Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Manusia Perlu Lihat Kepada Makanannya

Manusia Perlu Lihat Kepada Makanannya

Hendaklah Manusia Melihat Pada Makanannya

Dalam sebuah ayat, Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ ٢٤

Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya.

(‘Abasa 80: 24)

Begitulah bunyi suruhan tersebut. Persoalannya ialah mengapakah Allah Subhanahuwata’ala menyuruh kita untuk memperhatikan pada makanan? Apakah hikmahnya? Jawapannya ialah Allah Subhanahuwata’ala menyuruh kita lihat dan berfikir tentang semua makhluk-Nya (termasuk makanan) agar dapat dijelaskan sifat-sifat-Nya.

Baiklah, cuba kita kaitkan bersama sifat-sifat Allah Subhanahuwata’ala dengan perihal makanan:

Allah Yang Maha Memberi Rezeki (Ar-Razzaq)

Manusia di dalam rahim ibu:

  1. Tiada siapa yang menyuap makanan (rezeki) kepada bayi (bukan ibubapa, kerajaan dan lain-lain).
  2. Allah Subhanahuwata’ala mengadakan tali pusat untuk hubungkan perut bayi dengan ibunya.
  3. Dia telah salurkan makanan melalui tali pusat itu selama 9 bulan.
  4. Apabila bayi selamat dilahirkan, dan tali pusat dipotong, maka Allah Subhanahuwata’ala membuka saluran makanan yang baru iaitu mulut, kerongkong dan perut.

Cuba kita fikirkan bersama, adakah:

  1. Ibu kita yang menutup saluran tali pusat, dan membina saluran mulut serta anggota penghazaman?
  2. Bapa atau kerajaan yang berkerjasama dalam pembuatan urat-urat dan titisan darah?
  3. Alam Semulajadi (pokok, bukit, bintang) yang mengaturkan rezeki dan makanan kita?

Sudah pasti TIDAK! Sesungguhnya Allah Yang Maha Memberi Rezeki-lah yang merencanakannya.

Kita perhatikan pula perihal susu ibu:

  1. Bayi yang baru lahir belum mampu memakan bijirin, buah-buahan, daging atau roti.
  2. Allah Yang Maha Memberi Rezeki tidak membiarkan bayi itu tanpa rezeki.
  3. Maka, buah dada ibu yang sebelumnya tiada susu, selepas kelahiran bayi tiba-tiba penuh dengan susu.
  4. Kemudian, dengan tiba-tiba bayi yang baru lahir itu mengerti bahawa bekalan makanannya sebelum ini telah tiada (tali pusat), dan dia perlu gunakan mulut untuk meminumnya.
  5. Siapakah yang mengilhamkannya jika bukan Allah Yang Maha Memberi Rezeki?

Di samping itu, sedarkah kita bahawa Allah Subhanahuwata’ala telah menyediakan rezeki buat kita di mana-mana sahaja? Dia Yang Maha Memberi Rezeki telah menyediakan:

  1. Tanah yang sesuai untuk pertanian dan air untuk keperluan tumbuhan, haiwan serta manusia.
  2. Gas oksigen, karbon dioksid dan cahaya matahari untuk proses fotosintesis (proses tumbuh-tumbuhan membuat makanannya).
  3. Tumbuh-tumbuhan dengan jumlah yang besar untuk menjadi makanan manusia dan haiwan.
  4. Buah-buahan pelbagai jenis besar (bertangkai) dan kecil (bertandan).
  5. Disediakan gigi yang dapat putuskan, carikkan, kisar dan hancurkan makanan.
  6. Air liur yang membasahi mulut (sebagai pelincir) yang memudahkan kita makan, juga mempunyai enzim yang melarutkan makanan.

Allah Yang Maha Mengetahui (Al-‘Alim)

Sifat ini terbukti apabila:

  1. Allah Subhanahuwata’ala tahu bahawa bayi di dalam perut sudah perlukan makanan, maka Dia salurkan makanan melalui tali pusat.
  2. Allah Subhanahuwata’ala tahu bayi telah keluar daripada perut ibu, lalu Dia salurkan makanan melalui buah dada ibu pula.
  3. Allah Subhanahuwata’ala tahu ada air dan mineral dalam tanah, maka Dia ciptakan akar untuk tumbuh-tumbuhan menyedutnya.
  4. Allah Subhanahuwata’ala tahu klorofil dalam tumbuhan hijau perlukan cahaya matahari, maka Dia susun dan dedahkan daun kepada cahaya matahari.

Allah Yang Maha Bijaksana (Al-Hakim)

Sifat ini terbukti tatkala kita melihat betapa:

  1. Telitinya penciptaan tali pusat pada tubuh bayi. Diameternya membesar seiring tumbesaran bayi.
  2. Tali pusat itu dihubungkan pada tubuh ibu secara kompleks.
  3. Tepatnya komposisi kandungan susu ibu yang sesuai untuk tumbesaran bayi.
  4. Halus dan telitinya pembentukan tumbuh-tumbuhan, seperti proses pengeluaran buah dan penjagaannya.

Allah Yang Amat Mendalam Pengetahuan-Nya (Al-Khabir)

Lihatlah bukti ini pada:

  1. Kepakaran untuk salurkan makanan ibu yang dihadamkan ke dalam tubuh bayi melalui tali pusat.
  2. Kepakaran untuk salurkan makanan ibu yang dihadamkan ke buah dadanya sebagai susu.
  3. Kepakaran untuk mengeluarkan bijirin dan buah-buahan yang pelbagai bentuk, warna dan rasa. Padahal semuanya ditanam di tanah yang sama dan bersama dengan air, udara serta matahari yang sama.

Allah Yang Maha Mengasihani (Ar-Rahim)

  1. Allah Subhanahuwata’ala selamatkan bayi dalam perut daripada kelaparan dengan disediakan tali pusat.
  2. Allah Subhanahuwata’ala ciptakan makanan yang sesuai kepada manusia semasa di dalam perut, ketika bayi dan setelah dewasa.

Allah Yang Maha Mulia (Al-Karim)

  1. Jika seorang manusia yang menanggung sara hidup 10 orang lain tanpa mengharapkan balasan, maka dianggap seorang yang mulia.
  2. Allah Subhanahuwata’ala telah menjamin dan menanggung rezeki bagi semua umat manusia dan benda hidup. Adakah sesiapa yang lebih mulia daripada-Nya?

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

۞وَمَا مِن دَآبَّةٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ رِزۡقُهَا

Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya.

(Hud : 6)

Allah Yang Maha Memberi Petunjuk (Al-Hadi)

  1. Dia memberi petunjuk agar buah dada ibu penuh dengan susu apabila bayi telah dilahirkan.
  2. Dia memberi petunjuk kepada bayi agar menghisap buah dada ibunya apabila lapar.
  3. Dia memberi petunjuk kepada tumbuhan agar akarnya mengarah ke bawah (tanah) dan daun-daun mengarah ke atas (cahaya).
  4. Dia memberi petunjuk kepada dedaunan agar tumbuh teratur. Semua daun menghala ke cahaya matahari.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

سَبِّحِ ٱسۡمَ رَبِّكَ ٱلۡأَعۡلَى ١  ٱلَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ ٢  وَٱلَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ

Sucikanlah nama Rabbmu Yang Maha Tinggi, yang menciptakan dan menyempurnakan (penciptaan-Nya), dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk.

(Al-A’la : 1-3)

Allah Yang Maha Menghidupkan (Al-Muhyi)

  1. Tanah, udara, air dan cahaya matahari adalah benda mati. Ia tidak membesar, makan dan bernafas.
  2. Tapi, dengan benda-benda mati ini, tumbuh-tumbuhan boleh hidup, bernafas, membesar, bergerak, makan dan berpasangan lalu menghasilkan buah. Subhanallah!

Allah Yang Maha Membentuk Rupa (Al-Musawwir)

  1. Sebidang tanah yang rata berubah menjadi kebun pokok buah-buahan.
  2. Tanah itu dihidupkan dengan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai bentuk, warna dan ciri-cirinya tersendiri.
  3. Siapa lagi yang menjadikan tanah, air, udara dan cahaya matahari lalu membentuk kebun yang indah dan cantik ini? Jika bukan Allah Subhanahuwata’ala, Yang Maha Membentuk Rupa?

Apakah faedahnya kita mengetahui sebahagian daripada Sifat-sifat Allah?

Dengan mengetahui sesuatu sifat, maka kita akan kenal pemilik sifat itu. Dengan mengetahui sifat-sifat Allah Subhanahuwata’ala, kita akan semakin yakin bahawa hanya Allah sahaja yang mampu miliki sifat-sifat tersebut.  Ini menolak pandangan orang kafir yang menganggap segalanya berlaku disebabkan kudrat alam (nature).

Setelah kita merenung, kita pasti akan simpulkan bahawa kudrat alam (nature) atau patung berhala:

  1. Tidak mampu mengurus rezeki.
  2. Tidak mempunyai hikmah.
  3. Tidak mempunyai kepakaran.
  4. Tidak mempunyai ilmu.
  5. Tidak mempunyai rahmat.
  6. Tidak mempunyai kemurahan, kerana ia tidak ada akhlak.
  7. Tidak mempunyai petunjuk.
  8. Tidak mempunyai kehidupan untuk berikan kehidupan kepada yang lain.
  9. Tidak mempunyai keupayaan untuk membentuk rupa yang cantik.

Maka, benarlah hanya Allah Subhanahuwata’ala itulah Rabb sekalian alam ini.

Sebagai penutup, marilah kita mentadabburi ayat ini.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ ٢٤  أَنَّا صَبَبۡنَا ٱلۡمَآءَ صَبّٗا ٢٥  ثُمَّ شَقَقۡنَا ٱلۡأَرۡضَ شَقّٗا ٢٦ فَأَنۢبَتۡنَا فِيهَا حَبّٗا ٢٧  وَعِنَبٗا وَقَضۡبٗا ٢٨  وَزَيۡتُونٗا وَنَخۡلٗا ٢٩  وَحَدَآئِقَ غُلۡبٗا ٣٠ وَفَٰكِهَةٗ وَأَبّٗا ٣١  مَّتَٰعٗا لَّكُمۡ وَلِأَنۡعَٰمِكُمۡ ٣٢

Maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun (yang) lebat, dan buah-buahan serta rumput-rumputan, untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu.

(‘Abasa : 24-32)

 RUJUKAN:

  1. Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid, Pustaka salam.
  2. http://jomtarbiyah.blogspot.com/ (dengan merujuk kepada Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani)

Check Also

Ilmu Tauhid

Apakah Itu Ilmu Tauhid? Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran Akidah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *