Home / Tsaqafah / Fiqh Islam / Pengenalan Ibadah Zakat

Pengenalan Ibadah Zakat

APAKAH PENGERTIAN ZAKAT ITU?

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima. Zakat bererti  “tumbuh dan bertambah”, juga boleh diertikan dengan berkat, bersih, suci, subur dan berkembang maju.

Kita selaku umat Islam telah diwajibkan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk mengeluarkan zakat, seperti firman-Nya:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ٥٦

Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat dan taatlah kepada Rasul, supaya kamu diberi rahmat.

(Surah An-Nur, 24 : 56)

Dalam ayat yang lain Allah Subhanahuwata’ala menjelaskan bahawa orang yang mentaati perintah Allah Subhanahuwata’ala, khususnya dalam menunaikan zakat, nescaya Dia akan mensucikan jiwa mereka. Firman-Nya:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ

Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu bersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka.

(Surah At-Taubah, 9 : 103)

Mengeluarkan zakat melambangkan sifat pemurah. Allah Subhanahuwata’ala mengecam orang yang bakhil dalam firman-Nya yang berikut:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠

Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

(Surah Ali-‘Imran: 180)

SYARAT-SYARAT UMUM WAJIB UNTUK MENGELUARKAN ZAKAT

  1. Islam – zakat hanya diwajibkan bagi orang Islam sahaja.
  2. Merdeka – hamba sahaya tidak wajib mengeluarkan zakat kecuali zakat fitrah, yang mana tuannya wajib mengeluarkannya. Di masa sekarang persoalan hamba sahaya tidak ada lagi. Bagaimanapun syarat merdeka tetap harus dicantumkan sebagai salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat karana persoalan hamba sahaya ini merupakan salah satu syarat yang tetap ada.
  3. Milik sepenuhnya – harta yang akan dizakati hendaklah milik pengeluar zakat sepenuhnya. Bagi harta milik bersama antara orang Islam dengan orang bukan Islam, maka harta milik orang Islam itu sahaja yang wajib dikeluarkan zakatnya.
  4. Cukup haul – cukup haul maksudnya harta tersebut dimiliki dalam tempoh genap setahun.
  5. Cukup nisab – nisab ialah amaun atau jumlah minimum sesuatu harta yang wajib dikeluarkan zakatnya. Kebanyakan harta (mal) menggunakan nilai yang setara dengan harga emas semasa, iaitu sebanyak 85 gram emas. Kadar wajib dikeluarkan sebanyak 2.5%.

ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ ٦٠

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat-zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

(At-Taubah : 60)

 Berdasarkan ayat atas, menurut Imam Syafi’i:

  1. Fakir – adalah orang yang tidak mempunyai pekerjaan dan tidak memiliki harta.
  2. Miskin – adalah orang yang memiliki pekerjaan namun penghasilannya tidak mencukupi untuk keperluannya.
  3. Amil – adalah petugas yang mengutip dan membagikan zakat.
  4. Muallaf – adalah:
    • Orang yang baru masuk Islam, imannya belum teguh.
    • Orang Islam yang berpengaruh pada kaumnya dengan harapan agar orang lain daripada kaumnya masuk Islam.
    • Orang Islam yang berpengaruh di kalangan orang kafir agar kita terpelihara daripada kejahatan orang kafir di bawah pengaruhnya.
    • Orang yang sedang menolak kejahatan daripada orang yang anti zakat.
  5. Riqab – adalah hamba yang ingin memerdekakan diri dengan membayar wang tebusan.
  6. Gharim – adalah orang yang banyak hutang, baik untuk diri sendiri atau untuk mendamaikan orang yang berselisih ataupun untuk menjamin hutang orang lain.
  7. Sabilillah – adalah untuk kepentingan din (agama Islam).
  8. Ibnu sabil – adalah musafir yang kehabisan bekal.

JENIS-JENIS ZAKAT

Terdapat pelbagai jenis zakat seperti zakat wang simpanan, zakat emas & perak, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan, zakat saham, zakat KWSP dan zakat fitrah. Di sini akan diterangkan secara ringkas berkaitan zakat wang simpanan, zakat emas & perak, zakat pendapatan, zakat harta perniagaan, zakat ternakan, zakat pertanian (makanan asasi) dan zakat fitrah.

  1. ZAKAT WANG SIMPANAN

Setiap negara mempunyai nilai mata wangnya sendiri yang disandarkan kepada nilai tukaran emas.

Dalil wajib zakat wang simpanan:

Saidina Ali telah meriwayatkan bahwa Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Apabila kamu mempunyai (wang simpanan) 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajbkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat dalam sesuatu harta kecuali genap setahun.

(HR Abu Daud)

Nisab  wang simpanan yang wajib dikeluarkan zakat ialah jumlah yang sebanding 85 gram emas mengikut nilai semasa.  Kadar wajib dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan itu.

  1. ZAKAT EMAS DAN PERAK

Firman Allah Allah Subhanahuwata’ala:

وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ

Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka, (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu.

(At-Taubah : 34,35)

Daripada Abu Hurairah,Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلاَ فِضَّةٍ لاَ يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلاَّ إِذَا كَانَ يَوْمَ القِيَامَةِ صُفِحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ، فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ، فَيُكْوَى بِهَا جَبْهَتُهُ وَجَنْبُهُ وَظَهْرُهُ

Siapa saja yang memiliki emas atau perak tapi tidak mengeluarkan zakatnya melainkan pada hari kiamat nanti akan disepuh untuknya lempengan daripada api neraka, lalu dipanaskan dalam api neraka Jahanam, lalu disterika dahi, rusuk dan punggungnya dengan lempengan tersebut…

Nisab emas ialah 20 misqal atau 85 gram emas. Nisab perak ialah 200 dirham atau 595 gram perak. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 2.5%

  1. ZAKAT PENDAPATAN

Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional.

  • Pengertian Gaji

Iaitu pendapatan penggajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi. Pendapatan penggajian merangkumi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat), dan lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian).

  • Pendapatan Bebas

Iaitu pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya. Pendapatan bebas ini merangkumi khidmat guaman, khidmat nasihat, juru perunding, rawatan perubatan, kejuruteraan, seniman dan lain-lain

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِۖ وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِ‍َٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧

Wahai orang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejam mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

(Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

Kewajipan zakat pendapatan diqiyaskan kepada zakat hasil tanaman di mana zakat dikenakan ketika selesai menuai walaupun si petani itu menyewa tanah.

Zakat pendapatan juga disyaratkan nisab. Nisab bagi zakat pendapatan, sebagaimana nisab zakat harta yang lazimnya, iaitu sebanding dengan 85 gram emas.

Bagi zakat pendapatan tidak disyaratkan haul.

Contoh-Contoh Kiraan Zakat Pendapatan:

Kaedah 1:

Menggunakan kaedah pendapatan kasar (tanpa tolakan), 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun.

Contohnya:

Jumlah pendapatan kasar setahun : RM 35,000.00

Jumlah yang dikenakan zakat (2.5%) : RM 875.00

Bayaran bulanan : RM 875.00 /12 = RM 72.92

Kaedah 2:

Menggunakan kaedah pendapatan bersih, (pendapatan setahun ditolak perbelanjaan yang dibenarkan setahun) x 2.5%.

Perbelanjaan yang dibenarkan untuk ditolak daripada pendapatan (setahun):

  • Perbelanjaan untuk diri.
  • Perbelanjaan untuk isteri.
  • Perbelanjaan untuk anak.
  • KWSP.
  • Sumbangan untuk ibubapa.
  • Caruman ke dalam organisasi yang membayar zakat (contoh: Lembaga Tabung Haji dan Takaful).

Jika pendapatan bersih mencukupi nisabnya, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%

  1. ZAKAT HARTA PERNIAGAAN

Aset (harta) perniagaan sebagaimana yang disebut oleh para ulama fiqh adalah aset yang dipersiapkan untuk jual beli dan mencari keuntungan seperti peralatan, perabut, pakaian, makanan, perhiasan, permata, haiwan, tanaman, bangunan dan sebagainya.

Dalil Kewajibannya

Zakat harta perniagaan hukumnya wajib berdasarkan dalil-dalil berikut ini:

  • Al-Qur’an

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّآ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ

Wahai orang beriman, nafkahkanlah (di jalan allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

(Al-Baqarah: 267)

Arti kasb (كَسَبۡ) di sini adalah perdagangan seperti yang diungkapkan oleh banyak ahli tafsir, antaranya: Al Hasan, Mujahid, Ath-Thabari dan Ar-Razi.

  • As-Sunnah

Daripada Samurah bin Jundub berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyuruh kita untuk mengeluarkan zakat daripada segala sesuatu yang kita persiapkan untuk dijual. (HR Abu Daud, Ad-Daruquthni dan Ibnu Abdil Barr)

  • Ijma’ Sahabat, Tabi’in dan Salafussalih

Umar Al-Khatthab Radiallahu’anhu mengambil zakat daripada harta perniagaan dan tidak seorang pun sahabat yang menolaknya. Pendapat seperti ini diriwayatkan pula daripada Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Umar bin Abdul Aziz. Para ulama tabi’in juga telah bersepakat dalam hal ini. Ibnul Munzir dan Abu Ubaid menyatakan telah terjadi ijma’ dalam hal ini. Wajibnya zakat perniagaan juga menjadi pendapat empat mazhab.

Syarat Wajib Zakat Harta Perniagaan

  • Harta perniagaan ialah harta yang dipersiapkan untuk jual-beli demi mendapat keuntungan seperti tanah, haiwan, makanan, minuman dan alat-alat. Harta itu memenuhi dua syarat:
    • Dimiliki dengan kehendak dan pilihan pemiliknya.
    • Dimiliki dengan niat untuk berjual beli (berniaga).

Rumah, tanah, kenderaan dan alat-alat yang digunakan sebagai tempat tinggal dan kegunaan kehidupan tidak dikira sebagai harta perniagaan. Tetapi jika rumah digunakan untuk sewaan, maka hasil kutipan sewa itu dikira harta yang wajib dikeluarkan zakat jika cukup syarat wajibnya. Dan jika rumah itu menjadi barang dagangan maka ia dikira harta perniagaan.

  • Harta perniagaan yang telah mencapai nisabnya dan telah berlalu tempoh masa satu tahun, maka wajib dikeluarkan zakatnya pada kadar 2.5%.

Pengiraan Harta Perniagaan:

  • Aset semasa/Harta semasa:
    • Barang-barang untuk dijual (barangan yang dipamerkan dan di stor).
    • Hutang yang belum diterima daripada pelanggan (penghutang).
    • Jumlah tunai yang ada di tangan dan bank.
  • DITOLAK dengan liabiliti/ tanggungan semasa:
    • Hutang yang belum dibayar kepada pembekal (pemiutang).
    • Tunggakan operasi (seperti sewa kedai, gaji pekerja dan utiliti yang belum dibayar).
    • Cukai perniagaan semasa yang belum dibayar.

Jika bakinya mencapai nisab zakat (setara dengan nisab wang simpanan) maka kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 2.5%.

  1. ZAKAT TERNAKAN

 Zakat ternakan adalah zakat harta yang wajib dikeluarkan apabila cukup syarat-syaratnya seperti nisab dan haul (setahun). Haiwan ternakan yang diwajibkan zakat antaranya ialah kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan unta.

Dalilnya, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

Daripada Muaz bin Jabal, beliau berkata, baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengutuskan aku ke Yaman dan baginda memerintahkan aku daripada setiap 40 ekor lembu, 1 ekor lembu musinnah (1 ekor lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi’ atau tabiah (1 ekor lembu jantan atau betina yang umurnya mencapai 2 tahun).

(Riwayat Ibnu Majah)

Binatang yang hendak dizakatkan hendaklah yang sempurna dan tidak cacat seperti hilang kaki atau tangan dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahuwata’ala:
Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَلَا تَيَمَّمُواْ ٱلۡخَبِيثَ مِنۡهُ تُنفِقُونَ وَلَسۡتُم بِ‍َٔاخِذِيهِ إِلَّآ أَن تُغۡمِضُواْ فِيهِۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ٢٦٧

Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memejam mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

(Surah Al-Baqarah: 267)

Kiraan zakat ternakan:

LEMBU/KERBAU:
Bilangan Zakat dikeluarkan/Jantina
30-39 ekor 1 ekor berumur 1 tahun / jantan
40-59 ekor 1 ekor berumur 2 tahun / betina
60-69 ekor 2 ekor berumur 1 tahun / jantan
70-79 ekor 1 ekor berumur 1 tahun / jantan

dan 1 ekor berumur 2 tahun / betina

80-89 ekor 2 ekor berumur 2 tahun / betina
90-99 ekor 3 ekor berumur 1 tahun / jantan
100-109 ekor 1 ekor berumur 2 tahun / betina

dan 2 ekor berumur 1 tahun / jantan

110-119 ekor 2 ekor berumur 2 tahun / betina

dan 1 ekor berumur 1 tahun / jantan

120 ekor ke atas 3 ekor berumur 2 tahun / betina

dan 3 ekor berumur 1 tahun / Jantan

 

KAMBING:
Bilangan Zakat dikeluarkan/Jantina
40-120 Ekor 1 ekor berumur 2 tahun / jantan atau betina
121-200 Ekor 2 ekor berumur 2 tahun / jantan atau betina
201-399 Ekor 3 ekor berumur 2 tahun / jantan atau betina
Penambahan seterusnya, setiap 100 bertambah 1 ekor berumur 2 tahun / jantan atau betina

 

BIRI-BIRI:
Bilangan Zakat dikeluarkan/Jantina
40-120 Ekor 1 ekor berumur 1 tahun / jantan atau betina
121-200 Ekor 2 ekor berumur 1 tahun / jantan atau betina
201-399 Ekor 3 ekor berumur 1 tahun / jantan atau betina
Penambahan seterusnya, setiap 100 bertambah 1 ekor berumur 1 tahun / jantan atau betina
  1. ZAKAT PERTANIAN (MAKANAN ASASI)

Zakat Pertanian ialah zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan di sesebuah negeri, yang telah cukup 363 gantang atau 1300kg seperti padi, gandum, biji-bijian dan sebagainya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

۞وَهُوَ ٱلَّذِيٓ أَنشَأَ جَنَّٰتٖ مَّعۡرُوشَٰتٖ وَغَيۡرَ مَعۡرُوشَٰتٖ وَٱلنَّخۡلَ وَٱلزَّرۡعَ مُخۡتَلِفًا أُكُلُهُۥ وَٱلزَّيۡتُونَ وَٱلرُّمَّانَ مُتَشَٰبِهٗا وَغَيۡرَ مُتَشَٰبِهٖۚ كُلُواْ مِن ثَمَرِهِۦٓ إِذَآ أَثۡمَرَ وَءَاتُواْ حَقَّهُۥ يَوۡمَ حَصَادِهِۦۖ وَلَا تُسۡرِفُوٓاْۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِينَ ١٤١

Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin), dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.

(Surah Al-An’am : Ayat 141)

Kiraan Zakat Pertanian

  • Kaedah 1

Biji-bijian dan buah-buahan yang diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia, binatang dan jentera atau perbelanjaan yang banyak, maka kadar zakatnya ialah 5% atau 1/20.

  • Kaedah 2

Biji-bijian atau buah-buahan yang hanya bergantung kepada air hujan, maka kadar zakatnya 10% atau 1/10.

  • Kaedah 3

Biji-bijian atau buah-buahan yang bergantung pada kedua-dua kaedah di atas, maka kadar zakatnya 7.5%.

  1. ZAKAT FITRAH
  • Pengertian Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

  • Dalil

Berdasar hadits daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memfardhukan (mewajibkan) zakat fitrah satu sha’ (satu gantang Baghdad) tamar atau satu sha’ gandum atas hamba sahaya, orang merdeka, baik laki-laki mahupun perempuan, baik muda mahupun tua daripada kalangan kaum Muslimin, dan baginda menyuruh agar dikeluarkan sebelum masyarakat pergi ke tempat solat ‘Idul Fitri – Muttafaqun ‘alaih: Fathul Bari III:367 no:1503, Muslim II: 277 no:279/984 dan 986, Tirmidzi II : 92 dan 93 no: 670 dan 672, ‘Aunul Ma’bud V:4-5 no: 1595 dan 1596, Nasa’i V:45, Ibn Majah I: 584 no:1826.

  • Syarat-Syarat Wajib Zakat Fitrah
    • Islam – orang Islam wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya.
    • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya daripada keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
    • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
    • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
    • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
  •      Kaedah pembayaran

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadits Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, bermaksud:

…Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba, satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya – Riwayat Muslim

  •  Kadar

Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya.

  • Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

  • Waktu Paling Afdal – sebelum sembahyang Hari Raya.
  • Waktu Wajib – apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Waktu Sunat – sepanjang bulan Ramadhan.
  • Waktu Makruh – selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
  • Waktu Haram – selepas terbenam matahari pada satu Syawal. Hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

Rujukan:

  1. https://azurahkio.wordpress.com/2008/09/22/pengertian-zakat-macam-macamnya/
  2. http://akhwat.web.id/muslimah-salafiyah/fiqh-ibadah/ringkasan-fiqih-zakat/
  3. http://fawaidnurun.blogspot.my/2013/03/zakat-emasperak-dan-perhiasan.html
  4. http://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/jenis-zakat/zakat-pendapatan-gaji
  5. http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1&Itemid=7&lang=bm
  6. http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/pengenalan-zakat-fitrah/
  7. http://cahayapurnama.com/zakat-fitrah-pengenalan-panduan-hukum-dalil-dan-cara/
  8. Materi Tarbiyah PKS

Check Also

Bersuci: Wudhuk

Pengertian 1. Wudhuk ertinya membasuh dan menyapu anggota badan yang tertentu dengan niat yang tertentu. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *