Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Tarbiah / Kepentingan Halaqah

Kepentingan Halaqah

Muqaddimah

Membentuk ummah adalah umpama membangunkan sebuah bangunan tinggi mencakar langit (bahkan lebih tinggi lagi), yang terlebih dahulu memerlukan tapak atau asas yang kukuh.

Asas bangunan itu dibina daripada besi, simen, pasir dan batu bata yang tersusun rapi, yang saling kuat menguatkan antara satu sama lain. Batu-bata dan bahan binaan itu adalah yang terpilih, yang telah melalui proses pembentukan dan tahan menanggung bebanan sebelum boleh digunakan.

Begitulah juga dalam proses pembinaan ummah. Batu-bata yang dipilih itu adalah umpama individu-individu yang mempunyai hati ikhlas dan peribadi yang baik. Mereka dikumpulkan dalam satu suasana soleh, iaitu halaqah (satu kumpulan kecil terdiri daripada beberapa orang yang dididik oleh seorang pendidik).

Pengertian Halaqah

Halaqah adalah satu suasana kehidupan berkumpulan terdiri daripada individu-individu yang saling kenal mengenali, nasihat menasihati dan bantu membantu. Ia umpama sebuah keluarga yang diikatkan oleh ikatan persaudaraan Islam.

Suasana Halaqah

Anggota halaqah ditarbiah (dididik) bersumberkan al-Quran al-Karim, As-Sunnah an-Nabawiyah dan penulisan ulama muktabar. Mereka dididik agar benar-benar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala, Islam yang syumul dan menolak sistem-sistem yang bukan Islam.

Perhubungan dalam halaqah dicetuskan oleh kesatuan aqidah, ukhuwah, kasih sayang, saling lengkap melengkapi dan bimbing membimbing.

Proses pendidikan dalam halaqah berjalan secara formal dan tak formal. Ianya tidaklah terbatas dengan penyampaian sehala oleh ketua halaqah. Malah terlaksana hubungan dua hala dalam pelbagai suasana seperti muzakarah, mukhalatah, ziarah, rehlah dan musafir. Anggota halaqah didedahkan sebanyak mungkin dengan amalan-amalan dan perbualan-perbualan Islami. Dengan ini insyaAllah ahli-ahli halaqah akan dapat merasai kepentingan mempraktikkan fikrah Islamiah.

Menziarahi Halaqah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah melalui proses tarbiah di bawah bimbingan baginda sendiri. Di Mekah tarbiah berlangsung selama 13 tahun. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memulakan halaqah di rumah Arqam bin Abi Arqam. Baginda mendidik para sahabat dengan penuh teliti bersumberkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala.

Setelah menjalani tarbiah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, mereka diiktiraf sebagai ummah terbaik, sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahuwata’ala:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ
Kamu adalah ummah terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar, dan beriman kepada Allah.

(Ali ‘Imran: 110 )

Rahsia Kejayaan Tarbiah Para Sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam

Terdapat tiga faktor asas rahsia kejayaan tarbiah yang dijalankan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap para sahabat:

1. Rahsia pertama ialah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersungguh-sungguh memelihara tarbiah ummah pertama ini dengan bersumberkan wahyu Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Baginda memelihara sumber tarbiah agar benar-benar bersih dan tidak bercampur dengan sumber yang lain.

2. Rahsia kedua ialah para sahabat telah menyerahkan hati mereka sepenuhnya untuk dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Para sahabat menerima ayat-ayat al-Quran yang disampaikan oleh baginda sebagai arahan Ilahi untuk terus dilaksana atau diamalkan dalam kehidupan, tanpa tangguh-tangguh lagi.

3. Rahsia ketiga ialah para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memisahkan hati mereka secara total daripada nilai-nilai jahiliyah yang menguasai kehidupan masyarakat ketika itu. Meski pun mereka bersama-sama bermuamalah dengan masyarakat, tetapi jiwa dan perasaan mereka tetap berpisah dengan jahiliyah sepenuhnya (uzlah syu’uriyah tammah).

Mengapa Pentingnya Halaqah Pada Masakini

1. Membangunkan manusia adalah kerja utama Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Maka sudah tentu kita ingin mencontohi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

2. Keluarga adalah tulang belakang masyarakat. Apabila baik keluarga maka baiklah masyarakat. Apabila rosak keluarga maka rosaklah masyarakat. Halaqah adalah umpama keluarga bagi sesebuah organisasi Islam, yakni keluarga yang diikatkan oleh ikatan aqidah. Ia tulang belakang bagi organisasi Islam. Apabila kuat halaqah maka kuatlah organisasi Islam. Apabila lemah halaqah maka lemahlah organisasi Islam.

3. Antara tujuan kita ialah untuk melahirkan insan Rabbani (insan yang sentiasa berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala). Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam surah Ali Imran ayat 79:

كُونُواْ رَبَّٰنِيِّ‍ۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ
Hendaklah kamu menjadi manusia Rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.

Berdasarkan ayat ini untuk menjadi manusia Rabbani, maka ciri-ciri yang perlu dilengkapi:

a. Mengajar al-kitab (berdakwah, memberi nasihat, mengajar dan membimbing berasaskan kitab Allah Subhanahuwata’ala).
b. Mempelajari al-kitab (menerima ilmu, belajar, mengkaji dan berbincang akan kitab Allah Subhanahuwata’ala).

Maka proses mengajar dan belajar boleh dilaksanakan dalam suasana halaqah.

4. Halaqah adalah tapak asas kepada sistem pengurusan yang baik. Di mana di dalamnya dapat dilaksanakan pembahagian tugas untuk menjayakan sesuatu projek dan gerak kerja Islam.

5. Dalam halaqah dapat disuburkan ukhuwah dan mahabbah. Syi’ar-syi’ar ukhuwah dapat dilaksanakan dalam halaqah seperti ziarah menziarahi, bantu membantu dan lengkap melengkapi.

6. Halaqah adalah suasana yang dapat mencungkil dan mengasah bakat serta potensi anggota untuk dijuruskan kepada kepentingan dan kemaslahatan Islam.

Ciri-Ciri Peribadi Muslim Yang Perlu Dididik Dalam Halaqah

1. Salimul ‘aqidah (aqidah yang lurus dan sejahtera).
2. Sahihul ‘ibadah (ibadah yang benar).
3. Matinul khuluq (akhlak yang mulia dan mantap).
4. Qadirun ‘alal kasbi (mampu berdikari).
5. Mutsaqaful fikri (pemikiran yang terdidik).
6. Qawiyul jismi (jasmani yang kuat).
7. Mujahidun linafsihi (berjihad melawan hawa nafsu).
8. Harisun ‘ala waqtihi (menjaga dan menghormati waktu).
9. Munadzamun fi syu-unihi (teratur dalam segala urusan).
10. Nafi’un lil ghairihi (bermanfaat terhadap orang lain)

Penutup

1. Pembentukan ummah Islamiyah bermula dengan pembentukan individu-individu soleh.
2. Pembentukan individu-individu soleh dijalankan melalui halaqah, yang mana anggota-anggotanya menjalani proses didikan dan latihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *