Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Penyakit-Penyakit Jiwa Dan Cara Mengubatinya
WhatsApp Image 2018-11-02 at 1.11.08 PM

Penyakit-Penyakit Jiwa Dan Cara Mengubatinya

Penyakit-penyakit  yang biasa terdapat dalam jiwa manusia ialah seperti berikut:

    1. Mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.
    1. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahuwata’ala.
    1. Lalai  terhadap tugas yang  dipertanggungjawabkan  oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada hamba yang muslim.
    1. Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi  dan disokong Allah Subhanahuwata’ala.
    1. Meninggalkan keputusan Allah Subhanahuwata’ala dalam kehidupan,  sebaliknya mengambil keputusan yang lain. Dalam realiti  kini, banyak ketentuan dan  ketetapan Allah Subhanahuwata’ala dipandang  tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia.  Manusia tidak memberi harga dan nilai yang sepatutnya kepada kehendak Allah Subhanahuwata’ala. Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah Subhanahuwata’ala.
      Mungkin  terdapat  segelintir  manusia  daripada  umat ini yang  memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan  Allah Subhanahuwata’ala. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah Subhanahuwata’ala maka dirasakan menjatuhkan maruah, seterusnya bersikap tidak  mempedu­likan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Ini satu penyakit jiwa.
    1. Tidak merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup yang meliputi pelbagai bidang ilmu penge­tahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.
    1. Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahuwata’ala, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain Allah Subhanahuwata’ala. Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka sudah  tentu tiada  lagi pergantungan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Hakikat ini  dinilai berasaskan  praktik hidup manusia hari ini, meskipun  dari segi dakwaan mereka mengakui merujuk dan bergantung  Allah Subhanahuwata’ala. Inilah yang sedang  nyata berlaku.
  1. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji  dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala.
    Allah  Subhanahuwata’ala memberitahu bahawa orang yang  beriman, bertaqwa  dan beramal soleh akan mendapat syurga. Allah juga memberitahu  orang  yang menentang-Nya dijanjikan azab  neraka. Namun  dalam perlaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah Subhanahuwata’ala. Jika  manusia  yakin akan janji-janji itu,  sudah  tentu realiti manusia  berbeza daripada  apa yang ada sekarang. Kini secara  meluas  manusia  berasa curiga dan syak dengan  janji-janji dan ingatan-ingatan Allah Subhanahuwata’ala.

Itulah  perkara-perkara  atau sebab-sebab yang  membawa penyakit kepada jiwa manusia.

Ubat yang mujarab

Tidak  ada  ubat yang boleh mengubati penyakit-penyakit  itu melainkan ubat  yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh  penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.

Untuk  mengubati  sesuatu penyakit, perlu  terlebih  dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.

    1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala, maka  ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala.
    1. Jika  penyakit itu ialah melakukan  amalan  berdosa, ubatnya  ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala.
    1. Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diber­ikan Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab terse­but dan kembali melakukannya.
    1. Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara  yang disukai Allah Subhanahuwata’ala, ubatnya ialah  perlu  mengambil berat, suka, redha dan cinta terhadapnya.
    1. Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala,  ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua hal kehidupan. Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan tidak boleh terlepas daripada  keputusan  Allah Subhanahuwata’ala.  Segala-galanya  perlu dirujuk dan dikembalikan kepada keputusan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu  meru­juk dan kembali kepada syara’ atau Islam sahaja.
  1. Jika  penyakit itu ialah memandang kecil  dan  hina terhadap nilai-nilai  Allah Subhanahuwata’ala,  ubatnya ialah  kembali  menilai  dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala. Manusia harus diberi  kefahaman  sebenar  terhadap nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala.  Dengan cara ini barulah  penyakit  tersebut  dapat sembuh.

Keriangan orang yang mentauhidkan Allah

Keseluruhan  cara  pengubatan di atas dipanggil  cara pengubatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap penyakit-penyakit jiwa.

Penyakit mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala, disembuhkan dengan cara  kembali mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Tauhid kepada Allah  Subhanahuwata’ala akan  membuka pintu  kebaikan, kegembiraan, dan  keriangan. Riang dan  gembira orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpu­ra-pura.  Keriangan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam.

Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang yang mentauhid­kan  Allah Subhanahuwata’ala.  Mereka sentiasa bertindak di atas landasan  sya­ra’.  Sekiranya mereka bertindak di atas landasan  syara’ tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna  tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit dalam jiwa mereka.

Taubat

Taubat  bermakna manusia kembali kepada Allah Subhanahuwata’ala,  peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri  dari­pada  segala perkara yang bertentangan dengan Islam, yang  boleh merosakkan  jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai bukan Islam dan kembali kepada nilai-nilai Allah Subhanahuwata’ala  sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang bertaubat kepada Allah Subhanahuwata’ala maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.

Taubat  akan  menutup segala pintu kejahatan  dan membuka pintu kebahagiaan serta  kebaikan.  Ini boleh dilakukan dengan  cara beristighfar  kepada Allah Subhanahuwata’ala dan mentauhidkan-Nya.

Sesiapa  yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripa­da  makanan  yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin  menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.

Dosa melemah dan mematikan jiwa

Thabit bin Qurrah berkata:

Kerehatan  badan  bergantung kepada kurangnya  makan.  Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan  lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi  badan.  Justeru itu dosa yang  dilakukan  seseorang  umpama meminum  racun.  Jika  dosa itu tidak  membinasakan  jiwa  secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia  mungkin  tidak memusnahkan badan tetapi ia  tetap  melemahkan badan).  Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit,  sama seperti  badan yang lemah tidak mampu melaksanakan  tanggungjawab dengan baik.

Abdullah bin Mubarak berkata:

Saya  dapati  dosa itu mematikan jiwa  manakala  melakukan  dosa hingga  sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan.  Men­inggalkan dosa bermakna  menghidupkan hati. Oleh itu adalah  baik bagi kamu agar menderhakai dosa

Realiti kini

Beralih kepada realiti hari  ini, manusia secara umumnya mender­hakai  syara’ atau ajaran Islam.  Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah  membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan. Hawa  nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih  cenderung  kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin  sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa  cukup gelisah bila dengar kalimah syara’, lalu  syara’ dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. Jiwa mengutamakan penyakit  daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit mencerca Allah Subhanahuwata’ala berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam  pelbagai bentuk sama ada secara  tersurat  atau tersirat. Contohnya, Allah Subhanahuwata’ala menurunkan hujan. Kedapatan  manu­sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan ’malam amal’ atau  majlis-majlis  tidak syar’i yang tertentu. Walaupun Allah Subhanahuwata’ala mengizinkan  hujan berhenti tetapi itu adalah al-istidraj. Allah SWT dengan terus membiarkan  mereka menunjukkan kemegahan.

Mencerca Allah Subhanahuwata’ala juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala, memandang Islam sebagai cara hidup  ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya.

Realiti  ini  menjadi semakin  payah  dan  sukar  bagi  para doktor  (para penda’wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu  pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada  umat keseluruhannya.

Mengubati dengan rahmat Allah SWT

Menurut Ibn al-Qayyim:

Tiada  harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu  kecuali hanya rahmat Allah Subhanahuwata’ala ke atas mereka sahaja.

Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhu­bung dan bergantung dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Abdullah bin ‘Abbas berkata:

Doa  kita harus mengandungi tauhid dan  mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahuwata’ala sebagai  yang  paling Agung, Tinggi dan Pemurah.

Maksudnya,  do’a  pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan  lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman  dan keyakinan akan sifat-sifat Allah Subhanahuwata’ala. Dengan  cara ini  barulah pendakwah-pendakwah  boleh mengharapkan  doa  itu dimakbulkan Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohd Zain

Rujukan: Kitab Ibn al-Qayyim al-Jauzi

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Kegembiraan Dan Kesedihan Sebagai Ukuran Iman

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّأَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *