Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (2)

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (2)

BAGAIMANA RASULULLAH SAW BERDA’WAH KEPADA GOLONGAN PEMUDA

عن أبي أمامة قال :أنَّ فَتًى شابًّا أتى النَّبيَّ – صلَّى اللَّه عليهِ وعلى آلِهِ وسلَّمَ – فقالَ : يا رسولَ اللَّهِ ، إئذَنْ لي بالزِّنا ، فأَقبلَ القومُ علَيهِ فزَجروهُ وقالوا: مَهْ. مَهْ. فقالَ: أدنُهْ ، فدَنا منهُ قريبًا. قالَ: فجَلسَ قالَ: أتحبُّهُ لأُمِّكَ ؟ قالَ: لا. واللَّهِ جعلَني اللَّهُ فداءَكَ. قالَ: ولا النَّاسُ يحبُّونَهُ لأمَّهاتِهِم. قالَ: أفتحبُّهُ لأُخْتِكَ؟ قُل: لا. واللَّهِ يا رسولَ اللَّهِ جَعلَني اللَّهُ فداءَكَ قالَ: ولا النَّاسُ يحبُّونَهُ لأخواتِهِم. قالَ: أفتُحبُّهُ لعمَّتِكَ ؟ قُل: لا. واللَّهِ يا رسول اللَّه جعلَني اللَّهُ فداءَكَ. قالَ: ولا النَّاسُ يحبُّونَهُ لعمَّاتِهِم. قالَ: أفتحبُّهُ لخالتِكَ؟ قُل: لا. واللَّهِ يا رسولَ اللَّه جَعلَني اللَّهُ فداءَكَ. قالَ: ولا النَّاسُ يحبُّونَهُ لخالاتِهِم. قالَ: فوَضعَ يدَهُ عليهِ وقالَ: اللَّهمَّ اغفِرْ ذنبَهُ وطَهِّر قلبَهُ ، وحصِّن فَرجَهُ فلم يَكُن بعدُ ذلِكَ الفتَى يَلتَفِتُ إلى شيءٍ.

Makna hadits:

Abu Umamah Radhiallahu’anhu berkata: Ada seorang pemuda datang menghadap Nabi Sallallahu’alaihiwasallam seraya berkata, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berzina.” Orang yang ada di sekitarnya menghampiri dan memaki, “Celaka engkau, celaka engkau!” Setelah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyuruhnya untuk mendekatinya, pemuda itu pun menghampiri dan duduk mendekati beliau, lalu beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada ibumu?”. Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku tebusanmu” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada ibu mereka.”

Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudari perempuanmu?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada saudari perempuan mereka.” Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ayahmu (mak cik) ? ” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau menjawab, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada mak cik mereka.”

Beliau bertanya, “Apakah engkau suka apabila zina itu terjadi pada saudara perempuan ibumu (makcik)?” Pemuda menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka, wahai Rasulullah, kiranya Allah menjadikan aku sebagai tebusanmu.” Beliau membalas, “Begitu juga setiap orang, mereka tidak suka apabila zina itu terjadi pada makcik mereka.” Kemudian Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam meletakkan tangannya di dada pemuda itu seraya berdoa, “Ya Allah, ampunilah dosanya,sucikanlah hatinya, dan lindungilah farjinya.” Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal-hal yang haram.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

SENI DA’WAH:

  1. Rasulullah Sallallahu’aialihiwasallam mengajak pemuda menghampiri baginda. Baginda tidak memarahi, bahkan mempersilakan pemuda itu duduk dekat dengannya (sebab pemuda ini, terlebih dahulu mendekati baginda dan bertanya kepada baginda). Justeru itu para da’ie hendakkan sentiasa menghargai kesediaan golongan pemuda apabila mereka sendiri datang mendekati para da’ie.
  2. Di sini, sekali lagi, baginda Rasulullah Sallallahu’aialihiwasallam memperlihatkan contoh kedekatan fizikal apabila menjemput pemuda itu duduk menghampirinya. Kedekatan fizikal mencerminkan kedekatan hati, keprihatinan, kasih sayang dan perlindungan yang diperlukan oleh pemuda yang sering bingung, gelisah dan dihantui pelbagai masalah dan kelemahan.
  3. Baginda mengunakan kaedah pendidikan dua hala, yakni berdialog atau berbincang dengan pemuda. Baginda tidak tergesa-gesa menguasai pentas da’wah dengan berceramah atau berpidato semata-mata. Bahkan, baginda melontarkan pendapatnya dan mengajak pemuda itu berfikir. Baginda bersabar mendengar segala pandangan balas, tanpa memintas percakapan pemuda tersebut.
  4. Baginda memberi fokus kepada permasalahan yang sedang dihadapi oleh pemuda dan memberikan misalan-misalan (mathal a’la) yang sesuai dan mudah difahami oleh pemuda (mad’u).
  5. Dalam teori tarbiah, apabila penda’wah mengemukakan sesuatu konsep, maka penda’wah perlu sertakan contoh-contoh atau misalan-misalan yang sesuai untuk menjelaskan konsep yang ingin diketengahkannya. Semakin  banyak misalan-misalan yang diutarakan, maka semakin mudahlah mad’u memahami dan yakin dengan sesuatu konsep. Perkara penting yang ingin diketengahkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dalam konteks hadits ini, ialah mengenai hukum haram berzina dan kewajipan menjahuhi zina.
  6. Baginda mengukuhkan kaedah pengubatan baginda terhadap pemuda/mad’u itu dengan:
  • Berdoa kepada Allah Subhanahuwata’ala (kerana Allah lah yang memberi hidayah dan mengubah hati manusia).
  • Memohon kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya Allah mengampuni dosa pemuda itu. Ini bermakna baginda mendorong pemuda itu untuk bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala (kerana cara pembersihan dosa ialah melalui jalan taubat)
  • Memohon kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya Allah mensucikan hati pemuda (kerana hati yang bersih adalah titik tolak bagi kehidupan yang bersih).

Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiswasallam dalam kesempatan yang lain:

أَلَّا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Yang bermaksud:

Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.

  • Memohon kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya Allah memelihara kehormatan pemuda itu.
  1. Ungkapan daripada hadits(bermaksud) – Setelah itu, pemuda tersebut tidak menoleh sedikit pun kepada hal-hal yang haram, mengisyaratkan/ menggambarkan bahawa:
  • Pemuda itu disediakan altenatif-alternatif yang baik untuk ber’amal.
  • Pemuda itu disibukkan dengan kerja-kerja Islam, belajar dan berjihad.

Oleh itu penda’wah hari ini perlu memperbanyakkan altenatif-altenatif yang soleh bagi para pemuda untuk beraktiviti atau beramal. Ini kerana manusia sering terdorong mengikut suasana dan persekitaran yang dihadapinya. Manusia akan mengikut apa yang dipermudahkan baginya.

Rujukan:

  1. Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah SAW, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.
  2. Hadith Arbain, Susunan Imam Nawawi

 

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

WhatsApp Image 2018-07-12 at 12.51.08 PM

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (1)

BAGAIMANA RASULULLAH SALLAHU’ALAIHIWASALLAM BERDA’WAH TERHADAP GOLONGAN REMAJA عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *