Home / Tsaqafah / Al-Quran / Ringkasan Tafsir Surah Al-Fatihah

Ringkasan Tafsir Surah Al-Fatihah

Surah al-Fatihah diturunkan di Mekah dan terdiri daripada 7 ayat. Surah ini disebut al-Fatihah (pembukaan) kerana surah ini adalah pembukaan atau permulaan al-Quran.

Surah ini juga dinamakan “Ummul Quran” (induk al-Quran) atau “Ummul Kitab” (induk Al-Kitab) kerana ia merupakan induk dan intisari bagi isi kandungan al-Quran. Al-Bukhari mengatakan: “Dinamakan dengan Ummul Kitab kerana surah tersebut menjadi surah pembuka dalam penyusunan mashafnya, dan juga menjadi pembuka pada bacaan dalam solat.”

Dinamakan juga “As-Sab’ul matsaani” (tujuh yang berulang-ulang) kerana ayatnya yang tujuh dibaca berulang-ulang dalam solat. 

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١

  1. Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢

  1. Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta

ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣

  1. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤

  1. Yang menguasai Hari Pembalasan

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥

  1. Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦

  1. Tunjukilah kami jalan yang lurus

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

  1. (Iaitu) jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat

 

Pengajaran

Antara keutamaan surah Al-Fatihah:

  1. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda kepada Abu Sa’id bin al-Mu’alli Radhiallahu ‘anhu: “Aku akan mengajarkan kamu surah paling agung dalam al-Quran sebelum kamu keluar dari masjid.” Abu Sa’id berkata: “Kemudian baginda menggamit tanganku dan ketika baginda hendak keluar dari masjid, aku berkata kepada baginda: ‘Wahai Rasulullah sesungguhnya engkau mengatakan bahawa engkau akan mengajarku surah paling agung yang terdapat dalam al-Quran.’” Maka baginda bersabda: “Ya, ia adalah ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ , ia adalah sab’ul matsani dan al-Quran al-‘Azim yang telah diberikan kepadaku.” (Hadits riwayat Bukhari)
  1. Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: “Allah tidak pernah menurunkan dalam taurat ataupun injil ataupun surah, sepertimana Ummul Quran, ia adalah sab’ul matsani…” (Hadits riwayat Nasa-i)
  1. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri Radhiallahu ‘anhu berkata: “Kami berada dalam sebuah perjalanan kemudian kami singgah sebentar pada satu kaum. Tiba-tiba seorang budak wanita datang menghampiri dan berkata: ‘Pemimpin kaum kami diserang demam, orang kami sedang tiada, apakah antara kamu dapat melakukan ruqyah (jampi)?’. Kemudian salah seorang daripada kami, yang kami anggap dapat melakukan ruqyah, berdiri bersamanya. Kemudian meruqyah pemimpin tersebut sehingga dia benar-benar sembuh. Kemudian pemimpin itu memerintahkan agar menyembelih tiga puluh ekor kambing dan memberikan kami susu.Ketika dia (yang mengubati pemimpin) kembali, kami bertanya kepadanya: ‘Apakah engkau mengubatinya atau engkau meruqyahkannya?’. Dia menjawab: ‘Tidak, aku tidak melakukan apa-apa kecuali membacakan Ummul Kitab kepadanya’. Kami berkata: ‘Jangan membacakan apa pun sehinggalah kita mengadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan menanyakan hal ini kepada baginda’.Ketika kami telah sampai di Madinah, kami menceritakan hal tersebut kepada baginda, kemudian baginda bersabda: ‘Apakah kamu tahu yang seperti itu adalah ruqyah?’. Kemudian baginda bersabda lagi: ‘Kamu telah berbuat benar, bahagikanlah dan sisakanlah untuk satu bahagian’”. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
  1. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sedang bersama kami, di samping beliau ada Jibril. Tiba-tiba terdengar suara di atas, lalu Jibril mengangkat pandangannya ke langit dan berkata: ‘Ini adalah pintu yang dibukakan dari langit setelah tidak dibuka sama sekali’. Ibn Abbas berkata: ‘Lalu turunlah para malaikat menghampiri Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, berkata: ‘Aku datang memberikan khabar gembira dengan membawa dua cahaya yang belum pernah diberikan kepada para Nabi sebelum engkau, iaitu: Fatihatul Kitab (al-Fatihah) dan ayat-ayat terakhir daripada surah al-Baqarah. Tidaklah engaku membaca satu huruf daripadanya kecuali aku akan mendatangimu.’” (Hadits riwayat Muslim dan Nasa-i)
  1. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, baginda bersabda: “Barangsiapa yang melakukan solat tanpa membaca Ummu Quran maka solatnya gugur.” Beliau mengatakan tiga kali tidak akan sempurna. Abu Hurairah ditanya: “Bagaimana apabila kami solat bersama dengan imam?”. Abu Hurairah menjawab: “Bacalah al-Fatihah untuk dirimu sendiri. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Allah Subhanahuwata’ala telah berfirman: solat itu dibahagi kepada dua, setengah untuk-Ku dan setengah lagi untuk hamba-Ku. Untuk hamba-Ku adalah apa yang diminta. Apabila hamba-Ku membaca (ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ), hamba-Ku telah memuji-Ku. Apabila hambaku membaca (ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ), hamba-Ku telah menyanjung-Ku. Apabila hambaKu membaca (مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ), hamba-Ku telah mengagungkan-Ku dan telah memasrahkan dirinya kepada-Ku. Apabila hamba-Ku membaca (إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ), ini adalah dua bahagian antara Aku dan hamba-Ku, maka bagi hamba-Ku adalah apa yang dia minta. Apabila hambaKu membaca (ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ), (صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ), ini adalah bahagian bagi hamba-Ku maka baginya adalah apa yang ia minta. (Hadits riwayat Muslim)

Kandungan umum surah ini:

  1. Keimanan: beriman kepada Rab Yang Maha Esa terdapat dalam ayat 2 (ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ Segala puji bagi Allah, Rab semesta alam). Di sini dinyatakan dengan tegas bahawa segala puji dan syukur hanya ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Pencipta dan sumber segala nikmat yang terdapat di alam ini.Antara nikmat itu ialah nikmat penciptaan, pendidikan dan penjagaan. Perkataan “Rabb” dalam kalimat “Rabbul ‘aalamin” meliputi erti pendidikan (tarbiah) dan pemeliharaan. Ini bermakna Allah Subhanahuwata’ala sentiasa mencipta, mendidik dan memelihara makhluk-Nya.Segala nikmat yang didapati oleh seorang hamba dalam dirinya sendiri dan dalam alam semesta, semuanya bersumberkan Allah Subhanahuwata’ala. Maka, Allah-lah Yang Maha Berkuasa di alam ini. Pendidikan, penjagaan dan pemeliharaan Allah-lah yang berlaku di seluruh alam ini.

    Keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala merupakan perkara paling asas. Keimanan dalam hati mesti dibuktikan dengan pengabdian hamba-Nya kepada-Nya semata-mata. Juga mesti dibuktikan dengan kebergantungan hamba-Nya kepada-Nya semata-mata. Ini ditegaskan dalam ayat 5 (إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.)

    Maksud ayat 4 (مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ , Yang menguasai hari pembalasan) ialah pada hari akhirat Allah-lah satu-satunya Yang Berkuasa. Segala sesuatu tunduk kepada kebesaran-Nya, mengharapkan nikmat-Nya dan takutkan siksa-Nya. Allah-lah Yang memberi pahala terhadap amalan baik dan memberi ancaman terhadap perbuatan buruk.

  1. Hukum-hakam: Hukum-hakam dan segala peraturan Islam adalah jalan yang lurus. Inilah yang dimaksud daripada ayat (ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ , tunjukanlah kami jalan yang lurus). Ia adalah jalan kebahagiaaan dan jalan yang wajib dilalui oleh manusia untuk memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat. Maksud “hidayah” di sini ialah hidayah yang menjadi sebab untuk mendapatkan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, samada yang berkaitan dengan keyakinan, akhlak atau peraturan.
  1. Kisah-kisah: Yakni kisah para nabi, orang beriman dan orang terdahulu yang menentang Allah Subhanahuwata’ala.Sebahagian besar daripada ayat-ayat al-Quran memuatkan kisah para nabi dan kisah orang terdahulu yang menentang Allah Subhanahuwata’ala. Yang dimaksudkan dengan orang yang diberi nikmat dalam ayat (صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ , jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka) ialah para nabi, para siddiqin (orang yang bersungguh-sungguh beriman), para syuhada (orang yang mati syahid) dan para salihin (orang yang soleh).Manakala golongan yang dimurkai ialah seperti kaum Yahudi dan golongan yang sesat ialah seperti kaum Nasrani, adalah sepertimana yang dimaksudkan dalam ayat (غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ , bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat).

Pengajaran lanjut:

  1. Surah ini bermula dengan بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ . Maka, memulakan sesuatu dalam hidup ini dengan menyebut nama Allah Subhanahuwata’ala merupakan adab yang diwahyukan. Ini selaras dengan wahyu pertama: ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ , bacalah dengan (menyebut) nama Rabmu Yang Menciptakan.
  1. ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ , Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta. Perasaan memuji Allah Subhanahuwata’ala adalah perasaan yang memenuhi hati mukmin apabila mengingati-Nya.
  1. Ayat-ayat awal, khususnya ayat 1 hingga 4:ِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai di Hari Pembalasan

    adalah berkaitan langsung dengan permasalahan aqidah. Aqidah adalah asas bagi din Islam dan asas bagi kehidupan manusia. Kehidupan manusia tidak akan stabil di atas manhaj (sistem) Allah Subhanahuwata’ala tanpa wujudnya aqidah yang kuat dalam hati dan pemikiran manusia.

  1. Tidak ada ibadah kecuali ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata dan tidak ada isti’anah (memohon pertolongan) kecuali kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Inilah tuntutan daripada ayat: إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
  1. ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.Hanya Allah Subhanahuwata’ala satu-satunya Zat yang boleh memberi hidayah (petunjuk atau jalan) kepada hamba-Nya. Hanya Allah Subhanahuwata’ala pihak yang berhak diminta hidayah. Hanya hidayah yang benar daripada Allah Subhanahuwata’ala merupakan jaminan daripada-Nya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Yakni hidayah sepertimana orang yang telah menerima nikmat memperolehinya, iaitu para nabi, para siddiqin (orang yang bersungguh-sungguh beriman), para syuhada (orang yang mati syahid) dan para salihin (orang yang soleh). Bukan jalan orang yang melakukan kezaliman atau orang yang berada dalam kesesatan.

 

Daftar Rujukan:

  1. Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
  2. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Sayyid Quthb. Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.
  3. Mukhtashar Tasir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir), Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.
  4. Tafsir Al-Wadih, Dr Muhammad Mahmud Hijazi (Terjemahan). Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.
  5. Al-Qur’an dan Terjemahnya. Penerbit: Jaffar Abdullah Bajrai, Batu Pahat, Johor.

 

 

Check Also

Ringkasan Tafsir Surah Al-Ikhlas (Surah 112)

Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan mengandungi empat ayat. Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini menegakkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *