Taqwa

Pengertian taqwa

  1. Suatu hari Saidina Umar Radiallahuanhu pernah bertanya kepada Ubai bin Ka’ab tentang taqwa, “Apakah yang dimaksudkan tentang taqwa ya Ubai?”. Kata Ubai, “Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “Ya, saya pernah”. Kata Ubai, “Apakah yang engkau buat?”. Kata Umar, “Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah”. Kata Ubai, “Itulah taqwa.”
  1. Taqwa adalah satu pengawasan. Untuk sampai ke peringkat taqwa seperti ini, maka seseorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar akan Islam terutama perkara-perkara yang fardu dan wajib. Kalau tidak melalui jalan ini maka seseorang tidak boleh menjadi seorang yang bertaqwa pada Allah Subhanahuwata’ala dalam ertikata yang sebenar. Dia tidak akan tahu hendak mengawasi diri, dia akan terpijak duri dan tidak tahu mengikuti nilai Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu seseorang mestilah terlebih duhulu beriman pada Allah dan memahami ajaran Islam.
  1. Taqwa juga adalah neraca. Taqwa membezakan diantara buruk dengan baik. Taqwa kepada Allah juga akan memurahkan rezeki. Taqwa akan memudahkan segala kesusahan. Taqwa menyebabkan pintu syurga Allah akan dibuka.

Taqwa lahir daripada perasaan takutkan Allah

Takutkan Allah Subhanahuwata’ala akan melahirkan taqwa kepada-Nya.

Mengenai takut:

  1. Takut kepada Allah Subhanahuwata’ala bermakna bahawa kita mematuhi dan mendampingi Allah Subhanahuwata’ala dalam semua urusan.
  1. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ada bersabda bahawa baginda adalah orang yang paling takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  1. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam juga ada bersabda bahawa baginda adalah orang paling mengenali Allah Subhanahuwata’ala dan takut kepada-Nya.
  1. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’alaakan berjaga-jaga dan berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang dimurkai-Nya. Dia berjaga-jaga agar tidak terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala mencampakkan ke dalam hatinya sifat berani dan ‘izzah (rasa mulia) dengan iman.
  1. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala tidakakan takut kepada musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala. Dia tidak merasa segan silu dalam memperkatakan kebenaran.
  1. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bahawa:

    مَنْ خافَ اللهَ عزَّ وجلَّ ، خَوَّفَ اللهُ مِنهُ كلُّ شيءٍ ، ومَنْ لَمْ يَخَفِ اللهَ ، خَوَّفَهُ اللهُ من كلِّ شَيءٍ

    Sesiapa yang takut kepada Allah ‘Azzawajalla maka Allah akan gerunkan setiap sesuatu kepadanya, Sesiapa yang tidak takutkan Allah, Allah akan gerunkannya dengan setiap sesuatu.

    (Riwayat Albani)[1]

  1. Sesiapa yang takutkan Allah Subhanahuwata’ala, dia akan dapat mengawal nafsu syahwat. Maksiat akan dapat ditinggalkannya. Maksiat itu umpama madu yang telah bercampur dengan racun. Dia akan meniggalkannya setelah diketahuinya.
  1. Dengan rasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, maka anggota zahir seseorang itu akan terbentuk dengan baik, termasuklah tingkahlakunya. Sifat angkuh, ‘ujub dan riya’ akan hilang. Lahirlah rasa khusyu’ dan tawadhu’.
  1. Dengan takut, hatinya menjadi bersih serta suci, jiwanya luhur, matanya mudah mengeluarkan air mata dan tangannya menjadi pemurah. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda:

    ليس شيٌء أَحَبَّ إلى اللهِ من قطرتينِ ، وأثريْنِ: قطرةُ دموعٍ من خشيةِ اللهِ ، وقطرةُ دمٍ تُهراقُ في سبيلِ اللهِ

    Tiada sesuatu yang lebih dicintai oleh Allah (Subhanahuwata’ala) daripada dua titisan: titisan air mata yang mengalir kerana takutkan Allah, titisan darah yang mengalir di jalan Allah (jihad fisabilillah).

    (Riwayat at-Tirmizi)[2]

  2. Orang yang takut kepada Allah Subhanahuwata’ala juga akan sentiasa sedar bahawa Allah Subhanahuwata’ala memerhatikannya. Dia tidak merasa mudah untuk selamat daripada azab dan tindakan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    وَمَن يَعۡشُ عَن ذِكۡرِ ٱلرَّحۡمَٰنِ نُقَيِّضۡ لَهُۥ شَيۡطَٰنٗا فَهُوَ لَهُۥ قَرِينٞ ٣٦

    Barangsiapa yang tidak ingat kepada Ar-Rahman (Allah) maka Kami akan adakan baginya syaitan, maka syaitan itu sebagai teman karibnya.

    (Surah az-Zukhruf: 36)

  3. Sifat-sifat orang Muslim yang mulia dijelaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam Firman-Nya:

    إِنَّ ٱلَّذِينَ هُم مِّنۡ خَشۡيَةِ رَبِّهِم مُّشۡفِقُونَ ٥٧ وَٱلَّذِينَ هُم بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ يُؤۡمِنُونَ ٥٨ وَٱلَّذِينَ هُم بِرَبِّهِمۡ لَا يُشۡرِكُونَ ٥٩ وَٱلَّذِينَ يُؤۡتُونَ مَآ ءَاتَواْ وَّقُلُوبُهُمۡ وَجِلَةٌ أَنَّهُمۡ إِلَىٰ رَبِّهِمۡ رَٰجِعُونَ ٦٠ أُوْلَٰٓئِكَ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡخَيۡرَٰتِ وَهُمۡ لَهَا سَٰبِقُونَ ٦١

    Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Rab mereka, dan orang yang beriman dengan ayat-ayat Rab mereka, dan orang yang tidak mempersekutukan Rab mereka, dan orang yang mana apa-apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut, sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rab mereka. Mereka itu akan segera untuk mendapat kebaikan dan merekalah orang yang memperolehinya.

    (Surah Al Mu’minun: 57-61)

  4. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah bersabda, sepertimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa baginda bersumpah:

    والله لو تعلمون ما أعلم لضحكتُم قليلًا ولبكيتُم كثيرًا

    Demi Allah, sekiranya kamu sedar sepertimana apa yang aku tahu nescaya kamu akan ketawa sedikit dan menangis banyak.

    (Riwayat Al-Bukhari)[3]

    Bermakna, kamu akan menangis panjang jika kamu tahu terhadap apa yang akan menunggu kamu di hari akhirat. Inilah jiwa yang sentiasa takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.

  5. Contoh sifat taqwa para sahabat ialah – pada suatu hari Abu Bakr as-Siddiq telah pergi ke sebuah taman dan ia melihat seekor burung sedang bersiul-siul. Dia berkata:

    Wahai burung sungguh bertuah kamu. Kamu makan, minum dan berterbangan di bawah pokok tanpa sebarang takut kepada hari perkiraan (hisab). Aku ingin jadi seperti kamu.

     

  6. Contoh sifat taqwa lagi ialah – pada suatu hari berlaku perselisihan antara Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal Ibn Rabah. Dalam perselisihan itu Abu Dzar telah memanggil Bilal dengan dengan panggilan, “Wahai anak orang hitam”. Bilal telah mengadu kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tentang kata-kata Abu Dzar tersebut. Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam berkata:

    إِنَّك امْرُؤٌ فيك جاهليةٌ

    Sesungguhnya pada diri kamu (wahai Abu Dzar) masih terdapat saki-baki Jahiliah.

    (Riwayat Muslim)[4]

    Mendengar berita ini Abu Dzar terus tunduk melutut agar Bilal memijak kepalanya. Begitulah gambaran ketaqwaan yang telah ditunjukkan oleh beberapa orang sahabat nabi. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

    إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ
    Sesungguhnya orang yang paling takut kepada-Ku ialah golongan ‘ulama’.

    (Surah al-Fatir: ayat 28)

  7. Semakin kukuh iman seseorang maka akan semakin bertambah takutnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’alaakan memberi pertunjuk kepadanya. Bila dia melakukan kebaikan Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan berbagai-bagai kemudahan kepadanya.

Memelihara taqwa

  1. Suatu hari Abu Dzar Al Ghifari datang kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam dan meminta nasihat kepada baginda:

قُلْتُ: يا رسولَ اللهِ أوصِني قال: ( أوصيك بتقوى اللهِ فإنَّه رأسُ الأمرِ كلِّه ) قُلْتُ: يا رسولَ اللهِ زِدْني قال: ( عليك بتلاوةِ القرآنِ وذِكْرِ اللهِ فإنَّه نورٌ لك في الأرضِ وذُخرٌ لك في السَّماء)

“Wahai Rasulullah, berikanlah wasiat kepada saya”.

Jawab Rasulullah, “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya dialah (taqwa) bagi segala-galanya”.

Kemudian, berkata Abu Dzar lagi, “Ya Rasulullah, tambahkanlah sedikit lagi”.

Jawab Rasulullah, “Hendaklah kamu membaca Al Quran. Sesungguhnya ia (membaca Al Quran) adalah cahaya di dunia dan simpanan(pahala) buat mu di langit”.

(Riwayat Ibn Hibban)[5]

Rasulullah juga berpesan kepada Abu Dzar supaya membaca Al Quran. Sesungguhnya para sahabat sangat mengambil berat membaca Al Quran. Pada bulan Ramadhan rumah mereka kedengaran seperti bunyi lebah kerana membaca Al Quran.

Sehubungan dengan Al Quran, Ibn Taimiyah ada menegaskan:

Sesiapa yang tidak membaca Al Quran, bermakna dia hijrah meninggalkan Al Quran. Sesiapa yang membaca tanpa tadabbur bermakna dia hijrah meninggalkan Al Quran. Sesiapa yang tadabbur tanpa mengamalkan Al Quran bermakna dia juga hijrah meninggalkan Al Quran.

  1. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨

Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah. Seseorang itu hendaklah melihat apa yang akan dikemukakan pada hari esok.

(Surah Al-Hasyar: 18)

Mu’az bin Jabal ialah seorang yang membuka institusi pendidikan di San’ak. Sebuah institusi pendidikan yang masih kekal hingga hari ini.

Sebelum Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam melepaskan Mu’az bin Jabal ke Yaman sebagai wakilnya, Rasulullah Sallahu’alaihuwasallam memegang tali kudanya dan berkata:

إنَّ أولى الناسِ بي المتَّقونَ ، مَنْ كانوا وحيثُ كانوا

Sesungguhnya orang yang paling hampir denganku ialah orang yang paling bertaqwa, sesiapa pun mereka walau dalam keadaan apa pun mereka.

(Riwayat Albani)[6]

Pesan Rasulullah Sallahu’alaihuwasallam lagi:

يا معاذُ إنَّك عسى ألَّا تَلقاني بعدَ عامي هذا لعلَّك أنْ تمُرَّ بمسجدي وقبري

Wahai Muaz! Kamu mungkin tidak akan berjumpa saya lagi selepas ini. Hanya engkau kan menziarahi masjidku dan maqamku sahaja.

(Riwayat Ibn Hibban)[7]

Itulah natijah pentarbiahan Rasulullah Sallallahualaihiwasallam. Para sahabat sentiasa dipesan supaya memelihara taqwa mereka.

[1] Dhoif at-Targhib, no.hadits : 1972

[2] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 1669

[3] Sahih Al-Bukhari, no.hadits : 1044

[4] Sahih Muslim, no.hadits : 1661

[5] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 361

[6] Fiqh Sirah, no.hadits : 453

[7] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 647

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *