Home / Tsaqafah / Sirah dan Sejarah / Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 3: Perniagaan Dengan Harta Khadijah Dan Perkahwinan Baginda

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 3: Perniagaan Dengan Harta Khadijah Dan Perkahwinan Baginda

Mengikut apa yang diceritakan oleh Ibnu Atsir dan Ibnu Hisyam bahawa Khadijah Radiallahu‘anha adalah seorang saudagar yang masyhur serta terkenal dengan kemuliaan budi dan kekayaan harta. Sebilangan orang Arab di masa itu meminjam daripada hartanya sebagai modal perniagaan mereka. Bilamana Khadijah mendengar perihal peribadi Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam yang mulia dan akhlaknya yang terpuji, maka beliau terus mempelawa kepada Baginda untuk menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi upah yang lebih daripada apa yang pernah diberikannya kepada orang lain. Pengiring Baginda dalam usaha perniagaan itu ialah seorang budak suruhan Khadijah bernama Maisarah.

Tawaran itu diterima baik oleh Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam dengan penuh kerelaan hati. Baginda kemudiannya bermusafir ke negeri Syam untuk menjalankan urusan peniagaan bersama Maisarah. Dalam perniagaan ini Baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Bila Baginda kembali bertemu Khadijah dengan keuntungannya itu, Baginda terus menyerahkan kepada Khadijah apa yang perlu dan patut diserahkan dengan penuh amanah.

Semasa di negeri Syam, Maisarah telah melihat dengan mata kepalanya sendiri akan budi pekerti Baginda yang mulia. Ini semua diceritakan oleh Maisarah kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertarik dengan sifat amanah dan budi pekerti Baginda yang tinggi.  Lebih menakjubkan ialah keuntungan berlebihan yang diperolehi dengan berkat Baginda.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam untuk menjadi teman hidup Baginda yang halal. Tawaran ini disambut baik oleh Baginda. Tanpa membuang masa, Baginda menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya. Mereka melamar Khadijah melalui bapa saudaranya ‘Amru bin Asad. Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Di kala itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berusia 25 tahun, manakala Khadijah  berusia 40 tahun.

 PENGAJARAN 

  1. Perniagaan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam dengan harta Khadijah merupakan sambungan daripada siri perjuangan untuk menghadapi cabaran hidup bagi seorang insan, yang dulunya dimulakan dengan mengambil upah menternak kambing.
  2. Perkahwinan dengan Khadijah yang jauh lebih berumur daripada Baginda menunjukkan kepada kita bahawa Baginda tidak memberatkan soal-soal memuaskan hawa nafsu. Baginda bersetuju mengambil Khadijah sebagai isteri semata-mata kerana kejujuran dan kemuliaan budinya lantaran pada masa itu beliau digelar “wanita suci”. Perkahwinan ini berlangsung sehingga wafatnya Khadijah pada usia 65 tahun, di ketika mana Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pula berusia 50 tahun. Dalam tempoh ini tidak terlintas di hati sanubari Baginda untuk berkahwin dengan wanita lain. Baginda melintasi usia mudanya dengan seorang isteri, iaitu Khadijah. Ini semua membuktikan Baginda bebas daripada penguasaan hawa nafsu, sekali gus menolak fitnah yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam, yang menggambarkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah seorang lelaki yang tenggelam ke dasar lautan hawa nafsu dan syahwat.
  3. Adapun perkahwinan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam setelah wafatnya Khadijah dengan ‘Aisyah Radiallahu‘anhuma, sebenarnya, mengandungi hikmah Ilahi yang tinggi. Bahkan semua perkahwinan Baginda dengan wanita-wanita selepas kewafatan Khadijah mempunyai hikmah-hikmah yang akan menambahkan lagi  keimanan seorang muslim kepada Baginda. Dalam kesemua perkahwinan Baginda tersemat akhlak dan budi pekerti yang sangat agung.
  4. Pengiktibaran untuk penda’wah:
    • Mengenali dan beinteraksi dengan masyarakat ketika menjalani pelbagai kerjaya hidup adalah penting bagi penda’wah untuk melancarkan urusan da’wahnya di masa depan.
    • Antara modal da’wah yang penting ialah memelihara dan menzahirkan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
    • Bermulanya rumahtangga bagi penda’wah ialah dengan pemilihan isteri yang soleh.

Rujukan:

  1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
  2. Dr. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Check Also

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 6 : Peringkat-Peringkat Da’wah Islamiyah Semasa Hidup Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Da’wah Islam semasa hidup Rasulullah telah menempuhi empat peringkat iaitu: Peringkat pertama: Da’wah secara rahsia …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *