Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Mujhahid Ialah Orang Yang Berjihad Melawan Nafsu

Mujhahid Ialah Orang Yang Berjihad Melawan Nafsu

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي اللهِ

Mujahid adalah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah.

(Riwayat Ibn Hibban)[1]

 SEKILAS PENJELASAN

Dalam hadits ini, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengajak kita melihat diri kita sendiri, kemudian melakukan tindakan yang tepat terhadap nafsu dan diri kita. Sesungguhnya jihad yang pelbagai bentuk tidak akan berhasil jika tidak diawali dengan jihadun nafs (jihad melawan nafsu). Kita perlu selalu ingat bahawa mujahid sejati ialah orang yang berjihad melawan nafsunya untuk taat dan istiqamah di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

HIKMAH TARBAWIYAH

Mengapa Orang Yang Melawan Nafsunya Disebut Mujahid?

1. Apa pun bentuk jihad di sisi Allah Subhanahuwata’ala seperti jihad qitali (jihad peperangan), jihad da’awi (jihad da’wah), jihad iqtisadi (jihad ekonomi) dan jihad siyasi (jihad politik), tidak akan dapat direalisasikan dengan baik kecuali setelah terlaksananya jihadun nafs atau jihad melawan nafsu sendiri. Sangat berat bagi seseorang untuk mengorbankan diri di jalan Allah Subhanahuwata’ala jika nafsunya masih dikuasai cintakan harta dan dunia. Mustahil bagi seseorang untuk memperjuangkan ekonomi Islam sedangkan masih sukakan sistem riba.

2. Ketika seseorang terjun dalam pelbagai medan jihad, sedangkan jihadun nafs belum dilakukan, maka seringkali akan menyimpang arah daripada perjuangan menegakkan din Allah kepada perjuangan memenuhi kehendak nafsu dan keinginan peribadi. Hanya orang yang melakukan jihadun nafs, akan dapat bertahan di jalan Allah dan istiqamah tanpa terpengaruh dengan pelbagai godaan dunia seperti harta, wanita dan takhta.

3. Nafsu manusia seringkali dijadikan syaitan sebagai alat untuk menyesat dan menjerumuskan manusia ke dalam maksiat dan kekufuran. Orang yang berjaya melawan nafsunya, sehingga taqwa menguasai dirinya, tidak lagi akan dapat digoda atau disesatkan oleh syaitan.

4. Nafsu adalah musuh yang datang dari dalam diri manusia sendiri dan sukar untuk diatasi.

5. Nafsu adalah musuh yang dicintai dan dirindui. Seseorang seringkali menganggap baik dan menyetujui ajakan nafsu sehingga tidak dapat melihat keburukan ajakan itu.

Peringkat-Peringkat Jihadun Nafs Di Jalan Allah Subhanawata’ala

Ibnu Qayyim berkata, jihadun nafs terbahagi kepada 4 peringkat:

Pertama: Berjihad melawan nafsu agar belajar memahami din Islam sebagai  satu-satunya sumber kebahagiaan dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Kedua: Berjihad melawan nafsu agar mengamalkan apa yang telah dipelajari. Ini kerana ilmu tanpa amal akan membahayakan diri manusia di dunia dan di akhirat.

Ketiga: Berjihad melawan nafsu agar berda’wah dan mengajar orang lain (yang belum memahami dan mengamalkan ajaran Islam). Orang yang telah memahami dan mengamalkan ajaran Islam, tidak boleh menyembunyikan petunjuk atau ajaran din Allah Subhanahuwata’ala itu.

Keempat: Berjihad melawan nafsu agar bersabar memikul beban da’wah di jalan Allah Subhanahuwata’ala dan sanggup menghadapi segala gangguan musuh. Penda’wah harus bersedia menanggung semua kesusahan demi meraih redha dan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Apabila seorang muslim dapat merealisasikan keempat-empat peringkat jihadun nafs ini, maka ia termasuk dalam golongan manusia Rabbani.

Bentuk-Bentuk Jihadun Nafs Di Jalan Allah Subhanahuwata’ala

1. Jihadun Nafs Terhadap Hal-Hal yang Diinginkan

 Hal-hal yang diinginkan nafsu sangat banyak, antaranya adalah keselamatan, kesihatan, kekayaan, ramai sokongan dan pelbagai kesenangan duniawi. Jihadun nafs terhadap hal-hal tersebut sangat sukar sekali dan ramai yang gagal. ‘Abdul Rahman Bin ‘Auf R.A berkata:

Kami diuji dengan kesusahan, kami mampu bertahan. Dan kami diuji dengan kesenangan, kami tidak mampu bertahan.

2. Jihadun Nafs Terhadap Hal-Hal Yang Dibenci

a. Jihadun nafsi ‘ala at-tho’ah

Iaitu berjihad melawan nafsu agar menunaikan ketaatan. Sebab, tabiat nafsu manusia sering membenci ‘ubudiyyah dan ibadah, serta merasa berat memikul beban taklif (tanggungjawab). Contoh-contoh kebencian terhadap ‘ubudiyyah dan ibadah ialah seperti malas menunaikan solat, kikir mengeluarkan zakat, malas menunaikan haji (walaupun berkemampuan), tidak mahu bermujahadah untuk berpuasa dan rasa berat untuk berda’wah. Jihadun nafsi ‘ala at-tho’ah hendaklah terus menerus dilakukan agar ikhlas sebelum beribadah, bersungguh-sungguh semasa ibadah dan istiqamah selepas beribadah.

b. Jihadun nafsi ‘ala tarkil ma’ashi

Berjihad melawan nafsu agar meninggalkan maksiat. Jihad ini sangat susah kerana nafsu manusia sentiasa merindukan dan menginginkan kemaksiatan, seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan,  mengumpat dan mengambil harta orang lain.

c. Jihadun nafsi ‘ala ar-ridha biqadarillah

Berjihad melawan nafsu agar redha dengan ketentuan dan takdir Allah Subhanahuwata’ala, yakni bersabar atas segala musibah yang menimpa dan bersyukur atas segala nikmat yang diterima. Dalam hadits Qudsi, diriwayatkan bahawa Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

من لم يرضَ بقضائي ولم يصبرْ على بلائي فلْيطلبْ ربًّا سِوايَ

Barangsiapa tidak bersyukur atas nikmatKu, tidak bersabar atas musibahKu, dan carilah tuhan selain Aku.

(Riwayat Ibn Hibban)[2]

Dengan penerangan di atas, kita dapat fahami bahawa jihadun nafs adalah suatu yang sangat berat bagi seorang muslim. Oleh sebab itu, muslim benar-benar berkewajipan mendidik nafsunya agar tidak dikuasai oleh syahwat dan syaitan, lebih-lebih lagi di peringkat awal ketika jiwa mula-mula dibisik atau didorong untuk melakukan sesuatu kejahatan atau penyelewengan.

Rujukan:

Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam Lc, Bina Insani Solo

[1] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 4706

[2] Al-Majruhin, no.hadits : 1/412

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *