Aqidah

Iman

Pengertian dan ciri-ciri iman

Iman adalah membenarkan dengan hati, mengaku dengan aqal fikiran dan membuktikan dengan amalan-amalan.

Hati yang beriman ialah hati yang benar-benar yakin dan percaya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasul-Nya. Tasdiq atau keyakinan yang tidak bercampur syak dan tidak ragu-ragu. Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa was-was terhadap segala ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Inilah keimanan yang penuh yakin dan tidak bergoncang lagi.

Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, menjadikan perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka seolah-seolah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan peranan tenang, tabah dan tetap pendirian. Orang yang mempunyai iman seperti ini akan sanggup bekorban apa sahaja di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bergantung, percaya, tawakkal, berharap, takut dan menyerah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Kesan iman pada hati dan kehidupan

Apabila pengertian iman seperti di atas memenuhi hati seseorang muslim, maka jiwanya akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi hati seseorang muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinarnya dapat dilihat oleh orang yang beriman sekalipun kulitnya itu hitam atau sawo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasakan lebih manis daripada segala yang manis di dunia ini.

Tanda kemanisan iman

Sebahagian daripada tanda-tanda lahir kemanisan iman ialah kecintaan seseorang mu’min untuk melakukan ibadah. Ia merasa selesa, tenang, rindu dan lapang untuk melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadits Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang mulia telah menyebut:

ثلاثٌ من كنَّ فيه وجد حلاوةَ الإيمانِ: أن يكونَ اللهُ ورسولُه أحبَّ إليه مما سواهُما ، وأن يُحِبَّ المرءَ لا يُحِبُّهُ إلا للهِ ، وأن يكرهَ أن يعودَ في الكفرِ

كما يكرهُ أن يُقْذَفَ في النارِ

Tiga perkara pada seseorang, beliau akan merasakan kemanisan iman iaitu: Beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu,dan beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah,dan beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka.

(Riwayat al-Bukhari)[1]

Iman itu ada kemanisannya. Kemanisan tersebut akan bertambah apabila iman bertambah kuat.

 

[1] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6941

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button