KEPELBAGAIAN SISTEM DALAM ISLAM (3):
Hak Dan Kebebasan Bersiyasah (Politik)

SISTEM siyasah (politik) bertujuan menjaga hak dan kebebasan individu secara umum kerana ia merupakan perkara asas dalam sesebuah masyarakat dan negara. Secara asas, kekuasaan diwujudkan untuk menjaga hak dan kebebasan manusia.

Konsep Hak dan Kebebasan Siyasah

Maksud “hak” adalah perkara yang tidak boleh diingkari. Ia memberi kesan kepada individu serta menjadi ciri bagi setiap individu. Maksud “kebebasan” pula adalah kemampuan setiap individu mempraktik dan melaksanakan setiap haknya berdasarkan pilihannya sendiri.

Justeru, hak dan kebebasan siyasah adalah perkara yang diperakui oleh syariat bagi setiap rakyat dalam urusan pentadbiran negara, urusan perundangan dan penyusunan kuasa. Berikut adalah beberapa hak dan kebebasan politik:

Pertama: Hak Memberi Pandangan

Kebebasan memberi pandangan merupakan salah satu daripada kebebasan bersiyasah. Melalui kebebasan ini, terbinalah kebebasan lain. Allah SWT telah menciptakan manusia dan menjadikan mereka bebas sehingga mampu menjalankan tanggungjawab sebagai Khalifah di muka bumi. Kehidupan manusia tidak akan lengkap tanpa kebebasan, tiada unsur paksaan dan cengkaman. Terdapat beberapa cara dan bentuk kebebasan memberi pandangan, antaranya ialah:

– Kebebasan bersuara, bercakap, berpidato dan menegur.
– Kebebasan penulisan.
– Kebebasan akhbar.
– Kebebasan media dan lakonan.

Kedua: Hak Pilihanraya

Maksudnya adalah hak memilih seperti yang telah ditetapkan oleh syarak bagi setiap mukallaf di dalam negara. Mereka mempunyai hak memilih ketua negara, dan memilih wakil rakyat mereka sendiri dalam menguruskan urusan umum.

Hak ini terbina di atas kaedah utama dalam sistem hukum Islam iaitu ‘Kuasa Rakyat”. Cara menunjukkan kekuasaan rakyat adalah memastikan setiap individu mempunyai hak untuk memilih wakil mereka.

Kaum muslimin pada kurun awal mempraktikkan hak memilih melalui sistem bai‘ah di masjid. Seterusnya, proses pemilihan berkembang pada zaman ini melalui proses pilihanraya.

Ketiga: Hak Mencalonkan

Antara hak dalam politik yang wajib dijaga bagi setiap rakyat adalah hak untuk mencalonkan Khalifah (pemimpin negara) atau anggota Majlis Syura jika memenuhi syarat yang diperlukan. Jika calon tersebut mendapat undi tertinggi, maka dia berhak menang.

Keempat: Hak Menduduki Jawatan dalan Negara

Maksud hak ini adalah setiap jawatan utama dalam negara terbuka kepada setiap rakyat secara sama rata. Ia diuruskan secara adil dengan memenuhi syarat yang terperinci seperti memiliki kepakaran, ilmu dan pengalaman. Pemakluman ciri-ciri calon mestilah dibuat secara umum supaya rakyat tidak berasa tertipu dan dizalimi.

Kelima: Hak Membentuk Parti Politik dan Hak Menganggotai Persatuan atau Organisasi

Parti adalah gabungan individu yang tersusun dengan tujuan tertentu, mempunyai prinsip yang diketahui dan mempunyai perancangan aktiviti, serta bertujuan mendapatkan kuasa atau terlibat dalam pentadbiran melalui jalan yang selamat.

Syariat Islam membenarkan pembentukan pertubuhan politik dengan syarat ia bertujuan memberi kebaikan kepada masyarakat dan mencapai tujuan pengislahan selari dengan perlembagaan dan perundangan negara. Hujahnya adalah firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Terjemahan: “Dan bertolong-tolonglah dalam perkara kebaikan dan takwa, dan jangan kamu bertolong-tolong dalam dosa dan permusuhan.”  [al-Ma’idah: 2].

Mana-mana pertubuhan yang bertujuan untuk kebaikan maka ia adalah pertubuhan yang dibenarkan syarak. Jika ia bertujuan melakukan dosa dan permusuhan, maka ia adalah pertubuhan yang salah.

Begitu juga dengan setiap individu, dibenarkan untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang mempunyai tujuan yang baik. Begitu juga dibenarkan untuk membentuk kesatuan sekerja yang menjaga kepentingan setiap ahlinya dengan menjaga maslahah mereka.

Asas Hak dan Kebebasan Siyasah dalam Syariat Islam

Kebebasan siyasah atau politik dalam negara Islam terbina di atas asas berikut:

Pertama: Sumber hak dan kebebasan politik menurut Islam adalah bersumberkan syariat Islam.

Kedua: Hak dan kebebasan politik mestilah diikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Ketiga: Hak individu dan hak awam diiktiraf syarak dan mestilah tidak bertembung antara satu sama lain. Maslahah untuk individu dan awam adalah selari dan tidak bercanggahan.

 

PENERBIT DAN NAMA KITAB ASAL:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
al-Anzimah al-Islamiyyah (Sistem-Sistem Islami),
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est), hal. 39-42

Print Friendly, PDF & Email

About Abu Taqiy Hussein

Ketua Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *