Fiqh Tarbiah

AL-QURAN MENDIDIK UMMAH

TAKRIF  AL-QURAN

Kitab  suci  al-Quran adalah Kalam Allah  Subhanahuwata’ala yang  bermukjizat, diturunkan kepada Nabi  Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam,  dipindahkan daripada baginda Sallallahu’alaihiwasallam dengan riway­at yang  mutawatir dan ditulis  dalam beberapa naskhah mashaf.  Membacanya merupakan satu  ibadah.  Inilah ta’rif al-Quran yang dipersetujui para ulama’ Usul Fiqh dan baha­sa.

HUBUNGAN AL-QURAN DAN AS-SUNNAH

Kebanyakkan hukum yang diterangkan dalam al-Quran bercorak kulli (tidak  secara detail atau terperinci). Peranan  as-Sunnah yang merangkumi  keperibadian, perkataan,  perbuatan  dan pengakuan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperincikan hukum-hukum al-Quran. Apabila seseo­rang berpegang dan beramal dengan as-Sunnah bererti dia berpegang dan beramal dengan al-Quran.

Al-Imam al-Auza’i telah meriwayatkan daripada Hassan Ibnu  ‘Atiy­yah, katanya: “Ketika wahyu turun kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, malaikat Jibril  membawa as-Sunnah yang mentafsirkan wahyu tersebut.  Maka setiap  perkara yang lahir daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam samada  dalam bentuk  perkataan, perbuatan mahupun pengakuan  berasal daripada wahyu Allah Subhanahuwata’ala jua.

Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلۡهَوَىٰٓ ٣  إِنۡ هُوَ إِلَّا وَحۡيٞ يُوحَىٰ ٤
Tidaklah (Rasul itu) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melain­kan apa yang telah diwahyukan kepadanya. (Surah an-Najm : 3-4)

Kehidupan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah penterjemahan realistik  al-Quran al-Karim. Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, maka dijawabnya: “Bahawa akhlaknya (Rasulullah SAW) adalah al-Quran. 

SUMBER PEMBENTUKAN UMMAH

Sumber  pembentukan  ummah  Islamiyyah  ialah  al-Quran  al-Karim manakala hadith atau sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah terbitan  dari­pada al-Quran al-Karim.

Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam adalah model yang praktikal bagi  didikan  Islam. Baginda adalah pentafsir kepada sistem tarbiyyah al-Quran  samada dengan amalan, budi pekerti atau pun arahan-arahan.

DIDIKAN AL QURAN SERTA NATIJAHNYA

Sistem  didikan  al-Quran adalah unik. Sistem  ini  tidak  meniru mana-mana  sistem  yang ada di bumi. Kesan atau  natijahnya yang pernah lahir juga unik, iaitu satu generasi yang sungguh mengka­gumkan  dan tiada bandingan dalam sejarah.  Generasi yang asal hidup  bersengketa dan berperangan sesama sendiri, bersatu  padu, membangun dan menegakkan nilai-nilai Rabbani (nilai yang diturun­kan Allah Subhanahuwata’ala) dalam kehidupan. Mereka menjadi model bagi manusia dan mereka telah mendapat pujian daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠
Kamu  adalah  sebaik-baik ummah yang diutuskan  kepada  manusia, kamu menyeru kepada ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran  dan kamu beriman dengan Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, maka tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasiq. (Surah ‘Ali Imran : 110)

PROSES PEMBENTUKAN ADALAH IRADAH ALLAH

Ummah  terbaik itu dikenali sebagai generasi al-Quran. Ummah itu natijah daripada tarbiah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdasarkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala.  Tarbiah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berjalan selama 23 tahun  –  13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Tiga  belas tahun di Mekah adalah masa pembinaan  dan pengukuhan aqidah Islamiah. Sepuluh tahun di Madinah adalah masa penegakan undang-undang dan hukum-hukum yang mengurus dan mengatur masyara­kat dan daulah Islamiah yang dibentuk Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Al-Quran membina dan mendidik aqidah ummah itu dalam jangka masa yang begitu lama kerana menurut iradah (kehendak) Allah Subhanahuwata’ala. Jika Allah  Subhanahuwata’ala  mahu, Allah Subhanahuwata’ala boleh menurunkan  ayat-ayat  al-Quran secara  lengkap  sekaligus lalu dibiarkan ummah  itu  mempelajari  dan  memahaminya. Sebenarnya iradah Allah Subhanahuwata’ala  tidak sedemikian. Allah Subhanahuwata’ala menghendaki satu sistem tertentu dan unik dalam  pembi­naan ummah. Pembentukan  aqidah berjalan serentak dengan kematan­gan ummah dan selaras dengan penurunan ayat-ayat al-Qur’an  yang beransur-ansur.  Allah  Subhanahuwata’ala menghendaki agar ummah  itu  dibina  dengan aqidah  Islamiah, selepas itu Islam yang  syumul  dapat dipraktikkan dengan baik.

Din  al-Islam  adalah Din Rabbani. Sistem  untuk melaksanakannya juga Rabbani. Sistem ini tidak boleh dipisahkan atau diketepikan. Lantaran  Din al-Islam didatangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala  untuk  membina aqidah  dan membentuk ummah, maka sudah tentu  sistem pembinaan dan pembentukan itu merupakan perencanaan atau perancangan  Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh dipandang sepi.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَقُرۡءَانٗا فَرَقۡنَٰهُ لِتَقۡرَأَهُۥ عَلَى ٱلنَّاسِ عَلَىٰ مُكۡثٖ وَنَزَّلۡنَٰهُ تَنزِيلٗا ١٠٦

Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya  engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit. (Surah al-Isra’ : 106)

Cara  penurunan  al-Quran merupakan perencanaan Allah Subhanahuwata’ala dalam proses pembentukan dan pembinaan ummah agar aqidah Islam  benar-benar  terbentuk, menjadi pegangan dan  lahir  dalam  pergerakan hidup, bukan sekadar teori atau pengetahuan semata-mata.

KEMUNCAK NATIJAH

Terbukti  dalam  sejarah  kemanusiaan,  didikan  al-Qur’an  telah melahirkan  generasi yang benar-benar mendokong al-Quran dan as-Sunnah.  Itulah proses didikan yang telah  menghasilkan generasi Muslimin sejati dan berwibawa mengepalai pimpinan alam  ke  arah kesejahteraannya. Generasi yang melengkapi sifat-sifat kepimpinan yang tinggi dan mulia, yang mengandungi pemuda-pemuda yang berji­wa  Tauhid dan tidak dipengaruhi atau terpengaruh  dengan  nilai-nilai keduniaan. Cita-cita mereka ialah memenangi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Mereka sentiasa bersedia menyahut panggilan Iman dan memandang kehidupan jahiliah tidak bernilai. Nilai  mereka sebenar ialah nilai Allah Subhanahuwata’ala.

Setiap  wakil  atau delegasi yang dikirimkan  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam  ke sesuatu tempat akan bertindak menurut apa yang dikehendaki  Allah Subhanahuwata’ala dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Perhatikanlah  sikap  Mu’az  bin Jabal Radhiallahu’anhu  yang menjadi  wakil Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ke Negeri Yaman. Sebelum beliau bertolak ke Yaman, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menguji beliau dengan katanya yang bermaksud:

“Wahai Mu’az! Bagaimanakah kamu hendak lakukan jika  dikemu­kakan sesuatu masalah kepadamu?”

Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum dengan apa yang tersebut di dalam Kitab Allah.”

Baginda bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak kedapatan di dalam Kitab Allah?”

Jawab Mu’az, “Saya akan berhukum menurut Sunnah Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam.”

Baginda  bertanya lagi, ” Bagaimana jika tidak terdapat di dalam Sunnah  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam?”

Jawab Mu’az, “Saya akan berijtihad  dan saya  tidak akan mengabaikan.”

Kemudian Rasulullah  Sallallahu’alaihiwasallam  berkata, “Alhamdulillah, Allah yang telah memberi pertunjuk kepada utusan  Rasu­lullah mengikut cara yang diperkenankan Rasulullah.”

Jawapan yang diberikan oleh Mu’az itu membuktikan bahawa pegangan hidup generasi sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah syariat Allah  Subhanahuwata’ala sahaja.  Mereka  meletakkan tuntutan al-Quran di  tempat pertama dalam hidup mereka. Mereka benar-benar terdidik dengan  al-Quran bahkan   kebanyakkan  dari  meraka  adalah Huffaz (penghafaz-penghafaz)  al-Quran. Dalam tragedi Bi’r al-Ma’unah  terdapat  70 orang sahabat huffaz telah gugur syahid. Dalam  peristiwa  al-Yamamah  pada zaman Khalifah Abu Bakr as-Siddiq terdapat 70 para huffaz telah syahid di suatu masa seperti yang pernah  dijelaskan oleh Imam al-Qurthubi.

AT-TASYRI’ AL KAMIL

At-Tasyri’  al-Kamil membawa maksud suatu perundangan yang  telah sempurna disyariatkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

حُرِّمَتۡ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلۡمُنۡخَنِقَةُ وَٱلۡمَوۡقُوذَةُ وَٱلۡمُتَرَدِّيَةُ وَٱلنَّطِيحَةُ وَمَآ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيۡتُمۡ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسۡتَقۡسِمُواْ بِٱلۡأَزۡلَٰمِۚ ذَٰلِكُمۡ فِسۡقٌۗ ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasih dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada Ku. Pada  hari ini (hari ‘Arafah, 10 Hijrah) Aku (Allah) telah  sem­purnakan bagi kamu Din kamu dan Aku sempurnakan ni’mat-Ku ke atas dan Aku redha Islam sebagai Din kamu. (Surah al-Maidah : 3)

Al-Quran telah diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam secara beransur-ansur melalui  dua tahap, iaitu Tahap Mekah dan  Tahap  Madinah. Kewujudan tahap-tahap itu menunjukkan adanya pemeringkatan syari­’a mulai awal kerasulan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam hingga saat hampir kewafa­tan baginda.

Syari’at  Islam kini telah lengkap dan sempurna. Oleh  itu  dalam konteks  pembangunan semula Ummah Islamiyyah kini,  syari’at itu tidak boleh dibataskan berasaskan Tahap Mekah dan Tahap Madinah. Hukum-hukum  dan undang-undang Islam sudah lengkap dan  sempurna dengan tamatnya wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

PERLAKSANAAN SYARIAT DALAM JAMAAH KINI

Bagaimanakah syariat Islam yang lengkap hendak dilaksanakan oleh jamaah  Islam dalam suasana atau realiti kini ?  Iaitu  realiti yang tidak membolehkan jama’ah melaksanakan semua tuntutan syari­at Islam.

Dalam  hal  ini, perlaksanaannya adalah terhenti  kepada suasana kelemahan  (ad-Da’if)  dan suasana kekuatan  (al-Quwwah) jama’ah atau Ummah Islamiah yang dibentuk. Suasana kelemahan umat Islam yang  tidak  melaksanakan semua tuntutan syariat  mengharuskan jamaah  Islam  mengambil rukhsah dalam  erti kata melaksanakan tuntutan syariat  sekadar kemampuan yang dimiliki oleh  jamaah. Namun penentuan mampu atau tidak mampu itu adalah di bawah  tang­gungjawab barisan kepimpinan (as-Saf al-Qiyadi) yang  mengendali­kan jamaah Islam.

Bagaimanapun  jamaah Islam tidak boleh berpuas hati dengan men­gambil rukhsah selama-lamanya. Bahkan sewajibnya kemampuan  jama­ah  Islam  itu dipertingkatkan kerana matlamat besarnya  ialah untuk  menegakkan Khilafah Islamiah. Khilafah dalam  pengertian mengurus semua  urusan dan memimpin  semua  makhluk berpandukan syariat  Islam serta melaksanakan semua  tuntutan  syara’  demi keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

JAMAAH ADALAH  ‘JALAN

Jamaah adalah ‘jalan’ yang mesti dilalui untuk menegakkan Khila­fah  Islamiah.  Oleh itu pembentukannya  adalah  wajib. Tahap kekuatan (al-Quwwah) jamaah Islam perlu ditingkatkan sehingga ia boleh  mengambil  ‘azimah,  bukan rukhsah.  Yakni ‘azimah dalam melaksanakan semua  hukum  yang dituntut  oleh syariat  Islam, kecuali dalam keadaan dharurah yang datang kemudian.

Khilafah  merupakan natijah (hasil) daripada pembentukan jama’ah atau ummah yang berasaskan didikan iman. Inilah sunnah Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
Allah menjadikan bagi orang-orang yang beriman antara kamu serta melaksanakan amalan-amalan yang saleh bahawa mereka akan  menjadi khalifah  di muka bumi sebagai mana orang-orang terdahulu   telah menjadi  khalifah.  Juga Allah telah menetapkan Din  mereka  yang Allah  telah  redha bagi mereka dan Allah akan tukarkan  suasana ketakutan dengan keamanan; mereka memperhambakan diri kepada  Aku (Allah)  tanpa  syirik sedikitpun dengan Aku. Barang  siapa  yang kufur selepas  itu maka mereka itu sebenarnya  orang-orang  yang fasiq.
(Surah an-Nur : 55)

ALLAH TERTINGGI

Khilafah yang dimaksudkan oleh Islam bukanlah orang perseorangan, keluarga atau kelas-kelas tertentu akan tetapi jamaah ummah yang ada kepimpinan.  Setiap  anggotanya pula yakin dan menyerah  kepada peraturan-peraturan  yang Allah Subhanahuwata’ala turunkan. Khalifah pula ber­tanggungjawab mengurus daulah dan semua urusan berdasarkan syari­at Allah Subhanahuwata’ala. Khalifah adalah wakil Allah Subhanahuwata’ala di bumi,  bukannya penggubal undang-undang berdasarkan kehendak sendiri.  Sesungguh­nya Pencipta undang-undang hanyalah Allah Subhanahuwata’ala.

Hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala dalam al-Quran dan as-Sunnah adalah  hukum-hukum tertinggi. Orang mukmin tiada pilihan lain  melainkan mematuhinya. Tiada sebarang hak bagi seseorang muslim atau mukmin untuk  membuat  hukum sendiri dalam  perkara-perkara  yang telah ditentukan  Allah Subhanahuwata’ala  dalam al-Quran  dan  as-Sunnah.  Sebarang penyelewengan  daripada  hukum  Allah Subhanahuwata’ala  dan Rasul-Nya  adalah berlawanan dengan aqidah atau iman. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦
Apabila  Allah dan Rasul-Nya menghukum mengenai  sesuatu  urusan maka  tidak boleh lagi bagi orang mukmin lelaki dan  perem­puan  memilih  berbuat mengikut kemahuannya. Barang  siapa  yang durhaka  kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia  benar-benar sesat . (Surah al-Ahzab : 36)

وَيَقُولُونَ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلرَّسُولِ وَأَطَعۡنَا ثُمَّ يَتَوَلَّىٰ فَرِيقٞ مِّنۡهُم مِّنۢ بَعۡدِ ذَٰلِكَۚ وَمَآ أُوْلَٰٓئِكَ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٤٧ وَإِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ إِذَا فَرِيقٞ مِّنۡهُم مُّعۡرِضُونَ ٤٨
Mereka  berkata, “Kami telah beriman dengan Allah dan Rasul  dan kami telah taat”, kemudian satu puak di kalangan mereka berpaling lagi  selepas itu, maka mereka bukan lagi orang mukmin.  Apabila mereka diajak  kepada hukum Allah dan Rasulnya supaya  berjalan hukuman di kalangan mereka tiba-tiba satu puak  daripada  mereka enggan menurutnya.
(Surah an-Nur : 47-48)

إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥١
Sesungguhnya  perkataan  orang yang  beriman  itu  apabila diajak  kepada hukum Allah dan Rasul-Nya supaya berjalan  hukuman di kalangan mereka, mereka berkata: “Kami dengar  dan kami  patuh” dan   mereka itulah orang yang berjaya.  (Surah an-Nur : 51)

 

 

 

Print Friendly, PDF & Email
Tags

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close