Home / Tsaqafah / Sirah dan Sejarah / Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 6 : Peringkat-Peringkat Da’wah Islamiyah Semasa Hidup Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 6 : Peringkat-Peringkat Da’wah Islamiyah Semasa Hidup Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Da’wah Islam semasa hidup Rasulullah telah menempuhi empat peringkat iaitu:

Peringkat pertama:

Da’wah secara rahsia memakan masa selama tiga tahun.

Peringkat kedua:

Da’wah secara terang-terangan tanpa kekerasan, berlangsung sehingga berlakunya peristiwa Hijrah.

Peringkat ketiga:

Da’wah secara terang-terangan menggunakan senjata untuk mempertahankan diri berjalan hingga pembukaan Mekah mukarramah.

Peringkat keempat:

Da’wah secara terang-terangan dan mengangkat senjata terhadap mereka yang cuba menghalang perjalanan da’wah. Dalam peringkat inilah dipraktikkan syariat-syariat Islam dan perintah berjihad diturunkan.

DA’WAH SECARA RAHSIA

Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam memulakan tugas da’wah secara rahsia atau sulit, menyeru manusia supaya menyembah Allah Subhanahuwata’ala yang Maha Esa dan menyingkirkan penyembahan berhala. Ianya dijalankan secara sulit agar orang kafir Quraisy tidak terperanjat dengan seruannya ini kerana mereka terlalu fanatik dengan penyembahan berhala.

Langkah pertama ialah seruan terhadap mereka yang sudah kenal dan karib dengan Baginda. Antara orang yang mula-mula menyabut seruan Baginda ialah Saidatina Khadijah Radiallahu‘anha, ‘Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah (orang suruhan dan anak angkat baginda), Abu Bakar bin Quhafah, ‘Uthman bin ‘Affan, Zubair bin ‘Awwam, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf, Sa’ad bin Abi Waqqas dan mereka yang lain Radiallahu‘anhum. Semua mereka ini bertemu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam secara sulit. Mereka melakukan ibadah di lorong-lorong Mekah yang jauh dari pandangan orang Quraisy.

Ketika pemeluk din Islam meningkat 30 orang, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memilih satu tempat yang agak terpencil iaitu di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam untuk menyampaikan ajaran Islam. Kemudiannya da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terus berkembang dengan 40 orang pengikut. Kebanyakan mereka adalah golongan fakir miskin dan hamba sahaya, yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy.

PENGAJARAN

  1. Rasulullah menjalankan tugas da’wah secara rahsia bukanlah kerana takut sesuatu yang akan menimpa diri Baginda. Baginda amat faham akan perintah Allah Subhanahuwata’ala:

يَٰٓأَيُّهَاٱلۡمُدَّثِّرُ ١  قُمۡ فَأَنذِرۡ ٢

“Wahai orang yang berselimut. Bangunlah, lalu berilah peringatan”.

(Al-Muddatstsir : 1-2)

Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala adalah pelindung da’wah dan pelindung rasul-Nya. Allah Subhanahuwata’ala telah mengilhamkan kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam supaya berda’wah di peringkat pertama ini dengan cara sulit dan membataskan seruan kepada mereka yang benar-benar cenderung kepadanya.

Ini merupakan pengajaran dan pengiktibaran kepada penda’wah terkemudian supaya berwaspada ketika berda’wah. Penda’wah tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bertawakkal kepada-Nya tanpa usaha dan ikhtiar. Bahkan penda’wah perlu berusaha menjaga keselamatan da’wahnya dan memastikan da’wah sampai kepada orang yang disasarkan.

Penda’wah boleh menggunakan taktik berda’wah sama ada secara rahsia ataupun terang-terangan bergantung kepada keadaan dan suasana. Jika dakwah merupakan satu perkara yang janggal kepada kebanyakan manusia, maka pendakwah tidak perlu menyampaikannya secara terang terangan. Dia perlu menangguh langkah dakwah secara terang-terangan sehinggalah sebilangan manusia telah menerima dakwahnya dan telah terbina kekuatan untuk berda’wah secara terbuka.

  1. Da’wah ini pada peringkat awalnya hanya diterima oleh orang yang lemah dan fakir. Ini bukan saja berlaku kepada da’wah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam, bahkan juga berlaku kepada da’wah nabi-nabi yang terdahulu. Sebagai contoh lihatlah da’wah Nabi Nuh Alaihissalam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَقَال َٱلۡمَلَأُٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا نَرَىٰكَ إِلَّا بَشَرٗا مِّثۡلَنَا وَمَا نَرَىٰكَ ٱتَّبَعَكَ إِلَّا ٱلَّذِينَ هُمۡ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ ٱلرَّأۡيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلِۢ بَلۡ نَظُنُّكُمۡ كَٰذِبِينَ

“Maka berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya: “Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang yang mengikuti kamu, melainkan orang yang hina dina di antara kami yang mudah percaya saja, dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun atas kami, bahkan kami yakin bahawa kamu adalah orang yang dusta”.

(Hud : 27)

Umat yang menerima da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, walaupun pada asalnya lemah, dengan kekuatan dan keberkatan da’wah baginda, akhirnya menjadi umat yang kuat. Da’wah ini kemudiannya dapat menarik semua lapisan masyarakat.

  1. Pengiktibaran untuk penda’wah:
  • Penda’wah perlu bijaksana untuk memilih uslub da’wah samada secara rahsia atau terang-terangan dengan melihat kepada tempat dan suasana, juga dengan melihat kepada kekuatan dan kemampuan yang dimilikinya.
  • Penda’wah tidak boleh memandang remeh atau sepi kepada pengikut yang lemah, fakir dan miskin. Apa yang perlu bagi penda’wah ialah usaha-usaha yang berterusan dan kesabaran yang tetap. Kekuatan dan kejayaan akan dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Terbukti dalam sejarah, akhirnya da’wah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam diterima oleh semua lapisan masyarakat.

SERUAN SECARA TERANG-TERANGAN

Da’wah Islam telah mendapat sambutan yang tidak putus-putus daripada masyarakat sama ada lelaki mahupun perempuan sehingga menjadi perbualan umum di kota Mekah. Kemudian Allah Subhanahuwata’ala meminta Nabi-Nya supaya menjalankan da’wah secara terang-terangan dan menyeru manusia agar beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Bagi menyahut seruan Allah Subhanahuwata’ala:

فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah daripada orang musyrik”

 (Al-Hijr :94)

Maka, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah mengumpul Bani Fihr dan Bani ‘Adi di atas bukit Safa. Bagi mereka yang uzur tidak dapat hadir menghantar wakil. Di situlah Nabi Sallallahu’alaihiwasallam bangun lantas berkata: “Apakah kamu sekelian akan percaya atau tidak sekiranya aku ceritakan bahawa di sebalik bukit ini ada sekumpulan musuh yang akan menyerang kamu?” Jawab mereka: “Sudah pasti kami akan percaya kerana kami belum pernah mendengar lagi percakapan dusta daripadamu.” Kemudian Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menambah:

Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan iaitu di hadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat.” Abu Lahab pun bangun lalu menjawab: “Binasalah engkau wahai Muhammad, apakah untuk ini sahaja yang menyebabkan engkau mengumpulkan kami?”

Maka turunlah ayat Al-Qur’an:

تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ

“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.”

(Al-Masad :1)

Bagi menyahut seruan Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤ وَٱخۡفِضۡ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٢١٥

Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang mengikutimu, iaitu orang beriman”

(Asy-Syu’ara : 214-215)

Maka, Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mengumpulkan kaum kerabatnya yang hampir sambil berkata:

“Wahai Bani Ka’b bin Luai bebaskanlah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Murrahbin Ka’b jauhkanlah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Hisyam selamatkanlah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Abdul Manaf jauhilah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Abdul Mutalib hindarkanlah api neraka daripada dirimu, wahai Fatimah bebaskanlah dirimu daripada api neraka. Sesungguhnya aku tidak ada upaya melainkan hanyalah menghubung tali silaturrahim yang abadi di antara kamu sekelian.”

Umumnya pihak Quraisy telah menunjukkan reaksi berpaling tadah dan mencemuh seruan baginda dengan alasan tidak sanggup meninggalkan agama yang diwarisi daripada datuk nenek mereka, yang telah sebati dengan darah daging mereka. Dan sedikit sahaja yang menerima seruan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Namun, terdapat juga daripada kalangan orang Quraisy yang membela Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, contohnya bapa saudara baginda, bernama Abu Talib. Beliau mempertahankan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam daripada serangan orang Quraisy.

PENGAJARAN

  1. Seruan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam terhadap puak Quraisy terang-terangan telah memeranjatkan bangsa Quraisy khususnya dan umat Arab umumnya. Ini dapat dilihat dengan nyata sekali daripada penentangan Abu Lahab. Ini menunjukkan sifat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam kerja da’wah baginda. Baginda terus berda’wah, hatta kepada kaum kerabat sendiri, meski pun mendapat tentangan yang hebat. Baginda tidak berselindung dan menyembunyikan kebenaran, bahkan berani berterus terang.
  1. Baginda adalah pemegang amanah Allah Subhanahuwata’ala untuk berda’wah dengan bertawakkal langsung kepada-Nya. Baginda menerima perintah Allah Subhanahuwata’ala dan terus laksanakan tanpa tangguh-tangguh.
  1. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menyeru kaumnya agar membebaskan diri dan pemikiran daripada menyembah berhala dan cengkaman tradisi yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Din Islam dan segala hukumnya adalah sejajar akal fikiran manusia. Islam menentang taqlid buta dan meniru membuta tuli akan adat lapuk nenek moyang yang bertentangan dengan akal fikiran yang sihat, seperti mana yang dapat kita lihat dalam da’wah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam di peringkat pertama.
  1. Pengiktibaran untuk penda’wah:
  • Penda’wah Islam adalah seorang yang berani untuk mengemukakan da’wahnya kepada manusia, dan bertawakkal kepada Allah Subhanahuwata’ala.
  • Daripada sirah ini dapat difahami, peringkat tanggungjawab yang perlu dipikul oleh penda’wah:
  • Peringkat pertama ialah tanggungjawab penda’wah terhadap dirinya. Jangka masa penurunan wahyu pertama dan kedua merupakan jangka masa yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam untuk memberi ketenangan dan keyakinan kepada baginda bahawa baginda adalah Rasul yang benar diutuskan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Segala apa yang diwahyukan adalah daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dengan ini terbinalah kepercayaan dalam diri sendiri.

Justeru itu menjadi tanggungjawab penda’wah untuk mempelajari ilmu pengetahuan dan hukum-hakam Islam sebagai persiapan diri untuk berda’wah kepada manusia.

  • Peringkat kedua ialah tanggungjawab penda’wah terhadap kaum keluarganya agar seruan da’wah disampaikan kepada mereka. Allah Subhanahuwata’ala telah mempertanggungjawabkan Rasul-Nya agar menyampaikan seruan da’wah ini kepada kaum keluarga.
  • Peringkat ketiga ialah tanggungjawab penda’wah untuk berda’wah terhadap masyarakatnya.

 Rujukan:

  1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
  2. Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

 

Check Also

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 5 : Berkhulwah Di Gua Hira’ Dan Penerimaan Wahyu

BERKHULWAH DI GUA HIRA’ Apabila Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam mencapai umur 40  tahun, Baginda gemar mengasingkan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *