Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Kita Hidup Dalam Lautan Udara

Kita Hidup Dalam Lautan Udara

Udara dan Kehidupan

Aktiviti: Cuba tutup hidung dan mulut anda selama 1 atau 2 minit, apa yang terjadi? Kenapa begitu? Ini kerana udara mengandungi gas oksigen yang  diperlukan oleh manusia untuk bernafas. Tanpanya untuk hanya beberapa minit sahaja kita akan mati. Rakan-rakan sekalian, bukankah ini merupakan nikmat Allah Subhanahuwata’ala yang wajib disyukuri?

Apakah Faedah Udara?

  1. Udara mempunyai lapisan atmosfera yang meliputi bumi. Fungsi atmosfera ialah sebagai pelindung yang memelihara keselamatan bumi daripada berjuta meteor dan tahi bintang yang gugur setiap hari. Ketebalan atmosfera bumi ini telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala agar mampu membakar meteor sebelum jatuh sebagai bencana ke bumi. Lapisan ozon pula memelihara bumi daripada terkena sinaran ultra violet yang berbahaya.
  1. Udara (angin) bertindak sebagai agen pendebungaan bagi tumbuh-tumbuhan. Tanpa proses ini, tumbuh-tumbuhan tidak akan berbuah.  Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وَأَرۡسَلۡنَا ٱلرِّيَٰحَ لَوَٰقِحَ فَأَنزَلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَسۡقَيۡنَٰكُمُوهُ وَمَآ أَنتُمۡ لَهُۥ بِخَٰزِنِينَ ٢٢

Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.

(Al-Hijr 15:22)

  1. Kerana wujudnya aliran dan tekanan udara, maka burung-burung ( dan juga kapal terbang) dapat terbang dan berpindah dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
  1. Udara adalah lautan yang kita hidup di dalamnya:
  • Ia memberi tekanan kepada badan dan mengimbangi tekanan cairan badan, darah dan sebagainya.
  • Jika tekanan tidak seimbang, urat darah akan pecah dan darah akan terburai.
  • Tekanan udara yang seimbang membuatkan kita tidak merasa tekanan darah dan udara.
  1. Udara (angin) adalah agen pembawa hujan kepada kita secara percuma.
  2. Manusia mendapat manfaat daripada angin untuk menggerakkan kapal sejak beberapa kurun yang lalu. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِن يَشَأۡ يُسۡكِنِ ٱلرِّيحَ فَيَظۡلَلۡنَ رَوَاكِدَ عَلَىٰ ظَهۡرِهِۦٓۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٍ ٣٣  أَوۡ يُوبِقۡهُنَّ بِمَا كَسَبُواْ وَيَعۡفُ عَن كَثِيرٖ ٣٤

Jika Dia menghendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan)-Nya bagi setiap orang yang banyak bersabar dan banyak bersyukur, atau kapal-kapal itu dibinasakan-Nya kerana perbuatan mereka atau Dia memberi maaf sebahagian besar (daripada mereka).

(As-Syura : 33-34)

إِنَّ فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡمُؤۡمِنِينَ ٣ وَفِي خَلۡقِكُمۡ وَمَا يَبُثُّ مِن دَآبَّةٍ ءَايَٰتٞ لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٤ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن رِّزۡقٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ ءَايَٰتٞ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ ٥

Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini, dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkan-Nya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya, dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal.

(Al-Jatsiyah : 3-5)

Hikmah dalam Kejadian Udara

Akhir sekali, diringkaskan beberapa hikmah kejadian Udara:

  1. Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani menyediakan udara di setiap tempat di muka bumi. Kita tidak perlu bersusah payah kumpul dan simpan udara.
  2. Oksigen tak akan habis. Allah Yang Maha Mengasihani gantikan oksigen secara berterusan dengan perantaraan tumbuh-tumbuhan yang mengambil karbon dioksid dan membebaskan oksigen.
  3. Allah Subhanahuwata’ala menciptakan organ penafasan yang tidak pernah berhenti bekerja sejak lahir. Kita dikurniakan sistem pernafasan yang automatik, tidak memenatkan atau menyakitkan.

RUJUKAN:

  1. Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid, Pustaka salam.
  2. http://jomtarbiyah.blogspot.com/ (dengan merujuk kepada Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani)

 

 

Check Also

Ilmu Tauhid

Apakah Itu Ilmu Tauhid? Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran Akidah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *