KEPELBAGAIAN SISTEM DALAM ISLAM (3):
Konsep Asas Sistem NEGARA

ISLAM sangat mengambil berat pembentukan negara kerana ia adalah usaha bersepadu yang tersusun untuk kepentingan setiap muslim, bertujuan meninggikan kalimah Allah SWT dan memastikan kesempurnaan Islam ditegakkan di muka bumi. Ia juga mampu memudahkan manusia beribadah kepada Allah SWT dengan bebas, aman dan selamat dalam semua aspek kehidupan.

Rasulullah SAW adalah orang pertama yang mendirikan negara Islam di Madinah al-Munawwarah, seterusnya menjadi pemimpin pertama negara Islam. Kemudian, ia diteruskan oleh para khalifah selepasnya untuk melebarkan binaan Islam, membawa risalah dan melaksanakan amanah.

Definisi Negara

Negara adalah gabungan sekumpulan individu yang hidup menetap dan tinggal di suatu kawasan di muka bumi. Mereka mempunyai pemerintahan yang mengurus dan mentadbir urusan mereka.

Jika dilihat kepada sirah, kita boleh dapati bahawa kaum muslimin bergabung di Madinah al-Munawarah selepas hijrah, seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera dan bersatu di bawah pemerintahan Rasulullah SAW. Baginda SAW telah menggubal suatu perlembagaan yang menyusun urusan mereka, membina masjid untuk urusan kemasyarakatan seperti bersolat dan bermesyuarat, serta mendirikan pasar untuk keperluan kehidupan mereka.

Rukun Bagi Sebuah Negara Islam

Sebuah negara tidak akan terbina melainkan dengan tiga rukun utama ini iaitu; rakyat, bumi/ tanah dan kuasa. Penjelasan setiap rukun negara Islam adalah seperti berikut:

Rukun Pertama: Rakyat

Maksud rakyat adalah sekumpulan individu yang bergabung bersama-sama. Mereka mempunyai tujuan, maslahah yang sama dan menetap secara kekal di suatu kawasan di muka bumi. Rakyat sesebuah negara Islam terdiri daripada dua kumpulan iaitu:

1. Kaum muslimin

Mereka mewakili sebahagian besar penduduk negara, iaitu orang yang reda Islam sebagai akidah, syariat dan sistem hidup tanpa mengira jantina, warna kulit dan bangsa. Sesiapa yang mewar-warkan keislaman mereka kemudian masuk ke dalam negara Islam, maka dia akan menjadi rakyat di negara tersebut, dia perlu tunduk kepada kuasa dan bertanggungjawab mempertahankan negara.

2. Bukan muslim

Mereka adalah orang yang bersetuju untuk menetap di negara Islam tanpa memasuki agama Islam. Islam telah membenarkan mereka tinggal secara kekal bersama-sama dengan kaum muslimin, tanpa memaksa mereka memasuki Islam. Firman Allah SWT:

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّيْنِ
Tiada paksaan dalam din (agama Islam). [al-Baqarah: 256].

Mereka tunduk kepada pemerintahan Islam, bersetuju dan taat dengan kewajipan dari kontrak yang telah diberi nama dengan (عقد الذمة). Justeru, negara bertanggungjawab menjaga dan memastikan keamanan  hidup mereka, sama seperti kaum muslimin. Diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali bin Abu Talib RA, kata-katanya mengenai orang bukan Islam:

لَهُمْ مَا لَنَا، وَعَلَيْهِمْ مَا عَلَيْنَا
Untuk mereka apa yang kita terima, dan kewajipan mereka sama dengan kewajipan kita.

Rukun Kedua: Bumi/ Tanah

Ia adalah kawasan yang berada di bawah kuasa negara dan dilaksanakan hukum syariat di atasnya. Kuasa ke atas tanah berada secara mutlak dimiliki kaum muslimin. Para fuqaha menggunakan istilah Darul Islam (دار الإسلام) untuk menunjukkan tanah negara Islam. ia meliputi beberapa jenis:

1. Tanah basah: Ia merangkumi kawasan seperti sungai dan tasik, yang mengandungi takungan air.
2. Udara: Kuasa bahagian udara melibatkan kawasan di atas tanah setinggi mana pun. Ia tidak boleh digunakan melainkan dengan izin daripada negara.
3. Pantai: Ia melibatkan kawasan persisiran pantai. Negara menguasainya serta laut di sekitarnya, tidak boleh digunakan melainkan dengan izin pemerintah.

Rukun Ketiga: Kuasa

Maksudnya adalah kuasa yang dibina/diperolehi daripada usaha rakyat, secara sepakat, untuk menegakkan  maslahah dan kebaikan. Nabi Muhammad SAW mewakili kuasa pemerintahan kaum muslimin yang telah berkumpul di Madinah al-Munawwarah dan membentuk negara Islam pertama. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, sistem khalifah mewakili kuasa pemerintahan selepas Nabi SAW. Pihak yang berkuasa perlu mempunyai beberapa ciri supaya lengkap sebagai salah satu rukun daripada rukun negara, antaranya:

1. Kuasa penuh ke atas tanah.
2. Layak dan sempurna sifat untuk berkuasa.
3. Hanya ada satu kuasa dan satu pemerintahan sahaja di sesebuah negara.
4. Pemerintahan mestilah mengiktiraf rakyat di negara tersebut. Rakyat pula perlu taat dan tunduk kepada pemerintah. Inilah yang dinamakan sebagai legitimasi.

Peranan Negara

Negara dalam perspektif Islam mempunyai peranan utama, antaranya:

1. Memastikan keamanan secara umum kepada setiap individu supaya mereka boleh tinggal dan meneruskan kehidupan.
2. Menyebarkan Islam, memperkenalkan Allah SWT kepada manusia, mengajar mereka kepada kebaikan dan akhlak yang mulia.
3. Memastikan manusia menikmati kebebasan utama mereka dalam beragama, beribadah, bekerja, meluah pandangan dan sebagainya.
4. Memastikan keadilan, menghalang kezaliman dan menghentikan perseteruan.
5. Memastikan pintu rezeki dan pekerjaan dalam keadaan selamat, serta membangunkan negara.
6. Menyebarkan ilmu dan membuka jalan untuk peningkatan ilmu/pelajaran.

Kuasa Negara

Negara mempunyai kuasa secara menyeluruh. Kekuasaannya meliputi setiap bidang kehidupan. Negara dalam Islam berkuasa dalam setiap aspek. Oleh sebab itu, sejarah Islam dikenali mempunyai beberapa bentuk kuasa seperti berikut:

Kuasa Pelaksana (Eksekutif): Ia adalah badan utama kepimpinan negara (khilafah) dan kementerian yang menguruskan pentadbiran hal ehwal rakyat dalam pelbagai bidang pelaksanaan.

Kuasa Perundangan (Legislatif): Ia bertanggungjawab menggubal pelbagai undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa seperti hubungan antara rakyat dengan pemerintah. Pihak yang bertanggungjawab melantik mereka dalam negara Islam adalah Majlis Syura, dan istilah yang digunakan pada hari ini adalah parlimen atau dewan rakyat.

Kuasa Kehakiman (Judisiari): Ia bertanggungjawab memelihara pelbagai undang-undang serta mengaplikasikan undang-undag tersebut, serta meleraikan persengketaan sesama manusia atau antara rakyat dengan kerajaan.

Mengekalkan Keperibadian Negara

Negara berkewajipan untuk mengekalkan keperibadian sebagai sebuah negara Islam yang benar:

1. Membela rakyat. Apabila rakyat dizalimi oleh musuh luar, maka menjadi kewajipan negara untuk membelanya.
2. Meletakkan syariat Islam sebagai kuasa tertinggi.
3. Memudahkan rakyat untuk memperolehi keperluan asas kehidupan yang meliputi aspek makanan, minuman, pakaian, pelajaran dan tempat tinggal.

3. Berusaha secara berterusan untuk mencapai apa yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai umat terbaik. Firman Allah SWT:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk  manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat ma’ruf (segala perkara yang baik) dan melarang daripada segala perkara mungkar (yang salah, buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). [Ali-Imran: 110]


PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 15-19.

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *