TAFSIR TEMATIK (BAB 1): PENGENALAN TAFSIR

PENDAHULUAN

Allah SWT menurunkan kitab-Nya (Al-Quran) kepada Saidina Muhammad SAW supaya baginda melaksanakan dan menyampaikannya serta menjelaskan isi kandungannya dan hukum-hakam yang terdapat dalamnya kepada manusia. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaksanakan tugas tersebut dengan sebaik-baiknya melalui percakapan dan perbuatan yang disebutkan sebagai Sunnah Nabi.

Walaubagaimanapun, Rasulullah SAW tidak menerangkan keseluruhan makna bagi keseluruhan ayat Al-Quran. Baginda meninggalkan tugas tersebut kepada para sahabat radiallahuanhum dan juga orang Islam yang datang selepas mereka. Tugas yang diberikan ialah agar bersungguh-sungguh menggunakan akal masing-masing dalam mentadabbur dan memahami isi Al-Quran.

Sesungguhnya para sahabat dan ulama tafsir telah mengerah tenaga dengan bersungguh-sungguh untuk berusaha memahami dan mentafsir Al-Quran.

Apakah makna tafsir Al-Quran dan apakah jenis-jenisnya?

Maksud Tafsir

Maksud tafsir dari segi bahasa: penjelasan dan menyingkap yang tertutup.

Maksud dari segi istilah: suatu ilmu untuk memahami kitab Allah SWT (wahyu) yang diturunkan  kepada Nabi Muhammad SAW. Ilmu tersebut adalah untuk menerangkan maknanya, mengeluarkan segala hikmah dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya.

Kaitan antara makna dari segi bahasa dan makna dari segi istilah sangat jelas. Iaitu, sesungguhnya ilmu tafsir berfungsi untuk menyingkap segala makna, dan hukum-hakam yang tidak mudah difahami oleh kebanyakan (pengetahuan) manusia.

Jenis-jenis Tafsir

Ada beberapa jenis tafsir Al-Quran, beberapa jenis aliran dan sudut pandang. Semua jenis tafsir tersebut tersusun secara asas di bawah dua jenis utama iaitu:

1. Tafsir Tahlili

Tafsir jenis ini mementingkan keterangan dalam konteks setiap ayat Al-Quran satu per satu. Juga menerangkan makna setiap lafaz dan setiap perkataan secara terperinci. Tafsir jenis inilah yang paling banyak disebarkan oleh para ulama. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai cara yang berbeza dalam mentafsirkan ayat Al-Quran.

Sebahagian daripada mereka mentafsirkan ayat dengan berpandukan hadis-hadis Nabi SAW dan kata-kata para sahabat nabi untuk menerangkan makna sesuatu ayat. Tafsir jenis ini dinamakan tafsir bil makthur.

Manakala sebahagian yang lain menumpukan penafsiran mereka kepada sudut gaya bahasa Al-Quran. Contohnya seperti Tafsir al-Zamakhsyari. Terdapat juga yang menumpukan penafsiran mereka kepada ayat-ayat yang mengandungi hukum syariat dan bidang-bidang lain. Tafsir jenis ini dinamakan tafsir bil rukyi.

Tafsir tahlili merupakan jenis yang paling penting sepanjang sejarah perkembangan ilmu Al-Quran. Oleh sebab itu, kebanyakan kitab tafsir terdiri daripada jenis tafsir tahlili. Al-Quran ditafsirkan secara terperinci dari sudut perkataannya dan ayatnya. Yang membezakannya adalah sudut-sudut yang difokuskan oleh pentafsir ketika kerja-kerja mentafsir sama ada dari sudut i’rabnya (analisis kedudukan perkataan arab) atau gaya bahasanya atau hukum-hakamnya.

Kitab Tafsir Tahlili yang Terkenal:

a. Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aaya al-Quran, tulisan Ibnu Jarir Al-Tabari. Kitab ini lebih dikenali sebagai, Tafsir al-Tabari.

b. Tafsir al-Quran al-Azim, tulisan Ibnu Kathir. Kitab ini dikenali sebagai, Tafsir Ibnu Kathir.

c. Al-Jami’ li ahkam al-Quran, tulisan Imam Al-Qurtubi. Kitab ini lebih dikenali sebagai, Tafsir al-Qurtubi. Dan banyak lagi kitab tafsir yang lain.

2. Tafsir al-Maudu’iy (Tematik/Bertema)

Tafsir jenis ini telah menggunakan salah satu daripada kaedah yang berikut:

a. Mengumpulkan ayat-ayat yang membincangkan tentang sesuatu tajuk di dalam Al-Quran. Namun tidak mengupas surah yang terkandung ayat tersebut. Kerana kaedah menumpukan kepada penerangan isi utama yang berkaitan dengan tajuk yang dikaji dan permasalahan yang dibincangkan dalam ayat yang terlibat.

Contohnya kajian tentang; ‘Penciptaan alam di dalam Al-Quran’, ‘Orang Munafik di dalam Al-Quran’, ‘Berbuat Baik kepada Ibu Bapa’, ‘Pertukaran Siang dan Malam’, dan lain-lain.

b. Kajian terhadap tema tertentu dalam sesebuah surah. Dengan cara membentuk tajuk yang menjadi perbincangan utama terhadap surah tersebut. Maka, kajian akan dijalankan seputar tajuk tersebut hanya daripada surah tersebut sahaja. Contohnya, ‘Kisah dakwah beriman kepada Allah daripada Surah Nuh.

Tafsir maudu’iy adalah tafsir yang baru sahaja diberi perhatian dan mula menjadi terkenal pada zaman kontemporari ini. Oleh sebab itu, penulisan tafsir jenis ini masih tidak banyak. Boleh juga kita anggap, penulisan tafsir ayat-ayat hukum pada zaman dahulu merupakan salah satu daripada bentuk tafsir maudu’iy. Kerana ulama telah mengumpulkan ayat-ayat berkenaan sesuatu hukum dalam sebuah perbincangan.

Buku Tafsir al-Maudu’iy Kontemporari yang Terkenal:

a. Fi Zilalil Quran, tulisan Ustaz Sayyid Qutub.

Kitab ini mengupas tentang tema utama atau beberapa tema bagi sesebuah surah. Seolah-olah beliau cuba untuk membahagikan ayat-ayat Al-Quran dalam surah itu kepada tema-tema tertentu yang akan dibincangkan kemudian di dalam kupasannya.

b. Al-Tafsir Al-Maudu’iy, tulisan Syeikh Muhammad Al-Ghazali.

Beliau mengupas tentang tema-tema bagi setiap surah dalam Al-Quran mengikut lingkungannya. Kemudian beinteraksi dengan sesebuah surah di bawah kesatuan tema yang sama.

c. Dirasat fi al-Quran al-Karim, tulisan Dr Muhammad Abdul Salam Abu Nil dan banyak lagi kitab yang lain.

Selain itu, terdapat banyak pelajar di peringkat tinggi dan juga pengkaji-pengkaji yang menulis kajian mereka tentang tema-tema tertentu yang terkandung di dalam Al-Quran. Misalnya tema ‘Syurga dan Neraka’, ‘Sirah Nabi’, ‘Golongan Munafik’ dan sebagainya. Kajian-kajian mereka ini termasuk di dalam jenis tafsir maudu’iy.

Kita akan pelajari lagi dalam bab seterusnya beberapa tajuk atau tema yang terdapat di dalam Al-Quran. Kaedahnya adalah dengan menelusuri sebahagian ayat yang membincangkan tentang tajuk tersebut melalui kaedah tafsir maudu’iy ini.

AKTIVITI:

Tuliskan tajuk yang sesuai, yang dibincangkan di dalam Surah An-Naba’.

PENILAIAN/LATIHAN:

1. Terangkan maksud tafsir dari sudut bahasa dan istilah.

2. Rasulullah SAW tidak mentafsirkan seluruh ayat Al-Quran, jelaskan hikmah perkara tersebut.

3. Bulatkan pada jawapan yang betul:

Tafsir tahlili menekankan tentang:
a. Pembahagian Al-Quran Al-Karim kepada tiga bahagian.
b. Tafsir Al-Quran yang berasaskan tajuk-tajuk surah tertentu.
c. Penerangan tentang makna perkataan-perkataan di dalam Al-Quran dan ayat-ayatnya secara terperinci.
d. Tafsir ayat Al-Quran yang mempunyai satu tajuk.

Tafsir al-Maudu’iy menekankan cara tafsir yang:
a. Ayat Al-Quran berdasarkan turutannya dalam surah.
b. Makna Al-Quran dan i’rab bahasa arabnya.
c. Ayat-ayat yang mempunyai kaitan dengan tema/tajuk tersebut.
d. Pembahagian Al-Quran kepada tiga puluh juzuk, setiap juzuk ada penerangannya yang tersendiri.

Kitab Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, tulisan Ibnu Kathir dianggap kitab tafsir:
a. Al-Tahlili.
b. Al-Maudu’iy yang khusus bagi setiap surah di dalam Al-Quran.
c. Al-Maudu’iy yang berkaitan dengan tajuk yang ditekankan oleh Al-Quran.
d. Menerangkan tentang hukum-hukum Al-Quran sahaja.

Kajian tentang ‘Penciptaan Manusia Menurut Perspektif Al-Quran’ dianggap sebagai tafsir:
a. Al-Tahlili.
b. Al-Maudu’iy.
c. Menerangkan hukum fikah.
d. Mengutamakan gaya bahasa dan i’rab bahasa Arab pada ayat.

 

Penterjemah: Muhammah ‘Izzat Ibrahim Shamjuddin
Penerbit dan Nama Kitab Asal:

ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Tafsir Al-Maudu’iy (Tafsir Tematik),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,

(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 6 – 10.

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *