Home / Tsaqafah / Sirah dan Sejarah / Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 2: Perjalanan Pertama Ke Negeri Syam Dan Usaha Mencari Rezeki Halal

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 2: Perjalanan Pertama Ke Negeri Syam Dan Usaha Mencari Rezeki Halal

Dalam usia dua belas tahun bapa saudara Baginda, Abu Talib, membawanya ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan nama Basra, mereka bertemu dengan seorang paderi bernama Buhaira. Ia seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani. Ia memerhati Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, kemudian bertanya kepada Abi Talib: “Budak ini anak tuan hambakah?”. Lantas jawab Abi Talib: “Kenapa tidak! Ya, budak ini anakku.” Oleh kerana Abu Talib terlalu kasih kepada Rasullah sejak kecil lagi, maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya. Kemudian Buhaira menegaskan: “Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup.” Abu Talib menjawab: “Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika ia masih dalam perut ibunya”. Paderi menambah: “Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang Yahudi, mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa depan nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung.” Maka Abu Talib pun segeralah pulang ke Mekah bersama Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Kemudian, Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam mula memasuki gerbang kedewasaan dan keremajaan. Baginda mula bertungkus-lumus dan menyingsing lengan mencari rezeki halal. Seharian menternak kambing. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menceritakan (bermaksud):

“Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Mekah dengan upahnya beberapa karat sahaja”.

Allah telah mengawasi zaman keremajaan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Baginda tidak pemah menyeleweng seperti pemuda-pemuda lain. Berhubung dengan hal ini Baginda menceritakan (bermaksud):

“Aku tidak pernah teringat hendak melakukan seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian besar orang jahiliah, kecuali dua kali tetapi dielak dan dijauhkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala. Lepas itu aku tak ingat lagi hinggalah aku diutuskan. Di suatu ketika aku sedang menternak bersama dengan seorang pemuda lain, di mana aku telah meminta beliau agar tolong melihatkan (menjaga) kambing ternakanku sementara aku hendak pergi melihat-lihat di kota Mekah. Pemuda itu sanggup menunaikan hajatku itu, dan aku pun keluar sehingga akhirnya sampailah ke rumah pertama di Kota Mekah dan aku mendengar permainan lantas aku pun bertanya apakah bunyi-bunyian itu. Orang memberitahuku bahawa itulah keramaian dan pesta. Aku pun duduk hendak mendengar tetapi Allah telah menulikan (tidak dapat mendengar) sejurus telingaku menyebabkan aku terlena dan aku terjaga semula apabila sinaran cahaya matahari memancar ke mukaku. Aku pulang serta-merta menemui sahabatku tadi. Beliau bertanya bagaimana halnya dengan diriku semalam. Aku pun menceritakan apa yang telah  berlaku.

 Dan di suatu malam yang lain sekali lagi aku meminta supaya membenarkan aku keluar seperti dahulu tetapi sebaik sahaja aku sampai ke Mekah terus berlaku perkara yang sama seperti dahulu ke atas diriku. Lepas itu aku tidak mencuba lagi.

(Riwayat Muslim)

PENGAJARAN 

  1. Pertemuan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dengan Buhaira semasa perjalanannya ke Negeri Syam bersama ayah saudara Baginda, membuktikan bahawa ahli kitab iaitu orang Yahudi dan Nasrani sudah pun mengetahui tentang pengutusan Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam melalui Kitab Taurat dan Injil yang menceritakan satu persatu tentang tanda-tanda kenabian dan kedatangannya.
  1. Mengikut apa yang tèlah diperihalkan oleh ahli sirah, orang Yahudi Madinah pernah menyebut-nyebut tentang kedatangan seorang nabi kepada puak ‘Aus dan Khazraj. Bila dilahirkan nabi itu, mereka (orang Yahudi) akan mengikuti dan beriman dengannya supaya dapat berperang dan memusnahkan orang ‘Aus dan Khazraj sepertimana termusnahnya kaum ‘Ad dan Iram. Ini kerana (pada waktu itu) Yahudi Madinah berselisih faham dan bermusuh-musuhan dengan dua puak ini.

Namun demikian setelah datangnya Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, mereka eñggan pula beriman dengan Baginda. Diterangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam al-Quran:

وَلَمَّا جَآءَهُمۡ كِتَٰبٞ مِّنۡ عِندِ ٱللَّهِ مُصَدِّقٞ لِّمَا مَعَهُمۡ وَكَانُواْ مِن قَبۡلُ يَسۡتَفۡتِحُونَ عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَلَمَّا جَآءَهُم مَّا عَرَفُواْ كَفَرُواْ بِهِۦۚ فَلَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ

“Dan setelah datang kepada mereka Al-Qur’an daripada Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang kafir. Maka setelah datang kepada mereka orang yang telah mereka ketahui (iaitu Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam) lalu mereka engkar kepadanya. Maka laknat Allahlah atas orang yang engkar itu”.

(Al-Baqarah : 89)

  1. Dalam kitab ‘Injil’ yang dibaca oleh orang Nasrani sekarang sudah tidak menyebut tentang Nabi Muhammad dan sifat-sifatnya. Ini menunjukkan ayat-ayat dalam kitab mereka itu telah ditukar ganti oleh pihak paderi dan gereja. Perkara ini ditegaskan dalam Al Qur’an:

وَمِنۡهُمۡ أُمِّيُّونَ لَا يَعۡلَمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ إِلَّآ أَمَانِيَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ ٧٨ فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Dan di antara mereka ada yang buta huruf tidak mengetahui Al Kitab (Taurat) kecuali kebohongan belaka dan mereka hanya menduga-duga. Kecelakaan yang besarlah bagi orang yang menulis Al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya “Ini adalah daripada Allah” (dengan maksud) untuk memperolehi keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka kerana apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi mereka, kerana apa yang mereka kerjakan.”

(Al-Baqarah : 78 – 79)

  1. Berkenaan dengan pekerjaan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menternak kambing untuk mencari rezeki yang halal dan mengenai limpahan kurnia Allah kepada keluarga Halimah Al-Sa’diyyah semasa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menumpang bersama-sama mereka, menunjukkan kepada kita perlunya kerja-kerja yang soleh untuk mencari rezeki di sisi Allah Subhanahuwata’ala. Memang mudah bagi Allah Subhanahuwata’ala jika mahu memewahkan penghidupan Rasul-Nya tanpa mengeluarkan keringat. Namum hikmah Ilahi telah menunjukkan kepada kita bahawa sebaik-baik harta ialah hasil dan usaha sendiri dan memberi kebaikan masyarakat. Seburuk-buruk kemewahan ialah yang diperolehi tanpa kesusahan dan memberi keburukan pula kepada masyarakat.
  1. Berkaitan pemeliharaan Allah Subhanahuwata’ala atas diri Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam daripada segala kejahatan, membuktikan dua faktor penting:
  • Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam tetap seorang manusia biasa yang mempunyai sifat-sifat dan naluri-naluri kemanusiaan. Baginda tetap sebagai seorang pemuda yang memiliki aneka perasaan dan gemarkan kesenangan serta hiburan.
  • Allah Subhanahuwata’ala telah memelihara dan memaksumkan Baginda daripada melakukan kekejian dan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penda’wah. Suara batin dan laungan hati Baginda memberi amaran dan isyarat, dengan taufik Allah Subhanahuwata’ala, agar memelihara kesempurnaan akhlak dan budi pekerti. Sebagai bakal pendiri syariat Islamiah tidak seharusnya melakukan perkara keji.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sememangnya mendapat bimbingan Ilahi secara berterusan, sedangkan mereka di sekelilingnya dibawa oleh arus keadaan. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam meneruskan kehidupan remaja Baginda dengan selamat di tengah-tengah gelombang jahiliah. Semua ini adalah tanda kenabian yang disediakan demi untuk memikul bebanan tanggungjawab sebagai rasul.

  1. Pengiktibaran untuk penda’wah:
  • Penda’wah Islamiah perlu berta’aruf dengan manusia dan mengenali persekitaran manusia. Penda’wah perlu berta’aruf bukan sahaja dengan manusia di sekitar negerinya, bahkan manusia di peringkat antarabangsa.
  • Sebaik-baik jalan hidup bagi penda’wah ialah berdikari. Beliau bergantung kepada sumber kewangan daripada usaha sendiri. Beliau tidak menadah tangan meminta daripada manusia lain.
  • Penda’wah perlu memelihara perjalanan hidupnya dengan baik, terutama dari segi akhlak dan budi pekerti. Perjalanan hidup yang memelihara akhlak dan budi pekerti akan membuktikan kebenaran da’wahnya dan akan menutup pintu-pintu kekeliruan manusia yang dida’wahkan.

Rujukan:

  1. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Fiqh Al-Sirah,Terjemahan: Ustaz Mohd Darus Sanawi, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.
  2. Mustafa as-Syibaie, Sirah Nabi Muhammad SAW: Pengajaran & Pedoman, Terjemahan: Bahagian Penterjemahan dan Suntingan, Pustaka Salam Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

 

Check Also

Pengajaran Daripada Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam Siri 6 : Peringkat-Peringkat Da’wah Islamiyah Semasa Hidup Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Da’wah Islam semasa hidup Rasulullah telah menempuhi empat peringkat iaitu: Peringkat pertama: Da’wah secara rahsia …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *