Home / Dasar Umum Islam / Aqidah / Ilmu Tauhid

Ilmu Tauhid

Apakah Itu Ilmu Tauhid?

Ilmu Tauhid ialah ilmu yang membahaskan perkara yang membuktikan kebenaran Akidah Islam. Sumbernya ialah dalil ‘aqli (logik akal) dan dalil naqli (al-Quran dan Hadis)

Dengan memahami Ilmu Tauhid, kita mampu membuktikan segala kebatilan orang kafir, keraguan dan pendustaan mereka.

Hasil memahaminya juga, insyaAllah, jiwa kita akan menjadi tetap, hati pula lapang dan tenang dalam keimanan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَفَمَن يَعۡلَمُ أَنَّمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَ ٱلۡحَقُّ كَمَنۡ هُوَ أَعۡمَىٰٓۚ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Adakah orang yang mengetahui bahwasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Rabbmu itu benar, sama dengan orang yang buta? Hanyalah orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran.

(Ar-Ra’d:19)

Apakah Topik Perbahasan Ilmu Tauhid?

Topik perbahasan ilmu tauhid meliputi:

  1. Iman kepada Allah Subhanahuwata’ala – pengEsaan-Nya, ikhlas dalam beribadah dan menjauhi syirik.
  2. Iman kepada para rasul – sebagai membawa petunjuk Ilahi, sifat-sifat wajib, sifat-sifat mustahil, mukjizat dan bukti kerasulan.
  3. Iman kepada semua kitab – sebagai panduan atau hidayah kepada seluruh hamba-Nya dulu, kini dan selamanya.
  4. Iman kepada malaikat – tugas-tugas malaikat, hubungan dengan manusia di dunia dan akhirat.
  5. Iman kepada hari akhirat – balasan terhadap orang beriman dan kafir, nikmat syurga dan neraka.
  6. Iman kepada qadha dan qadar – takdir yang ditentukan Allah yang Maha Bijaksana, yang menentukan pergerakan semua benda yang wujud di alam ini.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ

Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Rabbnya, demikian pula orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya.

(Al-Baqarah : 285)

Juga sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Hari Akhirat, dan beriman dengan ketentuan (qadar) baik dan buruk daripada-Nya.

(HR Muslim)

Apakah Kedudukan Ilmu Tauhid Berbanding Ilmu-Ilmu Lain?

Kemuliaan sesuatu ilmu terletak pada topik perbahasannya. Contohnya, ilmu kedoktoran dilihat lebih mulia daripada ilmu pertukangan kerana ia membahaskan tentang tubuh badan manusia. Maka, Ilmu Tauhid jauh lebih mulia daripada segala ilmu lain kerana ia membahaskan tentang:

  1. Allah Subhanahuwata’ala yang Mencipta alam dan bagaimana kita mengenali-Nya.
  2. Para Rasul, iaitu manusia yang paling suci.
  3. Hikmah dan tujuan penciptaan manusia.
  4. Kehidupan manusia selepas mati.

Apakah Hukum Mempelajari Ilmu Tauhid?

Hukumnya adalah:

  1. Fardhu ‘ain bagi setiap orang Islam (lelaki dan perempuan). Kita wajib mempelajarinya sehingga dapat memberikan keteguhan hati dan ketenangan akal bahawa kita berada di atas agama yang benar.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَٱعۡلَمۡ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لِذَنۢبِكَ وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مُتَقَلَّبَكُمۡ وَمَثۡوَىٰكُمۡ

Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada ilah (yang hak) melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan bagi (dosa) orang mukmin, laki-laki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat kamu berusaha dan tempat tinggalmu.

(Muhammad:19)

  1. Fardhu kifayah bagi perbincangan yang lebih mendalam. Tidak wajib bagi semua umat Islam, jika ada sekumpulan orang yang telah mendalaminya.

Al-Quran dan Ilmu Tauhid

Tauhid merupakan topik asas dalam Al-Quran. Setiap helaiannya menyebutkan tentang seruan beriman kepada Allah, rasul, hari akhirat, malaikat, kitab terdahulu dan taqdir-Nya. Malah, 13 tahun pertama ayat-ayat Al-Quran (tahap Makkiyah) yang diturunkan hampir semuanya berkisar tentang Ilmu Tauhid dan perkara berkaitan dengannya.

Umat Islam Dan Ilmu Tauhid

Kita sangat perlu memberi perihatian kepada Ilmu Tauhid. Ini berpunca daripada keperihatinan Al-Quran terhadap Ilmu Tauhid. Malah, sebenarnya inti kepada dakwah Islamiyah adalah pengukuhan akidah penganutnya dan (kemudian) menyeru agar manusia beriman kepada akidah tersebut.

Apakah Akibatnya Jika Kita Mencuaikan Ilmu Tauhid?

  1. Akidah Islam diserang dan dirosakkan.
  2. Amal dan ibadah menjadi rosak (kerana tidak murni untuk Allah Subhanahuwata’ala).
  3. Kefasadan dan kerosakan akan berleluasa.
  4. Memudahkan musuh Islam mengalahkan dan menjajah mereka.

 

RUJUKAN:

  1. Abdul Majid Aziz Az-Zindani, Kitab Tauhid, Pustaka salam.
  2. http://jomtarbiyah.blogspot.com/ (dengan merujuk kepada Kitab Tauhid, Jilid 1, Syeikh Abdul Majid Az-Zindani)

Check Also

Manusia Perlu Lihat Kepada Makanannya

Hendaklah Manusia Melihat Pada Makanannya Dalam sebuah ayat, Allah Subhanahuwata’ala berfirman: فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦٓ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *