Home / Dasar Umum Islam / Fikrah / Islam Tidak Berkompromi Dengan Jahiliyah

Islam Tidak Berkompromi Dengan Jahiliyah

Islam adalah din (sistem hidup) pilihan Allah

Kita hendaklah menyedari bahawa hanya Islam satu-satunya din (sistem hidup) yang dipilih oleh Allah Subhanahuwata‘ala untuk insan seluruhnya dan Allah Subhanahuwata‘ala telah tegaskan bahawa sesiapa yang mencari dan mengambil din lain atau cara hidup lain daripada Islam, maka sekali-kali tidak diterima-Nya sepertimana dalam ayat 85, Surah Ali-Imran:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari din selain din Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi

(Surah Ali-Imran : 85)

Tuntutan Allah Subhanahuwata‘ala ini bukan di dalam jangka waktu yang terhad, bahkan tuntutan itu berterusan sehinggalah dunia ini dikiamatkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala.

Perlulah difahami bahawa cara hidup Islam berbeza daripada cara hidup bukan Islam. Keistimewaan Islam, kata Asy-Syeikh Mustafa Masyur di dalam Toriq Ad-Da’wah, adalah kesyumulan dan kesempurnaannya. Masyarakat akan jadi soleh, jika Islam itu diterima dan diambil pakai keseluruhannya. Sebaliknya masyarakat tidak akan jadi soleh, jika Islam diambil sebahagian dan ditinggalkan sebahagian yang lain, tunduk kepada aliran-aliran duniawi dan falsafah-falsafah bumi.

Adalah dikira satu jenayah terhadap Islam apabila diambil sebahagian dan dilupakan sebahagian yang lain. Lebih bimbang lagi apabila termasuk di dalam pertanyaan Allah di dalam ayat 85, Surah Al-Baqarah:

أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ

Apakah kamu beriman terhadap sebahagian kitab dan kamu kufur pula terhadap sebahagian yang lain. Maka tiada balasan terhadap orang yang berbuat demikian di kalangan kamu melainkan kehinaan di dalam kehidupan di dunia dan di Hari Kiamat nanti ditolak ke dalam azab yang pedih. Dan (Ingatlah) Allah tidak lalai daripada apa yang kamu lakukan

(Surah Al-Baqarah : 85)

 Islam vs Jahiliah

Setiap orang mu’min semestinya memahami dan menyedari bahawa Islam dan jahiliah adalah berlawanan atau bertentangan. Kata Profesor Muhammad Qutb:

Jahiliah itu takrifnya lawan kepada Islam (dhiddu al-Islam).

 Maka tidak boleh digugurkan sifat-sifat Islam untuk hidup bersama dengan jahiliah.

Allah Subhanahuwata’ala telah meletakkan kata putus di dalam ayat 1 – 6, Surah Al-Kafiruun:

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١  لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢  وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣  وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥  لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam), Wahai orang yang kufur (yakni tidak beriman)!, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak menyembah Dia (Allah Subhanahuwata‘ala) yang aku sembah. Dan aku tidak akan menjadi hamba kepada apa yang kamu telah sembah dan kamu tidak memperhambakan diri kepada Dia (Allah Subhanahuwata‘ala) yang aku perhambakan diriku. Bagi kamu din kamu dan bagiku din aku.

(Surah Al-Kafirun : 1-6)

Difahami di sini bahawa ada pemisahan antara Islam dengan jahiliah. Jahiliah adalah jahiliah. Islam adalah Islam. Perbezaan di antara jahiliah dengan Islam sangat jauh. Jalan penyelesaiannya, perlulah keluar daripada jahiliah dan tinggalkan keseluruhannya dan hijrahlah kepada Islam dan ambil Islam keseluruhannya. Firman Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 208, Surah Al-Baqarah :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ

Wahai orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya (yakni terima seluruh ajaran Islam) dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang jelas (musuh ketat) terhadap kamu.

(Surah Al-Baqarah : 208)

Orang mu’min seharusnya mengasingkan jiwanya daripada jahiliah, disebut ‘Uzlah Syu’uriyyah Tammah’ (pengasingan yang sempurna dalam jiwa), hati tidak bersama dan hati tidak menyokong jahiliah samada konsepnya, manhaj atau sistemnya dan tindak tanduknya serta amalannya (aktiviti hidup).

Tabiat (sifat) Islam juga tidak menerima sebarang penyelesaian yang tidak berlandaskan kepada syara’ kerana Islam didatangkan oleh Allah subhanahuwata’ala untuk menyelamatkan umat manusia, kerana itu menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya, Al-Hillu Al-Islami Faridhatun Wa Dhruroh, bahawa penyelesaian secara Islam itu adalah suatu yang wajib dan dhoruri (mesti) kerana cara hidup yang diredhai Allah hanyalah cara hidup Islam. Firman Allah Subhanahuwata‘ala dalam ayat 19, Surah Ali-Imran:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ

Sesungguhnya din di sisi Allah itu ialah Islam.

(Surah Ali-Imran : 19)

Dan firman Allah Subhanahuwata‘ala lagi dalam ayat 3, Surah Al-Maaidah:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗا

Hari ini (Hari ayat ini diturunkan) Aku (Allah Subhanahuwata’ala) telah sempurnakan bagi kamu din kamu dan Aku (Allah) telah sempurnakan ke atas kamu nikmatKu dan Aku (Allah) telah redha Islam menjadi din ikutan kamu.

(Surah Al-Maidah : 3)

Dengan ini difahami bahawa sistem-sistem hidup yang lain daripada Islam adalah tidak diredhai oleh Allah Subhanahuwata‘ala dan orang yang beriman sewajibnya redha menerima sistem hidup yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala. Orang yang beriman mestilah yakin bahawa haqqu at-tasyri’ (hak menentukan hukum dan undang-undang hidup) untuk manusia adalah hak Allah Subhanahuwata‘ala. Kerana itulah al-Quran diturunkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala yang merupakan dusturu al-basyariyyah (perlembagaan hidup untuk manusia), bahkan diutuskan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bagi memperjelaskannya dan menunjuk cara pelaksanaannya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala di dalam ayat 105, Surah an-Nisaa:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kitab (al-Quran) kepada engkau (Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) dengan benar supaya engkau melaksanakan hukuman di kalangan manusia mengikut apa yang telah  ditunjukkan kepada engkau oleh Allah (Subhanahuwata’ala). Dan jangan sekali-kali engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat.

(Surah An-Nisa’ : 105)

Maka kita orang yang  mengaku beriman kepada Allah Subhanahuwata‘ala, beriman kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan beriman kepada semua prinsip-prinsip keimanan mestilah meletakkan al-Quran pada tempatnya dalam perlaksanaan hidup kita di dunia ini seperti yang dikehendaki oleh Allah dalam ayat 105, Surah an-Nisaa itu, agar kita sentiasa berada dalam kemuliaan pada nilai Allah Subhanahuwata‘ala. Kemuliaan itu sebenarnya datang daripada Allah Subhanahuwata‘ala. Jalan hidup yang mulia dan panduan hidup manusia datang daripada Allah Subhanahuwata‘ala.

Kemuliaan itu Allah Subhanahuwata‘ala kurniakan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang benar-benar beriman (yakni diletakkan di dalam barisan orang yang mulia dan mendapat penghormatan yang tinggi di sisi Allah). Firman Allah Subhanahuwata‘ala di dalam ayat 8, Surah Al-Munafiquun:

وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَعۡلَمُونَ

Kemuliaan itu milik Allah dan Allah peruntukkan kepada Rasul-Nya dan orang yang beriman tetapi orang munafik tidak menyedarinya dan tidak mengetahui.

(Surah Al-Munafiqun : 8)

 Kembali Kepada Al-Quran

Sewajarnya berkali-kali dan perlu diulang-ulangkan ajakan kepada Allah Subhanahuwata‘ala, kepada al-Quran, kepada Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan kepada sistem Islam. Yakni sistem Rabbani yang sangat besar tuntutannya ke atas orang yang beriman. Sesiapa yang enggan atau tidak mahu kepada ajakan dan da’wah tersebut bahkan menentangnya, maka risiko dan akibatnya sangatlah berat. Perhatikanlah peringatan Allah di dalam ayat 124 – 127, Surah Thaha:

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ ١٢٤  قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرۡتَنِيٓ أَعۡمَىٰ وَقَدۡ كُنتُ بَصِيرٗا ١٢٥ قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتۡكَ ءَايَٰتُنَا فَنَسِيتَهَاۖ وَكَذَٰلِكَ ٱلۡيَوۡمَ تُنسَىٰ ١٢٦ وَكَذَٰلِكَ نَجۡزِي مَنۡ أَسۡرَفَ وَلَمۡ يُؤۡمِنۢ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِۦۚ وَلَعَذَابُ ٱلۡأٓخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبۡقَىٰٓ ١٢٧

Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: “Ya Rabku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?”. Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”. Dan Demikianlah kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Rabnya, dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.

(Surah Thaha : 124-127)

Berdasarkan tafsiran di dalam Tafsif Al-Munir oleh Ustaz Dr. Wahbah az-Zuhaili, maksudnya bahawa sesiapa juga yang membelakangkan din Allah (Islam) dan membelakangkan Al-Quran, yakni tidak membacanya dan tidak beramal dengan apa yang dituntut di dalamnya, maka hidupnya dalam kekusutan akal dan siksa jiwa dan terpenjara di dalam kegelisahan dan kebimbangan. Dan, dihantui dengan pelbagai penyakit jiwa dan mungkin jasmaninya turut merasakannya.  Dan di hari akhirat nanti Allah Subhanahuwata‘ala akan himpunkannya di dalam keadaan buta (mungkin pengelihatan zahir dan batin dibutakan), tidak nampak jalan kejayaan atau jalan ke Syurga. Lalu ia spontan bertanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala: Ya Rab mengapa engkau himpunkan aku di dalam keadaan buta sedangkan aku dahulu semasa di dunia dalam keadaan celik (baik penglihatan)?. Lantas Allah Subhanahuwata‘ala memaklumkan kepadanya bahawa balasan ke atasnya di hari itu disebabkan dia lupakan ayat-ayat Allah, dia tinggalkannya, dia membelakangkannya, dia tidak pandang dan tidak memberi perhatian kepada ayat-ayat Al-Quran al-Karim. Maka kerana itulah dia pada hari ini (kiamat) dilupakan, tidak diberi layanan baik dan tidak diberi sebarang penghormatan, bahkan azab yang pedih menunggunya dan siksa yang berkekalan menantinya. Ketahuilah bahawa setiap balasan  Allah adalah tepat dan mengikut jenis amalan dan perbuatan yang dilakukan (Fainna al-jazaa min jinsi al-‘amal).

Oleh itu, setiap orang yang beriman adalah dituntut kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam. Orang beriman wajib berusaha mengembalikan dan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pada tempat yang wajar dalam perlaksanaan hidup diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Dan mana-mana peraturan manusia yang bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam wajar dimansuhkan kerana perintah ini adalah amanah yang diamanahkan Allah Subhanahuwata‘ala kepada orang yang beriman. Wajib dilaksanakan mengikut kadar tanggungjawab yang ada dan di dalam lingkungan kemampuan yang ada semaksima yang boleh. Semoga kita semua berkongsi pahala dan ganjaran baik kurniaan Allah Subhanahuwata‘ala dan terhindar daripada dosa dan azab Allah Subhanahuwata‘ala, insya-Allah.

Rujukan:

Haji Omar Haji Salleh. Khutbah Jumaat (12 Jamadil Akhir 1425H) (30 Julai 2004)

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Hanya Islam Pilihan Kita

Islam merupakan din yang kita akui sebagai ikutan kita. Kita diperintahkah supaya hidup dengan din …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *