Home / Tsaqafah / Al-Quran / Ringkasan Tafsir Surah Al-Falaq (Surah 113)

Ringkasan Tafsir Surah Al-Falaq (Surah 113)

Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan ada pandangan yang mengatakan surah Madaniyyah. Surah ini mengandungi lima ayat. Nama Al-Falaq diambil daripada kata Al-Falaq yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang bererti waktu subuh.

Isi pokok surah ini ialah Allah Subhanahuwata’ala memerintahkan agar manusia berlindung kepada-Nya daripada segala jenis kejahatan.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ ١

  1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab Yang Menguasai subuh

مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢

  1. daripada kejahatan makhluk-Nya

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣

  1. dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ ٤

  1. dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ٥

  1. dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki”

Pengajaran

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ ١

  1. Katakanlah: “Aku berlindung kepada Rab Yang Menguasai subuh

مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢

  1. daripada kejahatan makhluk-Nya

Ayat-ayat ini mengajar manusia agar memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada segala kejahatan. Iaitu kejahatan manusia, jin dan syaitan. Juga kejahatan binatang buas, binatang yang melata dan makhluk yang lain. Dan juga kejahatan bencana api, kejahatan dosa, hawa nafsu dan amalan buruk. Bahkan juga kejahatan yang terbit daripada diri manusia sendiri.

Hadits yang menceritakan sebab turun surah ini adalah hadits sahih dan tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Di mana seorang yahudi telah melakukan sihir terhadap Nabi Sallallahu’alaihiwasallam. Daripada kesan sihir itu, Nabi Sallallahu’alaihiwasallam hanyalah sekadar terasa sedikit pening dan sakit kepala dalam keadaan tertentu, yang sama sekali tidak menghilangkan kewarasan aqal fikiran baginda. Allah Subhanahuwata’ala sememangnya memelihara baginda daripada sebarang perkara tidak baik, fikiran kacau, serabut dan tekanan mental. Allah Subhanahu-wata’ala berfirman:

وَٱللَّهُ يَعۡصِمُكَ مِنَ ٱلنَّاسِ

”dan Allah-lah yang memeliharamu daripada gangguan manusia”. (Al-Maidah: 67)

Ayat-ayat yang berikutnya:

وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣

  1. dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita

وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ ٤

  1. dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul

وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ٥

  1. dan daripada kejahatan pendengki apabila ia dengki”

Allah Subhanahuwata’ala mengkhususkan supaya kita meminta pertolongan-Nya daripada tiga perkara iaitu:

  1. Malam, apabila kegelapannya semakin pekat. Ini kerana malam, sebagaimana yang disebut oleh Fakhrul al-Razi, adalah saat binatang buas dan binatang melata keluar daripada persembunyiannya. Saat di mana pencuri dan penjahat melakukan pencerobohan. Saat berlakunya kebakaran, kurangnya pertolongan dan orang jahat bersemangat melakukan kejahatan.
  1. Ahli sihir wanita yang meniup-niup pada simpulan benang, yakni satu cara sihir sambil menjampi. Allah Subhanahuwata’ala mengumpamakan tiupan itu sebagaimana lagak orang yang menjampi untuk merawat orang sakit.
  1. Karenah orang yang dengki apabila ia sakit hati dan melakukan muslihatnya. Orang yang dengki mengharapkan hilangnya nikmat daripada diri orang yang didengkinya, meskipun ia sendiri tidak mendapat nikmat berkenaan.

Dengki adalah satu perkara tercela. Adapun “ghibtah” atau iri hati yang melahirkan persaingan dan tidak mengharapkan hilangnya nikmat pada orang lain, adalah diharuskan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: “Orang mukmin itu suka bersaing dan orang munafik pula suka berdengki”.

Hasad dengki merupakan dosa pertama yang berlaku di langit. Iblis dengki kepada Adam apabila iblis diperintahkan agar sujud kepada Adam.

Hasad dengki juga merupakan dosa pertama berlaku di dunia. Qabil dengki kepada Habil apabila Qabil mendapati amal Habil diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala sedangkan amalnya ditolak oleh Allah Subhanahuwata’ala. Penghasad dengki dibenci, tidak disukai dan dilaknat oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Contoh-contoh doa memohon perlindungan Allah Subhanahuwata’ala daripada kejahatan, yang diajar oleh Nabi Sallallahu’alaihiwasallam:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dengan nama Allah Yang bersama NamaNya sesuatu apa pun tidak akan celaka baik di bumi dan di langit. Dialah Maha Medengar lagi maha Mengetahui”.

(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan at-Tirmidzi)

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada keburukan apa-apa yang Dia ciptakan (makhluk)”.

(Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi).

Hakikatnya sihir, tenungan mata, hasad dengki dan seumpamanya, secara bersendirian tidaklah memudaratkan, tetapi boleh memudaratkan dengan kudrat dan iradah Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنۡ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ

“Mereka tidak dapat memudaratkan seseorang pun dengan sihir itu melainkan dengan izin Allah”.

(Al-Baqarah : 102)

Meskipun kejahatan sihir, tenungan mata dan hasad dengki itu tidak memberi kesan melainkan dengan izin Allah Subhanahuwata’ala, namun dari sudut syara’ kita dituntut berwaspada, berjaga-jaga dan menjauhkan diri daripada sebab-sebab zahirnya, setakat yang mampu. Ini selaras dengan sikap dan tindakan Saidina ‘Umar dan para sahabat nabi ketika menghadapi kes taun “amwas”. Juga selaras dengan arahan nabi agar menghindari mata orang beracun dan lari daripada penyakit kusta.

Kebanyakan ulama’ mengharuskan rawatan dengan menggunakan jampi berasaskan al-Qur’an dan al-hadits. Sebagai contoh, Saidatina Aisyah menyebut dalam sebuah hadits bahawa: “Rasulullah, apabila badan baginda sakit, baginda membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Nas, di tapak tangannya yang kanan dan mengusapnya di tempat yang sakit berkenaan.

Kita seharusnya menjauhi jampi yang tidak diketahui sumbernya dan tidak difahami maknanya, lebih-lebih lagi jampi yang boleh membawa kepada syirik seperti jampi yang memohon pertolongan jin dan memohon bantuan orang yang sudah mati.

Daftar Rujukan:

  1. Tafsir Al-Munir, Juz 30, Dr. Wahbah Al-Zuhaily (Terjemahan). Penerbit: Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia And Publication, Selangor, 2001.
  2. Tafsir Fi Zhilalil Qur’an (Di Bawah Naungan Al-Qur’an), Sayyid Quthb. Penerbit: Gema Insani, Jakarta, 2001.
  3. Mukhtashar Tasir Ibn Katsir (Ringkasan Tafsir Ibn Katsir), Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Penerbit: Jabal, Bandung, 2013.
  4. Tafsir Al-Wadih, Dr Muhammad Mahmud Hijazi (Terjemahan). Penerbit: Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 2005.
  5. Al-Qur’an dan Terjemahnya. Penerbit: Jaffar Abdullah Bajrai, Batu Pahat, Johor.

Check Also

Ringkasan Tafsir Surah Al-Ikhlas (Surah 112)

Surah ini merupakan surah Makkiyyah dan mengandungi empat ayat. Dinamakan Al-Ikhlas kerana surah ini menegakkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *