Hadith

HADITH MULIA 2 :
SENTIASA MENJAGA IKHLAS

PENDAHULUAN 

عن عمر رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول “إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ”.
(متفق عليه).
Diriwayatkan daripada Umar r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa yang berhijrah kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya menuju kepada keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatkannya atau kerana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya akan bernilai sebagaimana yang dia niatkan.” (Muttafaqun ‘Alaih- disepakati kesahihannya oleh Bukhari dan Muslim)

PERAWI HADITH

Nama beliau ialah Umar Bin Al-Khattab bin Nufail, digelar sebagai “Abu Hafs” dan “Al-Faruq”. Beliau terkenal dengan gelaran Al-Faruq kerana dianggap sebagai  ‘orang yang sering membezakan hak dengan batil”. Beliau juga merupakan Khalifah yang kedua dalam kalangan Khulafa’ Ar-Rasyidin dan orang pertama memakai gelaran, “Amirul Mukminin.”

Beliau terkenal dengan keilmuannya, kecerdasannya, ketokohannya dalam mendokong agama, kezuhudannya, kerendahan diri, sikap toleransi terhadap kaum muslimin dan keadilannya. Beliau telah meriwayatkan lebih daripada 530 hadith.

Beliau mati syahid setelah ditikam oleh Abu Lu’Lu’ah yang merupakan penganut agama Majusi. Ketika itu beliau sedang menunaikan solat Subuh berjemaah pada tahun 23 Hijrah. Beliau telah dimakamkan di dalam bilik nabi SAW yang mulia bersama baginda Rasulullah SAW dan Abu Bakr r.a.

KOSA KATA

 النية : Yang mahu dicapai atau keinginan (niat).
الهجرة :  (Penghijrahan) Meninggalkan negara orang kafir dan pergi ke negara Islam.
يصيبها :  Yang ingin dia dapatkannya.
ينكحها :  Yang ingin dinikahi.

SYARAH HADITH

Hadith ini merupakan pokok pangkal (asas) yang penting di dalam Islam. Hal ini kerana, hadith tersebut membincangkan tentang perkara asas yang menjadi penentu terhadap sesuatu ganjaran yang akan diberikan di dalam Islam. Iaitu, hadith tentang niat.

Keabsahan sesutu perbuatan yang diterima (oleh Allah) dan yang akan diberikan ganjaran, sangat berkait rapat dengan niat dan tujuan seorang muslim melakukan perbuatan tersebut. Maka, keikhlasan dalam niat adalah lawan kepada riyak. Dalam hadith ini juga, Rasulullah SAW memberikan amaran kepada kita tentang riyak. Iaitu seseorang insan melakukan sesuatu amalan kerana inginkan keredaan selain daripada Allah Taala.

Telah berlaku semasa peristiwa hijrah, sebahagian kaum muslimin berhijrah ke Madinah bukan semata-mata kerana Allah Taala. Tetapi kerana kepentingan manfaat yang bakal diperolehi. Barangsiapa yang berhijrah kerana semata-mata inginkan manfaat-manfaat yang lain itu, dia tetap akan peroleh kehendaknya. Namun tidak akan berhasil mendapatkan ganjaran pahala dan kebaikan (hijrah). Perkara ini terjadi kepada mereka yang melakukan amalan supaya dikatakan kepada mereka seperti ini: “Dia seorang yang bertakwa, dia seorang yang soleh. Dia tidak menginginkan sesuatu pun melainkan redha Allah.” Maka perbuatan riyak adalah perkara yang haram dan akan memadamkan amalan baik seseorang muslim. 

Perkara ini ada disebutkan dalam firman Allah Taala:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”
(Surah Al-Syura (42): 20)

Seseorang (yang benar-benar) muslim, tidak akan jatuh ke dalam perbuatan riyak. Kerana mereka tidak sesekali meninggalkan keredhaan Allah dan ganjaran-NYA yang besar. Hanya kerana demi mendapatkan manfaat dunia yang terbatas dan terputus.

KEPENTINGAN NIAT DALAM PERBUATAN

Kepentingan niat dalam melakukan sesuatu perbuatan adalah seperti berikut :

1. Membezakan antara sesuatu perbuatan ibadah dengan perbuatan ibadah yang lain. Contohnya; membezakan antara solat Zohor dan Asar, serta membezakan puasa sunat dan puasa Ramadan.

2. Membezakan antara amalan yang mengharapkan reda Allah dengan mengharapkan reda yang lain. Seperti perbuatan ritak dan perkara yang serupa dengannya.

3. Membezakan antara amalan kebiasaan harian yang selalunya dilakukan tanpa niat dengan amalan (kebiasaan) yang dijadikan sebagai ibadah yang dilakukan demi mendapat keredaan Allah. Contohnya; makan dan tidur.

4.Mengenalpasti motif, sengaja atau kesilapan dalam kes-kes jenayah bafi membezakan hukuman terhadap penjenayah berdasarkan niatnya.

KESAN NIAT TERHADAP AMAL SESEORANG MUSLIM

Kita boleh lihat kesan niat terhadap perbuatan seseorang insan itu dalam tiga kategori; Perkara ketaatan, perkara kebiasaan (harus), dan perkara kemaksiatan.

Pertama: Kesannya terhadap perkara ketaatan

Ketaatan berkait rapat dengan niat untuk menjadikan sesuatu amalan itu diterima di sisi Allah. Hal ini kerana tujuan seseorang muslim melaksanakan sesuatu perbuatan adalah untuk mengikut segala perintah Allah dan berjaya mencapai keredaan Allah taala. Niat juga akan menjadikan sesuatu ganjaran perbuatan seorang Muslim itu akan berlipat kali ganda.

Ganjaran akan berlipat kali ganda dengan tertingkatnya bilangan niat. Sekiranya seseorang muslim masuk ke masjid demi menziarahi rumah Allah maka dia mendapat pahala. Kemudian jika dia duduk dengan  niat ingin menunggu waktu solat maka baginya juga pahala. Seterusnya jika dia berniat untuk bertemu dengan saudara-saudara muslimnya yang lain maka baginya juga pahala. Sedemikianlah juga perkara yang lain.

Kedua: Kesannya terhadap perkara kebiasaan (harus)

Ianya ialah perkara yang pada asalnya tiada ganjaran. Tetapi seseorang muslim itu boleh mendapat ganjaran pahala sekiranya dia melakukan perbuatan itu kerana mengharap reda Allah Taala. Contohnya seperti; seseorang itu makan, minum dan tidur dengan tujuan untuk meningkatkan dan membekalkan diri demi melakukan pelbagai ketaatan kepda Alah.

Ketiga: Kesannya terhadap perkara yang haram.

Niat yang baik tidak akan merubah status sesuatu maksiat. Amalan itu tetap dikira maksiat meskipun dilakukan kerana Allah. Sesiapa yang mendapat hasil daripada mencuri kemudian ia bersedekah,  maka dia tetap mendapat dosa kerana mencuri dan dia tidak akan mendapat pahala bersedekah.

PENGAJARAN DARIPADA HADIS

1. Seorang muslim itu mestilah mengikhlaskan dalam dirinya dengan niat yang benar-benar ikhlas, bahkan sentiasa ikhlas, jika boleh, untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah Taala yang berterusan.

2. Seseorang muslim itu mestilah sentiasa memiliki matlamat untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala dalam melakukan sesuatu perbuatan yang akan menghapirkan diri kepada Allah dan tidak memandang atau melakukan perkara selain daripada itu.

AKTIVITI

1. Berikan beberapa pengjaran yang dipelajari daripada hadith ini, dan tulis di dalam buku nota kamu.

LATIHAN PENGUKUHAN

1. Apa maksud niat ikhlas ?
2. Terangkan kesan niat dalam perkara haram dan perkara kebiasaan.
3. Apa kesan niat dalam perkara ketaatan?
4. Apakah definisi riyak?
5. Terangkan kesan riyak dalam amalan seseorang muslim.

Penterjemah: KUMPULAN PENTERJEMAH BAYANA
Penerbit dan Nama Kitab Asal:
ISLAMIC STUDIES & RESEARCH ASSOCIATION,
Al-Hadith Al-Sharif,
ed. Faruq Badran, Majid Fawzi dan Muhammad Salam,
(Amman: Mu’assasah Abu Rayyan Est)

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also

Close
Back to top button
Close