Home / Dasar Umum Islam / Ukhuwah / Ukhuwah Islamiyah: Ta’rif, Pemeliharaan Dan Adab-Adabnya

Ukhuwah Islamiyah: Ta’rif, Pemeliharaan Dan Adab-Adabnya

Ta’rif ukhuwah

Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah mena’rifkan ukhuwah:

“Yang saya maksudkan dengan ukhuwah ialah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan aqidah.”

Ukhuwah Islamiyah atau persaudaraan Islam bermakna keterikatan hati atau jiwa di kalangan orang Islam. Ia diikat oleh Tauhidullah dan bukan dengan ikatan yang lain. Tauhid kepada Allah Subhanahuwata’ala merupakan ikatan yang paling kukuh. Dengan ukhuwah seseorang itu akan merasai bahagia bersama-sama dengan saudaranya. Perpecahan pula adalah dianggap seperti saudara kepada kekufuran.

Darjat ukhuwah

Ukhuwah lahir daripada kekuatan kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah salamatus sadr (berlapang dada). Dengan salamatus sadr, tidak ada di dalam hati seseorang sebarang halangan terhadap saudaranya. Ini kerana telah wujud saling percaya mempercayai antara mereka.

Manakala darjat kasih sayang yang paling tinggi ialah al-itsar, iaitu mengutamakan saudara lebih daripada diri sendiri.

Dalil ukhuwah

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم اذ كنتم اعداء فالف بين قلوبكم فاصبحتم بنعمته اخوانا وكنتم على شفا حفرة من النار فانقذكم منها كذلك يبين الله لكم اياته لعلكم تهتدون

ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

“Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dahulu (ketika Jahiliyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk.”

“Dan hendaklah terdapat di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada munkar. Merekalah orang yang beruntung.”

– Ali ‘Imran: 103-104.

Asy-Syahid Sayid Qutb di dalam mentafsirkan Surah Ali ‘Imran, ayat 103-104 di atas menyatakan bahawa tunggak bagi sebuah Ummah Islamiyah ialah:

  1. Al-I’tisam Bi Hablillahi – berpegang teguh dengan tali (din) Allah Subhanahuwata’ala
  2. La Tafarraqu – Jangan berpecah belah

Sebab penurunan ayat di atas adalah berkaitan dengan kisah golongan Yahudi Madinah yang cemburu terhadap ukhuwah di kalangan umat Islam ketika itu. Persaudaraan umat Islam yang lahir di antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj serta persaudaraan yang lahir di antara Golongan Muhajirin dan Golongan Ansar adalah amat unik. Lalu orang Yahudi menghasut umat Islam (bangsa Arab) agar mereka kembali berpecah seperti ketika dalam jahiliyah dahulu. Mereka mengungkit kisah Peperangan Bu’ath, peperangan antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj yang berlaku sebelum mereka menerima Islam. Akibat daripada hasutan itu mereka hampir-hampir berperang semula atas dasar perkauman. Dengan peristiwa tersebut maka Allah Subhanahuwata’ala menurunkan ayat di atas. Maka, mereka kembali sedar dan kembali berpegang dengan din Islam.

Ukhuwah adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala

Ukhuwah adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala kepada orang beriman. Allah Subhanahuwata’ala menanam ikatan ukhuwah dalam hati-hati mereka. Ia bukanlah ciptaan manusia. Ia bukan juga hasil daripada mana-mana ideologi atau kelompok duniawi. Ia adalah kurniaan Allah Subhanahuwata’ala ke atas hati-hati yang memiliki iman.

Realiti ukhuwah masa kini

Umat Islam ramai, tetapi kebanyakan mereka tidak terdapat ikatan aqidah yang hakiki. Banyak yang bersifat individualistik atau mementingkan diri sendiri. Ukhuwah Islamiyah nipis kerana jiwa diselaputi karat-karat jahiliyah. Di kalangan umat Islam sering berlaku pertelagahan kerana lunturnya ukhuwah Islamiyah.

Mewujudkan rangsangan ukhuwah

Ukhuwah tidak memadai untuk diperkatakan sahaja di dalam pelbagai program. Ukhuwah perlulah lahir atau dilahirkan dalam realiti kehidupan seharian. Ta’aruf adalah proses yang boleh menyuburkan ukhuwah. Pelbagai suasana perlu diwujudkan untuk mempertingkatkan ta’aruf.

Nasihat menasihati pula merupakan tuntutan ukhuwah atau persaudaraan. Seorang mu’min itu adalah cermin kepada saudaranya. Nasihat yang diberikan dalam suasana ukhuwah merupakan bukti percintaan antara mu’min.

Panduan memelihara ukhuwah berdasar ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala

  1. Surah Al-Hujurat, ayat 6. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    يا ايها الذين امنوا ان جاءكم فاسق بنبا فتبينوا ان تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين

    ”Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

    “At-Tabayyun” dalam ayat di atas bererti mencari penjelasan. Asy-Syahid Sayid Qutb menjelaskan bahawa seseorang mu’min itu hendaklah mencari penjelasan atau kebenaran terhadap maklumat yang dibawa oleh orang fasiqk.

  1. Surah Al-Hujurat, ayat 1. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

     يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

    “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan) dan janganlah pula wanita-wanita (memperolok-olokkan) wanita-wanita yang lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada wanita (yang memperolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim”.

    “La Yaskhar” dalam ayat di atas bererti janganlah memperolok-olokkan. Memperolok-olokkan saudara mu’min yang lain merupakan perbuatan yang boleh mengeruhkan perhubungan antara mu’min.

    “La Talmizu Anfusakum” dalam ayat di atas bererti janganlah mencela diri sendiri. Ini bermaksud tidak boleh mencela saudara tanpa sebab. Mencela saudara tanpa sebab bererti mencela diri sendiri.

    “La Tanabazu Bil Alqab” pula bererti janganlah memanggil dengan gelaran buruk. Tinggalkanlah gelaran-gelaran yang buruk. Tinggalkanlah perkataan cela, keji dan sebagainya, yang tidak disukai oleh saudara yang lain.

  1. Surah Al-Hujurat, ayat 12. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    يا ايها الذين امنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم ولا تجسسوا ولا يغتب بعضكم بعضا ايحب احدكم ان ياكل لحم اخيه ميتا فكرهتموه واتقوا الله ان الله تواب رحيم

    “Hai orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka sudah tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

    “Ijtanibu Kathiran Minaz Zann” dalam ayat di atas bererti hendaklah menjauhi kebanyakan daripada prasangka. Sebahagian daripada prasangka itu membawa kepada dosa. Perlunya berhati-hati terhadap prasangka kerana adalah sukar untuk membezakan antara prasangka yang betul dengan yang salah, kecualilah terdapat bukti yang jelas.

    “La Tajassasu” bererti janganlah mencari-cari kesalahan. Yakni, mencari kesalahan orang lain dengan cara mengintip dan membongkarkan kesalahannya. Sebaliknya tutuplah ia, bukan membiar atau mendedahkannya. Allah Subhanahuwata’ala kasih kepada hambanya yang menutup kesalahan saudaranya. Berilah peluang untuk saudaranya untuk bertaubat. Janganlah hanya dengan satu kesalahan akan menghapuskan seribu kebaikan yang dia lakukan. Badiuz Zaman Sa’id An-Nursi mengatakan bahawa janganlah kamu membakar rumah yang terdapat di dalamnya sepuluh orang hanya kerana salah seorang daripada mereka berkelakuan jahat, sedangkan sembilan yang lain adalah baik.

    “La Yaghtab Ba’dhukum Ba’dha” bererti janganlah mengumpat sebahagian terhadap sebahagian yang lain. Dengan mengumpat terdapat dua kemungkinan. Kemungkinannya umpatan itu benar atau tidak benar. Jika benar ia dinamakan Ghibah atau jika tidak benar ia namakan Fitnah.

ADAB-ADAB PERSAHABATAN

  1. Mencintai sahabat kerana Allah Subhanahuwata’ala:

    Satu daripada sifat-sifat muslim yang benar ialah cinta kepada saudara atau sahabatnya dengan cinta ikhlas yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

انما المؤمنون اخوة

“Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara”.

(Al Hujurat: 10)

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:

“Tiga perkara siapa yang ada padanya, dia menikmati kemanisan iman. Adalah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang selain keduanya. Dan dia mencintai seseorang atau tidaklah dia mencintainya melainkan kerana Allah semata-mata. Dan dia benci untuk kembali kufur setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam neraka.”

(Muttafaq ’alaih)

  1. Mengucapkan salam apabila bertemu

Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam tentang Islam, manakah yang baik?, Baginda menjawab, yang bermaksud:

“Engkau memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang lain samada yang sudah engkau kenal mahupun belum engkau kenal.” 

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam lagi, bermaksud:

“Kamu tidak akan masuk syurga sebelum kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sebelum kamu saling cinta-mencintai. Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu kerjakan, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai? – Sebarkanlah salam di kalangan kamu.”

(Riwayat Muslim)

  1. Menjenguk sahabat ketika sakit

Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda, yang bermaksud:

“Jenguklah orang yang sakit, beri makanlah orang yang lapar dan lepaskanlah orang yang dipenjara.”

  1. Mendoakan sahabat ketika dia bersin

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda, yang bermaksud:

“Apabila salah seorang di antara kamu bersin, hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), dan saudaranya atau temannya hendaklah mengucapkan untuknya, ‘Yarhamukallah (semoga Allah mengasihimu).’ Apabila dia mengatakan ‘Yarhamukallah (semoga Allah mengasihimu) kepadanya, maka hendaklah ia mengucapkan (kembali) ‘Yahdikumullah wa yushilihu balakum (semoga Allah memberikan petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu)” 

  1. Menziarahi sahabat di jalan Allah

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam telah bersabda, yang bermaksud:

“Barang siapa menjenguk orang sakit atau berziarah kepada seseorang saudara di jalan Allah, maka dia akan diseru oleh seorang penyeru, ‘Hendaklah engkau berbuat baik dan baiklah perjalananmu, engkau akan menempati suatu tempat di syurga.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi)

Muslim juga meriwayatkan daripada Nabi Salallahu’alaihiwasallam, yang bermaksud:

Bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di jalan Allah di desa lain. Kemudian di tengah perjalanan, Allah mempertemukannya dengan seorang raja. Ketika dia sampai kepadanya, dia ditanya, “Mahu ke mana engkau?”. Dia menjawab, “Aku mahu pergi menziarahi seorang saudaraku di desa ini”. Raja berkata, “Apakah engkau mempunyai suatu hikmah (harta) yang diurus olehnya?” Dia berkata, “Tidak, hanya saja aku ini mencintainya di jalan Allah Ta’ala”. Raja berkata, “Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah yang diutus kepadamu untuk menerangkan bahawa Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau telah mencintainya di jalanNya.”

  1. Menolong sahabat ketika kesempitan

Muslim yang benar bersifat pemurah. Tangannya sentiasa terbuka untuk sahabat-sahabatnya. Sifat mulia ini telah berakar umbi dalam jiwa para sahabat Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam. Ia menjadi amal soleh yang dicintai mereka. Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anh bahawa Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda, bermaksud:

“Seorang muslim itu adalah saudara bagi seorang muslim yang lain. Ia tidak boleh berbuat zalim kepadanya dan tidak boleh menyia-nyiakannya (membiarkan atau tidak menolongnya). Barang siapa menolong keperluan saudaranya, maka Allah akan menolong keperluannya. Barang siapa menyingkirkan suatu kesusahan daripada seorang muslim, nescaya Allah akan menyingkirkannya daripada suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Dan barang siapa menutupi (‘aib) seorang muslim, nescaya Allah akan menutupinya pada hari kiamat.”

  1. Memenuhi jemputan sahabat

Asy-Syaikhani meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud :

“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan (atau undangan) dan mendoakan orang yang bersin.”

  1. Memberikan ucapan selamat dalam beberapa kesempatan

Ad-Dailani meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anh, bermaksud:

Barangsiapa bertemu dengan saudaranya ketika bubar daripada solat jum’ah, maka hendaklah dia mengucapkan ‘Semoga Allah memperkenankan doa kita dan doamu.”

Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu apakah hak tetangga (termasuk sahabat)? Iaitu apabila dia meminta pertolongan daripadamu, maka kamu menolongnya, apabila dia meminta pinjaman daripadamu, maka kamu memberikan pinjaman, apabila dia mendapat kebaikan, maka kamu mengucapkan selamat kepadanya dan apabila dia mendapat suatu musibah, maka kamu hiburkannya.”

  1. Saling memberi hadiah dalam beberapa kesempatan

Ath-Thabrani meriwayatkan dalam Al-Ausath daripada Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bahawa baginda bersabda yang bermaksud:

“Saling memberilah hadiah di kalangan kamu, nescaya kamu akan saling mencintai”.

Dan Imam Malik dalam Al-Muwata’ meriwayatkan yang bermaksud:

“Saling bermaaf-maaflah di kalangan kamu, nescaya kedengkian akan hilang. Dan saling memberilah hadiah di kalangan kamu, nescaya kamu akan saling mencintai dan akan hilang permusuhan”.

Seorang sahabat berhak mendapat kasih sayang, perhatian, penghormatan, pertolongan dan kemuliaan akhlak daripada orang yang dekat dengannya. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam telah memberikan contoh yang baik kepada umatnya dalam berlemah lembut kepada para sahabat.

10. Tidak memutuskan hubungan dengan sahabat-sahabat dan tidak membelakangi mereka

Muslim yang benar dan menyedari ajaran din akan menyeru manusia lain kepada perhubungan dan kasih sayang. Bahkan dia mengharamkan pergaduhan, pemutusan hubungan dan sebarang pemulauan. Abu Hurairah telah mendengar Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam bersabda, yang bermaksud:

“Tidak halal bagi lelaki memulau seorang mukmin lebih dari tiga hari. Maka sekiranya telah berlalu tiga hari, maka hendaklah dia menemuinya dan mengucapkan salam kepadanya (memulakan perdamaian). Jika saudaranya itu membalas salamnya, maka keduanya berkongsi mendapat pahala. Dan jika dia tidak mahu membalas salamnya, maka muslim tadi telah terlepas daripada dosa pemulauan itu.”

Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam lagi, yang bermaksud:

“Jagalah diri kamu daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sangkaan itu adalah paling dusta dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip-mengintip, janganlah berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulau. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Bertolak ansur dan memaafkan sahabat

Muslim yang benar dapat menahan kemarahannya. Bahkan dia sangat bersedia untuk memaafkannya. Dia akan memejamkan mata terhadap kesilapan sahabatnya dan tidak merasa hina atau malu untuk memaafkan saudaranya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

الذين ينفقون في السراء والضراء والكاظمين الغيظ والعافين عن الناس والله يحب المحسنين

“Dan orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan”.

(Ali ‘Imran : 134)

Amalan atau sikap ini dilakukannya dengan tujuan mencapai keredhaan Allah Subhanahuwata’ala serta mengharapkan kemuliaan dan ketinggian yang telah dibayangkan oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam di dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Allah tidak menambah sifat maaf kepada seseorang hamba melainkan kemuliaan, dan tidaklah merendah diri seseorang kerana Allah melainkan Allah mengangkatnya.”

Ketinggian dan kemuliaan daripada Allah Subhanahuwata’ala dikurniakan adalah kepada Muslim yang pemaaf dan bertoleransi. Dia digolongkan di kalangan orang yang berbuat baik dan budiman, yang mana disebut oleh Al Qur’an sebagai al-muhsinin. Kelak dia akan dimasukkan di kalangan orang yang paling mulia dan dicintai Allah Subhanahuwata’ala.

12. Menemui sahabat-sahabat dengan muka berseri-seri

Seorang Muslim mestilah murni batinnya dan suci jiwanya. Senyuman mestilah sentiasa menghiasi wajahnya, ramah mesra kata-katanya dan riang gembira tergambar di wajahnya. Dia tidak akan sanggup menemui sahabat-sahabatnya kecuali dengan gembira dan sentiasa tersenyum sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam dengan sabda baginda yang bermaksud:

“Janganlah engkau meremeh-temehkan sesuatu kebaikan sekalipun hanya engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.”

(Riwayat Muslim)

Senyum adalah satu akhlak mulia yang digalakkan oleh Islam dan satu daripada amalan salih. Ia juga merupakan satu amalan baik yang membawa pahala dan ganjaran kepada pelakunya. Sesungguhnya wajah yang berseri-seri dan jernih adalah cermin hati yang bersih. Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:

“Senyum di hadapan saudaramu adalah sedekah.”

(Riwayat At-Tarmizi)

13. Menasihati sahabat

Muslim yang benar bertindak sebagai penasihat yang jujur kepada saudaranya. Dia tidak menipu dan mengkhianati mereka. Sabda Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:

“Din itu nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Baginda menjawab: Bagi Allah, kitabNya, RasulNya, pemimpin-pemimpin muslimin dan ummah muslimin.”

(Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”

(Muttafaq alaih)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *