Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Kewajipan Tambahan Terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Kewajipan Tambahan Terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

  1. Mencintai Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam lebih daripada mencintai orang lain

Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

 لا يُؤمِنُ أحدُكم حتى أكونَ أحبَّ إليهِ من والدِه وولدِه والناسِ أجمعينَ

Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai di sisinya daripada orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya

(Riwayat al-Bukhari)[1]

Tanda cinta atau kasihkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ialah mengikuti baginda dengan penuh ikhlas. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمۡ لِيُرۡضُوكُمۡ وَٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَحَقُّ أَن يُرۡضُوهُ إِن كَانُواْ مُؤۡمِنِينَ

Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka itu orang yang beriman

(Surah At-Taubah : 62)

  1. Menghormati dan memuliakan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam samada ketika baginda masih hidup atau telah wafat

 Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمۡ لِوَاذٗاۚ فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Janganlah kamu menjadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain. Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya). Maka hendaklah orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpakan cubaan atau ditimpakan azab yang pedih.

(Surah An-Nur : 63)

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bukanlah seperti manusia biasa. Baginda ialah nabi dan rasul. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam diutuskan untuk seluruh manusia. Maka, wajarlah manusia menghormati dan memuliakan baginda sehingga apabila memanggil baginda hendaklah memanggil: “Ya Rasulullah”, “Ya Nabiyullah”, “Ya Habibullah” dan sebagainya.

Allah Subhanahuwata‘ala memanggil Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dengan panggilan penghormatan:

Ayat (5:41,67):  يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ

Ayat (33:1) dan ayat (66:1): يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ

Cara Imam Bukhari menghormati Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ialah setiap kali beliau hendak menulis hadits, beliau terlebih dahulu berwudhu’, memakai pakaian yang baik, memakai wangi-wangian dan solat dua rakaat.

  1. Tidak mendahului Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

 Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ بَيۡنَ يَدَيِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٞ ١ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَرۡفَعُوٓاْ أَصۡوَٰتَكُمۡ فَوۡقَ صَوۡتِ ٱلنَّبِيِّ وَلَا تَجۡهَرُواْ لَهُۥ بِٱلۡقَوۡلِ كَجَهۡرِ بَعۡضِكُمۡ لِبَعۡضٍ أَن تَحۡبَطَ أَعۡمَٰلُكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تَشۡعُرُونَ ٢ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَغُضُّونَ أَصۡوَٰتَهُمۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱمۡتَحَنَ ٱللَّهُ قُلُوبَهُمۡ لِلتَّقۡوَىٰۚ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَأَجۡرٌ عَظِيمٌ

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih daripada suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sepertimana kerasnya suara sebahagian daripada kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak terhapus pahala amalan kamu, sedangkan kamu tidak menyedarinya. Sesungguhnya orang merendahkan suara di sisi Rasulullah, mereka itulah orang yang telah diuji hati mereka untuk bertaqwa. Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar

(Surah Al-Hujurat : 1-3)

Menghormati dan memuliakan nabi perlu terus berlanjutan sehingga selepas kewafatan baginda. Seorang muslim tidak boleh mengangkat suara di dalam Masjid an-Nabawi atau di sisi maqam baginda. Seorang muslim wajib bersopan, bersungguh-sungguh dan redha ketika mendengar hadits baginda yang mulia. Seorang muslim tidak boleh menafi atau menentang hadits baginda dengan pendapat yang menyesatkan. Jika seorang muslim mendengar: “Qala Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam (Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam)”, maka hendaklah dia faham bahawa sabda baginda tidak boleh didustai atau ditentang, bahkan hendaklah didengari, difahami dan diamalkan.

  1. Bersungguh-sungguh menghindarkan apa-apa yang boleh menyakiti Rasulullah.

Menyakiti Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam sama ada sedikit atau banyak adalah haram dan berdosa. Malah, menyakiti baginda boleh meroasakkan keIslaman seseorang.

Firman-firman Allah Subhanahuwata‘ala:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتَ ٱلنَّبِيِّ إِلَّآ أَن يُؤۡذَنَ لَكُمۡ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيۡرَ نَٰظِرِينَ إِنَىٰهُ وَلَٰكِنۡ إِذَا دُعِيتُمۡ فَٱدۡخُلُواْ فَإِذَا طَعِمۡتُمۡ فَٱنتَشِرُواْ وَلَا مُسۡتَ‍ٔۡنِسِينَ لِحَدِيثٍۚ إِنَّ ذَٰلِكُمۡ كَانَ يُؤۡذِي ٱلنَّبِيَّ فَيَسۡتَحۡيِۦ مِنكُمۡۖ وَٱللَّهُ لَا يَسۡتَحۡيِۦ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ وَإِذَا سَأَلۡتُمُوهُنَّ مَتَٰعٗا فَسۡ‍َٔلُوهُنَّ مِن وَرَآءِ حِجَابٖۚ ذَٰلِكُمۡ أَطۡهَرُ لِقُلُوبِكُمۡ وَقُلُوبِهِنَّۚ وَمَا كَانَ لَكُمۡ أَن تُؤۡذُواْ رَسُولَ ٱللَّهِ وَلَآ أَن تَنكِحُوٓاْ أَزۡوَٰجَهُۥ مِنۢ بَعۡدِهِۦٓ أَبَدًاۚ إِنَّ ذَٰلِكُمۡ كَانَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمًا

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah nabi kecuali apabila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya) tetapi jika kamu diundang, maka masuklah dan apabila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu nabi lalu nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri nabi), mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti hati Rasulullah dan tidak pula mengahwini isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah

(Surah Al Ahzab : 53)

وَمِنۡهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلنَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٞۚ قُلۡ أُذُنُ خَيۡرٖ لَّكُمۡ يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَيُؤۡمِنُ لِلۡمُؤۡمِنِينَ وَرَحۡمَةٞ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡۚ وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ

Di antara mereka (orang munafik) ada yang menyakiti nabi dan mengatakan: Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya. Katakanlah: Dia mempercayai semua yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah, mempercayai orang mu’min dan menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu. Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih

(Surah At-Taubah : 61)

Termasuk dalam pengertian menyakiti Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam ialah menghina atau mencerca para isteri baginda yang mulia. Isteri-isteri baginda ialah “Ibu orang beriman”. Begitu juga, dianggap menyakiti Rasulullah, sekiranya seseorang menghina atau mencerca “Ahl al-Bait” Baginda.

  1. Mencintai orang yang mencintai Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Para sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah orang yang membela dan mencintai baginda. Maka seharusnya setiap muslim mencintai mereka. Allah Subhanahuwata‘ala memuji orang yang bersama-sama rasul sejak dahulu dan seterusnya. Firman-Nya:

مُّحَمَّدٞ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيۡنَهُمۡۖ تَرَىٰهُمۡ رُكَّعٗا سُجَّدٗا يَبۡتَغُونَ فَضۡلٗا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٗاۖ سِيمَاهُمۡ فِي وُجُوهِهِم مِّنۡ أَثَرِ ٱلسُّجُودِۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمۡ فِي ٱلتَّوۡرَىٰةِۚ وَمَثَلُهُمۡ فِي ٱلۡإِنجِيلِ كَزَرۡعٍ أَخۡرَجَ شَطۡ‍َٔهُۥ فَ‍َٔازَرَهُۥ فَٱسۡتَغۡلَظَ فَٱسۡتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِۦ يُعۡجِبُ ٱلزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ ٱلۡكُفَّارَۗ وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ مِنۡهُم مَّغۡفِرَةٗ وَأَجۡرًا عَظِيمَۢا

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya, kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang kafir (dengan kekuatan orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar

(Surah Al-Fath : 29)

 

  1. Menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Pada zaman ini menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam banyak cabarannya, kerana sudah banyak sunnah yang tidak diamalkan lagi, baik sunnah yang besar mahupun sunnah yang kecil. Misalnya sunnah ketika makan, minum, tidur, bertetangga, bertamu dan sebagainya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam tidak menyukai orang menolak sunnah baginda. Sabda baginda:

فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Siapa yang membenci sunnahku maka bukan termasuk golonganku

 (Riwayat Muslim)[2]

  1. Membaca selawat dan salam kepada Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّۚ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk nabi. Wahai orang yang beriman berselawatlah kamu kepada nabi dan ucaplah salam dengan penuh penghormatan kepadanya

(Surah Al-Ahzab : 56)

Terdapat banyak hadits tentang selawat, antaranya (rujuk kitab Riyadhus Solihin bab selawat atas Rasulullah Sallallahu‘alihiwasallam):

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Barangsiapa yang membaca selawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan memberikan kerahmatan padanya sepuluh kali dengan sebab sekali selawat tadi

(Riwayat Muslim)[3]

أوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً

Seutama-utama manusia  bagiku pada hari kiamat ialah orang yang terbanyak bacaan selawatnya kepadaku

(Riwayat Tirmizi)[4]

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنْ الصَّلَاةِ فِيهِ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

Sesungguhnya di antara hari-harimu yang paling utama ialah hari jumaat, di hari jumaat diciptakan Adam, ditiup sangka kala, penghancuran alam, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku

(Riwayat Abu Daud)[5]

  1. Mengikuti manhaj da’wahRasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

Bagi setiap umat, Allah Subhanahuwata‘ala memberikan jalan yang terang dan jelas. Firman-Nya:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu. Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu

(Surah Al-Maidah : 48)

Bagi umat Islam, diberikan dua perkara:

a. Syari‘at.

b. Jalan untuk menegakkan syari’at.

Sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam memberikan panduan bagaimana langkah-langkah untuk menegakkan syari’at.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam sendiri, ketika hendak memperbaiki masyarakat yang rosak, baginda kebingungan. Ini digambarkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala:

وَوَجَدَكَ ضَآلّٗا فَهَدَىٰ

Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kebingungan, lalu Dia memberikan petunjuk.

(Surah Ad-Dhuha : 7)

Maka Allah Subhanahuwata‘ala menurunkan wahyu secara beransur-ansur dan tahap demi tahap untuk membimbing baginda sehinggalah baginda mendapat kemenangan.

Dengan panduan-panduan daripada sirah dan proses penurunan wahyu secara beransur-ansur, maka bagi sesiapa yang ingin menegakkan syari’at tidaklah kebingungan lagi. Di sana ada langkah-langkah yang telah diketengahkan oleh Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala :

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ

Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Ali-Imran : 31)

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ

Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah, dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah.

(Surah Al-Hasyr : 7)

Setiap penda’wah perlulah mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam membentuk  ummah atau generasi. Generasi awal yang dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dikenali  sebagai  Generasi al-Quran yang  unik. Generasi ini adalah generasi yang bersegera menerima dan melaksanakan segala arahan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Umat kini memerlukan satu  generasi  yang kuat dan mampu mendokong Islam. Ini memerlukan pendidikan (tarbiah)  yang  berterusan.  Dengan adanya generasi sebegini, ia menjadi contoh dan mampu memikul tugas da’wah serta membina ummah.

  1. Mewarisi Risalahnya

Setiap muslim hendaklah  sentiasa terikat dengan din Islam  yang  dibawa  oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Dengan cara ini, InsyaAllah nikmat Islam akan  dapat dirasai.

Setiap muslim juga wajib menjadi daie sesuai dengan kemampuannya. Persediaan penting bagi daie ialah mewarisi ilmu yang diwariskan oleh nabi. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

فَوَاللَّهِ إِنِّي لَأَعْلَمُهُمْ بِاللَّهِ وَأَشَدُّهُمْ لَهُ خَشْيَةً

Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar paling mengetahui tentang Allah dan paling takut kepada-Nya

(Riwayat al-Bukhari)[6]

Hadits ini menunjukkan nabi menjadi orang yang paling takut kepada Allah Subhanahuwata‘ala adalah kerana ilmu yang ada pada baginda. Benarlah firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَٰٓؤُاْۗ

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’

 (Surah Fathir : 28)

Nabi tidak mewariskan harta atau wang ringgit, tetapi baginda mewariskan ilmu. Siapa yang mengambil ilmu daripada nabi, bermakna ia mewarisi warisan nabi.

Rujukan:

  1. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da’wah.
  2. Risalah At-Ta’rif jilid 2
  3. Rasm Bayan dan ulasannya

[1] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 15

[2] Sahih Muslim, no.hadits : 1401

[3] Sahih Muslim, no.hadits : 384

[4] Sunan At-Tirmizi, no.hadits : 484

[5] Sunan Abu Daud, no.hadits : 1047

[6] Sahih al-Bukhari,  no.hadits : 6101

Check Also

Manusia Perlu Lihat Kepada Makanannya

Hendaklah Manusia Melihat Pada Makanannya Dalam sebuah ayat, Allah Subhanahuwata’ala berfirman: فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *