Home / ARTIKEL TERKINI / THAQAFAH / AL-QURAN / Tafsir Tematik / TAFSIR TEMATIK: TEMA 1 – IKHLAS

TAFSIR TEMATIK: TEMA 1 – IKHLAS

TEMA: IKHLAS 

Pendahuluan

Antara tajuk yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan yang sangat dititik beratkan adalah ikhlas. Banyak ayat yang menyebut perkataan al-ikhlas di dalam Al-Quran. Antaranya ialah:

1. Surah Az-Zumar (39), ayat 2.

 إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ
“Sesunggahnya Kami menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya.”

2. Surah Ghafir (40), ayat 14.

 فَٱدۡعُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ
“Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya meskipun orang kafir tidak menyukainya.”

3. Surah Al-Maa’uun (107), ayat 4-7.

فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ ٤ ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ ٥  ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ ٦ وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ
“Maka celakalah orang yang melakukan solat. Iaitu orang yang lalai dalam solatnya. Orang yang riyak. Orang  yang enggan memberikan bantuan.”

4. Surah Al-Anfal (8), ayat 47.

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيط
“Janganlah kamu seperti orang yang kelaur dari kampung halamannya dengan rasa angkuh dan ingin dipuji orang (riya’) serta menghalang-halang (orang) dari jalan Allah. Allah meliputi segala yang mereka kerjakan.”

Kosa Kata

1. بطرا : kezaliman atau keangkuhan

2. رئاء الناس : untuk dilihat manusia

Tafsiran Ayat

Allah memerintahkan kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan amalan-amalan soleh. Allah juga telah meletakkan syarat untuk menerima amalan-amalan tersebut. Pertama, amalan tersebut hendaklah bertepatan dengan hukum syariat Islam. Kedua, amalan tersebut perlu ikhlas semata-mata kerana Allah. Ayat sebelum ini telah menyatakan beberapa amalan yang mewajibkan ikhlas. Maka apakah maksud ikhlas? Bagaimana pula hendak menjadikan setiap amalan ikhlas kerana Allah?

Maksud Ikhlas

Maksudnya mengesakan Allah Ta’ala dalam niat dan fokus kepada-Nya semata-mata dalam segala amal/ibadah.

Di mana seorang muslim ketika hendak mempersembahkan ibadahnya, hendaklah tujuannya untuk mencari keredhaan Allah sahaja. Bukan mengharapkan pujian manusia dan kepentingan dunia seperti harta dan pangkat.

Ikhlas dalam setiap amalan terikat dengan niat yang membawa kepada kesan perbuatan tersebut. Oleh itu, setiap  muslim apabila berniat untuk melakukan sesuatu amalan, hendaklah menghadirkan rasa bahawa dia melakukan amalan itu adalah untuk diredhai Allah Ta’ala.

Ikhlas Dalam Perbuatan

Ayat-ayat di dalam Al-Quran telah membicarakan  tentang sebahagian amalan penting untuk seorang muslim menghadirkan rasa ikhlas kerana Allah apabila melaksanakannya. Antara amalan tersebut adalah seperti berikut:

1. Ibadah

Setiap perkara yang dilakukan hendaklah kerana Allah. Setiap muslim dituntut untuk ikhlas dalam beribadah kepada Allah, sebagai cara mematuhi perintah Allah yang diperintahkkan dengan benar di dalam kitab-Nya. Juga sebagai tanda terima kasih kepada-Nya di atas nikmat-nikmat-Nya yang tidak terperi dan terkira.

Firman Allah SWT:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ
“Sesunggahnya kami menurunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya.”

Ikhlas dalam ibadah bermaksud mengarahkan niat dan tujuan untuk mendekatkan diri dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Unsur ikhlas dalam hati sangat penting  untuk penerimaan ibadah di sisi Allah SWT.

2. Doa

Seorang mukmin menghadap Allah semata-mata dengan hati yang ikhlas, berdoa kepada-Nya dan tidak mengharapkan penerimaan melainkan daripada Allah SWT. Ikhlas ini merupakan asas penting agar Allah menerima doa hamba-Nya yang mukmin.

Firman Allah:

فَٱدۡعُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ 
“Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya meskipun orang kafir tidak menyukainya.”

Amalan ikhlas untuk berdoa kepada Allah merupakan amalan yang membuat orang kafir marah. Hal ini kerana, amalan itu adalah lambang keEsaan Allah SWT dan sebagai tanda membesarkan-Nya.

3. Jihad (Atau Berdakwah Atau Bekerja Untuk Memajukan Din/Agama Allah SWT)

Bagi seorang muslim berjihad adalah untuk mengharapkan redha Allah dan untuk   meninggikan kalimat-Nya. Allah telah melarang kita meyerupai orang kafir quraisy yang keluar dari kampung mereka ketika peperangan Badar, dengan angkuh dan sombong serta untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia. Mereka mahukan orang lain mendengar tentang mereka dan mengkagumi amal mereka. Allah Ta’ala telah menjelaskan perkara ini di dalam Al-Quran,

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ
“Janganlah kamu seperti orang yang kelaur dari kampung halamannya dengan rasa angkuh dan ingin dipuji orang (riya’).” (Surah Al-Anfal (8): 47)

Allah telah menganggap perbuatan orang musyrikin ini sebagai salah satu perkara yang menghalang di jalan Allah SWT.

وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ
“Serta menghalang-halang (orang) dari jalan Allah.”

Allah akan mengira amalan tersebut dan akan memberi balasannya.

وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ
“Allah meliputi segala yang mereka kerjakan.”

Rasulullah telah ditanya tentang lelaki yang keluar berjihad untuk menunjukkan keberanian, untuk memelihara negara dan untuk merebut pandangan manusia. Yang manakah dianggap berperang di jalan Allah? Lalu baginda menjawab, “Yang keluar untuk meninggikan kalimat Allah itulah yang dianggap berperang di Jalan Allah.” (Riwayat Muslim).

4. Ikhlas Dalam Setiap Urusan Din (Agama)

Ayat-ayat yang lalu telah menunjukkan bahawa ikhlas kepada Allah SWT ini perlulah diamalkan dalam setiap urusan din, meliputi dalam ibadah dan muamalat (pergaulan sehari-harian) serta dalam percakapan dan perbuatan. Allah Ta’ala berfirman:

فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ
“Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya.” (Az-Zumar : 2)

Firman-Nya lagi,

فَٱدۡعُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
“Maka sembahlah Allah dengan tulus ikhlas beragama dengan-Nya.” (Ghafir (40): 14) 

Makna daripada ayat ini adalah seorang muslim digalakkan menjadikan setiap apa yang dilakukan dan diperkatakan tentang agama perlulah ikhlas kerana Allah Tabaraka wa Ta’ala dan jauh daripada niat untuk menunjuk-nunjuk.

Peringatan/Amaran Tentang Riya’

Allah SWT telah mengancam mereka yang tidak ikhlas dalam amalan mereka. Sama ada dalam solat, dalam hubungan dengan manusia atau ketika memberikan bantuan kepada manusia. Ancaman yang diberikan adalah berbentuk Neraka Wail, dan azab dalam neraka jahanam.

Allah berfirman:
فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ ٤ ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ ٥  ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ ٦ وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ 
“Sesiapa yang ingin menunjuk-nunjuk dalam solatnya sehingga dia terlupa pergerakannya dan tidak mendirikan solat dengan kaedah yang betul, seumpama manusia yang terhalang daripada mendapat bekas air kerana tidak mengambil manfaat daripadanya. Semuanya akan diazab di dalam neraka.” (Al-Ma’un : 4-7) 

Dan sesiapa yang ingin menunjuk-nunjuk dalam solatnya sehingga terlupa dan tidak melakukannya seperti mana sepatutnya, mereka ini adalah seperti orang yang terhalang bekas air daripada manuisa sehingga tidak dapat mengambil manfaat daripadanya. Mereka semuanya akan diazab di dalam neraka.

Perbaharuilah Ikhlas

Kadang-kadang seseorang muslim memulakan amalannya dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah, tetapi ketika di pertengahan perlaksanaan amalannya, dia digoda oleh bisikan syaitan. Syaitan berusaha mengubah niat dan tujuan manusia sehinggalah amal tersebut dilaksanakan kerana riya’ atau mengharapkan pandangan manusia.

Nasihat untuk mukmin yang menghadapi situasi ini, agar ia sering memperbahrui niatnya segera dan memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada gangguan syaitan. Seterusnya memperbaharui azamnya untuk melaksanakan amalannya kerana Allah dan keredhaan-Nya.

Selain itu, orang mukmin juga terdedah dengan pujian yang banyak daripada manusia. Pujian ini adalah disebabkan amal soleh dan akhlaknya yang baik. Apabila dia melakukan sesuatu bukan berniat untuk mendapatkan pujian, maka tiada kesalahan baginya.

Bahkan pujian tersebut merupakan berita baik yang disegerakan  untuk orang mukmin sebagai tanda Allah menerima amalan mereka. Oleh itu, mereka bakal menerima ganjaran atas amalan tersebut. Namun, ditekankan sekali lagi bahawa orang muknin dilarang untuk melakukan amalan mereka dengan niat  untuk mendapat pujian manusia.

Pengajaran Daripada Ayat-Ayat Ini

1. Seorang muslim perlu mengikhlaskan setiap amalannya kerana Allah Taala.

2. Seorang muslim tidak melakukan sesuatu amalan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain tetapi dalam keadaan takut kepada Allah (jika tidak. Allah tidak menerima amal tersebut).

3. Seorang muslim mesti menjauhi sifat berbangga dalam amalannya kerana sifat tersebut merupakan sifat orang musyrik (orang yang menyekutukan Allah).

Soalan Pengukuhan:

1. Jelaskan maksud ikhlas.

2. Apakah syarat untuk Allah SWT menerima sesuatu amalan?

3. Sebutkan apa perkara yang ingin disampaikan daripada ayat berikut,
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ 

Bulatkan Jawapan Yang Betul:

1. Allah berfirman: وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ

Siapakah orang yang bersifat angkuh dan riya’ itu?

a. Musyrikin Quraisy.
b. Orang mukmin yang tidak ikhlas.
c. Orang munafik.
d. Orang Yahudi.

2. Allah mengancam orang yang melakukan sesuatu amalan untuk mengharapkan kemasyhuran dan pujian manusia dengan:

a. Duduk di antara syurga dan neraka.
b. Azab dalam neraka.
c. Kematian dan kehancuran sebelum melakukan amalan tersebut.
d. Sangat miskin di dunia.

3. Apabila seseorang muslim melakukan amalan, lalu dia dipuji oleh manusia, maka amalannya dianggap sebagai:

a. Diterima Allah jika bukan bertujuan amalan tersebut untuk mendapat pujian manusia.
b. Tidak diterima Allah kerana tidak harus mendapat pujian daripada manusia.
c. Sebahagian daripada perkara syirik iaitu syirik kecil.
d. Diterima Allah walaupun memang tujuannya untuk mendapat pujian manusia dan mengharapkan pujian tersebut.

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA,
Penerbit dan Nama Kitab Asal:

ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,

(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est).

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *