Sirah & Sejarah

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 4 : Penyertaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Dalam Usaha Membina Semula Ka’bah

Ka’bah telah dibina oleh Saidina Ibrahim ‘Alaihissalam untuk tujuan  mengerjakan ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Pembinaan ini diselenggarakan mengikut wahyu Ilahi seperti yang tersebut dalam Al-Qur’an:

وَإِذۡ يَرۡفَعُ إِبۡرَٰهِ‍ۧمُ ٱلۡقَوَاعِدَ مِنَ ٱلۡبَيۡتِ وَإِسۡمَٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّآۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Rab kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui.”

(Al-Baqarah : 127)

Setelah beberapa ketika berlalu, Ka’bah yang dibina oleh Saidina Ibrahim itu mula retak dan pecah. Antara bencana yang telah melanda dan merubah Ka’bah ialah banjir. Kerosakan ini menyebabkan puak-puak Quraisy terpaksa berusaha mendirikan semula binaan Ka’bah ini, demi memelihara kemuliaannya.

Dalam usaha pembinaan semula ini Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah turut serta memberi sumbangan fikiran dan tenaga. Baginda sendiri telah berusaha mengangkut batu-batu dengan tangan Baginda sendiri. Usaha Baginda memberi kesan yang lebih mendalam setelah Baginda dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh puak-puak Arab iaitu siapakah yang lebih utama meletak semula Hajarul Aswad ke tempat asalnya. Perbalahan ini dapat diatasi setelah semua puak yang berselisih bersetuju dengan cadangan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Baginda memang terkenal di kalangan orang Arab di masa itu dengan gelaran “al-amin” (orang yang amanah).

PENGAJARAN

  1. Pembinaan Ka’bah oleh Saidina Ibrahim ‘Alaihissalam adalah mengikut apa yang telah disuruh dan diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk dijadikan rumah ulung dan pertama bagi menunaikan ibadat kepada-Nya dan sebagai tempat yang aman bagi umat manusia. Walaupun Ka’bah itu agung dan mulia di sisi Allah Subhanahuwata’ala tetapi ini tidak bererti bahawa Ka’bah ini boleh memberi sesuatu kesan dan pengaruh terhadap mereka yang melakukan tawaf di sekelilingnya. Ini kerana Ka’bah itu adalah batu yang tidak boleh memberi sebarang manfaat atau mudharat.
  1. Antara hikmah Ilahi ialah Allah Subhanahuwata’ala mahu supaya Ka’bah menggantikan segala berhala buatan tangan manusia, sebagai tempat yang menjadi satu lambang untuk menyembah Rab yang Maha Esa. Ka’bah juga menjadi syi’ar perpaduan umat Islam yang mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala, kerana ibadah solat bagi semua muslim mengarah kepada-Nya. Serta umat Islam yang menunaikan haji akan bertawaf di sekelilingnya dengan perasaan penuh kehambaan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

وَإِذۡ جَعَلۡنَا ٱلۡبَيۡتَ مَثَابَةٗ لِّلنَّاسِ وَأَمۡنٗا وَٱتَّخِذُواْ مِن مَّقَامِ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ مُصَلّٗى

“Dan ingatlah ketika kami menjadikan rumah (Baitullah) itu tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.”

(Al-Baqarah :125)

  1. Selalunya perselisihan yang berlaku di antara dua puak bangsa Arab akan berakhir dengan pertumpahan darah. Kemampuan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mendamaikan puak-puak berselisih adalah petanda kenabian Baginda. Orang Quraisy mempercayai percakapan Baginda dan menyanjung tinggi akhlak Baginda. Justeru itu mereka menggelar Baginda dengan gelaran “Al-Amin”.
  1. Selepas mereka mengakui kejujuran, kemampuan dan akhlak Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, sekiranya mereka enggan beriman dengan Baginda semasa kerasulan Baginda, maka ini membuktikan hasad dengki dan kedegilan mereka terhadap apa yang dibawa oleh Baginda.
  1. Pengiktibaran untuk penda’wah:
  • Penda’wah adalah orang yang memberi khidmat kepada manusia. Dia perlu terlibat dalam kerja-kerja kebajikan atau kerja-kerja yang mendatangkan kemaslahatan dalam masyarakat.
  • Penda’wah adalah pendamai dalam masyarakat. Buah fikirannya mendamaikan pihak-pihak yang berselisih. Ini akan membuka peluang da’wah yang besar.
  • Akhlak yang mulia, beramanah dan dipercayai adalah pra-syarat asas kepada kejayaan da’wah.

Rujukan:

  1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
  2. Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button