Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Kepentingan Ilmu Tauhid

Kepentingan Ilmu Tauhid

Antara isu utama yang akan disentuh ialah mengenai perbezaan asasi di antara seorang muslim dan orang kafir iaitu Dua Kalimah Syahadah. Baiklah, mari kita mulakan perbincangan!

Iman Adalah Asas Amalan

Mengapakah Allah Subhanahuwata’ala hanya menerima amalan orang Islam, dan menolak amalan orang kafir? Ini kerana orang kafir:

  1. Beramal bukan kerana mengharapkan pahala dan redha Allah Subhanahuwata’ala.
  2. Tidak takut kepada azab-Nya dengan mengabaikan yang halal dan haram.
  3. Tidak berusaha mencari agama Allah Subhanahuwata’ala (Islam).
  4. Tidak berusaha mendengar keterangan para Rasul AS.
  5. Mengejek dan mentertawakan ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala yang dibacakan kepada mereka.

Dalil-dalil Amalan Orang Kafir Tidak Diterima

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا ٢٣

Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.

(Al Furqan: 23)

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمۡۖ أَعۡمَٰلُهُمۡ كَرَمَادٍ ٱشۡتَدَّتۡ بِهِ ٱلرِّيحُ فِي يَوۡمٍ عَاصِفٖۖ لَّا يَقۡدِرُونَ مِمَّا كَسَبُواْ عَلَىٰ شَيۡءٖۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلضَّلَٰلُ ٱلۡبَعِيدُ ١٨

Orang yang kafir kepada Rabb mereka, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil manfaat sedikit pun daripada apa yang telah mereka usahakan (di dunia).  Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.

(Ibrahim : 18)

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَعۡمَٰلُهُمۡ كَسَرَابِۢ بِقِيعَةٖ يَحۡسَبُهُ ٱلظَّمۡ‍َٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمۡ يَجِدۡهُ شَيۡ‍ٔٗا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ ٣٩

Dan orang yang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apa pun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya.

(An Nur : 39)

Analogi: Muslim Vs Kafir.   

Ada dua orang lelaki masuk ke dalam sebuah kebun yang penuh dengan buah-buahan.

Lelaki 1:

  1. Terus makan buah-buahan yang ada sehingga kenyang.
  2. Melakukan kerja-kerja dalam kebun tersebut.
  3. Ada pokok yang ditanam dan yang dicabut dengan sesuka hatinya.
  4. Tidak mengendahkan teguran wakil pemilik kebun.

Lelaki 2:

  1. Tidak berbuat apa-apa, malah menunggu pemilik kebun atau wakilnya.
  2. Mendengar segala arahan wakil pemilik kebun.
  3. Membuat kerja-kerja mengikut arahan yang diberikan oleh wakil pemilik kebun.

Soalan:

Di akhir bulan nanti, siapakah yang paling layak mendapat upah daripada pemilik kebun?

Pengajaran daripada analogi di atas ialah:

  1. Alam dan segala isinya adalah hak milik Allah Subhanahuwata’ala.
  2. Para rasul adalah utusan dan wakil-Nya di bumi.
  3. Orang Beriman beramal berpandukan petunjuk Rabbnya.
  4. Orang kafir berbuat seenak hatinya tanpa mengendahkan perintah Rabb, malah memusuhi para rasul-Nya.

Syahadatain Adalah Pintu Masuk Islam.

Pada pendapat anda, kenapa mengucap dua kalimah syahadah menjadi rukun Islam yang pertama?

أشهد أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأشهد أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّه

Untuk memahaminya, mari kita lihat secara ringkas makna bagi kandungan Dua Kalimah Syahadah ini.

Bahagian Pertama: Asyhadu alla ilaaha illallaah:     

  1. Mengaku dan percaya bahawa alam ini ada Tuhan yang mencipta, membuat, mengatur dan memerintahnya.
  2. Dia adalah Tuhan (Allah Subhanahuwata’ala) Yang Maha Esa, Tiada sekutu bagi-Nya.
  3. Manusia adalah sebahagian daripada ciptaan-Nya.

Bahagian Kedua: Asyhadu anna Muhammadan Rasulullaah:

  1. Beriman dan percaya bahawa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam adalah Pesuruh Allah Subhanahuwata’ala.
  2. Baginda diutuskan untuk membawa hidayah dan keterangan.
  3. Menerangkan perkara halal yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala dan perkara haram yang dimurkai-Nya.
  4. Hanya dengan ittiba’(mengikut) Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, manusia dapat melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Tauhid dan Syahadah

Walaupun seseorang telah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, ucapan syahadah sahaja tanpa pemahaman tentang tauhid adalah tidak sempurna. Syahadah dan keIslaman seseorang akan menjadi benar setelah dia memahami ilmu tauhid dan melaksanakan Tauhidullah.

Sepertimana firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لِذَنۢبِكَ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مُتَقَلَّبَكُمۡ وَمَثۡوَىٰكُمۡ ١٩

Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada ilah (yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.

(Muhammad: 19)

شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١٨

 Allah menyatakan bahwasanya tidak ada ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

(Ali Imran: 18)

 

RUJUKAN:

http://jomtarbiyah.blogspot.com/ (dengan merujuk kepada Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani)

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Kita Hidup Dalam Lautan Udara

Udara dan Kehidupan Aktiviti: Cuba tutup hidung dan mulut anda selama 1 atau 2 minit, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *