Home / Tsaqafah / Sirah dan Sejarah / Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 7: Penyiksaan

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 7: Penyiksaan

Puak Quraisy begitu melampau menentang Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda. ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al-’As menceritakan: “Ketika Nabi Sallahu‘alaihiwasallam bersolat di Ka’bah, ‘Aqabah bin Abi Muit datang mencekik baginda dengan bajunya. Kemudian Abu Bakar datang memegang kepala bahu ‘Aqabah sambil menolaknya daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, lalu berkata: “Kenapa engkau hendak membunuh manusia yang mengaku dan mengucap “Rabbku ialah Allah?”

‘Abdullah bin ‘Umar pula menceritakan: “Ketika Nabi sedang sujud bersolat di tengah-tengah puak Quraisy, datanglah ‘Aqabah bin Abi Muit membawa najis sembelihan, lalu melemparkannya ke atas belakang Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, menyebabkan baginda tidak mengangkat kepalanya semasa sujud sehingga datanglah puterinya Fatimah Radiallahu‘anha membuang najis-najis tadi, sambil bertanya kepada Ali siapa yang melakukan demikian.”

Di ketika yang lain pula baginda terpaksa menanggung berbagai-bagai kejian dan maki hamun ketika berjalan di tengah-tengah puak Quraisy dan juga ketika lalu di hadapan kelab-kelab mereka.

Manakala sahabat-sahabat baginda ridhuanullahi‘alaihim ajma’in telah mengalami seribu satu penyiksaan, sehinggalah terdapat di antara mereka mati kerana penyiksaan yang melampaui batas. Ada setengah mengalami buta mata, cacat anggota dan sebagainya. Namun penyiksaan yang sedemikian rupa tidak sedikit pun melemahkan keimanan mereka terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Antara kisah ialah apa yang telah diceritakan oleh Imam Bukhari, daripada Khabbab bin Al-’Arat: “Aku datang menemui Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Baginda sedang meletakkan kepalanya berbaring dengan berbantalkan pakaiannya di bawah lindungan Ka’bah. Di kala itu kami sedang mengalami penyiksaan yang amat sangat. Lantas aku berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kenapa tidak tuan hamba memohon daripada Rabb untuk kami?” Baginda terus bangun dan duduk dengan muka yang merah dan berkata: “Sesungguhnya mereka yang terdahulu daripada kamu pernah diganyang dengan penyakar-penyakar besi hingga ke tulang dan urat, tapi sebiji padi pun mereka tidak berganjak. Ada pula di antara mereka dibelah kepala dengan gergaji namun demikian mereka tetap juga tidak mengubah pendirian mereka. Biarlah Allah sempurnakan perkara ini (din Islam) sehingga manusia yang berjalan dari San’a’ ke Hadhralmaut tidak akan gentar dan takutkan sesuatu melainkan Allah.”

PENGAJARAN

  1. Mungkin ada yang bertanya: “Kenapakah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat baginda rela menanggung segala azab sengsara dan penyiksaan sedang mereka berada atas kebenaran? Kenapa Allah Subhanahuwata’ala tidak melindungi mereka? Tidakkah mereka ini askar-askar-Nya dan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula penda’wah serta pejuang di jalan-Nya?”. Ikuti jawapannya dalam perenggan di bawah.
  1. Manusia di dunia adalah hamba Allah Subhanahuwata’ala. Sebagai hamba mestilah membawa sifat kehambaan. Tidak bererti kehambaan tanpa menerima tangungjawab, suruhan dan tegahan.

Sebagai hamba yang “mukallaf” (hamba yang menerima tanggungjawab) mestilah melaksanakan segala perintah Allah Subhanahuwata’ala sama ada senang mahupun susah. Berda’wah dan berjihad untuk meninggikan kalimat Allah Subhanahuwata’ala adalah sebahagian daripada kerja mukallaf.

Kewajipan setiap hamba Allah Subhanahuwata’ala ialah melaksanakan dua perkara penting:

  • Berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mendirikan masyarakat Islam atau ummah Islamiah.
  • Bersedia berkorban dan mengharungi segala kepayahan untuk mencapai tujuan di atas.
  1. Kalaulah Allah Subhanahuwata’ala mahu nescaya mudah sahaja bagi-Nya untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam tanpa perlu manusia melalui jalan susah payah. Tetapi Allah Subhanahuwata’ala mahu manusia membuktikan kehambaan mereka di hadapan-Nya. Sehingga, sanggup berkorban dan menempuh kesusahan, dan terbukti mana hamba-Nya yang benar-benar beriman dan mana hamba-Nya yang dusta.
  1. Segala kesusahan yang dihadapi oleh para pejuang dan penda’wah yang menegakkan kalimah Allah Subhanahuwata’ala dan masyarakat Islam adalah sunnah dan suratan Ilahi, yang berlaku sejak permulaan sejarah da’wah. Antara rahsia dan hikmahnya ialah:
  • Sifat kehambaan dan keabdian manusia terhadap Allah Subhanahuwata’ala, sepertimana ditegaskan oleh Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.

(Az-Zariyat :56)

Sifat kehambaan dan keabdian manusia ini menghendaki manusia bersedia dan bersungguh menanggung segala kesusahan sebagai hamba atau abdi di hadapan Tuan sebenar manusia iaitu Allah Subhanahuwata’ala.

  • Tabiat jalan bagi penerima tanggungjawab, sama ada lelaki mahupun perempuan, untuk menegakkan syariat Islam dalam diri dan masyarakat, sememangnya akan mengharungi lautan penderitaan.
  • Kesusahan akan menampakkan kebenaran orang yang benar dan kedustaan orang yang dusta. Kalau dibiarkan manusia mengaku Islam dan cintakan Allah Subhanahuwata’ala sekadar di lidahnya sahaja, maka tidak wujudlah perbezaan antara orang yang benar dengan orang yang dusta. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

الٓمٓ ١  أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ ٢ وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَٰذِبِينَ ٣

الٓمٓ. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang  sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.

 (Al-’Ankabut : 1-3)

Firman-Nya lagi:

أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَعۡلَمِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ مِنكُمۡ وَيَعۡلَمَ ٱلصَّٰبِرِينَ

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.

 (Ali-’Imran :142)

  1. Inilah sistem dan sunnah Allah Subhanahuwata’ala ke atas hamba-Nya. Semua rasul, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri, para sahabat baginda dan para penda’wah di sepanjang zaman menempuh kesusahan. Oleh itu tidak seharusnya penda’wah Islam merasa putus asa dan lemah sekiranya bertemu halangan dan dugaan di jalan da’wah dan jihad. Bahkan sebaliknya dia harus menyemak semula akan jalan perjuangannya, sekiranya tidak menempuh sebarang cabaran dan halangan.
  1. Setiap muslim yang mengaku beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya wajib membuktikan keimanannya dengan segala usaha dan tenaganya. Dia rela menerirna tawaran-Nya untuk menukarkan syurga dengan jiwa raga dan harta bendanya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَ

Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.

(At-Taubah :111)

 

 

Check Also

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 5 : Berkhulwah Di Gua Hira’ Dan Penerimaan Wahyu

BERKHULWAH DI GUA HIRA’ Apabila Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mencapai umur 40  tahun, Baginda gemar mengasingkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *