Home / Dasar Umum Islam / Fikrah / Hanya Islam Pilihan Kita

Hanya Islam Pilihan Kita

Islam merupakan din yang kita akui sebagai ikutan kita. Kita diperintahkah supaya hidup dengan din ini. Hanya dengan Islam-lah kita mendapat kehidupan yang hakiki, sedangkan selainnya adalah kepalsuan dan kebatilan.

Takrif Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Doktor Abdul Karim Zaidan, bermaksud patuh dan menyerah kepada pemerintahan Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Patuh, tunduk dan menyerah ini perlu lahir daripada jiwa yang sedar dan insaf, iaitu jiwa yang memahami Islam dengan benar dan sahih.

Dua pilihan

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا ٨  قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا ٩ وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠

Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.

(Surah asy-Syams :  8-10)

Manusia diberikan aqal untuk membuat pilihan. Bebas untuk memilih satu daripada dua jalan yang disediakan (jalan fasiq dan jalan taqwa). Natijah daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Di sinilah kita perlu berfikir panjang.

Mereka yang memilih Islam bererti memilih kehidupan yang bahagia di akhirat kelak dengan izin Allah Subhanahuwata’ala. Memilih Islam bermaksud ciri-ciri Islam tertegak dalam tingkah laku, peribadi, percakapan dan sebagainya. Juga seluruh kehidupan mempunyai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu melalui hubungan dengan syara’ atau hubungan dengan ajaran Islam. Maknanya perbuatan seseorang muslim adalah mewakili keperibadian Islam sepertimana yang Allah Subhanahuwata’ala kehendaki.

Sekiranya pilihan mereka tidak betul, iaitu tidak memilih Islam bahkan memilih jalan lain, hasilnya mereka akan mendapat pembalasan dan penderitaan yang hebat daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Terpulanglah kepada kita untuk memilih satu daripada dua jalan. Allah Subhanahuwata’ala telah menjelaskan dua tempat khas akibat daripada pemilihan itu. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَلَهُمۡ جَنَّٰتُ ٱلۡمَأۡوَىٰ نُزُلَۢا بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٩ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَآ أُعِيدُواْ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمۡ ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِي كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ ٢٠

Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan ada pun orang yang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: Rasakanlah siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan.

(Surah as-Sajadah : 19-20)

Pemilihan secara sedar

Kembali kepada takrif Islam, iaitu tunduk, patuh dan menyerah kepada Allah secara sedar dan insaf, maka seseorang yang memilih Islam sebagai jalan hidup, sebenarnya telah berkorban untuk mengenepikan jalan-jalan lain secara sedar dan insaf juga. Atas pengorbanan inilah Allah Subhanahuwata‘ala menyediakan balasan syurga. Balasan ini diberi berdasarkan pengorbanan pemilihan yang betul.

Berbeza dengan makhluk Allah Subhanahuwata‘ala yang lain seperti air, pokok, dan api yang sememangnya telah sedia patuh, tunduk dan taat kepada sistem Allah Subhanahuwata‘ala secara terpaksa. Ini tidak menimbulkan apa-apa balasan samada buruk ataupun baik.

Bagi manusia, Allah Subhanahuwata‘ala telah kurniakan iradah, akal, hati dan perasaan yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuat pilihan. Kita diberikan peluang untuk memilih jalan yang disediakan, samada untuk tunduk, patuh dan taat atau sebaliknya. Pemilihan manusia berdasarkan kesedaran dan keinsafan yang bertitik tolak daripada hatinya sendiri. Allah Subhanahuwata‘ala telah membentangkan garis panduan yang jelas melalui Al Quran dan As Sunnah Nabi-Nya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka.                                                                                                   

(Surah ar-Ra’d  : 11)

Demikianlah, manusia hanya ada dua pilihan dalam kehidupan dunia ini samada memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan yang Allah Subhanahuwata‘ala tetapkan atau memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan al-Hawa’ (peraturan yang disusun oleh kehendak hawa nafsu manusia).

Menghayati pemilihan

Apabila seseorang itu memilih Islam sebagai dinnya maka dalam praktik hidupnya dia harus memperjelaskan, mengiklankan dan mempersaksikan amal perbuatan  Islam walau di mana sahaja dia berada. Tidak kira samada di pejabat, di sawah, di sekolah, di padang, di bilik air atau tempat-tempat lain. Tidak kira apa profesionnya sebagai pelajar, pensyarah, petani, juru rawat, doktor, menteri atau profesion-profesion lain. Dia mestilah sentiasa berada di atas dasar keperibadian Islam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala. Dia mesti melahirkan sifat-sifat kepatuhan, ketundukan, ketaatan dan penyerahan kepada peraturan Islam yang telah Allah Subhanahuwata‘ala tentukan.

Kepatuhan, ketundukan, ketaatan dan penyerahan itu mestilah pula dalam bentuk yang menyeluruh meliputi setiap urusan hidup. Kepatuhan kepada sebahagian sahaja daripada sistem Islam tidak dikira sebagai hakikat kepatuhan yang sebenarnya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai cara hidupnya, maka sesekali tidak diterima daripadanya (tindakan tersebut) dan di akhirat kelak dia termasuk ke dalam orang yang rugi.

(Surah Ali ‘Imran : 85)

Orang yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah Subhanahuwata‘ala itulah yang sebenarnya telah menerima hakikat pemilihan Islam. Memilih Islam dalam cara hidup dan penghayatan, barulah dikatakan sebagai pemilihan yang tepat dan betul.

Kesimpulan

Pemilihan yang tepat adalah dengan penyerahan seluruh jiwa dan anggota kepada Allah Subhanahuwata‘ala. Bila berlaku penyerahan sedemikian, InsyaAllah akan lahirlah corak kehidupan yang dikehendaki Allah Subhanahuwata‘ala. Allah Subhanahuwata‘ala akan memimpin, mengatur, memandu dan menunjuki kepada corak kehidupan Islam yang sebenar.

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Erti Menerima Islam

Ragam manusia hari ini menerima Islam Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *