Kompetensi

Tajuk Pilihan Pemantapan Pendakwah (8) – Bersifat Berani (Syaja’ah)

MUQADDIMAH

Syaja’ah adalah keberanian yang didasari dengan ilmu dan pertimbangan matang yang bertujuan untuk meraih keredhaan Allah. Syaja’ah lahir daripada hati yang beriman dan yakin sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala serta optimis terhadap masa depan din-Nya.

Secara manusiawi, setiap orang mempunyai sifat khauf (takut) sebagai lawan kepada sifat asy-syaja’ah (berani). Sifat khauf tabi’i yang diadakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam diri manusia berfungsi sebagai makanisma pertahanan diri seperti takut kepada kebakaran, tenggelam dan binatang buas. Bagi orang beriman seharusnya takutnya itu berada di bawah khauf syar’i yakni takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sebagai contohnya dalam kisah Nabi Ibrahim ’Alaihissalam ketika berhadapan dengan ancaman api yang didatangkan oleh musuh-musuhnya. Rasa takut tabi’i (khauf tabi’i) beliau terhadap api teratasi oleh takut syar’i (khauf syar’i), yakni takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Maka dengan kehendak-Nya, api itu menjadi sejuk dan menyelamatkan Nabi Ibrahim ’Alaihissalam.

Keberanian adalah satu sifat yang diperlukan untuk membolehkan seseorang itu istiqamah di atas jalan Allah Subhanahuwata’ala. Sebagai contohnya, keberanian orang beriman dalam peristiwa ash-habul ukhdud demi mempertahankan iman mereka walaupun nyawa menjadi taruhan (sepertimana yang dikisahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala  dalam surah al-Buruj)

CONTOH KEBERANIAN DALAM PERJUANGAN PARA SAHABAT RADHIALLAHU’ANHUM

1. Keberanian Mengiklankan KeIslaman ( Berkaitan latar belakang penurunan ayat 33 surah Fushilat)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَنۡ اَحۡسَنُ قَوۡلًا مِّمَّنۡ دَعَاۤ اِلَى اللّٰهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَّقَالَ اِنَّنِىۡ مِنَ الۡمُسۡلِمِيۡنَ
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya Aku termasuk orang yang menyerah diri?”. (Fushilat : 33)

Ayat ini diturunkan di Makkah pada ketika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat menghadapi tekanan dan kekejaman daripada masyarakat Makkah. Tidak mudah bagi seseorang muslim, dalam suasana seperti ini, untuk  mengumum atau mengistiharkan diri sebagai seorang muslim (atau muslimah). Perbuatan seperti ini umpama menjemput binatang buas untuk menerkam diri sendiri.

Namun apa yang dapat difahami daripada ayat di atas, para sahabat dikehendaki bersikap berani dan tahan dalam rangka mengistiharkan diri sebagai seorang muslim di tengah-tengah khalayak masyarakat Arab yang sangat kejam pada masa itu.

Ayat ini juga menyeru para muslimin untuk mengajak atau berdakwah manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu seorang pandakwah mestilah bersifat berani dan tahan.

2. Kesyahidan Hanzalah Radhiallahu’anhu

Ketika peperangan uhud bermula, Hanzalah Radhiallahu’anhu baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dan tidak sempat menyertai peperangan di peringkat awal. Pada ketika beliau mendapat berita kekalahan tentera-tentera muslimin, beliau baru selesai bersama-sama isterinya dan belum sempat mandi janabah. Beliau menangguhkan mandi janabah, lalu mencapai pedangnya lantas meluru ke medan perang. Beliau menyerbu masuk ke dalam barisan musuh yang sesak dan berperang sehinggalah beliau syahid.

Disebabkan para sahabat tidak mengetahui bahawa beliau perlu dimandikan terlebih dahulu (kerana janabah), maka  para sahabat terus bersiap-siap untuk mengkebumikan jenazah hanzalah. Ketika jasad beliau akan dikebumikan, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (bermaksud):
“Aku melihat para malaikat sedang memandikan mayat Hanzalah”.

Abu Sa’id Sa’adi Radhiallahu’anhu berkata:
“Apabila sahaja aku mendengar sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ini, terus sahaja aku ke tempat Hanzalah dan kelihatan pada wajahnya titik-titik air jatuh melalui rambutnya”.

Kisah ini menggambarkan keberanian dan keperwiraan yang ada pada para sahabat. Seorang yang bersifat berani menyebabkan ia tidak rela menangguh-nangguhkan tindakan dan tanggungjawabnya.

PANDANGAN IMAM HASAN AL BANNA MENGENAI SYAJA’AH

Ustaz Hasan Al-Banna (dalam Risalah Hal Nahnu Qaumun ‘Amaliyun) telah menetapkan sifat berani sebagai salah satu daripada ciri-ciri orang yang dicalonkan untuk bergabung dengan dakwah:
“Saya berterus-terang kepada putera-putera Islam yang memiliki ghairah, bahawa setiap jamaah Islam pada masa ini sangat memerlukan: peribadi aktivis (‘amil), pemikir (mufakkir), pemberani (jari’) dan produktif (muntij).’

Sifat berani akan membuatkan pekerja-pekerja atau pendakwah-pendakwah Islam berani untuk berhadapan dengan risiko dan tidak takut melakukan kesilapan. Mereka akan tetap melakukan kerja-kerja Islam walaupun mungkin akan melakukan kesilapan. Mereka sanggup menerima risiko kerana mereka ingin memperbaiki dan meningkatkan kerja-kerja mereka.

Manakala di dalam Risalah Ta’alim, Imam Hasan Al Banna menyatakan dalam wajibat  yang ke lapan (bermaksud):
“Hendaklah anda berani, bersedia memikul bebanan. Semulia-mulia keberanian ialah berterus-terang dengan perkara yang haq, (sanggup) menyimpan rahsia, (berani) mengakui kesilapan sendiri, menginsafi diri dan mengawal diri ketika marah”.

PEMACU KEBERANIAN 

1. Iman Dengan Yang Ghaib (Al Iman Bil Ghaib)

Yakin kepada pertolongan Allah Subhanahuwata’ala dan para malaikat sentiasa membantu orang memperjuangkan din Allah Subhanahuwata’ala, serta yakin bahawa kebahagiaan di akhirat ditentukan oleh amal di dunia, khususnya amal dakwah.

Keyakinan kepada yang ghaib mampu membendung rasa takut dalam diri, kerana semua yang terjadi dalam hidup ini telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala (merupakan taqdir Allah Subhanahuwata’ala). Buah keyakinan seperti inilah yang telah diperlihatkan oleh Abu A’la Al-Maududi apabila beliau diminta meminta menarik balik keyakinannya (kenyataannya) bahawa ajaran Qadiani adalah sesat supaya hukuman mati yang telah dikenakan ke atasnya ditarik balik. Namun beliau menyatakan:
“Jika Allah menghendaki nyawaku kerana mempertahankan keyakinanku, aku redha dengan ketentuan-Nya.”

Inilah buah daripada tarbiah yang menanamkan rasa takut hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan sentiasa bergantung kepada-Nya. Keyakinan ini menyebabkan da’i mempunyai pegangan amat kuat yang menyebabkannya tidak akan undur apabila berhadapan dengan cubaan dan rintangan di jalan dakwah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengingatkan Abu Bakr akan keyakinan kepada Rabbul ‘Izzati ketika mana orang kafir sudah berada dipermukaan pintu Gua Thur untuk membunuh baginda. Abu Bakar cemas kerana bimbang keselamatan baginda, tetapi baginda mengingatkan:
“Wahai Abu Bakr, apakah kamu mengira kita di sini hanya berdua. Tidak, kita bertiga, jangan takut dan gentar, Allah bersama kita”

Da’i ilallah tidak boleh lalai untuk selalu berinteraksi dengan Allah Subhanahuwata’ala supaya dikuatkan jiwa dalam perjuangan da’wah. Hakikatnya, kemenangan perjuangan dakwah bukan ditentukan oleh kekuatan kebendaan, tetapi bergantung kepada kekuatan hubungan dengan Yang Maha Perkasa.

2. Menguasai Rasa Takut (al-Mujahadah ala al-Khauf)

Rasa takut adalah sifat tabi’i manusia. ’Amilin dakwah mestilah berusaha untuk menaklukkan rasa takutnya supaya berada di bawah khauf syar’i iaitu rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala. Kejayaan mengalahkan rasa takut tabi’i dan kejayaan meletakkannya di bawah rasa takut kepada Rabbul ’Izzati akan memampukan da’i merasa ringan dalam perjuangan dan tidak bersifat maju-mundur (teragak-agak). Sabda baginda:

مَنْ خَافَ أدْلَجَ بَلَغَ المَنزِلَِ اَلاَ اِنَّ سِلْعَةَ اللهِ غَالِيَةُ ألاَ اِنَّ سِلْعَةَ اللهِ الجَنَّةً
“Barangsiapa yang takut kepada Allah tentu ia tidak akan maju-mundur. Barangsiapa yang tidak maju-mundur tentu akan sampai ke tempat tujuannya. Ingatlah bahawa barang dagangan Allah itu mahal, ingatlah bahawa barang dagangan Allah itu adalah syurga!” (Hadits Riwayat Tirmizi dan Hakim)

Para Nabi dan Rasul Allah Subhanahuwata’ala telah berjaya mengatasi rasa takut tabi’i apabila mereka bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala. Nabi Musa merasa takut tenggelam apabila berhadapan dengan hamparan Laut Merah dan Nabi Ibrahim juga merasa takut apabila beliau akan dihumban ke dalam kawah api yang sedang membuak-buak. Namun dengan menyerahkan rasa takut dan hanya bergantung kepada Allah Subhanahuwata’ala, semuanya menjadi mudah (dengan izin-Nya).

Umar Tilmisani berjaya mengusir rasa takut murid-muridnya sewaktu mereka meminta keringanan setelah berhadapan dengan ujian yang sangat berat. Umar Tilmisani menyatakan:
“Wahai murid-muridku, musuh Allah itu boleh melakukan apa sahaja ke atas kita. Mereka boleh mencincang kita, mereka juga boleh menggantung kita, mereka juga boleh membunuh kita. Namun ada perkara yang kamu mesti yakin bahawa mereka tidak akan pernah dapat melakukannya di tempat yang tidak ada Allah. Pasti Allah bersama kamu dalam berbagai keadaan.”

Semestinya da’i illallah sentiasa menundukkan rasa takut insaniyah kepada rasa takut syar’i. Sehinggalah tertanam dalam jiwanya hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala dan tidak merasa gentar dengan kekuatan-kekuatan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3. Mewariskan Perkara Terbaik (Taurist al-Khairiyah)

Da’i perlu mewariskan kepada generasi berikutnya suatu warisan kemuliaan. Agar mereka mengikuti jejak generasi pendahulu. Untuk menjadikan generasi sesudah kita berani, maka wariskanlah sifat berani kepada mereka.

Abu A’la al-Maududi menegaskan untuk mewariskan keturunan dan generasi lebih baik, maka jangan lakukan sifat-sifat yang rendah dan lemah. Allah Subhanahuwata’ala telah mengingatkan supaya kita  memberi perhatian kepada  generasi berikutnya dengan cara mewariskan kepada mereka nilai-nilai dhawabith khairiyah:

Firman Allah swt :

وَلۡيَخۡشَ الَّذِيۡنَ لَوۡ تَرَكُوۡا مِنۡ خَلۡفِهِمۡ ذُرِّيَّةً ضِعٰفًا خَافُوۡا عَلَيۡهِمۡ فَلۡيَتَّقُوا اللّٰهَ وَلۡيَقُوۡلُوا قَوۡلًا سَدِيۡدًا‏
Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang dhaif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul.” (An-Nisa’ : 9)

4. Bersabar Dalam Ketaatan (as-Shabru ala ath-Tho’ah)

Sabar akan memampu kita berada di atas jalan dakwah dengan gagah berani. Di samping itu, sentiasa bercontohkan generasi dahulu yang lebih berani dan berdepan dengan cubaan yang lebih besar berbanding dengan apa yang kita hadapi. Contohnya, telah berlaku dalam sirah, Khabbab al-Arts mengeluh kerana beratnya penderitaan yang dialaminya. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menasihati dan mengingatkan beliau bahawa perjuangan para nabi dan orang soleh terdahulu adalah jauh lebih berat, namun mereka tetap berani dan tabah.

Bekalan sabar hendaklah sentiasa mencukupi, bahkan perlu ditambah. Ia tidak boleh berada dalam keadaan defisit. Kesabaran yang kuat akan menjadi senjata untuk menyelamatkan diri atas cubaan-cubaan yang berat. Allah Subhanahuwata’ala mengingatkan para mukminin supaya bersabar dan menguatkan kesabaran:

يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوا اصۡبِرُوۡا وَصَابِرُوۡا وَرَابِطُوۡا وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُوۡنَ‏
“Hai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Ali Imran: 200)

5. Berharap Balasan Allah Subhanahuwata’ala (Al-Arju munallah)

Seorang mukmin memikul tanggungjawab dakwah ini dengan berani, disebabkan beliau mengharapkan balasan besar daripada Allah Subhanahuwata’ala. Balasan yang dijanjikan oleh Allah Subhanahuwata’ala akan meminimakan rasa takut kepada ancaman dalam memperjuangkan dakwah. Rasa takut akan segera berlalu, bila mengingatkan ganjaran yang dijanjikan itu jauh lebih besar daripada penderitaan yang sedang dialami. Oleh itu balasan Allah Subhanahuwata’ala hendaklah sentiasa berada di kelopak mata para da’i.

اِنَّ الَّذِيۡنَ قَالُوۡا رَبُّنَا اللّٰهُ ثُمَّ اسۡتَقَامُوۡا تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ الۡمَلٰٓٮِٕكَةُ اَلَّا تَخَافُوۡا وَلَا تَحۡزَنُوۡا وَاَبۡشِرُوۡا بِالۡجَـنَّةِ الَّتِىۡ كُنۡتُمۡ تُوۡعَدُوۡنَ
نَحۡنُ اَوۡلِيٰٓـؤُکُمۡ فِى الۡحَيٰوةِ الدُّنۡيَا وَفِى الۡاٰخِرَةِ ۚ وَلَـكُمۡ فِيۡهَا مَا تَشۡتَهِىۡۤ اَنۡفُسُكُمۡ وَلَـكُمۡ فِيۡهَا مَا تَدَّعُوۡنَ ؕ
نُزُلًا مِّنۡ غَفُوۡرٍ رَّحِيۡمٍ
Sesungguhnya orang yang mengatakan: “Rabb kami ialah Allah”, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka ( dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) daripada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Fushilat : 30-32)

Apabila balasan yang dijanjikan sntiasa terngiang-ngiang dalam dalam pemikiran dan ingatan da’i, maka tidak ada alasan untuk rasa takut dan pengecut. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengingatkan kepada Abdullah bin Harits yang ingin masuk Islam, tetapi mengemukakan dua syarat: Pertama – tidak dibebankan dengan infaq kerana ia orang paling miskin dalam kabilahnya, kedua – tidak diwajibkan berjihad kerana dia seorang yang penakut. Nabi Sallallahu’alaihiwasallam menjawab:
“Wahai Abdullah, bila itu syarat kamu, dengan apa kamu akan masuk syurga?”

Lantas kata Abdullah: “Kalau begitu ya Rasulullah, aku akan berinfaq dan berjihad di jalan Allah”

CIRI-CIRI ORANG BERANI

Ciri-ciri orang berani ialah:

1. Memiliki Daya Tahan yang Tinggi (Quwwatul Ihtimal)

Seorang yang berani memiliki daya tahan yang tinggi untuk menghadapi kesulitan dan penderitaan. Ini kerana ia yakin bahawa ia berada di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

2. Berterus Terang dengan Kebenaran (As Syarahah fi al-Haq)

Seorang yang berani akan melaksana jihad bil lisan dengan benar. Beliau sanggup menanggung risiko dalam memperkatakan kebenaran. Beliau memperkatakan kebenaran meskipun pahit atau ketika berhadapan dengan penguasa yang zalim.

3. Berkemampuan Menyimpan Rahsia (Kitmanu Sirri)

Seorang yang berani akan bekerja dengan baik, cermat dan penuh perhitungan terutamanya dalam mengadakan persiapan-persiapan menghadapi musuh. Dia sanggup menyimpan rahsia dalam perencanaan dan strategi kerja-kerjanya.

4. Mengakui Kesalahan (Al-‘Itiraf bil Khatha’i)

Salah satu sifat seorang pengecut ialah tidak berani mengakui kesalahan, berselindung di sebalik ‘kambing hitam’ dan bersikap ‘lempar batu, sembunyi tangan’. Manakala seorang yang berani bersedia mengakui kesalahannya dalam rangka memperbaiki dirinya.

5. Mampu Menahan Marah (Milkun Nafsi ‘inda al-Ghadhabi)

Salah satu sifat orang yang bertaqwa ialah mampu menahan amarah dan memaafkan kesalahan orang lain. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

الَّذِيۡنَ يُنۡفِقُوۡنَ فِى السَّرَّآءِ وَالضَّرَّآءِ وَالۡكٰظِمِيۡنَ الۡغَيۡظَ وَالۡعَافِيۡنَ عَنِ النَّاسِ‌ؕ وَاللّٰهُ يُحِبُّ الۡمُحۡسِنِيۡنَ‌ۚ
“Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat kebajikan.”  (Ali-Imran : 134)

Orang yang disebut sebagai kuat ialah orang yang dapat menahan marahnya dan tetap dapat mengendalikan nafsunya ketika marah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Bukanlah kuat itu orang yang dapat mengalahkan musuh, tetapi orang kuat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika marah” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

6. Bersikap Realistik Terhadap Diri Sendiri (Al-Inshaf Minadz Dzati)

Ada orang yang terlampau yakin dengan diri sehingga menganggap dirinya baik, hebat dan tiada kekurangan. Ada pula orang yang lemah keyakinan diri sehingga menganggap dirinya bodoh, tidak mampu dan tiada apa-apa kelebihan. Manakala seorang yang berani akan bersikap realistik terhadap diri sendiri dan yakin akan dirinya seadanya.

Sifat-sifat yang berlawanan dengan ciri-ciri di atas seperti tidak bersedia menanggung beban, berdiam diri daripada perkara haq, membocorkan rahsia, berkekalan dalam kesalahan serta tidak mengakui kesalahan, tidak menginsafi diri dan tidak membuang marah, maka sifat-sifat ini boleh memusnahkan sesuatu pekerjaan, menimbulkan perpecahan, pergaduhan, kegagalan dan perpecahan barisan.

UNTUK MENJADI BERANI, BERSIHKAN JIWA DARIPADA AL-’UQDAH ADZDZANIYYAH (TRAUMA PERSEPSI)

Ustaz Hilmi Aminuddin, Ketua Majlis Syura PKS, dalam buku Menghilangkan Trauma Persepsi, menjelaskan bahawa seseorang kader kepimpinan perlu membersihkan diri daripada paradigma-paradigma pemikiran lama.

Yang pertama harus dilakukan ialah membebas dan melepaskan diri daripada trauma persepsi yang diakibatkan oleh penindasan, kekangan, penderitaan dan himpitan yang panjang dalam aspek ekonomi, politik, sosial dan budaya.

Al-’Uqdah Adzdzaniyyah (Trauma Persepsi) boleh membawa kepada trauma jiwa dan pemikiran. Terdapat 7 trauma persepsi yang perlu dibersihkan:

1. Trauma Persepsi Selalu Kalah Dalam Pertarungan (al-’Uqdah al-Inhizamiyah)

Orang beriman sewajarnya memahami potensi dirinya yang tinggi. Juga memahami matlamat  dan tanggungjawabnya yang besar. Kemenangan adalah milik Allah Subhanahuwata’ala dan dijanjikannya untuk para mukminin.

Pekerja Islam perlu dikobarkan semangat tahqiqul intisyaraat (kemenangan dijanjikan Allah Subhanahuwata’ala).  Jika ia gagal, maka kegagalannya adalah kerana kemenangan ditangguhkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

2. Trauma Persepsi Kita Terus Menerus Menjadi Sasaran (al-’Uqdah al-Istihdafiyah)

Yakni merasai sentiasa menjadi sasaran dan dikepung. Akhirnya seseorang itu tidak bersifat ofensif tapi hanya bersifat defensif. Dia hanya memegang perisai dan tidak dapat menyerang. Pada hal musuh-musuh Islam menyerangnya terus menerus.

Lebih menyedihkan, ada yang meninggalkan dakwah kerana trauma ini.

3. Merasai Orang Lain Sedang Berkomplot Melawan Kita (al-’Uqdah al-Muamaratiyah)

Yakni kerap beranggapan musuh-musuh sedang berkumpul untuk menyerang. Pada hal belum tentu perkara sedemikian berlaku. Al-Quran mengingatkan kita:

لَا يُقَاتِلُوۡنَكُمۡ جَمِيۡعًا اِلَّا فِىۡ قُرًى مُّحَصَّنَةٍ اَوۡ مِنۡ وَّرَآءِ جُدُرٍؕ بَاۡسُهُمۡ بَيۡنَهُمۡ شَدِيۡدٌ ‌ؕ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيۡعًا وَّقُلُوۡبُهُمۡ شَتّٰى‌ؕ ذٰلِكَ بِاَنَّهُمۡ قَوۡمٌ لَّا يَعۡقِلُوۡنَ‌ۚ‏ ‌ۚ
“(Orang Yahudi dan orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras, engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka). (Al-Hasyr : 14)

Akibat menyangka musuh-musuh sedang berkonspirasi di sekelilingnya, maka seseorang itu menjadi takut, membataskan dakwahnya dan menghadkan interaksinya dengan manusia.

Trauma Kita Mundur (al-’Uqdah arraji’iyah)

Yakni terlalu merasakan bahawa kita ini orang baru, belum berilmu, belum berpengalaman dan belum memiliki profesyen yang stabil. Juga merasakan ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial. Padahal kita diperintahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya supaya wasari’u, fastabiqul khairat. Kita disuruh bermusara’ah meraih kebajikan. Kita diperintahkan berlumba, bersaing dan berpacu ke depan untuk berada di barisan hadapan dalam beramal.

Trauma Pesepsi Berfikiran Negatif (al-’Uqdah Salbiyah)

Mereka yang memiliki trauma ini tidak mempunyai pandangan yang positif (ijabiyah ru’yah) untuk berkembang dan maju. Trauma ini menyebabkan tidak bersyukur dengan apa yang ada. Ia tidak bersyukur nikmat Allah Subhanahuwata’ala (lam yasykurillah). Ia tidak boleh menerima kekurangan.

Sebenarnya kita adalah jama’ah manusia bukan malaikat – yang ada kekurangan dan ada kelebihan di sana sini. Apa yang penting kita laksanakan tawashau bilhaq, tawashau bish-sabr, tawashau bil marhamah. Tangan-tangan marhamah di kalangan orang beriman harus membantu saudara-saudara mereka yang kekurangan.

Trauma Persepsi Mahukan Perfectionist (al-’Uqdah al-Kamaliyah)

Trauma ini menyebabkan seseorang itu merasai serba kekurangan. Lebih parah lagi trauma merebak dan menuntut kesempurnaan daripada orang lain. Tidak mungkin kita dapat menuntut kesempurnaan (perfect) daripada manusia yang tidak sempurna.

Kita sememangnya perlu memelihara cita-cita dan semangat yang inginkan kesempurnaan. Tetapi kesempurnaan pada kadar manusia, bukan pada kadar malaikat. Kita membawa imej muslim yang memahami tabi’at-tabi’at manusia, bukan ‘imej malaikat’.

Trauma Persepsi Hanya Mahu Mengikut (Tidak Kreatif) (al-’Uqdah attaba’iyah).

Trauma ini menyebabkan seseorang itu mengikut membabi buta. Maka terbantutlah potensi atau bakatnya. Ia juga menghalang seseorang itu daripada untuk menerokai penemuan-penemuan baru dalam  medan amal Islami yang luas.

Untuk merealisasikan sifat berani, seorang pekerja Islam perlu membersihkan jiwa daripada al-’Uqdah Adzdzaniyyah (Trauma Persepsi) seperti yang dinyatakan di atas.

PENUTUP

Sifat berani adalah salah satu tanda kekuatan iman. Oleh itu pekerja Islam mestilah terus mendidik hatinya agar mantap imannya seperti yakin sepenuhnya akan janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Dengan mantapnya iman, maka sifat berani akan terus wujud pada diri orang yang beriman meskipun berhadapan dengan tanggungjawab dan cabaran yang besar.

Rujukan:

  1. Risalah Ta’alim, Hassan Al-Banna
  2. Fi Afaq Risalah Ta’alim, Ustaz Said Hawa
  3. Pilar-Pilar Kebangkitan Umat, Prof. Dr. Abdul Hamid Al Ghazali
  4. Menghilangkan Trauma Persepsi, Ustaz Hilmi Aminuddin, Ketua Majlis Syura PKS.
  5. Himpunan (II) Kertas Kerja Sahabat US Mac 1994
  6. Referensi Pelengkap Madah Tarbiyah (PKS).
  7. Madah Ta’lim Program TEKAD (DPP PKS)

AH & CD/Julai08

Suntingan bersama:
1. Ali Ahmad Foudzi
2. Abu Husin

 

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close