Hadith

HADITH MULIA 1 :
TEGUH DI ATAS KEBENARAN

PENDAHULUAN

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الباهِلِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ” – رواه الإمام أحمد
Daripada Abi Umamah Al-Bahili RA meriwayatkan: Rasulullah SAW bersabda, “Akan sentiasa wujud daripada umatku, sekumpulan yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walaupun dipinggirkan dan dirintangi kesusahan, melainkani semua itu hanyalah  ujian, sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian”. Sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Baginda menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya.”

PERAWI HADITH

Nama sebenar Abu Umamah Al-Bahiliy ialah Sodiy Bin ‘Ajlaan. Beliau merupakan sahabat yang muda, namun tergolong dalam kalangan orang yang tinggi ilmunya. Beliau seorang yang banyak beribadah dan berpuasa. Diriwayatkan dalam sebuah hadith daripada beliau, katanya:

“يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مُرْنِي بِعَمَلٍ ، قَالَ : ” عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ ، فَإِنَّهُ لا مِثلَ لَهُ”
Wahai Rasulullah, suruhlah aku berbuat sesuatu amal. Baginda SAW membalas : ‘Berpuasalah, sesungguhnya puasa itu mempunyai ganjarannya yang tersendiri. Abu Umamah, isterinya dan pembantunya sentiasa melakukan kelaziman berpuasa semenjak itu. (Diriwayatkan oleh Ahmad).

Beliau sering duduk di sebuah masjid di Homs, Syria dan menyampaikan hadith kepada orang ramai. Dia berkata:

اعقِلوا وبلغوا عنِّي ما تسمعون.
“Gunakan akal kamu dan sampaikanlah daripadaku apa yang kamu dengar.”
Beliau wafat pada tahun 86 Hijrah.

KOSA KATA

ظَاهِرِينَ  : mereka yang menegakkan din atau orang kuat/kanan yang membantu.
لَأْوَاءَ : kesempitan hidup, dipinggirkan dan dirintangi kesusahan.
أَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ  : di kawasan sekitar baitul Maqdis dan juga bermaksud negara Syam

SYARAH HADITH

Hadith ini menegaskan bahawa din Islam akan kekal dan tidak akan binasa. Walaupun umat Islam pada hari ini semakin lemah tetapi akan wujud segolongan manusia yang kekal bertangungjawab menjaga din ini.

Hadith ini menyatakan bahawa di sekitar Baitul Maqdis akan wujud segolongan manusia yang berterusan membela din Islam dan ia adalah kawasan yang diberkati.

Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 1:

بْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Di atas tanah berkat ini berlaku pertembungan yang berpanjangan antara kaum Muslimin dan kaum Yahudi (yang kini sedang menjajah Palestin).

Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ فَيَقْتُلَهُمْ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ وَرَاءَ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوْ الشَّجَرُ: يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ ورائي تَعَالَ فَاقْتُلْهُ، إِلَّا الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ -رواه مسلم
Kiamat tidak akan terjadi sehingga kaum Muslimin memerangi Yahudi, lalu kaum Muslimin akan membunuh mereka sehingga setiap orang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon, tetapi batu dan pohon itu berkata, ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ada orang Yahudi di belakangku, kemarilah dan bunuhlah dia.’ Kecuali (pohon) gharqad kerana ia adalah pohon Yahudi.” (HR Muslim).

CIRI-CIRI HAMBA ALLAH SWT YANG THABAT (TETAP & TEGUH)

Hadith awal di atas ada menyentuh secara umum ciri-ciri golongan yang berterusan membela din Islam ini. Meskipun ciri-ciri itu ditujukan kepada golongan tersebut, namun dari sudut pengiktibaran. pengajaran dan faedah kebaikannya, semua orang Islam atau beriman turut dituntut untuk berusaha membentuk diri agar memiliki ciri-ciri tersebut. Ini kerana ciri-ciri itu adalah ciri-ciri umum yang mulia dan disukai Allah SWT.

APAKAH CIRI-CIRI ORANG YANG THABAT (TETAP DAN TEGUH) MENEGAKKAN DIN INI?

PERTAMA: Mereka Sentiasa Teguh Atas Kebenaran Dan Sentiasa Saling Bantu Membantu Menegakkannya

Pegangan akidah mereka sangat kuat dan berakar umbi sepenuhnya dalam hati dan jiwa mereka. Mereka tidak mudah berputus asa biarpun syaitan sentiasa menghasut mereka. Mereka sentiasa tolong-menolong untuk berkhidmat kepada din Islam dan meninggikan kesuciannya sepertimana yang difirmankan Allah dalam Surah Ali Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Dan berpegang teguhlah kamu kamu kepada tali Allah (din Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Mereka sentiasa menjauhi perpecahan seperti firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 46:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Dan janganlah kamu bantah-membantah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.”

KEDUA: Mereka Sentiasa Berjuang Di Jalan Allah SWT Demi Kemenangan Din Islam Dengan Perjuangan Yang Bersungguh-Sungguh                                                                

Kita dapat lihat bahawa perjuangan menegakkan din Islam akan sentiasa wujud dalam diri umat Islam. Arus perjuangan yang mempertahankan kebenaran dan menjaga kesucian din Allah ini akan berterusan wujud.

Perjalanan menegakkan din memerlukan kesediaan menghadapi kesusahan dan pengorbanan yang pelbagai bentuk seperti tenaga, masa, harta hatta pengorbana jiwa. Ini semua akan dapat dipersaksikan kewujudannya dalam umat warisan Nabi SAW ini.

Allah SWT berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat 104:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ
Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu, kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu, sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak).”

Mereka sentiasa bersiap-sedia untuk berhadapan dengan musuh-musuh Allah SWT yang ingin melemahkan din Islam.

Allah berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ…
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan.”

KETIGA: Penentangan Musuh Ke Atas Mereka Tidak Memudaratkan Mereka

Mereka beriman sepenuh hati kepada Allah SWT,  iltizam berpegang teguh dengan  din Islam dan mengajak manusia kembali kepada din ini. Mereka  sentiasa berjuang untuk kejayaan din ini tanpa berputus asa. Maka, dengan itu insyaAllah, mereka akan mendapat bantuan kekuatan daripada Allah SWT agar tetap  teguh bersama din Islam, walaupun betapa kerasnya tekanan yang ditimpakan ke atas mereka, sama ada tekanan secara emosi ataupun secara fizikal. Mereka tetap bertahan dan berteguh  tanpa dapat dimudaratkan oleh musuh-musuh Allah SWT walaupun betapa kuatnya pihak musuh memberikan penentangan ke atas mereka.

KEEMPAT: Mereka Percaya (Yakin) Terhadap Janji Allah SWT Bahawa  Islam Akan Diberi Kemenangan                        

Allah Ta’ala berfirman :   

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ
dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang beriman.”  (Surah Ar-Rum (30): 47)

Seorang hamba yang beriman, lebih-lebih lagi seorang pendakwah/pejang din haruslah memahami dan meyakini bahawa segala sekatan dan cabaran yang dihadapi, semua itu pada hakikatnya adalah ujian daripada Allah Taala. Dia harus teguh dan yakin akan janji-janji Allah Taala. Dia perlu terus bersabar, berusaha dan berkerja untuk memperolehi kemenangan yang dijanjikan Allah SWT.

PENGAJARAN DARIPADA HADITH

1. Seorang muslim mestilah yakin terhadap janji-janji Allah SWT.
2. Seorang muslim hendaklah thabat dan berpegang teguh dengan kebenaran serta saling bantu-membantu sesama muslim untuk menegakkannya.
3. Seorang muslim (dan umat Islam sendiri) perlulah sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua ujian dan situasi dalam menegakkan kebenaran, dengan pelbagai persiapan terutama persiapan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Juga pelbagai bentuk persiapan yang lain.
3. Seorang muslim yang kuat menghayati kebenaran akan nenperlihatkan tamayyuz (perbezaan) daripada orang sekeliling yang menjauhkan diri daripada kebenaran (Islam). Maksud tamayyuz/ perbezaan di sini ialah keyakinan, kefahaman, tutur kata, budiperkerti dan akhak beliau akan terselah jauh lebih baik daripada manusia yang hidup dalam kelalaian serta meninggalkan ajaran Islam. Dia tidak akan terkesan atau dibinasakan oleh pelbagai rangsangan dan perlakuan luar yang cuba menggugatkan keyakinan, kefahaman dan sahsiahnya.

AKTIVITI

Tuliskan dalam buku nota anda pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripada hadith awal di atas. Pengajaran-pengajaran itu tidak semestinya apa yang anda perolehi daripada nota/artikel ini. Anda juga boleh (bahkan igalakkan) berfikir sendiri untuk menerbitkan pelbagai pengajaran daripada hadith tersebut.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Nyatakan dalil yang menunjukkan janji Allah SWT bahawa din Islam akan sentiasa kekal dan terpelihara.
2. Apakah yang menyebabkan seorang hamba yang beriman itu thabat (tetap dan teguh) atas kebenaran (jalan Allah SWT/ Islam).
3. Apakah kesan atau natijah yang dapat dilihat atau dipersaksikan dalam kehidupan seorang hamba Allah SWT daripada keyakinannya terhadap janji Allah Taala bahawa kebenaran/Islam akan tertegak dan akan menang.

MAKLUMAT TAMBAHAN 

Pohon Gharqad ialah sejenis pokok hutan yang berduri dan buahnya tidak boleh dimakan.

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close