Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Tugas Rasul

Tugas Rasul

Allah Subhanahuwata‘ala mengutuskan para  rasul  dengan  tugas-tugas   yang  ditentukan-Nya. Secara umumnya, tugas  Rasul ialah memikul  risalah  da’wah dan  menegakkan  din Allah Subhanahuwata‘ala.

Firman-firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُۥۚ وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِۗ

Wahai rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabmu, dan jika kamu tidak kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya, Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia.

(Surah Al-Maidah: 67)

شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِۚ

Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang din, apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah din dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya.

(Surah As-syura: 13)

1. Tugas Memikul Risalah Da’wah

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا

(Iaitu) orang  yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan.

(Surah Al-Ahzab : 39)

Termasuk dalam tugas memikul risalah da’wah ini ialah:

  • Memperkenalkan Al-Khaliq  (Allah Subhanahuwata‘ala) kepada  Oleh kerana  Allah Subhanahuwata‘ala bersifat  ghaib, maka  pengenalan  kepada-Nya hanya dapat dilakukan  melalui  ayat-ayat-Nya atau tanda-tanda  kekuasaan-Nya. Mengenal Allah melalui ayat-ayat-Nya ialah dengan cara membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Mengenal Allah melalui tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dengan cara memerhati dan memikirkan bagaimana penciptaan makhluk-makhluk-Nya di alam raya ini. Firman-firman-Nya:

سَنُرِيهِمۡ ءَايَٰتِنَا فِي ٱلۡأٓفَاقِ وَفِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّۗ أَوَ لَمۡ يَكۡفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٌ

Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu benar. Tidakkah cukup bahawa sesungguhnya Rabmu menjadi saksi atas segala sesuatu?

(Surah Fushilat :53)

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal

(Surah Ali-Imran : 190)

  • Mengajar manusia cara ibadah yang Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak mengada-adakan sendiri cara beribadah, bahkan mengikut tunjuk ajar daripada Allah Subahanuhuwata‘ala.  Dikatakan,  dalam riwayat,  bahawa Allah  mengutus  malaikat  Jibril  kepada baginda,  lalu  mengajar baginda bagaimana  berwudhu’ dan melakukan solat. Kemudian baginda mengajar pengikut baginda pula.
  • Menyampaikan kepada manusia panduan hidup atau din. Lafaz din dalam bahasa Arab  memiliki  beberapa  makna, antaranya  ialah sistem hidup. Din yang benar ialah Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ

Sesungguhnya din (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.

(Surah Ali-Imran : 19)

  • Mendidik manusia  dengan  arahan-arahan  dan  nasihat-nasihat  sehingga   manusia  memiliki sahsiah atau keperibadian muslim sebenar.

2. Tugas Menegakkan Din Allah Subhanahuwata‘Ala

Sistem  Islam, betapa  pun hebatnya, tidak akan  tertegak  sendiri   tanpa pejuang atau penegakknya. Jika Allah menghendaki, mudah saja bagi Allah untuk menegakkannya tanpa bantuan hamba-hamba-Nya. Tetapi   Allah Subhanahuwata‘ala memberikan  kesempatan   dan  kehormatan  kepada  hamba-hamba-Nya  untuk berperanan  (dengan izin-Nya) dalam  usaha menegakkan din-Nya di bumi.

Dengan usaha manusia menegakkan din Allah, maka manusialah yang akan mendapat  balasan  yang baik daripada Allah. Pemimpin  yang adil  (yang menegakkan din Allah) akan  mendapat  naungan-Nya pada hari  ketika tidak  ada naungan  selain naungan  Allah.

Menegakkan hukum-hukum Allah, memerlukan kedaulatan hukum-hukum itu sendiri. Dalam konteks ini, tugas rasul ialah:

  • Menegakkan khilafah

Disebut  khilafah  kerana  manusia  mendapat  mandat  daripada  Allah untuk  menegakkan syari’at-Nya dan mewujudkan  kemasalahatan untuk umat manusia.

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ

Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka din yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa, mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku, dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang yang fasik.

(Surah An-Nur:55)

Dalam menjalankan tugas kekhalifahan, manusia tidak boleh  menyimpang  daripada syari’at  Allah.

  • Membina Pendokong Da’wah (Rijalul Da’wah)

Dibina pendokong-pendokong da’wah adalah untuk berjuang bagi menegak dan membela din Allah. Maka, tugas Rasul ialah membina para pendokong atau pejuang, demi  kelangsungan  khilafah di bumi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada mungkar, merekalah orang yang beruntung.

(Surah Ali-Imran : 104)

  • Mengajar Panduan Berda’wah

Rasul bertugas membimbing pengikut dan pewarisnya manhaj untuk berda’wah (cara-cara berda’wah).

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ

Maka disebabkan rahmat daripada Allah-lah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekeliling kamu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.

(Surah Ali-Imran : 159)

  • Menegakkan Risalah Dalam Realiti Kehidupan

Rasul Sallallahu‘alaihiwasallam telah memperlihatkan contoh teladan bagaimana untuk  mengimplementasikan (menegakkan)  risalah Islam dalam realiti kehidupan manusia. Dalam menegakkan risalah Islam dalam kehidupan, baginda bertindak sebagai daie, pendidik sekaligus sebagai  pemimpin.

Rujukan:

  1. Syarah Rasmul Bayan Tarbiah, Jasiman Lc, Auliya Press Solo 2005.
  2. Materi Tarbiah Edisi Lengkap, Syarah Rasmul Bayan, Bina Insani Press 2006
Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Manusia Perlu Lihat Kepada Makanannya

Hendaklah Manusia Melihat Pada Makanannya Dalam sebuah ayat, Allah Subhanahuwata’ala berfirman: فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *