Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Proses Pembinaan Ikhlas Dan Pengaruhnya

Proses Pembinaan Ikhlas Dan Pengaruhnya

Proses pembinaan ikhlas

Terdapat beberapa langkah yang sangat penting untuk melahirkan keikhlasan kepada Allah Subhanahuwata‘ala, antaranya ialah:

  1. Menumpukan perhatian hanya kepada penilaian Allah Subhanahuwata‘ala, bukan penilaian atau pandangan makhluk. Al-Fudhail bin Iyadh berkata:

    Amal yang dikerjakan kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’, sedangkan ikhlas adalah jika engkau bebas daripada kedua-duanya.

  2. Menyamakan yang zahir dengan yang batin. Menyamakan yang tersembunyi dengan yang terang-terangan. Tidak boleh berlaku amalan yang pada zahirnya cantik tetapi batinnya buruk. Sari As-Saqti berkata:

    Barangsiapa berhias di mata manusia dengan sesuatu yang tidak selayaknya, maka dia menjadi hina di mata Allah

  3. Menganggap sama antara pujian dan celaan manusia. Engkau tidak akan terlepas daripada celaan manusia ketika mana engkau terpuji di sisi Allah Subhanahuwata‘ala. Begitulah sebaliknya.
  4. Tidak boleh merasakan diri sudah cukup ikhlas sehingga menyebabkan timbul takjub kepada diri sendiri yang boleh merosakkan keikhlasan. Oleh itu seseorang itu tidak boleh merasakan ikhlasnya sudah mencukupi. Abu Ayub As-Susi berkata:

    Selagi mereka melihat ikhlasnya sudah cukup, bererti ikhlas mereka itu masih memerlukan ikhlas lagi.

    Abu Bakar Ad-Daqqaq berkata:

    Kekurangan orang mukhlis, kerana ia melihat ikhlasnya. Jika ia menghendaki agar Allah memurnikan ikhlasnya, maka dia mesti melihat ikhlasnya masih memerlukan ikhlas lagi, sehingga dia menjadi orang yang perlu menambah ikhlasnya…

  5. Tidak menghitung-hitung pahala amal yang dilakukan. Orang mukhlis tidak merasa aman terhadap amalnya. Ia bimbang kalau-kalau amalnya tidak diterima oleh Allah Subhanahuwata‘ala.
  6. Orang mukhlis melihat amal yang dilakukannya itu adalah dengan taufik daripada Allah Subhanahuwata‘ala. Ia melihat pahala merupakan kebaikan daripada Allah ke atas dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

    لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ أَحَدٌ بِعَمَلِهِ  . قَالُوا: وَلا أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ: وَلا أَنَا إِلا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ بِفَضْلٍ
    Tidak akan masuk syurga salah seorang dengan amalannya. Mereka (para sahabat) bertanya, “Begitu juga amalan kamu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda, “Ya begitu juga aku, kecuali Allah Azzawajalla melimpahkan rahmat-Nya kepadaku”.

    (Riwayat al-Bukhari)[1]

  7. Merasa takut menyelinap riya’ dan hawa nafsu ke dalam jiwa tanpa disedarinya. Sebab syaitan mengikuti saluran darah untuk masuk ke dalam jiwa. Jika seorang mu’min melakukan kederhakaan secara zahirnya, sudah tentu ia mempunyai kederhakaan batinnya. Dengan cara ini syaitan menjadikan amalan seseorang itu sia-sia. Sahl berkata:

    Tidak ada yang mengetahui riya’ kecuali orang mukhlis. Kerana ketakutan kepada riya’ itu, maka dia selalu berwaspada dan berhati-hati, mengetahui selok beloknya, tidak berdusta terhadap diri sendiri dan tidak menghias amalannya yang buruk agar kelihatan baik.

    Tidak hairanlah jika orang yang benar-benar ikhlas itu sedikit bilangannya. Sahl juga berkata:

    Yang pandai mengucapkan La ilaha illallah banyak, tetapi orang yang mukhlis di antara mereka adalah sedikit.

Pengaruh ikhlas kepada individu

Ikhlas melahirkan pelbagai natijah sama ada kepada individu mahupun organisasi. Secara umumnya pengaruh ikhlas dapat dijelaskan seperti berikut:

  1. Ketenangan jiwa. Ikhlas menumbuhkan ketenangan jiwa dan kedamaian hati kepada pemiliknya. Dadanya akan lapang dan hatinya akan terang. Hatinya hanya berfokus kepada satu tujuan iaitu mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala. Jalan hidupnya jelas  selari dengan kehendak Allah Subhanahuwata‘ala. Ia umpama seorang hamba dimiliki oleh seorang tuan. Ia tahu apa yang membuat tuannya redha dan murka. Sedangkan seorang yang tidak ikhlas (syirik) diibaratkan seperti seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang tuan secara bersekutu. Setiap tuan memberikan perintah yang bertentangan antara satu dengan lain. Perasaan hamba itu  berpecah dan hatinya berbelah bahagi. Begitulah perumpamanya yang dikemukakan Allah Subhanahuwata‘ala dalam firman-Nya:

    ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا رَّجُلٗا فِيهِ شُرَكَآءُ مُتَشَٰكِسُونَ وَرَجُلٗا سَلَمٗا لِّرَجُلٍ هَلۡ يَسۡتَوِيَانِ مَثَلًاۚ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِۚ بَلۡ أَكۡثَرُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٢٩

    Allah membuat perumpamaan (iaitu) seperti seorang lelaki (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang hamba yang menjadi milik penuh hati seorang lelaki (sahaja). Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

    (Surah Az-Zumar:29)

    Orang mukhlis merasai bahagia dan aman kerana bebas daripada kesengsaraan penyembahan selain daripada Allah Subhanahuwata‘ala. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjelaskan:

    تَعِسَ عبدُ الدينارِ ، وعبدُ الدرهمِ ، وعبدُ الخميصةِ

    Kesengsaraan bagi hamba dinar, hamba dirham dan hamba sutera.

    (Riwayat al-Bukhari)[2]

    Orang mukhlis, tujuannya satu iaitu keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala dan menjadikan niatnya (atau tujuannya) untuk akhirat. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

    مَن جَعلَ الْهمومَ همًّا واحدًا همَّ المعادِ كَفاهُ اللَّهُ همَّ دُنياهُ ومَن تشعَّبت بِهِ الْهمومُ في أحوالِ الدُّنيا لم يُبالِ اللَّهُ في أيِّ أوديتِهِ هلَكَ

    Barangsiapa menjadikan semua keinginan utamanya menjadi satu keinginan sahaja iaitu keinginan akhirat, maka Allah mencukupkannya daripada keinginan dunianya, dan barangsiapa keinginan utamanya bercabang-cabang dalam urusan dunia, maka Allah tidak memperdulikannya, yang mana dia akan binasa.

    (Riwayat Albani)[3]

  2. Kekuatan rohani. Ikhlas menimbulkan kekuatan rohani kepada orang mukhlis kerana keunggulan tujuan di dalam dirinya. Kehendaknya bersatu iaitu mendapatkan keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala. Sebaliknya orang yang gilakan harta, kedudukan, kehormatan dan gelaran adalah amat lemah. Ini kerana ia takut kehilangan habuan yang diharapkannya. Sedangkan orang yang menjualkan dunia kerana Allah Subhanahuwata‘ala, dia akan memperolehi kekuatan. Kekuatan orang yang ikhlas dan bebas daripada taklukan dunia jauh lebih kuat daripada segala kekuatan material yang dapat ditanggapi oleh mata manusia. Sebuah hadits Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menggambarkan kekuatan rohani yang dimiliki oleh orang yang hatinya ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala:

    لما خلق اللهُ الأرضَ جَعَلَتْ تَمِيدُ، فخلق الجبالَ، فقال: بها عليها، فاستَقَرَّتْ، فعَجِبَتِ الملائكةُ من شِدَّةِ الجبالِ . فقالوا: يا رَبِّ ! هل مِن خَلْقِكَ شيءٌ أَشَدُّ من الجبالِ ؟ قال: نعم ! الحديدُ . فقالوا: يا رَبِّ ! فهل مِن خَلْقِكَ شيءٌ أَشَدُّ من الحديدِ ؟ قال: نعم ! النارُ . قالوا: يا رَبِّ ! فهل مِن خَلْقِكَ شيءٌ أَشَدُّ من النارِ ؟ قال: نعم ! الماءُ . قالوا: يا رَبِّ ! فهل في خَلْقِكَ شيءٌ أَشَدُّ من الماءِ ؟ قال: نعم ! الرِّيحُ . قالوا: يا رَبِّ ! فهل في خَلْقِكَ شيءٌ أَشَدُّ من الرِّيحِ ؟ قال: نعم ! ابنُ آدمَ تَصَدَّقَ بصدقةٍ بيمينِهِ يُخْفِيها من شمالِهِ

    Tatkala Allah menciptakan bumi, maka ia pun bergetar. Lalu Allah menciptakan gunung dan kekuatan diberikan kepadanya, lalu ia diam. Maka para malaikat pun hairan dengan penciptaan gunung itu. Mereka bertanya, Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaanmu yang lebih kuat daripada gunung? Allah menjawab, ‘Ada, iaitu besi’. Mereka bertanya lagi, ‘Ya Rabbi, adakah dalam penciptaanmu yang lebih kuat daripada besi?’. Allah menjawab, ‘Ada, iaitu api’. Mereka bertanya, ‘Ya Rabbi, adakah dalam ciptaanMu sesuatu yang lebih kuat daripada api?’. Allah menjawab, ‘Ada iaitu angin’. Mereka bertanya, ‘Adakah sesuatu dalam penciptaanMu yang lebih kuat daripada angin?’. Allah menjawab, ‘Ada iaitu anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui.

    (Riwayat at-Tirmizi)[4]

  3. Kerja berkesinambungan. Ikhlas melahirkan individu yang bekerja secara berterusan. Orang yang bekerja kerana hendak diperlihatkan kepada manusia, akan bekerja kerana nafsu perut dan nafsu hubungan jantina. Dia akan berhenti bekerja jika tidak mendapatkan sesuatu yang dapat memuaskan nafsunya. Orang yang bekerja kerana mengharapkan penghormatan dan kedudukan duniawi, akan berasa malas jika ada petanda bahawa harapannya itu tidak akan tercapai. Orang yang bekerja kerana mencari nama di hadapan pemimpin akan menghentikan kerjanya jika pemimpin tersebut dipecat atau mati. Sedangkan, orang yang bekerja kerana Allah Subhanahuwata‘ala tidak akan memutuskan kerjanya, tidak berundur dan tidak merasa malas. Sebab, asas kerjanya tidak akan luput. Wajah (atau matlamat) Allah Subhanahuwata‘ala tetap abadi dan tidak akan luput.Firman-Nya:

    كُلُّ شَيۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُۥۚ لَهُ ٱلۡحُكۡمُ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ ٨٨

    Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. Bagi-Nya-lah segala penentuan, dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan

    (Surah Al-Qasas: 88)

  4. Mengubah perkara harus dan tradisi menjadi ibadah. Ikhlas dianggap sebagai penyubur amal. Jika ia diletakkan dalam amal harus mana pun, maka amal itu berubah menjadi ibadah di sisi Allah Subhanahuwata‘ala. Dalam sebuah hadits,Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda kepada Sa’ad: إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ : Sesungguhnya tidaklah engkau mengeluarkan nafkah demi mencari keredhaan Allah, melainkan engkau akan diberi pahala kerananya, termasuklah satu suapan yang engkau letakkan di mulut isterimu.(Riwayat al-Bukhari)[5]
  5. Tetap memperolehi pahala, sekalipun belum menyempurnakan sesuatu kerja atau belum melakukannya. Di antara keberkatan ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala ialah orang ikhlas dapat memperolehi ganjaran pahala amal secara sempurna, meskipun ia tidak mampu melaksanakan secara sempurna. Firman-Nya:

وَمَن يُهَاجِرۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ مُرَٰغَمٗا كَثِيرٗا وَسَعَةٗۚ وَمَن يَخۡرُجۡ مِنۢ بَيۡتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدۡرِكۡهُ ٱلۡمَوۡتُ فَقَدۡ وَقَعَ أَجۡرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ١٠٠

Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan niat berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya(sebelum sampai ke tempat dituju), maka sesungguhnya telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah An-Nisa’: 100)

Malah dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala, seorang muslim boleh mendapat ganjaran pahala yang sempurna, sekalipun dia tidak dapat melakukan amal tersebut. Contoh terlalu banyak, misalnya Al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik:

قَالَ: لَمَّا رَجَعْنَا مِنْ غَزْوَةِ تَبُوكَ ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ بِالْمَدِينَةِ أَقْوَامًا ، مَا سِرْتُمْ مَسِيرًا وَلا قَطَعْتُمْ وَادِيًا إِلا كَانُوا مَعَكُمْ ” . قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهُمْ بِالْمَدِينَةِ مُقِيمُونَ ؟ قَالَ: ” نَعَمْ ، قَدْ حَبَسَهُمُ الْعُذْرُ “

Beliau berkata: “Kami kembali dari perang Tabuk bersama Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, lalu baginda bersabda:

Sesungguhnya ada beberapa orang yang tertinggal dibelakang kita di Madinah. Tidaklah kita melewati suatu wilayah dan lembah melainkan mereka sentiasa bersama kamu. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah adakah mereka tinggal di Madinah? Rasulullah pun bersabda: Ya, Mereka terhalang oleh kerana keuzuran (yang syar’i).

(Riwayat al-Bukhari)[6]

6. Pertolongan dan perlindungan Allah Subhanahuwata‘ala. Orang mukhlis dijanjikan akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

أَلَيۡسَ ٱللَّهُ بِكَافٍ عَبۡدَهُۥۖ

Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya?

(Surah Az-Zumar: 36)

Pertolongan dan perlindungan Allah Subhanahuwata‘ala diberi bergantung kepada sejauhmana keikhlasan seseorang hamba kepada-Nya. Pertolongan diberikan dalam pelbagai bentuk seperti kekuatan, taufik, hidayah, jalan keluar daripada kesulitan dan sebagainya.

Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu berkata tentang masalah qadha’:

Barangsiapa niatnya ikhlas dalam kebenaran, sekalipun terhadap dirinya sendiri, maka Allah cukup sebagai pelindung antara dirinya dan manusia, dan barangsiapa yang menghiasinya dengan sesuatu selain-Nya, maka Allah akan memburukkannya.

Allah Subhanahuwata‘ala mengabulkan doa orang musyrik sebagaimana Al-Quran menceritakan ketika mereka berada di atas perahu yang mengharungi lautan bergelora. Mereka berdoa kepada Allah Subhanahuwata‘ala dalam situasi yang kritis dengan sungguh-sungguh dan tulus. Lalu Allah Subhanahuwata‘ala mengabulkan doa mereka, sekali pun selepas itu kesungguhan dan keikhlasan mereka berubah:

هُوَ ٱلَّذِي يُسَيِّرُكُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِي ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِهِم بِرِيحٖ طَيِّبَةٖ وَفَرِحُواْ بِهَا جَآءَتۡهَا رِيحٌ عَاصِفٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَئِنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّٰكِرِينَ ٢٢ فَلَمَّآ أَنجَىٰهُمۡ إِذَا هُمۡ يَبۡغُونَ فِي ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَا بَغۡيُكُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۖ مَّتَٰعَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُكُمۡ فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٢٣

Dialah yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (berlayar) di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang yang ada di dalamnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dari segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahwa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata. (mereka berkata): Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami daripada bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang yang bersyukur.

Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia, sesungguhnya (bencana) kezalimanmu akan menimpa dirimu sendiri, (hasil kezalimanmu) itu hanyalah kenikmatan hidup duniawi, kemudian kepada Kami-lah kembalimu, lalu kami khabarkan kepadamu apa-apa yang telah kamu kerjakan.

(Surah Yunus: 22-23)

Pengaruh ikhlas kepada organisasi

Organisasi yang dipimpin dan dianggotai oleh orang yang ikhlas akan dapat melahirkan suasana yang aman daripada kejahatan, tercapainya kestabilan dan kesejahteraan.

Ikhlas menyebabkan urusan berjalan dengan lancar. Dalam sesebuah organisasi, akan lahir perkara-perkara seperti berikut:

  1. Membenarkan yang benar.
  2. Meluruskan yang lurus.
  3. Membatilkan yang batil.
  4. Memasyarakatkan kebaikan.
  5. Menegakkan keadilan.
  6. Menghapuskan kezaliman.
  7. Mencegah dan membebaskan organisasi daripada berbagai kesan kerosakan.
  8. Hubungan antara individu dibina atas dasar persefahaman, kasih sayang dan saling membantu

Sebaliknya tanpa keikhlasan, musibah akan menimpa sesebuah organisasi:

  1. Kehidupan dalam organisasi menjadi kacau bilau dan tanpa arah tuju yang jelas.
  2. Kemunafikan akan bermaharajalela. Orang yang tidak ikhlas menjadi raja dan menentukan arah organisasi.
  3. Hawa nafsu dan kepentingan diri menjadi neraca  dan pemutus.
  4. Syaitan berlagak sebagai malaikat.
  5. Ahli maksiat menjadi orang terpandang atau dimuliakan.
  6. Orang mulia menjadi sasaran tuduhan, orang terpecaya dikhianati  dan orang yang baik didustai.

 

Rujukan:

Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS (dengan merujuk kepada: Kitab Dr Yusuf Al-Qaradhawy, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999).

[1] Sahih al-Bukhari, no.hadits: 6467, sumber  Maktabah Syamilah.
[2] Sahih al-Bukhari, no.hadits: 2887
[3] Sahih Ibn Majah, no.hadits: 3330
[4] Sunan at-Tirmizi, no.hadits: 3369
[5] Sahih al-Bukhari, no.hadits: 6373
[6] Sahih al-Bukhari, no.hadits: 4423

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *