Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Mengikhlaskan Niat Kepada Allah Subhanahuwata’ala

Mengikhlaskan Niat Kepada Allah Subhanahuwata’ala

Pendahuluan 

Ikhlas merupakan perkara asas dan natijah iman yang tinggi. Ia satu kedudukan yang tinggi dalam din dan akhlak bagi para insan rabbani. Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima amalan atau perbuatan tanpa disertai keikhlasan.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) din yang lurus

(Surah Al-Bayyinah:5) 

أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُۚ

Ingatlah hanya kepunyaan Allah din (cara hidup) yang bersih daripada syirik

(Surah Az-Zumar:3)

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠

Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabnya maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabnya

(Suarh Al-Kahfi: 110)

Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan semua amal dan kerjanya kerana AllahSubhanahuwata’ala.

Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasaie:

إِنَّ اللهَ تعالى لا يَقْبَلُ مِنَ العملِ إلَّا ما كان له خالصًا ، وابْتُغِيَ بِهِ وِجْهَهُ

Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan dengan ikhlas kepada-Nya, dan ditujukan hanya untuk-Nya.

(Riwayat Albani)[1]

Dalam hadits riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas, serta implikasinya dalam realiti kehidupan:

مَن تَزوَّجَ امرَأةً على صَداقٍ ، وهوَ يَنوي أن لا يُؤَدِّيَه إليها ؛ فهوَ زَانٍ ، ومَن ادَّانَ دَينًا وهوَ يَنوي أن لا يُؤَدِّيَه إلى صَاحِبِه أَحسِبُه قال: ؛ فهوَ سارِقٌ

Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya kepada pemiliknya, telah berkata (Nabi SAW): maka ia adalah pencuri

(Riwayat Albani)[2]

Al-Bukhari pula meriwayatkan:

إنَّما الأعمالُ بالنِّيَّاتِ وإنَّما لِكلِّ امرئٍ ما نوى

Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya bagi setiap urusan dengan apa yang diniatkannya

(Riwayat al-Bukhari)[3]

Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riya’ dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib Radiallahuanhu pernah berkata (yang bermaksud):

“Orang riya’ itu memiliki empat tanda:

  1. Malas ketika bersendirian
  2. Bersemangat ketika berada ditengah manusia ramai
  3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
  4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”

Pengertian ikhlas

Ikhlas adalah salah satu daripada amalan hati. Maksud di sini, ikhlas ialah melakukan sesuatu semata-mata mencari keredhaan Allah, tanpa dicampuri dengan tujuan lain seperti keinginan hawa nafsu, keuntungan, pangkat, harta, kemasyhuran, kedudukan, meminta pujian atau lari daripada kejian, mengikut hawa nafsu yang tersembunyi atau sesuatu yang lain bukan kerana Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang ikhlas, melakukan kerja semata-mata untuk taqarrub (mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).

Mengikut Profesor Dr Yusof Al-Qaradhawi ikhlas ialah:

Menghendaki keredhaan Allah dengan suatu amal, membersihkan daripada segala noda individu dan duniawi. Tidak ada maksud yang lain untuk melakukan suatu amal kecuali kerana Allah dan demi hari akhirat. Tidak ada noda yang mencampuri suatu amal seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri sama ada secara jelas mahu pun tersembunyi, menghendaki harta rampasan, syahwat, kedudukan, harta benda, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, takut dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang tertentu, menyimpan rasa dengki yang tersembunyi, melayani rasa dengki tidak kelihatan, kesombongan yang terselubung, atau kerana alasan-alasan lain tidak terpuji, intipatinya ialah menghendaki selain Allah dengan suatu amal, siapa pun dan apa pun.

Landasan amal ikhlas ialah memurnikan niat kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Maksud niat di sini adalah pendorong kehendak manusia untuk mewujudkan suatu tujuan yang dituntutnya. Maksud pendorong adalah penggerak kehendak (force drive) manusia yang mengarah kepada amal. Sedangkan tujuan pendorongnya amat banyak dan bermacam ragam. Ada yang bersifat kebendaan, kerohanian, bersifat individu atau sosial.

Muslim yang ikhlas adalah jika pendorong kerana Allah di dalam hatinya mengalahkan pendorong hawa nafsu dan kepentingan akhirat mengalahkan kepentingan dunia. Ia mementingkan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di sisi manusia. Ia menjadikan niat, perkataan dan amalnya untuk Allah Subhanahuwata’ala (solat, ibadah, hidup dan matinya adalah untuk AllahSubhanahuwata’ala, Rab sekelian alam). Inilah ikhlas.

Kepentingan ikhlas

Abu Hamid Al-Ghazali dalam Mukaddimah An-Niyyah Wal-Ikhlas Qash-Shidq berkata:

Dengan hujah iman yang nyata dan cahaya al-Quran, orang yang mempunyai hati mengetahui bahawa kebahagiaan tidak akan tercapai kecuali dengan ilmu dan ibadah. Semua orang pasti binasa kecuali orang berilmu. Orang berilmu pasti akan binasa kecuali orang aktif beramal. Semua yang aktif beramal akan binasa kecuali yang ikhlas

Amalan tanpa niat adalah kebodohan. Niat tanpa ikhlas adalah riya’ dan sia-sia. Allah Subhanahuwata’ala berfirman tentang amal yang dimaksudkan selain daripada-Nya akan menjadi sia-sia:

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا ٢٣

Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu sebagai debu berterbangan

(Surah Al-Furqan:23)

Ada pendapat mengatakan bahawa ilmu laksana benih, amal laksana tanaman dan airnya adalah ikhlas. Kerja yang tidak disertai ikhlas, ibarat gambar yang mati atau tubuh tanpa roh. Allah Subhanahuwata’ala melihat pada amal yang ikhlas, bukan pada rupa dan bentuknya semata-mata.

Dalam hadits sahih riwayat Abu Hurairah, daripada Nabi Sallallahu‘alaihiwasallam, baginda bersabda:

إنَّ اللَّهَ لا ينظرُ إلى صورِكُم وأموالِكُم ، ولَكِن ينظرُ إلى قلوبِكُم وأعمالِكُم

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada gambaran dan harta benda kamu, tetapi Dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu.

(Riwayat Muslim)[4]

Allah berfirman tentang orang berkorban yang menyembelih haiwan:

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ

Daging-daging dan darah itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi taqwa daripada kamulah yang dapat mencapai keredhaan-Nya

(Surah al-Hajj:37)

Secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa ikhlas sangat penting kerana ia adalah:

  1. Asas bagi iman dan Islam.
  2. Garis pemisah sama ada amalan atau kerja diterima atau ditolak oleh Allah Subhanahuwata’ala. Kerja yang diterima oleh Allah Subhanahuwata’ala mempunyai dua rukun iaitu:
    1. Ikhlas atau niat yang betul.
    2. Cara-cara beramal yang bertepatan dengan sunnah atau syara’.

Contoh-contoh amalan yang tidak sepenuhnya ikhlas kerana Allah Subhanahuwata’ala semata-mata:

  1. Menuntut ilmu dengan tujuan meningkatkan profesionalisme atau kerjaya sehingga dipandang mulia oleh masyarakat.
  2. Mengajar atau berbincang-bincang tentang ilmu pengetahuan dengan tujuan mendapat penghormatan daripada kalangan ilmuan.
  3. Menziarahi pesakit dengan tujuan agar ia sendiri diziarahi jika ia sakit nanti.
  4. Melakukan kebaikan dengan tujuan supaya ia dikenali sebagai orang baik, berhati mulia, disegani dan dihormati.

Kesimpulan

Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima amal tanpa keikhlasan sebagaimana yang dikatakan oleh Sulaiman Alaihissalam dalam al-Quran:

رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّٰلِحِينَ ١٩

Ya Rab-ku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh

(Surah An-Naml:19)

Allah Subhanahuwata‘ala meredhai amalan yang baik jika disertai dengan keikhlasan, terlepas daripada syirik, sama ada kecil mahupun besar, sama ada kelihatan secara zahirnya mahupun tersembunyi. Firman-Nya:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠

Barangsiapa mengharapkan perjumpaan dengan Rab-nya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia menyekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rab-nya.

(Surah Al-Kahfi: 110)

Keikhlasan tidak akan sempurna kecuali dengan niat yang tulus semata-mata kerana Allah Subhanahuwata‘ala dan terlepas daripada kecenderungan individu atau duniawi. Dalam erti kata lain manusia mestilah bergantung kepada Rab-nya. Hanya dengan cara itu Allah Subhanahuwata‘ala akan memberinya kekuatan sebagai ganti kelemahan, keamanan sebagai ganti ketakutan dan kecukupan sebagai ganti kemiskinan.

Hanya keikhlasan dapat membantu manusia mengawal diri dan syahwat yang tersembunyi, kerana sesungguhnya keinginan yang tersembunyi itu lebih merbahaya daripada apa-apa yang kelihatan. Hendaklah setiap muslim melakukan sesuatu perkara tulus ikhlas kerana Allah Subhanahuwata‘ala. Semua yang ada pada dirinya hanya untuk Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

۞وَمَن يُسۡلِمۡ وَجۡهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٢٢

Dan, barangsiapa menyerahkan diri kepada Allah, sedang dia adalah orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang pada tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala sesuatu.

(Surah Luqman:22)

 

Rujukan:

Kertas kerja Muhammad Ghani Salleh bertajuk IKHLAS (dengan merujuk kepada: Kitab karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Niat dan Ikhlas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta (1999)).

[1] Sahihul Jami’, no.hadits : 1856

[2] Sahih at-Targhib, no.hadits : 1806

[3] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 1

[4] Sahih Muslim, no.hadits : 4651

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *