Home / Tsaqafah / Al-Quran / Ringkasan Tafsir Surah An-Nas (Surah 114)

Ringkasan Tafsir Surah An-Nas (Surah 114)

Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan mengandungi enam ayat. Nama An-Nas diambil daripada An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bererti manusia.

Pokok kepada surah ini ialah Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar manusia berlindung kepada-Nya daripada segala kejahatan yang datang ke dalam jiwa manusia, samada ia datang daripada jin mahupun manusia.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١

  1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab (yang memelihara dan menguasai) manusia

مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢

  1. Raja manusia

إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣

  1. Sembahan manusia

مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤

  1. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥

  1. yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦

  1. daripada (golongan) jin dan manusia”

Pengajaran 

  1. Di dalam surah ini, Allah Subhanahuwata’ala telah mengajar kita – sebagai satu rahmat untuk kita – bagaimanakah cara memohon perlindungan daripada syaitan manusia dan syaitan jin.
  1. Allah Subhanahuwata’ala melindungi mereka yang memohon perlindungan-Nya daripada tipu daya syaitan, daripada bahaya yang menimpa din (agama) dan daripada bahaya yang menimpa kehidupan dunia serta kehidupan akhirat.
  1. Terdapat tiga sifat Allah Subhanahuwata’ala yang diketengahkan dalam surah ini:

a) Rububiyyah (daripada ayat 1: قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ – Katakanlah: Aku berlindung kepada Rab (Pencipta, Pemelihara dan Penjaga) manusia).

Maksud Rububiyyah ialah Allah Subhanahuwata’ala Pencipta, Pemelihara dan Penjaga makhluk-Nya. Allah Subhanahuwata’ala menyebut bahawa Dia adalah “Rab manusia”, sedangkan Dia adalah Rab  bagi semua makhluk. Ini kerana:

i) Allah Subhanahuwata’ala mahu memuliakan manusia. Maka Dia mengisytiharkan bahawa Dia adalah Rab kepada manusia.

ii) Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan manusia agar memohon perlindungan-Nya daripada kejahatan makhluk. Lantaran itu Dia menisytiharkan bahawa dengan menyebut nama-Nya, Dia akan melindungi manusia daripada kejahatan.

b) Penguasa atau Raja (daripada ayat 2: مَلِكِ ٱلنَّاسِ – Raja manusia).

Allah Subhanahuwata’ala adalah Raja (Pemilik) manusia yang sebenar, meskipun ada raja-raja lain di dunia ini. Kepada-Nya manusia patut meminta pertolongan. Naungan-Nya yang semestinya diharapkan.

c) Uluhiyyah (daripada ayat 3: إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ – Sembahan manusia).

Sifat uluhiyyah bermaksud kepada Allah Subhanahuwata’ala semestinya manusia mensyukuri, memuja dan memperhambakan diri. Tidak ada sesuatu yang lain yang berhak diperhambakan diri melainkan Allah Subhanahuwata’ala jua.

  1. Surah ini menjelaskan pembisik kejahatan itu sama ada daripada syaitan jin atau syaitan manusia. Hassan berkata: “Kedua-duanya adalah syaitan, samada syaitan jin yang menimbulkan bisikan di hati manusia atau syaitan manusia yang menggoda manusia secara terang-terangan”.
  1. Qatadah berkata: “Di kalangan jin ada syaitan. Di kalangan manusia juga ada syaitan. Maka hendaklah kamu memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada syaitan manusia juga syaitan jin”.

Daftar Rujukan:

  1. Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
  2. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Sayyid Quthb. Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.
  3. Mukhtashar Tasir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir), Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.
  4. Tafsir Al-Wadih, Dr Muhammad Mahmud Hijazi (Terjemahan). Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.
  5. Al-Qur’an dan Terjemahnya. Penerbit: Jaffar Abdullah Bajrai, Batu Pahat, Johor.

Check Also

Ringkasan Tafsir Surah Al-Ikhlas (Surah 112)

Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan mengandungi empat ayat. Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini menegakkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *