Home / Dasar Umum Islam / Ibadah / Puasa Mengukuhkan Taqwa

Puasa Mengukuhkan Taqwa

Muqaddimah

Menurut penjelasan as-Syeikh Mustafa Masyhur dalam kitabnya “زاد على الطريق “ , bahawa orang Muslim sebenarnya menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa gembira dan lapang jiwa.  Gembira dengan kurniaan Allah Subhanahuwata’ala dan Rahmat-Nya, di mana Ramadhan itu mengembalikan kerehatan, kekuatan dan kecergasan untuk meneruskan perjalanan hidup yang penuh ranjau.

Kebaikan-kebaikan dan fadhilat-fadhilat daripada Ramadhan sebenarnya tidak akan dirasai dan tidak akan diperolehi melainkan oleh orang yang benar-benar menghayati Ramadhan dan melaksanakan ibadah yang diwajibkan di dalamnya cara mengikut perlaksanaan yang ditunjukkan di dalam ajaran Allah Subhanahuwata’ala dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Fadhilah as-Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya “حقيقة الصوم“  memperingatkan bahawa orang Muslim perlu sedar daripada lena mereka dan awas agar puasa tidak menjadi semata-mata penahan lapar dan dahaga sahaja.  Juga agar puasa  tidak hanya menjadi tradisi semata-mata tanpa ‘ubudiyah sebenarnya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sedangkan hakikatnya puasa adalah ibadah dan ‘ubudiyah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

ما من عبد يصوم يوما فى سبيل الله تعالى الا با عد الله بذلك اليوم وجهه عن النار سبعين خريفا. (رواه البخارى ومسلم والترمذى والنسائى)

Sesiapa juga di kalangan hamba Allah yang berpuasa satu hari pada jalan Allah (kerana Allah), maka dengan sehari berpuasa itu dijauhkan wajahnya daripada Api Neraka selama tujuh puluh ‘خريق‘ yakni (tujuh puluh tahun).

(Hadits riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tarmizi dan an -Nasa’i)

Dapat difahami bahawa amalan ibadah puasa yang akan mendapat ganjaran  pahala yang besar di sisi Allah Subhanahuwata’ala ialah puasa yang benar-benar dilaksanakan dengan penuh ‘ubudiyah semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Rebutlah Peluang Ketika Ramadhan

Di bulan Ramadhan, setiap Muslim mestilah mengambil peluang-peluang yang baik melalui puasa dan menghidupkan Ramadhan. Peluang yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.  Peluang yang sangat bernilai ini mestilah diambil dan dijadikan sebagai  wasilah atau jalan untuk mencapai  kejayaan di sisi Allah Subhanahuwata’ala.

Perhatikanlah petikan daripada  hadits Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi daripada Abi Hurairah RA:

…خَابَ وَخَسِرَ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ وَلَمْ يُغْفَرْلَهُ

Kecewalah dan rugilah orang yang bertemu bulan Ramadhan tetapi ia tidak mendapat keampunan Allah.

Sedangkan Allah Subhanahuwata’ala telahpun bertanya dalam ayat 22 Surah an-Nur:

أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٌ

Apakah kamu tidak suka (ingin) untuk Allah memberi keampunan kepada kamu sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang (Pengasih).

Hakikat Puasa Sebenar

Apabila telah tsabit bahawa berpuasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak merupakan wasilah dan jalan bagi mencapai kejayaan di sisi Allah Subhanahuwata’ala, maka marilah kita mendalami dan menyelami apakah hakikat  puasa itu sebenarnya.

Fadhilah as-Syeikh Darwis Mustafa Hasan  dalam kitabnya “حقيقة الصوم”   menyatakan bahawa hakikat  puasa ialah untuk mencapai martabat taqwa.   Bukan sekadar menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.  Dan, wasilah (jalan) bagi mencapai ketaqwaan itu, bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi proses pengislahan,  pembersihan  dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah Subhanahuwata’ala dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya.

Atas matlamat taqwa itulah maka difardhukan ibadah puasa sepertimana  firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 183 Surah al Baqarah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa

Sehubungan itu al-Ustaz Said Hawwa juga di dalam kitabnya “ الاسلام”  menjelaskan bahawa as-saum (ibadah puasa) adalah antara rukun (prinsip asas) dalam din Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat taqwa.

Fadilah as-Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam “حقيقة الصوم sekali lagi menjelaskan bahawa ibadah puasa menyediakan jiwa/diri orang yang berpuasa itu untuk bertaqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan meninggalkan keinginan-keinginan yang harus, semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah Subhanahuwata’ala dan mengharapkan ganjaran baik daripada Allah Subhanahuwata’ala.  Dengan itu akan terdidiklah jiwa orang yang berpuasa itu untuk meninggalkan keinginan-keinginan yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala dengan penuh kesabaran. Bahkan akan jadi lebih mudah untuk meninggalkan keinginan yang dilarang sebab sudah terlatih dengan meninggalkan keinginan-keinginan yang diharuskan melalui ibadah puasa.

Serentak itu juga lahir ketaqwaan dalam bentuk melaksanakan ketaatan dan amal-amal soleh dengan penuh ketekunan dan kesabaran. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah menyebut :

الصيام نصف الصبر

Puasa itu adalah separuh kesabaran.

(Hadits riwayat Ibn Majah dan disahkan dalam kitab Al-Jami’ As-Shaghir)

Orang mukmin  seharusnya menyedari bahawa ibadah puasa difardukan bukan untuk menyiksa jiwa dan diri, tetapi untuk mentarbiah (mendidik) dan menyucikan jiwa dan diri orang mukmin.  Di samping itu memurnikan jiwa dan diri sehingga benar-benar bertaqwa.  Kerana itu hikmah disyariatkan ibadah puasa disebut oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam al Quran dengan lafaz “لعلكم تتقون “ – semoga kamu semua bertaqwa dan tidak disebut “لعلكم تتألمون “ –semoga kamu menderita  atau “لعلكم تجوعون“ – semoga kamu lapar atau “لعلكم تصحون “ – semoga kamu sihat  dan sebagainya.

Maka at-Taqwa (التقوى ) adalah ibarat buah atau hasil yang diperolehi oleh orang yang berpuasa.   Inilah rahsia sebenar dan matlamat tertinggi bagi ibadah puasa sepertimana disyariatkan dalam ayat 183 Surah al-Baqarah itu.

Taqwa membawa kejayaan

Al-Ustaz Said Hawwa  di dalam kitabnya “الاسلام “  juga telah membuat penjelasan bahawa taqwa itu adalah suatu akhlaq yang Allah Subhanahuwata’ala letakkan atasnya kejayaan bagi Muslim di dunia dan akhirat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 36 surah at-Taubah:

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang yang bertaqwa.

Firman-Nya dalam ayat 17 surah at-Thur:

إِنَّ ٱلۡمُتَّقِينَ فِي جَنَّٰتٖ وَنَعِيمٖ

Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga dan nikmat

Firman-Nya lagi dalam ayat 7 surah at-Taubah:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَّقِينَ

Sesungguhnya  Allah amat cinta kepada orang yang bertaqwa.

Di bulan Ramadhan, untuk mencapai akhlaq dan sifat taqwa tersebut maka perlulah diamalkan amalan-amalan yang disyari’atkan terutama puasa.  Kemudian diikuti dengan qiyamulail, zikrullah, doa, tilawah al-Qur’an, solat sunat tarawikh, istighfar, i’ktikaf di masjid, infaq fisabilillah, menghidpkan sepuluh malam akhir, mencari lailatul qadr dan amalan-amalan lain yang disyari’atkan.

As-Syeikh Mustafa Masyhur dalam kitabnya “ زاد على الطريق “ menjelaskan puasa mentarbiah sifat ikhlas (jujur) dan sentiasa muraqabah Allah Subhanahuwata’ala (sedar bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa jua yang kita lakukan).

Ikhlas semata-semata kerana Allah Subhanahuwata’ala adalah sebesar-besar bekalan bagi setiap Muslim. Ini kerana tidak ada maknanya dan tidak ada kebaikan di sisi Allah Subhanahuwata’ala bagi apa jua amalan dan pengorbanan sekiranya tidak ada keikhlasan kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.  Sesungguhnya  Allah Subhanahuwata’ala hanya menerima amalan, perjuangan dan pengorbanan yang dilakukan semata-mata ikhlas kerana-Nya.

Sudah pastilah orang Muslim yang ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala itu adalah orang yang bertaqwa.  Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 27 Surah al-Maaidah:

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ

Hanyasanya Allah menerima (amalan) daripada orang yang benar-benar bertaqwa (kepada-Nya)

Antara faedah taqwa

Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 29 surah al-Anfal:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَتَّقُواْ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّكُمۡ فُرۡقَانٗا وَيُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَيِّ‍َٔاتِكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ

Wahai orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan untuk kamu furqan (pertunjuk yang dapat membezakan yang benar daripada yang  salah) dan menghapuskan dosa-dosa (kesalahan-kesalahan) kamu serta mengampunkan kamu,  dan sememangnya Allah memiliki limpahan kurnia yang besar (banyak).

Dr Abdullah Nasih Ulwan  dalam kitabnya “Menuju Ketaqwaan“ menjelaskan bahawa cukuplah taqwa dengan segala kelebihan dan keberkesanannya.  Sesungguhnya taqwa merupakan pemancar kelebihan dan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya.  Satu-satunya jalan untuk mengawal kejahatan dan kerosakan dalam masyarakat ialah dengan cara mengajak masyarakat kepada taqwa.

Rujukan:

Ustaz Omar Haji Salleh, Khutbah Juma’at, 1 Ramadhan 1425H / 15 Oktober 2004

Check Also

Ibadah Yang Luas

Makna Ibadah Ibadah ialah pengabdian. Kita adalah abdi dan Allah Subhanahuwata’ala adalah Pencipta kita. Kepada-Nya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *