Kompetensi

Tajuk Pilihan PEMANTAPAN PENDAKWAH (11) – HAMASAH (KUAT SEMANGAT)

KUAT SEMANGAT

PENDAHULUAN

Orang beriman adalah mereka yang menjadikan redha Allah Subhanahuwata’ala sebagai tujuan tertinggi dalam kehidupan mereka dan ber­usaha keras untuk mencapai tujuan tersebut. Dalam al-Qur’an, Allah Subhanahuwata’ala menyebut mereka orang yang berjuang dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Golongan yang beriman mengabdikan hidup mereka untuk Allah Subhanahuwata’ala dan bersedia mengorbankan segala sesuatu yang mereka miliki, harta dan lain-lainnya, untuk mencari redha Allah Subhanahuwata’ala dan mendapatkan syurga-Nya. Orang ber­iman menyibukkan diri dan istiqamah walau dalam keadaan yang sangat berat sekalipun. Mereka meng­ucap­kan: Hasbunallah (cukuplah bagiku Allah).

Semangat yang dihasilkan oleh iman merupa­kan kekuatan yang dapat meningkatkan kemampuan fizik dan mental. Sehingga orang beriman menjalani setiap saat dalam hidup­nya dengan baik dan produktif. Semangat yang tumbuh kerana iman dan cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala memberikan kekuatan spiritual, daya tahan, kemahuan dan keberanian yang tinggi. Melalui kekuatan spiritual, orang beriman mampu mengatasi setiap kesulitan dan terus berusaha keras untuk menuju Allah Subhanahuwata’ala dalam apa jua situasi dan keadaan yang mereka hadapi.

APAKAH SEMANGAT?

Semangat  adalah perasaan yang sangat kuat yang dialami oleh seseorang. Namun, terdapat perbezaan antara konsep semangat di kalangan masyarakat umum dengan apa yang dibicarakan dalam al-Qur’an.

Semangat, dalam pengertian umum, digu­nakan untuk mengungkapkan minat yang mendalam, pengorbanan dan kegigihan untuk meraih sesuatu tujuan. Setiap orang mempunyai tujuan yang ingin diraih di sepanjang hidupnya.

Berbekalkan semangat, manusia berusaha untuk mencapai tujuan seperti menjadi kaya, memiliki kerjaya cemerlang, menjawat jawatan tinggi, mendapat penghormatan, menerima pujian, lulus cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat keuntungan dalam perniagaan.

Namun, semangat bagi sebahagian besar manusia, tidak dapat bertahan seumur hidup kerana ia tidak mempunyai landasan yang kuat. Mereka tiada matlamat khusus yang dapat memberikan kekuatan untuk mempertahankan semangat di sepanjang hayat.

Satu-satunya jenis manusia yang tidak pernah kehilangan semangat di sepanjang hidupnya ialah manusia beriman. Ini kerana sumber semangat mereka ialah keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Matlamat mereka ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, rahmat-Nya dan syurga-Nya.

KONSEP SEMANGAT BAGI MANUSIA JAHILIAH

Siapakah manusia Jahiliah?

Kebodohan (kejahilan) biasanya dita’rifkan sebagai tidak berpendidikan dan tidak berbudaya. Namun, orang bodoh yang sebenar ialah mereka yang jahil mengenali din Islam, mengenali kebesaran serta sifat-sifat Allah

Subhanahuwata’ala yang menciptakan mereka dan mengenali al-Qur’an yang telah diwahyu­kan untuk manusia. Allah Subhanahuwata’ala mendefinisikan orang bodoh dalam al-Qur’an:

Allah SWT berfirman:

لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَّآ أُنْذِرَ ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غٰفِلُونَ
“Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk nenek mereka  telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” (Ya-Sin 36: 6)

Oleh itu berdasarkan al-Qur’an – kelalaian, tidak mengetahui hakikat kehidupan dunia, tidak memahami hakikat kehidupan selepas kematian dan tidak mengenal Allah Subhanahuwata’ala adalah kebodohan yang sebenar. Akibatnya – kegembiraan, kebahagiaan dan semangat manusia yang jahil sedemikian didasarkan di atas keyakinan yang salah.

Orang Jahil Hanya Ber­semangat Tanpa Iman

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا  ۚ فَالْيَوْمَ نَنْسٰىهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَآءَ يَوْمِهِمْ هٰذَا وَمَا كَانُوا بِئَايٰتِنَا يَجْحَدُونَ
“(Allah berfirman: orang kafir itu ialah) orang yang menjadikan perkara-perkara din mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.” (A’raf 7: Ayat 51)

Sebagaimana ditunjukkan dalam ayat di atas, orang jahil tertipu oleh kehidupan dunia ini. Meski pun mereka tahu mengenai sifat kehidupan dunia yang singkat dan tidak sempurna, mereka lebih menyukai kehidupan sementara ini berbanding kehidupan abadi di akhirat. Mereka cenderung untuk memper­oleh kesenangan dunia dan ragu terhadap kehidupan akhirat. Mereka meyakini  dunia berada dalam jangkauan mereka sementara akhirat jauh sekali

Hakikat yang sebenar, kehidupan di dunia amat terbatas. Jangka masanya sangat singkat. Kehidup­an manusia, pada lazimnya, hanya enam atau tujuh puluh tahun sahaja. Separuh darinya dihabiskan semasa kanak-kanak dan usia lanjut. Umur manusia di dunia sangat pendek dibandingkan dengan umur abadi di akhirat.

Mungkin juga, sebelum mencapai usia enam atau tujuh puluh tahun, manusia menemui kematian kerana pelbagai alasan. Umur manusia, tanpa diduga-duga, mungkin tiba-tiba dicabut. Waktu itu, ia mendapati dirinya telah masuk ke dalam kehidupan abadi di akhirat, meskipun selama ini ia menganggapnya sangat jauh.

Dalam kehidupan seharian, manusia sering mengung­kapkan kefahaman mereka tentang sema­ngat. Sebagai contoh – untuk memperoleh diploma atau ijazah, seorang maha­sis­wa menenggelamkan diri­nya di tengah buku-buku selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Bahkan dia rela menghabiskan malam-malamnya tanpa tidur dan menghindari pergaulan. Dalam suasana sibuk belajar ini, dia menolak untuk melakukan pengorbanan bagi membantu seorang temannya yang di dalam kesusahan.  Ini kerana hal itu dianggap tidak memberikan apa-apa keuntungan duniawi atau peribadi. Islam menolak rupabentuk semangat seperti ini.

Oleh itu semangat manusia jahi­l hanya bergejolak apabila melihat atau memikirkan keuntungan dunia.  Semangatnya akan luntur apabila keuntungan dunia itu hilang.

SEMANGAT ORANG BERIMAN

Sumber Semangat Orang Beriman

Semangat  orang beriman sangatlah berbeza konsepnya dengan manusia  jahiliah. Sumber semangat manusia beriman ialah kecintaan dan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Mereka tidak terikat dengan permasalahan kehidupan duniawi sepertiman manusia jahiliah. Mereka hanya terikat dengan Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Pencipta. Mereka sedar bahawa Allah Subhanahuwata’ala, pada setiap saat, menjaga makhluk-Nya. Semua makhluk sentiasa bergantung kepada-Nya.

Di atas dasar cinta daffn ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, mereka berusaha keras untuk memperolehi keredhaan-Nya. Hasrat memperolehi redha Allah Subhanahuwata’ala merupakan dorongan terpenting  bagi sema­ngat orang beriman. Cita-cita mendapat syurga-Nya menjadi sumber tenaga bagi orang beriman.

Semangat Orang Beriman Tidak Pernah Padam

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ ءَامَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِx ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجٰهَدُوا بِأَمْوٰلِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ اللَّهِ  ۚ أُولٰٓئِكَ هُمُ الصّٰدِقُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).”(Al-Hujurat 49: Ayat 15)

Ayat ini menunjukkan bahawa sema­ngat orang beriman bersemayam dalam hati mereka. Perjuangan dan jihad mereka berlang­sung seumur hidup, tanpa ragu-ragu dan hanya bersandarkan kepada ke­iman­an Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya.

Faktor lain yang membuat semangat orang beriman tetap kuat dan segar adalah kerana rasa takut dan harapan yang tinggi di hati mereka. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَا تُفْسِدُوا فِى الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلٰحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا  ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”
Al-A’raf 7: Ayat 56)

Makna rasa ‘takut dan harap’ ialah:

Seorang yang beriman tidak pernah menganggap bahawa keredhaan Allah Subhanahuwata’ala kepadanya telah terpenuhi ( telah pun sempurna), Ia juga tidak mengandaikan bahawa akhlaknya telah sempurna sehingga layak dan terjamin untuk mendapat syurga Allah Subhanahuwata’ala. Bahkan hatinya sentiasa takut  akan hukuman Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu beliau terus-menerus berusaha menyem­pur­nakan akhlaknya. Dan, terus meneruskan mengharapkan redha Allah Subhanahuwata’ala.

Beliau akan terus bersemangat dan berusaha semaksima mungkin untuk memperoleh redha Allah Subhanahuwata’ala dan mendapatkan cinta-Nya. Pada hatinya terkandung sifat-sifat takut dan harap sekali gus. Beliau bekerja keras, tetapi tidak pernah merasakan usahanya mencukupi dan tidak pernah menganggap dirinya telah sempurna, sebagaimana dinyatakan dalam ayat-Nya:

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَآ أَمَرَ اللَّهُ بِهِۦٓ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوٓءَ الْحِسَابِ
“Dan orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Rabb mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat);” (Ar-Ra’d 13: Ayat 21)

Rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala menyebabkan mereka berwaspada dan menjauhi sifat lalai. Dan, rasa harap kepada Allah Subhanahuwata’ala menyebabkan mereka gembira akan janji syurga-Nya (atau khabar gembira) untuk orang yang beriman dan beramal soleh. Ini menyebabkan mereka bersemangat dan iltizam (komited) dengan ‘­amal Islami. Antara ayat Allah Subhanahuwata’ala yang menceritakan khabar gembira bagi orang beriman ialah:

Allah SWT berfirman:

وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ بِأَنَّ لَهُمْ مِّنَ اللَّهِ فَضْلًا كَبِيرًا
“Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari padsaAllah.”
(Al-Ahzab 33: Ayat 47)

Orang yang Bersemangat Tinggi Memilih yang Terbaik

Iman yang tulin dan tulus akan melahirkan semangat yang besar. Pemiliknya akan berlumba-lumba untuk bekerja dan memper­olehi redha Allah Subhanahuwata’ala. Dalam al-Qur’an dinyatakan bahawa mereka yang berusaha dan berjuang di jalan Allah Subhanahuwata’ala dengan harta dan diri mereka akan diberi darjat yang lebih baik dan lebih tinggi di sisi-Nya:

Allah SWT berfirman:

فَمِنْهُمْ مَّنْ ءَامَنَ بِهِۦ وَمِنْهُمْ مَّنْ صَدَّ عَنْهُ  ۚ وَكَفٰى بِجَهَنَّمَ سَعِيرًا
“Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada yang beriman kepada (apa yang telah di kurniakan oleh Allah kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu (menjadi tempat seksa mereka).” ( An-Nisa’ 4: Ayat 55)

Allah SWT berfirman lagi:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِئَايٰتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنٰهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ  ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
“Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa’ 4: Ayat 56)

Allah SWT berfirman:

لَّا يَسْتَوِى الْقٰعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِى الضَّرَرِ وَالْمُجٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوٰلِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ  ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجٰهِدِينَ بِأَمْوٰلِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقٰعِدِينَ دَرَجَةً  ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنٰى  ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجٰهِدِينَ عَلَى الْقٰعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman – selain daripada orang yang ada keuzuran – dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur), dengan pahala yang amat besar” (An-Nisa’ 4: Ayat 95)

Allah SWT berfirman:

دَرَجٰتٍ مِّنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً  ۚ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Iaitu beberapa darjat kelebihan kurniaan Nya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisa’ 4: Ayat 96

Mukmin yang mempunyai bersemangat tinggi akan melilih jalan jihad dan pengorbanan, kerana mereka inginkan darjat yang tinggi di sisi Allah Subhanahuwata’ala

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجٰهَدُوا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوٰلِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ  ۚ وَأُولٰٓئِكَ هُمُ الْفَآئِزُونَ
“(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya.” (At-Taubah 9: Ayat 20)

Suntingan bersama: Abu Husin & Khairul Azman

 

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Khairul Azman

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close