Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Konsep Syahadah لا إله إلا الله

Konsep Syahadah لا إله إلا الله

Muqaddimah

Kalimah لا إله إلا الله adalah kalimah yang menggambarkan mukjizat daripada Allah Subhanahuwata’ala . Ia terdiri daripada 3 huruf iaitu ه ل أ. Manakala kalimah الله juga terdiri daripada tiga huruf ه ل أ.

Kalimah لا إله إلا الله membawa pengertian wala’ (ta’at dan setia) kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bara’ (menolak, mengingkar dan melepaskan diri) daripada selain Allah Subhanahuwata’ala. Inilah sikap seorang mu’min apabila bersyahadah dengan kalimah لا إله إلا الله. Penyimpangan daripada wala’ dan bara’ yang betul akan membawa kepada dosa yang besar, bahkan boleh membawa kepada syirik.

Kalimah Muhammad Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah bahagian yang kedua daripada syahadatain. Ini bermakna dalam rangka mengamalkan wala’ dan bara’ sepertimana yang dituntut dalam syahadah لا إله إلا الله maka setiap hamba mestilah mengikut petunjuk dan tunjuk ajar Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam telah mendapat pengesahan daripada Allah Subhanahuwata’ala untuk membawa dan melaksanakan kebenaran (al-haq). Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallamadalah tauladan bagi perlaksanaan bara’ dan wala’.

Kalimah لا إله إلا الله

لا ialah penolakan (bara’) iaitu menolak atau mengingkari sembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala (dan hanya menerima Allah Subhanahuwata’ala sahaja sebagai sembahan). Firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ

Bahawa, sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah taghut

(Surah An-Nahl: 36)

إله ialah ilah yang ditolak atau sembahan yang ditolak (berdasarkan syahadah di atas). Penyimpangan daripada tauhid (atau syirik) akan berlaku apabila manusia tidak menolak sembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا

Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.

(Surah An-Nisa’: 116)

إلا bermakna ‘kecuali’, yakni suatu peneguhan dan penegasan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai satu-satunya ilah yang disembah (untuk manusia mengabdi dan beribadah kepada-Nya).

الله bermakna pengakuan tegas dan muktamad bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai satu-satunya ilah yang disembah dan diabdikan diri.

Al-Bara’

Bara’ (pengingkaran) adalah natijah daripada kalimah tauhid لا إله إلا الله  yang bermakna mengingkari, memisahkan diri, membenci dan memerangi segala ilah selain daripada Allah Subhanahuwata’ala seperti hawah nafsu dan sistem hidup yang bukan Islam.

Natijah daripada bara’ akan menghasilkan usaha untuk menghancurkan segala bentuk penyembahan atau pengabdian kepada selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Al–Wala’

Wala’ bermakna mentaati, mendekatkan diri, mencintai sepenuh hati, membela, mendokong dan menolong. Wala’ ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan kepada sesuatu yang diizinkan oleh Allah Subhanahuwata’ala seperti mentaati Rasul dan mentaati orang beriman.

Wala’ kepada Allah Subhanahuwata’ala akan menjadikan seseorang mu’min itu mencintai Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ

Katakanlah: “Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripadaAllah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan-Nya”, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.

(Surah At-Taubah: 24)

Bukti seorang mu’min yang wala’ kepada Allah Subhanahuwata’ala sepenuhnya ialah beliau bersiap sedia untuk mendokong dan menolong din Allah Subhanahuwata’ala .

Mu’min mukhlis

Apabila seorang mu’min mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan sikap bara’ terhadap selain daripada Allah Subhanahuwata’ala dan memberikan wala’ sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala maka dia akan mencapai tahap mu’min mukhlis, iaitu mu’min yang ikhlas sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Ikhlas dalam beribadah bermakna menjalankan segala perintah Allah Subhanahuwata’ala dengan sepenuh hati, sekaligus mengingkari semua yang datang selain daripadaAllah Subhanahuwata’ala. Ikhlas adalah inti ajaran Islam, iaitu memurnikan perhambaan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Oleh itu segala sistem yag ada dalam Islam seperti sistem ekonomi, sistem undang-undang, sistem akhlak, sistem ibadah, sistem berumahtangga dan sebagainya adalah merupakan tatacara untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala atau tatacara untuk memberikan wala’ sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

WhatsApp Image 2018-09-27 at 11.37.40 AM

Tasawur Keimanan Yang Syumul Kepada Allah Subhanahuwata’la

Pendahuluan Apabila kita memperkatakan atau menganalisis tajuk ini bererti secara lansung kita menyentuh tentang ‘Aqidah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *