Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Harakah / Mehnah (Tribulasi) Di Dalam Perjalanan Dakwah

Mehnah (Tribulasi) Di Dalam Perjalanan Dakwah

Sesungguhnya mehnah (tribulasi) di dalam perjalanan dakwah daripada sekecil-kecilnya (seperti cacian, cemuhan, kejian, halangan dan tentangan) hinggalah kepada sebesar-sebesarnya (seperti kezaliman yang berbagai-bagai bentuk) adalah sunnatullah terhadap setiap para da’i kepada Allah, daripada Nabi Allah Nuh a.s. hinggalah kepada  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dan seterusnya pengikut-pengikut rasul  yang meneruskan tanggungjawab dan amanah suci ini.

Ianya bukanlah merupakan natijah yang salah daripada kegiatan dakwah itu sendiri, malah tanpa sebarang mehnah terhadap da’i adalah disyaki pula tentang kesahihan jalan dakwah yang digunakannya.[1] Adalah tidak mungkin mehnah boleh dielak atau diringankan atau ditentukan masanya selagi mana para da’i sentiasa berusaha menjalankan dakwah. Kerana tabiat mehnah ini adalah berterusan wujud di sepanjang jalan dakwah. Hal ini telah diterangkan oleh Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya dalam Surah al-Ankabut, ayat 1-3:

الم
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ
لَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

“Alif Lam Mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami beriman, sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya telah kami uji orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar-benar (beriman) dan orang yang dusta.”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga telah menjelaskan tentang hal ini di dalam sabdanya yang bermaksud:

  1. Setinggi-tinggi cubaan (bala’) ialah para Nabi-Nabi kemudian orang yang soleh, seterusnya orang yang mengikut jejak mereka. Diuji seseorang itu mengikut sekadar mana pegangan agamanya (Dinnya). Jika sekiranya pegangannya terhadap Dinnya kuat ditambah cubaannya.[2]
  2. “…Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala apabila mengasihi sesuatu kaum dicubanya mereka, maka siapa yang reda (menerimanya), Allah reda pula kepadanya dan siapa yang tidak suka maka Allah memurkainya.”[3]

Kerja-kerja dakwah adalah kerja yang besar dan luas di masa kini, dan di dalam waktu yang sama juga ia adalah sukar.[4] Jalan dakwah ini sebenarnya tidak pernah dihampar atau dihiasi dengan permaidani indah untuk dilalui. Malah penuh dengan duri dan ranjau di sepanjang perjalanannya. Ia adalah pertembungan di antara kebenaran dengan kebatilan yang memerlukan kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan, tanpa mengharapkan natijah yang cepat dan tanpa putus asa. Apa yang penting ialah berusaha dan bekerja, manakala kejayaannya ditentukan oleh Allah dalam waktu yang dikehendaki-Nya. Mungkin para da’i tidak dapat melihat buahnya semasa hayat di dunia ini, tetapi apa yang diperhitungkan ialah segala usaha dan amalan, bukannya natijah.[5]

Apa saja yang ditempuhi dan dihadapi oleh para da’i daripada kejahatan musuh-musuh Allah yang bertujuan untuk menghukum mereka dan dakwah mereka adalah merupakan perkara-perkara yang pernah berlaku dan tetap akan berulang. Suasana yang akan dihadapi, khususnya di peringkat awal, ialah sasaran dakwah tidak menyukai dan berpaling daripada dakwah walaupun dakwah mengajak mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka sendiri. Ini kerana dakwah sering berlawanan dengan hawa nafsu, keyakinan dan adat mereka.

Segala bahaya dan mehnah, pada hakikatnya adalah satu kebaikan dan mendatangkan manfaat kepada dakwah dan gerakan organisasi serta pendukung-pendukungnya. Ia merupakan proses tapisan (tamhis) kepada pendakwah selepas melalui proses tapisan. Ia membersihkan gerakan organisasi daripada golongan yang lemah hati dan jiwa, juga daripada golongan penipu, hipokrit dan golongan yang bermuka-muka[6]. Mehnah merupakan satu kebaikan anugerah Allah di dalam bentuk ujian untuk menghasilkan mereka benar-benar berdakwah pada jalan Allah dan untuk menambah lagi keimanan kepada orang yang telah beriman.

Oleh kerana besar risiko dan mehnah yang pasti dihadapi, maka setiap da’i yang mendukung gerakan organisasi mestilah iltizam dan intizam (komited dan rasa terikat) dangan syarak dan sentiasa berada di atas jalan yang dilalui oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Semoga segala kerjanya menjadi ibadah yang diterima dan diredhai Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

[1] Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, (al-Qahirah, Dar al-Tiba’ah Wa al-Nasyri al-Islamiyyah, 1399H), h. 88

[2] Lihat Ibnu Kathir, Abi al-Fida’ Isma’il. Tafsir Ibnu Kathir. Jilid ke-3, h. 404. Menurut Ibnu Kathir, hadith ini adalah sahih.

[3] Lihat al-Munziri, Zakiyuddin ‘Abdul ‘Azim bin ‘Abdul Qawi, al-Targhib wa al-Tarhib Min al-Hadith al-Syarif, juz. 4, (al-Nasyir al-Maktabah al-Jumhuriyah al-‘Arabiyah, tanpa tarikh), h. 527

[4] Hawwa Sa’id, Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, (tanpa tempat penerbitan dan tanpa tarikh), h. 156 (tajuk Fiqhu al-Dakwah).

[5] Lihat Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 88

[6] Barakat, Muhamad Taufik, Sayyid Qutb: Khulasatu Hayatih, Manhajuhu Fil Harakah, al-Naqdu al-Muwajjaha Ilaihi, h. 52

Check Also

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 2)

CIRI 2: KESERAGAMAN DALAM MATLAMAT DAN JALAN Wujudnya keseragaman dalam matlamat mampu memberikan suatu perbendaharaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *