Keperibadian

Pembantu-Pembantu Bagi Keikhlasan

1. Ilmu yang mantap

Ilmu yang diperlukan untuk menguatkan keikhlasan atau kemurnian hati ialah ilmu yang dapat menanamkan keyakinan tentang kepentingan ikhlas, fungsinya dalam kehidupan dan hasil yang dapat diperolehi di dunia dan akhirat. Ilmu ini membina keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata‘ala tidak menerima amalan kecuali disertai dengan ikhlas. Allah Subhanahuwata‘ala Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati. Dia melihat apa yang nyata dan tersembunyi. Tidak ada sesuatu pun yang terlepas daripada pengetahuan dan pengawasan-Nya, sebagaimana dikatakan oleh Ibrahim Alaihissalam:

رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعۡلَمُ مَا نُخۡفِي وَمَا نُعۡلِنُۗ وَمَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٣٨

Ya Rab kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan, dan tidak ada sesuatu yang tersembunyi bagi Allah, sama ada yang ada di bumi atau di langit

(Surah Ibrahim: 38)

Ikhlas akan dapat dipelihara dengan cara membaca dan mengamati Al-Quran serta sunnah yang membicarakan permasalahan ini. Dengan cara sedemikian seseorang itu akan dapat memahami bahaya riya’ dan bahaya gilakan kedudukan atau populariti. Pengetahuan tentang perkara ini akan membantunya membebaskan diri daripada dorongan kepentingan peribadi dan hawa nafsu.

Pengetahuan yang sampai ke peringkat yakin mampu mengawal ledakan emosi seperti cinta, suka, marah, takut dan sebagainya. Inilah proses untuk melahirkan akhlak rabbaniah sebagaimana dijelaskan oleh Al-Ghazali dalam Al-Ihya’ yang terangkai daripada tiga unsur: Ilmu, situasi dan amal (tindakan). Inilah yang diisyaratkan oleh Al-Quran:

وَلِيَعۡلَمَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤۡمِنُواْ بِهِۦ فَتُخۡبِتَ لَهُۥ قُلُوبُهُمۡۗ

Dan, agar orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawa al-Quran itulah yang hak daripada Rabmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepada-Nya

(Surah Al-Hajj:54)

Kata sambung dalam ayat ini menggunakan huruf ‘ف’ , bererti menunjukkan rentetan yang harus berurutan seperti berikut:

  1. Orang yang diberi ilmu mengetahui Al-Quran itu benar.
  2. Iman (yakin) kepada kebenaran al-Quran.
  3. Gerakan hati untuk tunduk (patuh).

2. Bersahabat dengan orang ikhlas 

Bersahabat, berurusan dan hiduplah bersama-sama dengan orangyang ikhlas agar dapat mengikuti, mengambil pelajaran dan mencontohi akhlak mereka.

Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam menggambarkan pengaruh persahabatan kepada peribadi seseorang:

إنَّما مثلُ الجليسِ الصَّالحِ والجليسِ السُّوءِ ، كحاملِ المِسكِ ونافخِ الكيرِ . فحاملُ المسكِ ، إمَّا أن يُحذِيَك ، وإمَّا أن تَبتاعَ منه ، وإمَّا أن تجِدَ منه ريحًا طيِّبةً . ونافخُ الكيرِ ، إمَّا أن يحرِقَ ثيابَك ، وإمَّا أن تجِدَ ريحًا خبيثةً

Perumpamaan teman baik dan teman buruk ialah seperti pembawa minyak wangi dan peniup tungku api tukang besi. Pembawa minyak wangi mungkin ia memberi kepadamu atau kamu membeli atau kamu mendapatkan bau harum daripadanya. Sedangkan peniup api tukang besi mungkin apinya membakar kainmu atau kamu mendapatkan bau busuk

(Riwayat Muslim)[1]

Kepentingan dan pengaruh persahabatan dijelaskan oleh Salman katanya, yang bermaksud:

Perumpamaan dua mu’min yang bersaudara ialah seperti dua tangan, yang satu membasuh yang lain. Tidaklah dua orang mu’min saling bertemu melainkan yang satu dilimpahi kebaikan oleh Allah terhadap yang lain

3. Membaca sejarah orang mukhlis 

Keikhlasan seseorang hamba Allah Subhanahuwata‘ala dapat diperelokkan dengan cara membaca sejarah orang mukhlisin untuk mengenali kehidupan dan mengikuti jejak langkah atau petunjuk mereka. Pembacaan ini adalah sebagai ‘pengganti’ di waktu ketiadaan orang mukhlis untuk dijadikan teman. Membaca boleh memberi kesan kepada pemikiran dan hati. Contoh orang mukhlisin dalam sejarah:

  1. Kisah tiga orang yang terjebak dalam gua.
  2. Kisah A’rabi yang tidak mahu harta rampasan yang diberikan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam kerana ia masuk Islam dan berjihad di jalan-Nya adalah untuk mati syahid. Memang benar, akhirnya ia mendapat syahid di jalan Allah Subhanahuwata‘ala.
  3. Peristiwa ‘Pemakai Cadar’ yang membuka benteng musuh sehingga tentera Islam mendapat kemenangan.

4. Mujahadah melawan nafsu

Mujahadah melawan nafsu, iaitu mengerahkan kehendak untuk memerangi hawa nafsu yang mendorong kepada keburukan, egoi dan keduniaan sehingga benar-benar ikhlas kepada Allah Subhanahuwata‘ala.

Perjuangan untuk ikhlas tidak ada noktah hentinya. Kita tidak boleh berputus asa menyerah diri kepada runtunan nafsu. Sebahagian ulama’ sangat benci kepada tiga perkara yang diucapkan oleh murid-muridnya:

  1. Saya tidak mampu – cara atasi ‘berusahalah!’.
  2. Saya tidak tahu – cara atasi ‘belajarlah!’.
  3. Mustahil – cara atasi ‘cubalah!’

Mujahadah melawan nafsu sangat sulit, berat dan mesti dilakukan oleh sesiapa yang menghendaki akhirat, terutama diperingkat awal seseorang mempelajari Islam. Inilah sunnatullah yang berlaku pada makhluk Allah, iaitu sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh pasti akan mendapatkannya. Janji Allah Subhanahuwata‘ala diberikan kepada orang yang mahu berusaha. Dia akan menunjukkan dan menerangi jalan-Nya, firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٦٩

Dan, orang yang bermujahadah di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan, sesungguhnya Allah benar-benar beserta dengan orang berbuat baik.

(Surah Al-Ankabut: 69)

Dalam sebuah hadits dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

المجاهدُ مَن جاهَد نفسَه في طاعةِ اللهِ

Mujahid adalah orang berjihad melawan hawa nafsunya kerana mentaati Allah.

(Riwayat Ibn Hibban)[2]

5. Berdoa dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata‘ala

Doa adalah senjata utama bagi mu’min dalam menjalani kehidupan. Hanya daripada Allah Subhanahuwata‘ala-lah datang pertolongan dan bantuan. Kepada-Nya-lah dikembalikan semua urusan. Ini diajar oleh Allah Subhanahuwata‘ala berulang-ulang kali kepada kita (dalam surah al-Fatihah):

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥

Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.

(Surah Al-Fatihah: 5)

Dalam sebuah hadits sahih disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

لا تعجِزوا في الدُّعاءِ فإنَّه لنْ يهلِكَ مع الدُّعاءِ أحَدٌ

Jangan merasa lemah dari berdoa kerana tidak akan lemah seseorang apabila bersama doa

(Riwayat Ibn Hibban)[3]

Rujukan:

Kertas kerja Haji Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS, (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

[1] Sahih Muslim, no.hadits: 2628

[2] Sahih Ibn Hibban, no.hadits: 4862

[3] Sahih Ibn Hibban, no.hadits: 871

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button