Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Kegembiraan Dan Kesedihan Sebagai Ukuran Iman

Kegembiraan Dan Kesedihan Sebagai Ukuran Iman

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّأَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ

Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya dan bersedih atas keburukannya, maka dia adalah seorang mu’min.

(Riwayat Ibn Hibban)[1]

SEKILAS PENJELASAN

Dalam hadits ini Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan salah satu cara untuk mengukur dan menilai keimanan seorang hamba Allah Subhanahuwata’ala ialah dengan memerhatikan perasaannya setelah melakukan sesuatu perbuatan, adakah ia gembira setelah melakukan suatu kebaikan dan bersedih setelah melakukan suatu keburukan? Jika ya, bermakna dia adalah seorang mu’min. Jika tidak, bermakna imannya lemah.

HIKMAH TARBAWIYAH

Ukuran Keimanan

  1. Ukuran Amalan Anggota Fizikal

Kita boleh jadikan amalan fizikal seseorang sebagai kayu ukur untuk menilai imannya. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

إذا رأيتم الرجلَ يعتادُ المسجدَ ، فاشْهَدُوا له بالإيمانِ

Apabila kamu melihat seseorang aktif ke masjid, maka saksikanlah bahawa ia adalah orang yang beriman.

(Riwayat at-Tirmizi)[2]

  1. Ukuran Ucapan Lisan

Kadangkala kita boleh mengetahui keimanan seseorang itu daripada ucapannya seperti ucapan salam dan tahlil/zikirnya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

  1. Ukuran Pengetahuan

Kita juga boleh menguji pengetahuan seseorang untuk mengetahui keimanannya sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat bahawa Mu’awiyah bin Al-Hakam datang membawa seorang budak wanita berkulit hitam.

سألها رسول الله صلى الله عليه وسلم وقال: أين الله؟ فقالت: في السماء، وقال لها: من أنا؟ قالت: رسول الله، قال الرسول صلى الله عليه وسلم: أعتقها فإنها مؤمنة

Lalu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bertanya kepadanya: Di manakah Allah?. Dia menjawab: Di langit. Baginda bertanya: Siapakah aku?. Dia menjawab: Rasul Allah. Baginda pun bersabda: Merdekakanlah, kerana dia adalah seorang mu’minah.

(Riwayat Muslim)[3]

  1. Ukuran Keyakinan Hati

Untuk menilai keimanan diri sendiri, kita boleh menggunakan ukuran keyakinan hati, sepertimana jawapan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kepada malaikat Jibril ketika Jibril bertanya:

قال: فأخبرني عن الإيمان . قال: ” أن تؤمن بالله ، وملائكته ، وكتبه ، ورسله ، واليوم الآخر . وتؤمن بالقدر خيره وشره “

Beritahulah kepadaku apakah iman itu?. Baginda menjawab: Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari akhirat serta hendaknya engkau beriman kepada takdir Allah, yang baik mahupun yang buruk.

(Riwayat Muslim)[4]

  1. Ukuran Emosi dan Perasaan

Kita juga boleh menilai keimanan diri kita dengan menggunakan ukuran perasaan dan emosi seperti yang disebutkan dalam hadits yang permulaan di atas, iaitu gembira apabila melakukan kebaikan dan bersedih apabila melakukan keburukan.

Kegembiraan Imani

Mengapakah seorang mu’min gembira apabila melakukan kebaikan?

  1. Kerana dia mengetahui sekecil mana kebaikan yang dilakukannya pasti dilihat dan dicatat oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)-nya.

(Surah Al-Zalzalah: 7)

  1. Kerana dia mengetahui bahawa sekecil mana pun amalan kebaikan yang dilakukan, maka ia akan mendapat balasan yang berlipat ganda. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظۡلِمُ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖۖ وَإِن تَكُ حَسَنَةٗ يُضَٰعِفۡهَا وَيُؤۡتِ مِن لَّدُنۡهُ أَجۡرًا عَظِيمٗا ٤٠

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakan dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar.

(Surah An-Nisa: 40)

  1. Kerana dia mengetahui bahawa dengan kebaikan yang dilakukan, maka akan terhapus daripadanya dosa-dosa kecil yang telah dilakukannya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.

(Surah Hud: 114)

  1. Kerana pada masa dia melakukan kebaikan, dia akan merasakan lazatnya iman. Allah Subhanahuwata’ala berfirman dalam hadits qudsi:

النظرةُ سَهمٌ مَسمومٌ من سِهامِ إبليسَ ، مَن تَركَها مِن مَخافَتِي ؛ أَبدلْتُه إِيمانًا يَجِدُ حَلاوَتَه في قَلبِه .

Pandangan adalah salah satu dari panah-panah iblis, barangsiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada-Ku, nescaya Aku akan berikan ganti kepadanya dengan suatu keimanan yang boleh merasa kelazatan di dalam hatinya.

(Riwayat Albani)[5]

Kesedihan Imani

Mengapakah seorang mu’min akan merasa sedih apabila melakukan keburukan?

  1. Kerana dia menyedari sekecil mana keburukan yang dilakukan, maka dia akan mendapat balasan daripada Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨

Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya ia akan melihat (balasan)nya pula.

(Surah Al-Zalzalah: 8)

  1. Dengan keburukan yang dilakukan bermakna akan bertambah titik hitam yang mengotori hatinya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إن المؤمن إذا أذنب كانت نكتة سوداء في قلبه فإن تاب ونزع واستغفر صقل قلبه وإن زاد زادت حتى يعلو قلبه

Sesungguhnya seorang mu’min apabila melakukan suatu dosa, maka dituliskan titik hitam di dalam hatinya. Jika ia bertaubat maka berkilat hatinya, tetapi jika bertambah dalam melakukan dosa maka titik hitam itu akan bertambah pula sehinga menutup hatinya.

(Riwayat Ahmad Syakir)[6]

Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah:

كَلَّاۖ بَلۡۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ١٤

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.

(Surah Al-Muthaffifin: 14)

  1. Kerana dia merasa malu kepada Allah Subhanahuwata‘ala Yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan tersembunyi. Disebutkan dalam riwayat bahawa ada seorang sahabat Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam yang ketinggalan solat berjama’ah lalu merasa malu dengan sekelompok sahabat yang sedang berjalan sehingga ia bersembunyi seraya berkata:

Tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak memiliki rasa malu ketika mengalami hal seperti ini.

Hikmah di Sebalik Perasaan Sedih Dan Gembira

  1. Agar hamba mu’min itu rasa bersemangat untuk meningkatkan amal kebaikan dan bersegera bertaubat daripada keburukan yang dilakukannya.
  1. Untuk melipatgandakan pahala kebaikan dan menghapuskan dosa daripada keburukan yang dilakukannya. Ada ulama’ berkata:

Jika engkau berbuat dosa di malam hari lalu bersedih atas keburukan itu di pagi harinya, itu adalah lebih baik daripada melakukan kebaikan di malam hari lalu menyombongkan diri dengan kebaikan itu di pagi harinya.

  1. Untuk memelihara keseimbangan emosi seorang mu’min. Tidak layak bagi sorang mu’min merasa terlalu bahagia dengan dunia yang diraihnya kerana boleh jadi itu adalah sumber kebinasaan. Tidak layak juga dia merasa sedih atas kehilangan dunia kerana hal itu boleh jadi akan mendatangkan kebaikan baginya di dunia dan di akhirat.
  1. Perasaan ini adalah anugerah Allah Subhanahuwata’ala kepada orang mu’min. Justeru itu beliau hendaklah bersyukur apabila mendapat kegembiraan dan bersabar apabila mendapat kesedihan.

Langkah-Langkah Amaliah

  1. Bersihkanlah Hati

Seseorang yang hatinya kotor hanya memikirkan bagaimana ia boleh memuaskan syahwatnya dan melakukan apa saja yang diinginkan hawa nafsunya.

  1. Dekatkanlah Diri Kepada Allah Subhanahuwata‘ala Dengan Ibadah Wajib Dan Sunnah

 Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

 إنَّ اللَّهَ تَعَالَى قَالَ: “مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقْد آذَنْتهُ بِالْحَرْبِ، وَمَا تَقَرَّبَ إلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عَلَيْهِ، وَلَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ، فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْت سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ، وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ، وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا، وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا، وَلَئِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ، وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ”.

Sesiapa yang memusuhi waliku maka Aku telah mengumumkan perang dengannya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali dengan beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan kepadanya.

Dan hambaku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunat) maka Aku akan mencintainya dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepada-Ku nescaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan daripada-Ku nescaya akan Aku lindungi dia.

 (Riwayat al-Bukhari)[7]

  1. Hiduplah Dalam Lingkungan Orang Soleh

Sekiranya hidup dalam lingkungan orang soleh, maka mudahlah bagi seorang mu’min untuk mencerminkan diri, mendapat motivasi dan teladan yang baik.

  1. Luangkanlah Waktu Untuk Melakukan Muhasabah Diri

Luangkanlah waktu untuk melakukan muhasabah diri terutamanya ketika waktu sebelum tidur. Ambillah sedikit masa untuk merenung apa yang dilakukan pada siang hari itu.

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.

[1] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 6728

[2] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 3093

[3] Sahih Muslim, bab masjid wa mawadhi’ solah, no.hadits : 537

[4] Sahih Muslim, no.hadits : 8

[5] Dhoif at-Targib, no.hadits : 1194

[6] Musnad Ahmad, no.hadits dan juzu’ : 15/98

[7] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6502

Check Also

Mujhahid Ialah Orang Yang Berjihad Melawan Nafsu

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي اللهِ Mujahid adalah orang yang berjihad melawan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *