Home / Tsaqafah / Hadits / Hadits : Orang Zuhud Dikasihi Allah Subhanahuwata’ala

Hadits : Orang Zuhud Dikasihi Allah Subhanahuwata’ala

(Hadits ketiga puluh satu daripada Himpunan Hadits Arba’in susunan Imam Nawawi)

 عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيّ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إلَى النَّبِيِّ فَقَالَ: يَا رَسُولَ الله  دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِي اللَّهُ وَأَحَبَّنِي النَّاسُ؛ فَقَالَ: “ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبُّك اللَّهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبُّك النَّاسُ

 (حديث حسن، رواه ابن ماجه وغيره بأسانيد حسنة)

Daripada Abu al-‘Abbas Sahlu ibn Sa’ad al-Sa’idi Radhiallahu’anhu beliau berkata: Seorang lelaki telah datang menemui Nabi (Sallallahu’alaihiwasallam) lalu berkata:

Wahai Rasulullah! tunjukkan aku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia.

Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.

(Riwayat lbnu Majah dan yang lain dengan sanad-sanad yang baik)

Maksud kalimah

أَحَبَّنِي اللَّهُ : Allah cinta kepadaku.

Maksudnya: Allah menghendaki hamba-Nya mendapat pahala dan ihsan.

وَأَحَبَّنِي النَّاسُ : Dan manusia kasih kepadaku.

Maksudnya: Manusia sayang kepada seseorang itu secara tabi’i kerana kecintaan dia mengikut kecintaan Allah. Apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan mencampakkan kecintaan-Nya ke dalam hati makhluk-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpahkan rahmat-Nya, akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam : 96)

ازْهَدْ : Zuhudlah.

Makna zuhud pada bahasa ialah meninggalkan sesuatu kerana memandang hina kepadanya. Makna di sisi syara’ ialah hanya mengambil perkara halal, yang memang diyakini halalnya, sekadar yang perlu sahaja.

فِي الدُّنْيَا : Di dunia.

Maksudnya: Zuhudlah terhadap dunia dengan memandang kecil dan hina kepadanya, kerana Allah sendiri memandang kecil dan hina kepadanya. Dia melarang manusia daripada terpedaya  dengannya. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud: “Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (Surah Luqman : 33).

Firman-Nya lagi yang bermaksud : Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid : 20).

Tetapi, ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan dunia. Sebenarnya dunia perlu diwariskan kepada orang beriman. Orang beriman ditugaskan untuk menguruskan dunia. Kerana, mereka ditugaskan sebagai khalifah di bumi. Cuma, janganlah benarkan dunia bertahta di hati.

يُحِبُّك اللَّهُ : Nescaya kamu akan dicintai oleh Allah.

Maksudnya: Cinta Allah Subhanahuwata’ala itu bermakna Allah redha kepada hamba-Nya dan ihsan kepadanya.

Pengajaran hadits:

  1. Hadits ini menerangkan suatu sifat penting yang harus ada pada diri setiap mukmin iaitu sifat zuhud.
  1. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan orang Islam, antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri daripada kemewahan dunia serta mengosongkan hati daripada mengingati dunia.

Namun pengertian zuhud yang sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaan dunia dimiliki sepenuhnya, umpama apa yang terjadi pada jutawan di zaman Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf. Ini kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah keredhaan Allah, bukan matlamat sesuatu yang selainnya.

  1. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri daripada merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati daripada mengingati harta milik orang lain. lni bukan bererti membenci orang lain sehingga suka agar kesenangannya hilang. Hasad dengki seperti ini amat dilarang oleh Islam.

 

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Hadits : Rukun Islam

Hadits : Rukun Islam (Hadits ketiga daripada Himpunan Hadits Arba’in susunan Imam Nawawi) عَنْ أَبِي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *