Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (1)
WhatsApp Image 2018-07-12 at 12.51.08 PM

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (1)

BAGAIMANA RASULULLAH SALLAHU’ALAIHIWASALLAM BERDA’WAH TERHADAP GOLONGAN REMAJA

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: "كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ يَوْمًا، فَقَالَ: ((يَا غُلَام ! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللهَ يَحْفِظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَنْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَنْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتِ الصُّحُفُ)).  [ رواه الترمذي وقال: حسن صحيح ]

Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas Radhiallahu’anhu: Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda: “Wahai anak, sesungguhnya aku mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu manfaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudarat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan.”

(Riwayat Tirmidzi dan dia berkata : Haditsnya hasan sahih)

SENI DA’WAH:

  1. Ibn ‘Abbas, sejak kecil lagi Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam pernah berdoa untuknya (yang bermaksud): "Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepadanya hikmah." Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiahnya.
  2. Dalam berda’wah untuk remaja yang menjadi mad’u (sasaran da’wah), perlulah seorang penda’wah: 
  • Berdoa untuk masa depannya.
  • Merancang masa depan mad’u sesuai dengan potensinya
  • Memberi bimbingan yang berterusan.
  1. Baginda memanfaatkan setiap detik dan masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiah mad'unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa enteng terhadap mad'u kecil, bahkan baginda mengambil berat hal ehwal tarbiahnya.
  2. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiah mad'unya, sehinggakan sewaktu bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiah.
  3. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa terhina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh kedekatan fizikal, bersentuhan dan bermesra dengan anak remaja. Baginda tidak merasai jurang generasi dengan golongan remaja.
  4. Baginda mentarbiah remaja dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan – sepertimana kata baginda (yang bermaksud): "aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan".
  5. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiah generasi muda. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan dan ketakutan baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  6. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiah jangka panjang untuk Ibn ‘Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn ‘Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda. Begitulah juga para penda’wah di sepanjang zaman, perlu meletakkan satu rancangan jangka panjang dalam pembinaan generasi muda. Cagarannya ialah pengorbanan, kesabaran, tawakkal dan istiqamah di pihak penda’wah.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam, Fakharuddin Nursyam Lc, Bina Insani.

 

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Hadits: Seni Da’wah Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam (2)

BAGAIMANA RASULULLAH SAW BERDA’WAH KEPADA GOLONGAN PEMUDA عن أبي أمامة قال :أنَّ فَتًى شابًّا أتى …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *