Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Tarbiah / Tasawwur Tarbiah (Konsep Pendidikan)

Tasawwur Tarbiah (Konsep Pendidikan)

MUQADDIMAH

Tarbiah (pendidikan) adalah wasilah terpenting dan berkesan untuk pembangunan sesuatu ummah.

Maju atau mundurnya sesuatu ummah bergantung rapat kepada maju dan mundurnya pendidikan ummah tersebut. Oleh itu tarbiah (pendidikan) menjadi perkara utama di dalam perancangan dan pembangunan sesuatu ummah.

Umat manusia tidak dikira sebagai maju atau bertamaddun dalam ertikata sebenar tanpa memiliki sifat atau akhlak mulia. Akhlak mulia dan terpuji tidak lahir secara kebetulan. Pembentukannya perlu melalui proses pentarbiahan dan pendidikan yang betul.

Pendidikan secara terancang dikira nadi kepada pembangunan dan pencorak ummah untuk mencapai matlamat yang dicita-citakan.

TA’RIF TARBIAH

Kata tarbiah berasal daripada bahasa Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan, bimbingan dan tunjuk ajar. Berdasarkan ta’rifan ini dapatlah difahami bahawa tarbiah memerlukan proses secara teori dan praktikal untuk membentuk individu atau kumpulan. Individu atau kumpulan perlu dididik secara berterusan berdasarkan sistem tertentu bagi mencapai matlamat yang diharapkan. Tarbiah merupakan proses bimbingan sepanjang hayat, tanpa henti.

TARBIAH BAGI GERAKAN ISLAM

Sebuah gerakan Islam perlulah menjalankan tarbiah Islamiyah harakiyah (tarbiah Islam berbentuk gerakan). Manhajnya (sistemnya) perlu mengikut manhaj tarbiah Islamiyah. Antara ciri-ciri manhaj tarbiah Islamiyah ialah:

  1. Bersumberkan sumber Rabbani iaitu Al-Quranul Karim, sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sirah baginda bersama para sahabat Radhiallahu’anhum.
  2. Memberi fokus kepada seluruh aspek peribadi manusia iaitu fizikal, rohani dan ‘aqal.
  3. Bersifat maidani waqi’i iaitu lahir dalam kehidupan secara amali dan praktikal.
  4. Mempunyai model utama untuk diambil kaedah dan contoh teladan iaitu model Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.
  5. Berjalan dalam bi’ah (suasana) solehah yang memelihara pembangunan dan perkembangan orang yang ditarbiah.
  6. Mempunyai murabbi (pendidik) yang memiliki sifat-sifat murabbi sebenar.

Tarbiah Islamiyah harakiyah bermaksud tarbiah yang dirancang dengan teliti, berdasarkan manhaj yang betul dan dilaksanakan dalam harakah yang memiliki ciri-ciri harakah Islamiyah sebenar. 

MATLAMAT TARBIAH ISLAMIYAH

Matlamat tarbiah Islamiyah ialah untuk melahirkan muslim yang betul aqidahnya, sahih ibadahnya, kukuh akhlaknya, terdidik aqal fikirannya, kuat tubuh badannya, mampu bekerja (mencari nafkah hidup), bermujahadah terhadap dirinya sendiri, menjaga waktunya, teratur dalam urusannya, memberi faedah kepada orang lain dan sifat-sifat mulia lain yang menggambarkan kesempurnaan sahsiah Islam.

Kualiti muslim sebeginilah yang akan sanggup membangunkan rumahtangga Islam dan masyarakat Islam, InsyaAllah. Kualiti muslim inilah yang mampu untuk merealisasikan   hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala di dalam kehidupannya dan masyarakatnya.

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN TARBIAH MENGIKUT PANDANGAN MUHAMMAD QUTUB

Kemampuan dalam mentarbiah bagi seseorang murabbi sebenarnya merupakan satu mauhibah (anugerahan) ilmu dan fan (seni).

Mauhibah daripada Allah Subhanahuwata’ala akan menjadikan seseorang murabbi berserta sifat-sifatnya mampu mentarbiah dan membimbing orang lain dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman membentuk sahsiah.

Manakala fan (seni) yang dipelajarinya dengan betul dapat membantu murabbi menyesuaikan isi tarbiah dengan keadaan manusia yang dihadapinya.

Sesungguhnya semua ciri ini terkumpul pada diri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sebagai murabbi agung. Allah Subhanahuwata’ala sendiri yang mendidik Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Oleh itu pendidik (murabbi) perlu memiliki sifat-sifat bagi melayakkannya untuk memikul tanggungjawab besar dan berat ini. Sifat-sifat berkenaan ialah:

  1. Anak murid yang menerima tarbiah merasai murabbinya lebih tinggi daripadanya. Dia merasai secara tabi’i bahawa yang penerima penerima tarbiah tidak setaraf dengan murabbi atau lebih tinggi daripada murabbi. Inilah hakikat kejiwaan yang bermain di dalam jiwa secara tabi’i. Anda sebagai murid yang menerima tarbiah daripada murabbi, perlu menerima hakikat bahawa anda adalah murid, kalau tidak, anda tidak akan menerima keberkesanan tarbiah daripada murabbi anda.Oleh itu sahsiah murabbi perlu lebih sempurna daripada sahsiah anak murid dalam banyak hal supaya keberkesanan tarbiahnya akan sampai kepada anak muridnya.

    Lebih-lebih lagi sekiranya murabbi berdepan dengan orang dewasa, maka ciri ini lebih diperlukan. Murabbi perlu memiliki sifat kepimpinan supaya muridnya merasai kelebihan murabbi dan tarbiahnya lebih berkesan kepada mutarabbi (orang yang dididik).

    Yang dimaksudkan dengan kelebihan murabbi di sini bukanlah kelebihan ilmu pengetahuan yang bersifat teori semata-mata, tetapi kelebihan dalam bentuk tajribah (pengalaman) dan waqi’i (realistik). Murabbi mempunyai sahsiah yang tinggi di segi aqli, ruhi dan akhlaqi. Ia menjadi suatu realiti dan terbukti dalam kehidupan murabbi itu .

  2. Murabbi perlu mempunyai sesuatu secara realistik, samada ilmu, tajribah atau sahsiah, yang boleh diberikan kepada anak muridnya. Ada orang memiliki kelebihan tertentu tetapi tidak mampu memperturunkan kepada orang lain secara realistik. Seseorang yang tidak terlibat secara langsung dalam perlaksanaan tarbiah secara waqi’i, biasanya tidak dapat mendidik orang lain dengan berkesan.
  3. Murabbi perlu memberikan tarbiah dengan cara terbaik dan penuh hikmah. Murabbi perlu memiliki rasa kasih terhadap anak muridnya, semoga anak muridnya mendapat kebaikan dan kejayaan.Murabbi perlu juga bersifat lemah lembut di samping sifat tegas. Sifat lemah lembut yang betul dan sesuai pada tempatnya adalah perlu dalam pelaksanaan tarbiah. Begitu juga dengan sifat tegas.
  4. Murabbi berwibawa dan mengambil berat terhadap anak muridnya. Anak murid tidak akan terbuka hati kepada murabbinya sekiranya dia merasai murabbinya tidak mengambil berat terhadapnya. Oleh itu sikap ambil berat dan ‘ria’ayah’ menjadi faktor terpenting di dalam operasi tarbiah Islamiyah harakiyah yang perlu dimiliki oleh setiap murabbi.
  5. Murabbi perlu mampu membuat mutaba’ah (susulan) dan bimbingan terus menerus.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENOLONG BAGI MENCAPAI KEJAYAAN TARBIAH MENGIKUT PANDANGAN DR YUSOF AL QARDAWI

  1. Keyakinan bahawa tarbiahlah merupakan wasilah yang luar biasa untuk mencapai perubahan masyarakat, pembinaan rijal dan kejayaan mencapai cita-cita. Dalam konteks ini, Hasan al-Banna berkata:‘Jalan tarbiah sungguh jauh, sukar dan bertahap-tahap. Oleh kerana jauh perjalanannya dan sukar pula, maka sangat sedikit yang mampu memikul tugas tarbiah (membina) masyarakat atau ummah’.Seterusnya Hasan Al-Banna berkata bahawa tidak ada jalan lain untuk sampai kepada matlamat pembangunan ummah kecuali melalui proses tarbiah. Inilah jalan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berjaya membentuk jil (generasi) Rabbani contoh.
  2. Manhaj Tarbiah mempunyai matlamat yang telah ditetapkan, langkah-langkahnya jelas, sumbernya tetap, prosesnya lengkap melengkapi dan kepelbagaian uslub. Semuanya diambil daripada sumber Islam, bukan daripada sumber lain.
  3. Suasana Jama’i yang ijabi (positif) disediakan oleh jama’ah. Oleh itu setiap muslim/muslimah menjadi faktor pembantu kepada penghayatan kehidupan Islam dengan pelbagai penglibatan, tunjuk ajar dan qudwah yang lahir dalam bentuk amalan.
  4. Pemimpin bertindak, diwaktu yang sama, membawa sifat sebagai murabbi dengan sifat-sifat semula jadinya, dengan ilmu pengetahuan yang ada padanya, dengan pengalaman-pengalamannya dan Allah Subhanahuwata’ala anugerahkan kepadanya bekalan iman yang luar biasa. Sungguh berkesan bagi jiwa yang menghubunginya. Dia mencurahkan daripada hatinya pelbagai hikmah kepada setiap hati yang berada di sekelilingnya. Sebenarnya, percakapan sekiranya ia keluar daripada hati, maka akan masuk ke dalam hati yang lain tanpa perlu meminta izin. Tetapi jika ia hanya keluar daripada lidah sahaja, maka ia tidak akan melewati lubang telinga.
  5. Wujudnya murabbi yang ikhlas, kuat dan beramanah akan memberi kesan yang positif kepada anak-anak didik, yang mana nanti akan menggantikan mereka menjadi pendidik yang ikhlas pula dan begitulah seterusnya. Kata Dr Yusof al Qardawi:“Saya tidak maksudkan para murabi/pendidik-pendidik di sini, mereka yang keluar dengan ijazah daripada pusat-pusat pengajian tinggi atau mereka yang membawa Sarjana, MA atau Phd dalam jurusan tarbiah, tetapi yang saya maksudkan ialah mereka yang mempunyai bekalan iman yang tinggi, mempunyai kekuatan rohani dan kesucian diri, kekuatan semangat, berjiwa besar dan berkemampuan memberi kesan yang baik kepada orang lain. Kemungkinan ia seorang jurutera atau pegawai atau peniaga atau buruh yang tidak ada hubungan langsung dengan kajian tarbiah”.
  6. Wasilah tarbiah yang fleksibel dan pelbagai – ada yang berbentuk fardi dan ada yang berbentuk jama’i. Ada teori dan ada praktikal. Ada berbentuk ‘aqli dan ada yang berbentuk ‘atifi (semangat/perasaan). Ada ijabi dan ada salbi. Ada yang berbentuk pelajaran, syarahan, kuliah, seminar dan nasyid. Ada pula berbentuk usrah, katibah, perkhemahan dan sebagainya.

SIFAT-SIFAT KHUSUS KELAINAN TARBIAH ISLAMIYAH DARIPADA TARBIAH LAIN

  1. Rabbaniyyah – bersifat rabbani iaitu berteraskan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Aspek rabbani atau imani dalam tarbiah adalah aspek yang terpenting dan paling berkesan kerana matlamat tarbiah Islamiyah  ialah membentuk insan mukmin dan iman yang menggerakkan hati dan tindakan. Fikiran dan kemahuan seseorang itu hendaklah diterjemahkan ke dalam realiti kehidupannya mengikut corak yang dikehendaki oleh Allah Subhanahuwata’ala. Islam bukan sekadar pengetahuan yang berlegar di dalam kepala seseorang mukmin, malah ia meliputi iman sebenar sebagai unsur dalaman yang mampu menterjemahkan kehendak iman ke dalam realiti kehidupan selaras dengan kehendak Allah Subhanahuwata’ala.Sebenarnya teras tarbiah rabbaniyyah ialah hati yang hidup dan berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala, yakin sepenuhnya dengan Allah Subhanahuwata’ala, yakin sepenuhnya dengan pembalasan-Nya, takutkan azab-Nya dan mengharapkan rahmat-Nya. Inilah hakikat keimanan sejati terhadap Allah Subhanahuwata’ala. Hati yang hidup inilah menjadi tempat pemerhatian Allah Subhanahuwata’ala dan tempat diturunkan cahaya Allah Subhanahuwata’ala.

    Tarbiah sebenarnya berusaha menghidupkan hati dan jiwa supaya tidak mati dan memakmurkannya supaya tidak terbiar. Mendidiknya supaya tidak keras. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam meminta perlindungan daripada Allah Subhanahuwata’ala daripada ilmu yang tidak berfaedah dan hati yang tidak khusyuk.

    Hati manusia, sepertimana badan, memerlukan kepada tiga perkara:

    a) Pencegahan supaya ia selamat.
    b) Makanan/zat supaya ia terus hidup.
    c) Rawatan supaya ia sihat.

  2. Takamul dan syumul – lengkap melengkapi dan meliputi pelbagai aspek. Tarbiah Islamiyah tidak terbatas kepada aspek-aspek tertentu sahaja. Ia meliputi keseluruhan fakulti insan baik rohani, jasmani mahupun aqli. Tarbiah Islamiyah tidak menekankan aspek rohani semata-mata seperti yang dilakukan oleh ahli tasawuf dan akhlaqiyun. Dan tidak pula menekankan aspek fikri semata-mata seperti yang dilakukan oleh ahli falsafah dan ahli akademik. Dan tidak pula menekankan aspek badani semata-mata seperti yang dilakukan oleh ahli riadah dan tentera. Atau menekankan kepada aspek kemasyarakatan dengan meninggalkan aspek siasah atau menekankan aspek siasah semata-mata dengan meninggalkan aspek ekonomi atau menekankan aspek pembangunan kebendaan semata-mata tanpa memberi hak sepatutnya kepada aspek pembangunan rohani dan mental.Sifat syumul ini adalah selaras dengan hakikat mengapa manusia dijadikan oleh Allah Subhanahuwata’ala, selaras dengan kehendak kemanusiaan itu sendiri dari segi hakikat kejadiannya dan selaras dengan taklif amanah din yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Din yang syamil dan kamil meliputi seluruh kehidupan alam ghaib dan nyata.
  3. Ijabiyah bina’ – positif dan membina. Tarbiah Islamiyah merangsang kepada aspek-aspek ijabi dalam pembinaan, bukan mencari ke’aiban peribadi manusia. Ia memberi tumpuan kepada pembentukan sahsiah yang mulia. Mengutamakan aspek amalan daripada banyak bercakap, berbincang dan berjadal kalami (bertikam lidah).
  4. Tawazun – seimbang. Tarbiah Islamiyah memperseimbangkan semua yang menjadi penggerak kepada kehidupan insan – fizikal, akal, perasaan, rohani, teori, amali, syu’ur individu dan syu’ur jama’i. Ia seimbang antara musyawarah dan taat, antara hak dan tanggungjawab, antara baru dan lama. Semua hak diberikan mengikut apa yang sepatutnya, dan diperseimbangkan bagi menjamin keadilan dan perseimbangan yang positif.
  5. Ukhuwah dan Jamaah – persaudaraan dan jamaah. Tarbiah Islamiyah menekankan ukhuwah di kalangan anggota kerana ukhuwah Islamiyah sangat penting dalam pembentukan ummah Islamiyah. Hasan al-Banna menjadikan ukhuwah sebagai salah satu rukun bai’ah. Ukhuwah, kata Hasan Al-Banna, ialah keterikatan hati dengan ikatan aqidah. Aqidahlah sekukuh-kukuh ikatan. Ukhuwah ialah saudara bagi iman. Tafarruk (perpecahan) adalah saudara bagi kufur. Kita perlu ada kekuatan wihdah. Wihdah tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Minima kasih sayang ialah salamatul sadr (berlapang dada). Dan paling tinggi kasih sayang ialah mengutamakan saudara lebih daripada diri sendiri.

GEJALA-GEJALA YANG MERENCATKAN PROSES TARBIAH

Terdapat, sekurang-kurangnya, tiga gejala yang boleh merencatkan proses atau perjalanan tarbiah. Gejala-gejala itu ialah:

  1. Suasana Luaran. Seperti yang sama-sama kita maklumi bahawa fenomena hidup masyarakat kini adalah hasil atau natijah daripada sistem tarbiah yang disogokkan oleh sistem yang tidak Islamik. Proses pentarbiahan daripada sistem tarbiah sedia ada membentuk corak kehidupan hari ini, hingga menjadikan ajaran Islam sebagai ‘dagang’ di dalam kehidupan muslim dan masyarakat orang Islam. Yakni dagang di segi fikrah, dagang di segi peradaban dan dagang di segi nilai. Apa yang dilihat berlaku di sekeliling kita melalui media massa dan realiti kehidupan harian merangsang ke arah kekeliruan fikrah atau kefahaman daripada memahami Islam sebenar (Islam sebagai din yang syumul).
  2. Suasana Dalaman. Suasana yang berlaku dalam sebuah organisasi Islam seperti wujudnya tindakan-tindakan yang berlawanan dengan sahsiah mukmin sebenar. Sebagai contoh anggota dalam organisasi itu banyak tsartsar (banyak bercakap dengan percakapan yang melalaikan), meragui kepimpinan dan banyak mengumpat sesama anggota.
  3. Suasana Peribadi. Natijah daripada tarbiah yang tidak Islamik sering melahirkan sikap, tingkahlaku dan adab yang tidak secocok dengan Islam. Sifat-sifat ini boleh merencatkan tarbiah. Sebagai contoh sifat panas baran seseorang boleh merosakkan suasana berhujah, berbincang dan bermesyuarat. Sifat sombong, takabur dan tinggi diri pula boleh menjejaskan ibadah hati dan menolak nasihat yang baik.

PENUTUP

Teraju tarbiah perlu berada di tangan orang yang memiliki fikrah Islam yang benar dan mendokong sahsiah mukmin dalam hidupnya. Urusan tarbiah tidak boleh diserahkan kepada orang yang bersifat tsartsar, pemecah belah dan tidak memahami tasawwur tarbiah sebenar.

Untuk memantapkan sesebuah organisasi Islam, perlulah tumpuan diberi kepada proses tarbiah. Tarbiah diletakkan pada kedudukan yang utama.

 

Susunan oleh: Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain

Suntingan oleh: Abu Taqiy Hussein

2 comments

  1. Alhamdulillah

  2. Syukran. Sangat bermanfaat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *