Fiqh Harakah

Asas-Asas Penting Yang Perlu Wujud Dalam Organisasi Dakwah (Asas 1)

ASAS 1: KEGIATAN MESTILAH LAHIR DARIPADA ORGANISASI

Segala gerakan dan aktiviti luar dakwah yang dilaksanakan di dalam menyeru kepada matlamat Rabbani hendaklah lahir daripada organisasi dakwah itu sendiri. Ini tidaklah bermakna bahawa segala gerakan dan kegiatan itu semestinya dilaksanakan oleh semua anggota, malah ia boleh dijalankan oleh seseorang da’i atau beberapa orang dengan syarat ianya memenuhi dan menepati tujuan serta lahir daripada fikrah (pemikiran) organisasi, yang bererti bahawa setiap aktiviti dan gerakan anggota adalah mewakili organisasi. Da’i harus menyedari setiap masa bahawa beliau berada di dalam barisan (organisasi)[1] di mana sahaja beliau berada dan terikat dengan matlamat dan jalan, polisi dan metodologi organisasi, kerana inilah proses yang telah berlaku kepada generasi awal yang dididik dan diasuh iman mereka di madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Ke mana sahaja mereka pergi mereka tetap mewakili ummah Islam, sehingga mereka dipanggil pulang oleh Allah Subhanahuwata’ala. Lihat Sayyidina Abu ‘Ubaidah ibnu al-Jarrah RA yang telah dijanjikan dengan syurga ketika detik-detik hampir dengan syahidnya di Urdun telah berpesan kepada kaum Muslimin, antara lain katanya:[2]

“…Sesungguhnya aku berpesan kepada kamu dengan satu pesanan, andaikata kamu menerimanya maka kamu sentiasa di dalam kebaikan, dirikanlah solat, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekah dan mengerjakan haji, menunaikan umrah, berpesan dengan kebaikan dan kesabaran. Berilah nasihat kepada pemimpin-pemimpin kamu dan jangan kamu mengkhianati mereka. Jangan (kehidupan) di dunia ini melalaikan kamu, sesungguhnya seseorang itu jika dianugerahkan usia seribu tahun pun ia pasti akan berlaku sepertimana yang kamu melihat berlakunya kepadaku.

Sesungguhnya Allah telah menentukan maut kepada Bani Adam, maka mereka tetap akan mati. Orang yang paling pintar di antara mereka ialah orang yang paling banyak melakukan ketaatan terhadap Tuhannya dan bekerja (sebagai persediaan) untuk hari yang dijanjikan, salam sejahtera semoga Allah merahmati kamu…”

Antara kegiatan dan aktiviti itu ialah:

  1. Mengadakan syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, keluar berdakwah (dengan metod yang sesuai dan meraikan sasaran (audience) sesuai dengan kedudukan masing-masing), mengadakan seminar-seminar, mengeluarkan risalah-risalah, majalah-majalah, akhbar-akhbar dan buku-buku. Kata Hasan al-Banna[3]:

“Wasilah penyampaian dakwah sekarang berlainan dengan dahulu. Dahulunya disampaikan melalui khutbah atau perhimpunan atau risalah atau syarahan. Tetapi sekarang boleh dilakukan melaui siaran-siaran, majalah-majalah, akhbar-akhbar dan radio. Semuanya sebagai jalan untuk penyampaian kepada hati-hati manusia lelaki dan perempuan di rumah, di gedung-gedung perniagaan, di firma-firma dan di ladang-ladang. Semuanya wajib digunakan oleh ahli-ahli dakwah sebaik-baiknya sehingga tercapai hasil yang diharapkan.”

  1. Mengadakan perhimpunan-perhimpunan, perayaan-perayaan bagi memperingati hari-hari kebesaran Islam, mengadakan khemah-khemah kerja, Rehlah Tarbawiyah atau perkelahan di dalam rangka tarbiah untuk menghilangkan kesan-kesan atau karat-karat jahiliah (rawasib al-Jahiliah), menziarahi saudara dan orang sakit serta lain-lain kegiatan yang lebih besar sesuai dengan tahap perkembangan dan kemampuan organisasi itu sendiri, seperti memberi bantuan kepada anak-anak yatim, orang fakir miskin di hari-hari raya, mendirikan masjid dan memakmurkannya, membuka sekolah-sekolah[4], perpustakaan, mengadakan kelab-kelab di dalam rangka tarbiah untuk memesatkan lagi penyebaran dakwah di dalam berbagai bidang secara lebih praktik dan berkesan serta kegiatan-kegiatan lain selagi mana ianya berada di atas sunnah dan diharuskan oleh syarak.

Segala usaha dan kegiatan para da’i dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya mestilah diizinkan oleh syarak, selagi mana syarak (Islam) mengharuskannya maka bolehlah digunakan, berpegang di atas kaedah: al-ghayah latubarriru al-wasilah—“matlamat atau tujuan tidak boleh menghalalkan cara”. Matlamat Islam ‘Rabbani’, jalan untuk sampai kepada matlamat juga mestilah Islamik (Rabbani), barulah akan mendatangkan natijah Islam sepertimana yang Allah kehendaki.

Di samping jalan yang diluluskan oleh syarak, niat juga mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah – ‘ubudiah lillahiwahdah – supaya terhindar daripada sifat syirik dan riak. Allah tidak akan menerima segala amalan yang tidak ikhlas kerana Allah, walaupun dilaksanakan di dalam bentuk syarak, supaya ianya tidak menjadi debu yang berterbangan tanpa penilaian daripada Allah, seperti yang ditegaskan oleh Allah di dalam firman-Nya:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا ٢٣

“Kami kemukakan segala amalan yang mereka lakukan, lalu Kami jadikan amal kebaikan itu debu yang berterbangan.” [5]

 قُلۡ إِنَّمَآ أَنَا۠ بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠

“…Maka barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Rabnya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seseorang  pun di dalam beribadat kepada Rabnya.” [6]

Perjalanan yang akan diharungi oleh para da’i adalah jauh, dipenuhi dengan duri dan ranjau disepanjang perjalanan, tenaga dan umur adalah terbatas, manakala kerosakan dan kejahatan semakin hebat dan mendapat sokongan, sedangkan makruf dipandang mungkar dan ditentang, oleh itu jalan mestilah syarak dan niat mestilah bersih semata-mata kerana Allah, semoga segala sumbangan dan pengorbanan dinilai dan diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala sebagai ibadah dan sumbangan bakti seorang hamba.

Oleh itu segala kerja dan kegiatan para da’i yang tulus ikhlas itu adalah baik jika dapat dirahsiakan kecuali jika kerja-kerja itu wajar diumumkan kerana kepentingan dakwah atau untuk menjadi contoh ikutan yang baik.

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

[1] Hawwa, Sa’id, al-Madkhal Ila Da’wah al-Ikhwan al-Muslimin, Bimunasabah Murur Khamsin ‘Aman ‘Ala Ta’sisiha, cetakan ke-2 (tanpa tempat percetakan, 1399H), h. 54

[2] Abi Ja’far Ahmad al-Syahir Bil Mahab al-Tabari, al-Riyad al-Nadrah fi Manaqib al-‘Asyrah, juzuk 3, Tahqiq Muhammad Mustafa Abu al-‘Ula, (Syarikah al-Taba’ah al-Fanniyah al-Muttahidah, 1390H), h. 141

[3] Al-Banna, Hasan, Majmu’ah Rasa’il al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, (Beirut, Dar al-Andalus, 1384H), h. 99-100

[4] Hawwa, Sa’id, Durus Fi al-‘Amal al-Islami, h. 45

[5] Al-Qur’an, Surah al-Furqan, 25:23

[6] Al-Qur’an, Surah al-Kahfi, 18:110

Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button