Home / Tsaqafah / Fiqh Islam / Pengenalan Ibadah Puasa

Pengenalan Ibadah Puasa

Ta’rif Puasa

Puasa dari sudut bahasa bererti menahan diri daripada sesuatu seperti kata-kata dan makanan. Dalilnya:

فَكُلِي وَٱشۡرَبِي وَقَرِّي عَيۡنٗاۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ ٱلۡبَشَرِ أَحَدٗا فَقُولِيٓ إِنِّي نَذَرۡتُ لِلرَّحۡمَٰنِ صَوۡمٗا فَلَنۡ أُكَلِّمَ ٱلۡيَوۡمَ إِنسِيّٗا

Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.

(Maryam : 26)

Puasa dari sudut syara’ bererti menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Sejarah Pensyari’atan Puasa      

Puasa Ramadhan difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua hijrah. Puasa memang telah diketahui oleh umat yang terdahulu dan juga ahli-ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

Hai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

(Al-Baqarah : 183)

Dalil Disyari’atkan Puasa Ramadhan

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

(Al-Baqarah : 186)

 Diriwayatkan:

عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ يَقُولُ: ” بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ”. (رواه البخاري ومسلم)

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Islam itu didirikan atas lima (perkara) – Menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.

(Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum Mengingkari Puasa

Orang yang sengaja mengingkari kefardhuan puasa adalah kafir, sama dengan murtad. Kecuali, mereka yang baru memeluk Islam atau tidak sampai seruan Islam kepadanya.

Hikmah Berpuasa

  1. Membina taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  2. Menyedarkan hati dengan muraqabah Allah Subhanahuwata’ala (sedar bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa sahaja yang kita lakukan)
  3. Memenuh hari-hari berpuasa dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  4. Membersihkan jiwa dan menghaluskan perasaan.
  5. Saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi sesama umat Islam.

Penetapan Mula Berpuasa Di Bulan Ramadhan           

Penetapan mula berpuasa di bulan Ramadhan ialah dengan melihat anak bulan Ramadhan. Jika tidak kelihatan anak bulan Ramadham maka cukupkan 30 hari bulan Sya’ban.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

صُوْمُوْا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوْا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوْا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِيْنَ يَوْمًا

Berpuasalah kamu apabila melihat hilal (anak bulan), dan berbukalah kamu (untuk ber’Iidul Fitri) apabila melihat hilal. Dan jika hilal itu tertutup daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakanlah (genapkanlah) bilangan bulan Sya’ban itu 30 hari.

(HR Bukhari daripada Abu Hurairah)

Syarat Wajib Puasa                            

  1. Islam.
  2. Berakal – tidak sah puasa orang yang hilang akal.
  3. Baligh.
  4. Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa.

Rukun Puasa

  1. Berniat.
  2. Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari.

Syarat Sah Puasa

  1. Islam.
  2. Berakal.
  3. Suci daripada haid dan nifas sepanjang siang hari puasa (bagi perempuan).
  4. Berniat setiap malam.
  5. Menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa.
  6. Pada hari yang sah puasa – tidak sah puasa pada hari yang diharamkan berpuasa.

Perkara Yang Membatalkan Puasa

  1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan dengan sengaja, sama ada daripada jenis makanan atau bukan makanan.
  2. Memasukkan sesuatu melalui dua jalan (qubul dan dubur).
  3. Memuntahkan makanan dengan sengaja.
  4. Jimak (bersetubuh).
  5. Mengeluarkan mani dengan sengaja.
  6. Keluar darah haid (bagi perempuan).
  7. Keluar darah nifas (bagi perempuan) .
  8. Gila.
  9. Murtad atau terkeluar daripada Islam sama ada dengan perkataan, perbuatan atau keyakinan.
  10. Pengsan sepanjang hari ketika berpuasa .

Adab-Adab Puasa

  1. Bersahur
  2. Melewatkan sahur.
  3. Meninggalkan kata-kata keji.
  4. Memelihara anggota tubuh badan, seperti mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syara’.
  5. Banyak bersedekah, membaca al-Quran, bertadarus, qiyamulail, istighfar dan iktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan.
  6. Berdoa ketika berbuka.
  7. Menyegerakan berbuka.
  8. Berbuka puasa dengan apa yang mudah didapati atau apa yang ada.
  9. Menyediakan makanan berbuka untuk orang lain yang berpuasa.
  10. Jika berjunub, maka mandi wajib sebelum fajar.
  11. Memperelokkan akhlak kerana puasa ada perisai daripada akhlak buruk.
  12. Membayar zakat fitrah dalam waktu yang ditetapkan.

Orang Yang Boleh Tidak Berpuasa

  1. Orang sakit dan sulit berpuasa.
  2. Orang yang bermusafir.
  3. Orang yang terlalu tua atau pesakit yang tiada harapan untuk sembuh.
  4. Wanita hamil dan menyusui anaknya.

Puasa-Puasa Sunat

  1. Puasa Hari Arafah.
  2. Puasa Hari ‘Asyura عاشوراء (10 Muharram) dan Hari Tasu’a تاسوعاء (9 Muharram).
  3. Puasa hari Isnin dan Khamis.
  4. Puasa tiga hari setiap bulan. Lebih afdal jika dilakukan pada hari putih iaitu setiap 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah.
  5. Puasa enam hari dalam bulan syawal.
  6. Selang sehari berpuasa (pada hari ini berpuasa, esok tidak berpuasa)
  7. Puasa pada hari 8 Zulhijjah.
  8. Memperbanyakkan puasa pada bulan Muharram, Zulka’idah, Rejab dan juga Zulhijjah.
  9. Memperbanyakkan puasa pada bulan Sya’ban.

Puasa Yang Dimakruhkan

  1. Puasa Arafah bagi yang menunaikan haji.
  2. Puasa hanya pada hari Sabtu sahaja (hanya Sabtu).
  3. Puasa hanya pada hari Jumaat sahaja (hanya Jumaat).
  4. Puasa sepanjang tahun atau sepenuh masa tanpa henti.

Puasa Yang Diharamkan/ Hari Yang Diharamkan Berpuasa

  1. Satu Syawal Hari Raya Aidilfitri.
  2. Sepuluh Zulhijjah iaitu jatuh pada Hari Raya Aidil Adha.
  3. Pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah iaitu hari-hari Tasyrik.
  4. Bagi wanita – hari sedang kedatangan datang haid atau nifas.
  5. Puasa sunat oleh seorang isteri sedangkan suaminya melarangnya berpuasa.
  6. Puasa pada separuh kedua daripada bulan Sya’ban.

Rujukan:

  1. Kertas kerja Puasa Ramadhan oleh Ustaz Mohd Darus Senawi Ali
  2. http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan1427/panduan_umum/panduan_2.htm
  3. https://shafiqolbu.wordpress.com/2011/08/01/menauladani-adab-puasa-ramadhan-rasulullah-saw/
  4. http://ipuasa.com/hari-haram-puasa-sunat-makruh

Check Also

Bersuci: Wudhuk

Pengertian 1. Wudhuk ertinya membasuh dan menyapu anggota badan yang tertentu dengan niat yang tertentu. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *