Dakwah belum lagi menyerapi dalam kehidupannya. Maka dakwah akan dijalankan menurut kehendak dan kepentingan sendiri dan akhirnya menjual dakwah dengan harga yang murah untuk kepentingan dan kesenangan hidup di dunia.

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman


[1] Lihat Muslim, al-Jami’ al-Sahih, Jil. 3, J. 6, h. 13

[2] Lihat Hawwa, Sa’id, Durus fi al-‘Amal al-Islami, h. 59

[3] Lihat Yakan, Fathi, Abjadiyat al-Tasawwur al-Haraki Li al-‘Amal al-Islami, h. 114-115

 

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button