Aqidah

Kediaman Dan Kedamaian

FIRMAN Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنۢ بُيُوتِكُمۡ سَكَنٗا

Dan Allah menjadikan rumah-rumahmu untuk tempat tinggal mu.

(An-Nahl : 80)

Jom Kita Tadabbur Ayat Ini!

Rumah adalah tempat kita berehat, tempat yang tenang dan tempat kita tinggal. Tempat yang ditujui ketika letih, tempat berlindung daripada hujan, panas terik, sejuk, binatang buas, angin kencang dan hujan lebat. Dengan rahmat Allah Subhanahuwata’ala dan takdir-Nya, kita dapati rumah adalah tempat tinggal kita dan keluarga berehat dan berlindung daripada segala bahaya. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu, Dia boleh jadikan rumah kita tempat yang tidak sesuai didiami, malah Dia mampu memusnahkannya dengan gempa bumi, ribut, petir, banjir besar dan sebagainya.

Allah Subhanahuwata’ala mudahkan kita untuk membuat tempat kediaman. Dia telah sediakan:

  1. Akal untuk berfikir, membuat pelan dan merekacipta. Mata dan telinga untuk belajar dan mengumpul kepakaran. Serta, tangan dan kaki untuk bekerja.
  2. Bahan binaan seperti batu, pasir, pokok, tanah, besi dan lain-lain. Semuanya tunduk dan menyerah kepada manusia untuk dipergunakan dan tidak pernah menentang.
  3. Bumi yang sentiasa tetap, tidak menelan atau bergoncang tanpa sebab. Dan gravitinya menghalang putaran bumi daripada mencampakkan kita ke angkasa.  Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱللَّهُ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ قَرَارٗا

Allah-lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap

(Al-Mukmin : 64)

Peralatan dan Perkakas Rumah.  

Sebuah rumah hanya dikira sempurna setelah dilengkapi peralatan dan perkakas rumah. Maka, dengan itu Allah Subhanahuwata’ala telah sediakan bahan-bahan mentah untuk kita. Telah tersedia untuk kegunaan kita bahan-bahan seperti kapas dan bulu-bulu binatang untuk dijadikan pakaian, selimut, sejadah, khemah dan sebagainya.  Kayu kayan juga mudah diperolehi untuk dibuat kerusi, meja, almari dan sebagainya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلُودِ ٱلۡأَنۡعَٰمِ بُيُوتٗا تَسۡتَخِفُّونَهَا يَوۡمَ ظَعۡنِكُمۡ وَيَوۡمَ إِقَامَتِكُمۡ وَمِنۡ أَصۡوَافِهَا وَأَوۡبَارِهَا وَأَشۡعَارِهَآ أَثَٰثٗا وَمَتَٰعًا إِلَىٰ حِينٖ ٨٠

Dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) daripada kulit binatang ternak yang kamu merasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) daripada bulu biri-biri, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumahtangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).

(An-Nahl : 80)

Dengan segala perkakas yang cukup dan kediaman yang aman, maka manusia dapat merasa nikmat kurniaan daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hikmah daripada Kediaman dan Kedamaian

Jika dihayati bersama nikmat-nikmat di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Allah Subhanahuwata’ala:

  1. Rabb Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengasihani. Dia menciptakan bumi agar menjadi tempat tinggal yang tenang, aman dan damai buat kita.
  2. Rabb Yang Maha Memberi dan Yang Maha Penyayang. Dia menganugerahkan manusia keupayaan berfikir dan mencipta yang luar biasa sehingga mampu membina bangunan besar dan mencakar langit.
  3. Rabb Yang Maha Memerintah dan  Yang Maha Berkuasa. Dia telah tundukkan isi bumi untuk patuh kepada manusia yang telah dijadikan khalifah-Nya.
  4. Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. Dia telah memelihara keseimbangan daya putaran bumi dengan tarikan graviti sehingga menjadikan bumi sesuai sebagai tempat tinggal untuk manusia.

RUJUKAN:

  1. Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid, Pustaka salam.
  2. http://jomtarbiyah.blogspot.com/ (dengan merujuk kepada Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani)

 

 

Print Friendly, PDF & Email

One Comment

Leave a Reply to ERNA ROFIKA Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button