Home / Dasar Umum Islam / Ibadah / Ibadah Yang Berkualiti

Ibadah Yang Berkualiti

Alangkah ruginya segala pengorbanan, curahan tenaga dan perbelanjaan sekiranya tidak mendapat keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala. Ini terjadi apabila sesuatu amalan itu dilakukan bermatlamatkan dunia atau berasaskan hawa nafsu semata-mata.Rugi tenaga, masa, harta benda dan segala-galanya.Oleh itu wajiblah kita meletakkan segala kerja dan amalan kita di atas aqidah yang betul dan hati yang ikhlas.

Hati yang ikhlas mencari keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala adalah pokok penilaian-Nya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam pernah bersabda (di dalam hadits riwayat Imam Muslim daripada Abi Hurairah Radiallahuanhu):

إنَّ اللَّهَ لا ينظرُ إلى صورِكُم وأموالِكُم ، ولَكِن ينظرُ إلى قلوبِكُم وأعمالِكُم

Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) kepada bentuk kamu, juga tidak kepada harta benda kamu tetapi Allah melihat (menilai) kepada hati kamu dan amalan kamu.

(Riwayat Muslim)[1] 

Amalan yang dimakbulkan (diterima) oleh Allah Subhanahuwata‘ala mestilah dengan niat yangikhlas (إخلاص ) kerana-Nya semata-mata. Niat yang ikhlas mesti disertakan dalam semua jenis amalan. Terdapat dua jenis amalan yang utama:

  1. Amalan-amalan ta’abbud(تعبد ) atau amr ta’abbudi(أمر تعبدى) atauibadah (عبادة) khusus yang telah difardukan seperti zakat, puasa, solah dan haji.Amalan-amalan seperti ini hendaklah mengikut kaifiat(كيفيات) atau cara-cara yang telah ditetapkan olehsyara’(شرع) berdasarkan wahyu Allah (al-Quran dan as-Sunnah) tanpa pindaan dan ubahsuai. Kaifiat ibadah khusus tidak berubah walaupun zaman berubah.
  1. Amalan-amalan yang berkaitan dengan pelbagai urusan hidup yang pada zahirnya berbentuk duniawi dan menyentuh urusan hidup diri, keluarga, masyarakat dan negara. Amalan-amalan ini meliputi bidang pendidikan, pertanian, perniagaan, perusahaan, kebudayaan, pentadbiran, jihad dan sebagainya. Semua amalan ini akan menjadi ibadah apabila:
    1. Dilakukan dengan mematuhi syarat-syarat dan dasar-dasar yang digariskan oleh ajaran Islam.
    2. Dilakukan dengan niat yang ikhlas untuk memperolehi keredhaan Allah Subhanahuwata‘ala.

Ibadah yang berkualiti

Seorang yang beriman, apabila melakukan sesuatu ibadah, tidaklah wajar baginya melakukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.Namun beliau mementingkan kualiti yang baik di dalam sesuatu ibadah.Hal ini telahpun diperjelaskan dengan panjang lebar oleh Doktor Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnyaIbadah Dalam Islam

(العبادة في الإسلام) yang boleh dirumuskan seperti berikut:

  1. Dilaksanakan segala kerja atau urusan dengan niat yang soleh(صالح). Yakni denganniat yang ikhlas kerana Allah semata-mata.
  1. Segala kerja dan urusan dilakukan dengan cara-cara yang diluluskan olehsyara’(شرع). Atau dengan kata lain – tidak berlawanan dengan ajaran Allah Subhanahuwata‘ala.
  1. Dilaksanakan kerja dan urusan dengan itqan(اتقان), yakni dengan penuh kesungguhan, dedikasi dan tekun.
  1. Iltizam dalam meninggalkan larangan-larangan Allah Subhanahuwata‘ala. Jangan melakukan kezaliman, penganiayaan, penipuan, pencerobohan hak orang lain dan sebagainya. Janganlah terjadi sambil-sambil melakukan ibadah, lakukan pula larangan-larangan Allah Subhanahuwata‘ala.
  1. Jangan sampai sewaktu melakukan kerja dan urusan hidup, lalai pula dalam melaksanakan ibadah atau kewajipan yang asasi seperti solat dan zakat.

Sekiranya syarat-syarat di atas dipatuhi sepenuhnya, maka InsyaAllah (ان شاء الله), semua kerja dan urusan hidup umat Islam akan menjadi ibadah yang berkualiti dan mendapat ganjaran pahala yang sebaik-baiknya daripada Allah Subhanahuwata‘ala.

Firman-Nya:

رِجَالٞ لَّا تُلۡهِيهِمۡ تِجَٰرَةٞ وَلَا بَيۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ يَخَافُونَ يَوۡمٗا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَٰرُ ٣٧

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, dan (daripada) mendirikan solah dan (daripada) membayarkan zakat, mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.

(Surah An-Nur: 37)

 

Rujukan:

Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh

(22 Rabi’ulakhir 1425H, 11 Jun 2004).

 

[1] Sahih Muslim, no.hadits: 4651

Check Also

Panduan Khusyu’ Dalam Solat

Firman Allah Subhanahuwata’ala: قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ٢ Sesungguhnya beruntunglah orang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *