Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Harakah / Ruang Lingkup Dakwah

Ruang Lingkup Dakwah

Sebenarnya dakwah para da’i adalah untuk menyeru dan membimbing manusia kepada hidup mulia, sesuai dengan status dan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala buat memurnikan dan mengikhlaskan perhambaan hanya sanya kepada-Nya dengan menerima Islam sebagai ad-Din, yang merupakan satu-satunya sistem hidup yang benar dan sahih yang diredhai Allah, lengkap dan sempurna. Kesempurnaanya pula mencakupi segenap aspek kehidupan, sesuai untuk dipraktik dan dilaksanakan di mana-mana tempat dan masa, di dalam mana-mana situasi dan kondisi sekalipun, baik untuk kehidupan individu mahupun masyarakat.

Kedatangan Islam adalah merupakan rahmat untuk kehidupan sejagat. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107:

وما ارسلناك الا رحمة للعالمين

“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi alam semesta.” 

Hakikat ini telah dipersaksikan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan generasi al-Quran di Madinah al-Munawwarah sebagai sebuah negara yang adil, penuh keberkatan di bawah naungan Allah Subhanahuwata’ala.

Melihat Islam adalah ad-Din yang bersifat syumul, yang mana sekaligus menolak sebarang ideologi dan sistem hidup buatan manusia, maka skop dakwah Islamiah adalah unik, sebesar, seluas dan selengkap Islam itu sendiri. Kerja dakwah pula tetap berterusan sehingga terdaulatnya sistem Allah di bumi. Dakwah berterusan hingga ke hari kiamat.

Untuk melihat skop dakwah ini Sayyid Qutb menyatakan:

“…kita menyeru kepada dunia yang lebih baik, di mana kita berdakwah untuk dimulai lagi suatu kehidupan Islam dan untuk mendirikan sebuah masyrakat Islam. Kita menyeru kepada keadilan sosial yang lebih sempurna daripada sebarang konsep keadilan di dalam mana-mana sistem yang lain yang pernah dikenali manusia.”[1]

Hasan al-Banna pernah berkata:

“Kiranya ditanya kepada kamu apa yang kamu dakwahkan maka jawablah: kami berdakwah kepada Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dan pemerintahan itu sebahagian daripadanya, kemerdekaan adalah fardhu. Kiranya dikatakan ini adalah siasah, maka jawablah, itulah Islam, kami tidak mengetahui pembahagian-pembahagian itu. Kiranya dikatakan kamu adalah pendakwah revolusioner maka jawablah: kami adalah para da’i kepada kebenaran dan kesejahteraan, kami meyakininya dan merasa mulia dengannya. Jika kamu manghalang jalan dakwah kami maka kami tetap mempertahankan diri kami dan kamu adalah penzalim. Sekiranya dikatakan kamu meminta bantuan daripada orang tertentu dan badan-badan tertentu, maka jawablah: kami beriman dengan Allah Yang Maha Esa dan kami kufur terhadap apa yang kamu sekutukan. Kiranya mereka terus menentang, katakanlah kepada mereka: sejahtera ke atas kamu, kami tidak mengikut orang yang jahil.”[2]

Sepertimana dakwah merangkumi segenap aspek kehidupan maka demikian juga seruannya kepada semua manusia[3] kerana manusia pada keseluruhannya wajib dibebaskan daripada jahiliah. Masih dagang di muka bumi ini daripada wujudnya satu sistem hidup yang sahih yang berada di atas jalan yang lurus. Umat kini telah ditimpa penyakit sosial, menyimpang di segi pemikiran dan praktik hidup daripada fitrah asal di mana manusia itu diciptakan.[4] Pelbagai aspek dalam kehidupan kini yang telah menyimpang daripada sistem Allah Subhanahuwata’ala.

 

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

[1] Qutb, Sayyid, Dirasat Islamiyyah, (al-Qahirah, Dar al-Syuruq, 1393), h. 79

[2] Yakan, Fathi, Nahwu Harakah Islamiyyah Wahidah, (tanpa tempat percetakan, 1391H), h. 21

[3] Firman Allah yang bermaksud: Tidak kami utuskan engkau kecuali untuk seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira dan peringatan (surah Saba’ 34:28)

[4] Naqib, Kazim Muhammad, ad-Da’wah wa al-‘Aqabat, cetakan 1, (Muti’aj al-Nu’man al-Najaf al-Asyraf, 1388H), h. 20

Check Also

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 2)

CIRI 2: KESERAGAMAN DALAM MATLAMAT DAN JALAN Wujudnya keseragaman dalam matlamat mampu memberikan suatu perbendaharaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *